PADI SELANGOR


Padi SRI Selangor : Tanaman Kebal Membawa Padah

Kalau video yang sebelum ini adalah dari tiga tahun yang lalu, mari kita tengok video yang tiga bulan yang lalu pulak iaitu September, 2012. Tengok beritanya di sini http://www.bbc.co.uk/news/magazine-19594335.  Apabila dah jadi macam ini, siapakah yang merana? Tidak lain dan tidak bukan – PETANI – PETANI – PETANI.

Akan Mak Tam huraikan tentang bagaimana syarikat besar  menjadikan petani sebagai  ‘bank’  keuntungan mereka. Tapi buat masa ini baca dan hayatilah realiti alam pertanian. Harap jangan pulak ada lagi wakil syarikat racun menelepon Mak Tam nak bertemu dan berbincang. Ini bukan cerita dongeng atau rekaan. Ini perkara sebenar yang musibahnya terjadi di merata dunia. Tambah-tambah pula bagi petani yang tiada cara mendapat maklumat sebenar. Petani melihat kepada peningkatan hasil semasa yang tinggi, akan terus berebut ingin meneruskan penanaman tanaman kebal yang mendapat sokongan organisasi-organisasi penting negara. Baca dan bukalah mata hati. Ini satu kesilapan yang tiada jalan pulang.

. TERJEMAHAN DIBUAT OLEH GOOGLE TRANSLATE:

19 September 2012 Terakhir dikemaskini pada 01:22 GMT

Petani Amerika Syarikat sedang menghadapi cabaran yang semakin meruncing daripada rumpai kebal semburan kimia, dan terus kekal menanggung berjuta-juta dolar dalam kerugian akibatnya.

Yang dipanggil “rumpai super” telah timbul kerana kejayaan tanaman ubah suai genetik, yang kini adalah tanaman majoriti jagung, soya dan kapas di Amerika Syarikat.

GM pada asasnya bermakna bahawa tanaman dilindungi dari satu jenis bahan kimia racun rumpai. Tetapi kerana petani telah menjadi lebih bergantung pada satu produk ini, rumpai dengan rintangan semulajadi telah merebak dengan cepat dan telah memusnahkan pengeluaran tanaman pada tahap berjuta-juta ekar.

Saintis berkata penyelesaian kepada masalah rintangan meluas adalah sejenis baru GM yang menggunakan racun rumpai berkuasa yang pernah sebahagian daripada Agen Oren, defoliant digunakan secara meluas semasa perang Vietnam.

Dihasilkan oleh BBC Matt McGrath dan Franz Strasser.

Padi SRI Selangor : Petak SRI Othman Akan Menanam

SRI-Othman

Jom pergi belajar kat petak SRI Othman pulak. Jom.. Jom..

Padi SRI Selangor : Petak SRI TEDUNG Siap Ditanam

SRI TEDUNG

SRI TEDUNG

Semasa kami sampai pagi tadi, Zul a.k.a. Tedung telah menyediakan makanan untuk sarapan. Tanah sawah juga sudah siap sedia untuk ditanam. Pak Tam terus turun bersama Zul ke dalam sawah. Zul membuat garisan dan Pak Tam menanam satu-satu. Mak Tam tanya Zul kalau boleh dapatkan pekerja Bangladesh untuk diupah. Tak lama kemudian datang seorang, dan dia memanggil tiga lagi kawannya. Selamat!

System of Rice Intensification

Sejak tahun 80-an lagi orang dah tak turun menanam di Selangor ni. Jadi kalau melihat Zul sedang mengusahakan padi mengguna tenaga manusia, rakan sekampung geleng kepala. Zul mengatakan bahawa dia buat telinga kuali saja terhadap sosek-sosek rakan-rakannya.

Mak Tam tabik kat Zul sebab dia seorang yang berani. Terkejut Mak Tam pada musim lepas apabila ia menanam cara SRI berseorangan. Tiba-tiba saja Mak Tam dapat tahu dari saudara Othman yang Zul dah buat SRI. Dapat melandak sekali sahaja. Tapi kali ni Mak Tam nak ikut dan beri sokongan kepadanya sepanjang musim. Ini salah satu cara nak belajar mengenai cara SRI ni. Kalau tidak kita terus menerus teragak-agak – betul kah atau tidak caranya kita buat.

Padi SRI

Padi SRI

Mak Tam masih mengimpikan mesin yang boleh tanam satu satu. Tapi kalau terus nak bermimpi, bila boleh kita lihat kehebatan pokok padi yang ditanam cara SRI. Jadi kita buat saja secara manual dulu. Kita kenali pokok padi. Kita jaga tanah sawah agar makhluk seni di dalamnya terpelihara. Agar makhluk seni dalam tanah dapat menjalankan tugas yang fitrah bagi mereka.

Buat musim ini kita akan teruskan SRI separa-organik. Zul akan terus guna baja sabsidi, dan produk SRI juga sebagai tambahan. Alhamdulillah, IMO dan pati kangkung telah disembur ke atas jerami dan terus dibajakkan ke dalam tanah untuk semua tanah sawahnya. Tanah sawah Zul memang cantik kerana semua jeraminya telah menjadi baja dalam tanah. Oleh itu, sawah disebelah rumahnya padi pun hijau bersama hijaunya rumput yang turut tumbuh.

Bila Mak Tam tanya, Zul jawab, ‘Tak risau saya sebab kat situ saya tanam padi kebal. Saya tak boleh tanam yang lain sebab semua orang juga tanam padi kebal. Orang lain masa sembur racun padi kebal tu bukan nak jaga padi kat sawah kita. Bergolok nanti’.

mmm.. Mak Tam bila dengar padi kebal ini memang susah hati. Tapi itu cerita lain. Kalau Mak Tam dah tak boleh tahan nanti, Mak Tam akan tulis apa pendapat Mak Tam tentang padi kebal dan implikasinya kepada industri padi dan beras negara. Sekarang ni tengah kumpul maklumat.

SRI

Gambar di atas ini adalah rupa anak padi yang ditanam satu. Setiap kali Mak Tam pergi sana akan tangkap gambar. Sama-sama kita tengok kemajuannya. Sama-sama kita belajar mengenai pokok padi yang ditanam dan diurus cara SRI.

Hari ni Zul menerima rombongan Pejuang SRI dari Parit 1 Barat, Sg Besar. Besar hati sungguh Mak Tam kerana ini adalah tanda keeratan dikalangan Pejuang SRI di Selangor. Insyaallah, juga akan luaskan rangkaian dengan Pejuang SRI Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis. Saudara Othman yang sibuk juga singgah sekejap. GO SRI GO!

SRI D1

Othman

Padi SRI Selangor : ARB007 di Sg Besar 562 biji setangkai

ARB007 - 562 biji setangkai

ARB007 – 562 biji setangkai

Daripada dua tangkai padi ARB007 yang Mak Tam ambil dari Sg Besar, Mak Tam pilih satu untuk dikira. Mula tangkap gambarnya setangkai seperti di atas. Dari pandangan mata kasar pun dah jangka bahawa kiraan akan jadi lebih daripada 400 biji setangkai.

Lepas tu Mak Tam cabutkan setiap mayang dan dapati masih sama jumlahnya macam yang di Bagan Serai iaitu 14 kesemuanya. Jumlah kiraan adalah 562 biji padi bagi setangkai ini.

ARB007 - 14 mayang

ARB007 – 14 mayang

Kepala Mak Tam fikir macam-macam sebab dalam Persidangan SRI Pertama pada tahun 2010, Prof Norman Uphoff dari CIIFAD, Cornell Universiti, Ithaca, New York memberitahu dalam ucaptamanya bahawa di SRI Lanka pernah terjumpa padi yang mempunyai lebih daripada 600 biji setangkai menggunakan kaedah SRI. Mak Tam mula bertekad bahawa jika Mak Tam tanam benih yang ada ni musim ini, sudah boleh tengok potensi kemampuannya samada dapat mencapai lebih daripada 600 atau 700 biji setangkai atau tidak.

Tapi kita kena berhati-hati kerana dalam memilih padi baru untuk ditanam yang bukan datangnya dari sumber penyelidikan, kena siasat beberapa perkara asas seperti:-

  • samada mengeluarkan hasil yang tinggi
  • matang dalam jangka masa yang singkat
  • tahan kepada serangan perosak dan penyakit padi
  • tahan daripada rebah
  • menghasilkan mutu beras yang baik

Hj Fuad dan Hj Ali yakin ini bukan padi hibrid kerana setelah empat kali ditanam, masih memberi prestasi pertumbuhan yang sekata. Di kedua tempat iaitu di Bagan Serai dan juga Sg Besar, bilangan anak adalah diantara 8 hingga 12, dan hampir kesemua mengeluarkan tangkai. Cuba lihat dalam gambar di bawah.

Hj Fuad mengira batang padi

Hj Fuad mengira batang padi

Mak Tam teringin nak tanam benih ini cara SRI seratus peratus. Kerana dari pengalaman, pokok padi akan menunjukkan ciri fisikal yang lebih baik dengan cara SRI.

  • Bilangan anak padi boleh bertambah.
  • Tangkai boleh menjadi lebih panjang.  Bila diukur, tangkai ARB007 ini adalah 29 cm.
  • Pokok padi boleh jadi lebih keras dan kuat, jadi boleh tahan daripada rebah.
  • Harap pokok ARB007 juga dapat tahan serangan perosak dan penyakit, terutama reput tangkai dan hawar daun yang banyak melanda tanaman padi di negara ini dengan mengguna cara SRI.

Cara SRI adalah seperti berikut:

  1. Tanam benih padi muda berumur bawah daripada 14 hari dengan biji benihnya masih melekat (Mak Tam pilih bawah daripada 10 hari).
  2. Anak benih muda tadi dicalit cetek tidak melebihi 1 cm kedalaman.
  3. Jarak tanam adalah 30 cm x 30 cm dalam bentuk empat-segi tepat.
  4. Air diberi acap-acap sahaja selama 45 hari (air dimasukkan untuk kerja melandak sahaja).
  5. Kerja melandak dibuat pada hari ke-10, 20, 30 dan 40 lepas tanam.
  6. Guna baja sabsidi seperti biasa, dan ditambah dengan semburan produk SRI. Untuk ini, Mak Tam nak pastikan jerami di sawah tersebut telah mendapat rawatan IMO dan pati kangkung, dan semua jerami dimasukkan ke dalam tanah lebih awal.

Padi SRI Selangor: Padi ARB007 di Sg Besar

ARB007 di Sg Besar

ARB007 di Sg Besar

Selepas dari Bagan Serai kami terus menghubungi rakan kami Hj Ali Boher. Kami berpakat untuk berjumpa di depan Kilang Bernas, Sg Besar dan terus ke Parit 1 Timur ke rumah Wak Maulana. Di sini sekali lagi kami bertemu dengan ARB007. (Nota: Sebenarnya kod ARB 007 Mak Tam ambil sempena nama Ali Rahman Boher, dan beliau yang bagi nombor 007 tu. :D ). Kali ini, pokok padinya tumbang. Wak Maulana kata ia ditumbangkan oleh angin kuat semalamnya.

ARB007 di petak sawah

ARB007 di petak sawah

Mak Tam tanya, ‘Mengapa pokok macam ni saja?’

Wak Maulana jawab, ‘Saya boh baja sekali, racun apa pun saya tak bagi. Kita nak tengok betapa bagus padi ni. Kalau dimanjakan sangat, kita tak tahu. Tapi buat macam tu kat dia pun pokok dan hasil padi ok je.’

Wak Maulana dan ARB007

Wak Maulana dan ARB007

Mak Tam minta izin ambil dua tangkai yang dipegang oleh Haji Ali untuk kira kat rumah. Memang teruja bertemu varieti padi yang banyak buah dan memberi potensi. Mak Tam memang yakin, jika ia ditanam dengan kaedah SRI, Mak Tam boleh banyakkan anaknya, dan tambah lagi biji pada satu tangkai. Di Bagan Serai dan Sg Besar, bilangan anak dalam 8 – 10 bilah sahaja, dan yang produktifnya dalam 5. Adui.. tak sabar nak tanam satu, satu. Tempoh matangnya pulak hanya 100 hari. YES! GO SRI GO!

Hj Ali kata beliau nak ambil seguni untuk dibuat beras. Mak Tam nak tunggu apa pula penilaian orang mengenai rasanya. Yang pasti kata Hj Ali ialah berasnya keras dan bila cuba dipatahkan pun agak susah. Kalau pengilang tahu mesti mereka juga suka agaknya. Kurang beras hancur.

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku yang dalam proses penyediaan sejak tiga bulan yang lalu. Walau pun Mak Tam dah ada pengalaman menyusun buku iaitu buku “Seratus Tahun Menerajui Kecemerlangan Pertanian” Jabatan Pertanian dalam tahun 2005, tapi setiap buku itu unik. Yang dulu adalah koleksi penulisan beberapa orang pegawai, yang ini pula ditulis oleh dua orang, Pak Tam dan Mak Tam. Kami mengambil kaedah ‘natural farming’ dari Korea Selatan dan juga ilmu pertanian ekologi dari Indonesia.

‘Natural farming’ telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian sejak 2002. Itu semasa Mak Tam menjawat jawatan Pengetua di Institut Pertanian Serdang. Puan Mariam Ahmad, yang juga Pengurus Ladang institut menjadikan ‘natural farming’ sebagai salah satu subjek yang diajar kepada pelajar IPS dan peserta inkubator. Puan Mariam yang banyak menceritakan kehebatan ramuan ‘natural farming’ ini.

Setelah Mak Tam pencen, berpeluang pula menghadiri kursus Pertanian Ekologi di Pusat Latihan FELCRA (FTC) Seberang Perak. Di FTC sekali lagi Mak Tam didedahkan kepada pembuatan baja dan pestisida semulajadi yang dibuat daripada bahan-bahan yang boleh didapati disekeliling kampung. Di FTC jugalah Mak Tam mendalami kaedah SRI dan kaitannya dengan mikrob dalam tanah. Pak Deri Ramdani dari Nusantara Organik SRI Centre (NOSC), Nagrak, Sukabumi memberi banyak resepi yang boleh digunakan di Malaysia.

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Tapi orang yang paling berpengaruh dalam pembelajaran Mak Tam adalah Pak Aep Saepudin dari Tasikmalaya, Indonesia. Beliau membuka minda Mak Tam kepada banyak perkara yang berkaitan dengan sejahteraan alam sekitar dan peranan mikrob dan makhluk seni dalam tanah. Kepentingan menjaga keseimbangan zon persekitaran perakaran (rhizosphere) dan bagaimana mikrob mengilang makanan untuk tumbuhan dan menjadi benteng pertahanan utama dalam menjaga keselamatan pokok daripada serangan makhluk perosak seperti serangga, kulat dan bakteria. Beliau juga menceritakan bagaimana bunyi cengkerik juga memainkan peranan membuka stomata daun pada waktu malam hingga subuh.

Tetapi buku kami ini adalah seperti buku resepi membuat rumusan yang boleh menjadi baja dan menguatkan ketahanan tumbuhan daripada serangan perosak. Pak Tam dan Mak Tam berharap buku ini akan diguna oleh seramai pengusaha pertanian dan seterusnya menggunakannya untuk mengajar generasi muda.

Padi SRI Selangor : Perkongsian SRI Dalam Negara

Pertanian Satu Ibadah

Program Pertanian Satu Ibadah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan

SRI (System of Rice Intensification) masih amat baru di negara kita. Masih ramai yang tidak tahu mungkin kerana ianya pada mula diberi tanggapan yang tidak positif. Tersenyum Mak Tam apabila ada yang menyatakan bahawa SRI adalah satu kaedah penanaman padi yang kuno tanpa melihat kepada negara-negara pengeluar beras terbesar dunia yang mendokong pembesaran kawasan padi SRI di negara mereka.

Pihak UN Food and Agriculture Organization (FAO) melaporkan bahawa dalam tahun 2010 pengeluar beras terbesar dunia adalah China, India, Indonesia dan Vietnam. Negara-negara ini berlumba-lumba untuk mengekalkan kedudukan mereka. Yang paling agresif adalah India yang mana mereka ingin menjadi pembekal beras dunia sepanjang zaman. Dengan sumber tanah pertanian yang banyak, dan kewujudan tenaga buruh yang tinggi dan murah, pasti sahaja India boleh mencapai hasrat negaranya jika mengguna cara SRI.

China mula mendekati SRI pada tahun 1999, dan pada tahun 2011 mempunyai 700 ribu hektar di bawah pengurusan SRI. China mahu menambahkan keluasan ini kepada 900 ribu hektar dalam tahun 2012. (Sumber: Institute of Crop Sciences, Beijing).

Indonesia pulak mengunjurkan keluasan yang sekarang 100 ribu hektar di bawah SRI kepada 1.5 juta hektar padi SRI dalam tahun 2015. (Sumber: Indonesian Ministry of Agriculture).

Vietnam, negara yang dahulunya hancur disebabkan oleh peperangan, mempunyai keluasan padi SRI 300 ribu hektar dalam tahun 2009, berusaha meluaskan kaedah SRI kepada 1 juta hektar pada tahun 2012. (Sumber: Ministry of Agric and Rural Devt., Vietnam)

Yang paling ‘ambitious’ adalah India, iaitu dari 5 juta hektar di bawah SRI sekarang ini memberi target untuk meletakkan 10 juta hektar tanah sawahnya dibawah pengurusan SRI menjangkau 2015. (Sumber: Indian Ministry of Rural Development).

Mak Tam yakin mereka mampu mencapai cita-cita murni mereka. Dan yang lebih mustahak, mereka menggunakan agrokimia dengan kadar yang kurang daripada cara penanaman padi konvensional. Ada kalanya tiada mengguna racun kimia langsung. SRI adalah satu langkah yang sangat baik kearah menjaga kelestarian alam melalui pertanian mesra alam.

Link ini memberikan sumber berita yang melaporkan hasil seorang petani dari Bihar, India yang mencapai 22.4 tan sehektar. Dan kemudian ia diikuti oleh rombongan beberapa saintis daripada IRRI, Filipina yang pergi ke Bihar untuk menemuramah dan membuat pengesahan bahawa betul laporan berita itu.

Mak Tam dan Pak Tam bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai SRI. Hubungi kami melalui talian telefon 019-3322-947 (Pak Tam) dan 019-380-1815 (Mak Tam). Bukan sahaja mengenai System of Rice Intensification, malah bersedia berkongsi pengalaman bagaimana mengurangkan kos pengeluaran hingga 70%, bagaimana mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kawasan padi disebabkan pembakaran, bagaimana meningkatkan kesuburan tanah pertanian dengan kos yang paling minima dengan bahan mesra alam yang dibuat sendiri, bagaimana meningkatkan hasil padi bertanam mesin dengan mengguna cara mekanikal. Syor kami bukan sahaja untuk tanaman padi, bahkan telah meliputi tanaman sayuran dan buahan ditanam secara terbuka atau secara fertigasi, juga terhadap tanaman kelapa sawit.

2

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Padi SRI Selangor: Ilmu SRI Mencetus Paradigma Baru

Poster Mesin Landak

Poster Mesin Landak

Anugerah Mesin Landak

Anugerah Mesin Landak

Othman Mogek

Othman Mogek

.
.
.

Othman1

hadiah-inovasi

Othman Mogek Pemenang Hadiah Inovasi (Kategori Petani) 2012

Pagi tadi Mak Tam bersembang dengan Saudara Othman Mogek, penerima Anugerah Inovasi Pertanian 2012 Jabatan Pertanian dalam kategori inovasi petani bagi mesin power landak (mesin kawalan rumpai padi organik). Memang amat teruja Man apabila bercakap mengenai pengalamannya semasa sesi soaljawab selepas majlis anugerah. Tapi bagi Man yang telah bersama-sama Mak Tam dan Pak Tam sejak 3 musim (Laporan yang diberi link oleh Cornell University, Ithaca, New York) mengkaji dan membuat pelbagai prototaip mesin melandak dalam ikhtiar untuk mempermudahkan penanaman SRI (System of Rice Intensification), soalan-soalan yang diajukan kepadanya sudah tentu sahaja mudah dijawabnya. Dia juga menanam padi secara SRI ditepi rumahnya untuk dijadikan beras untuk dimakan keluarganya.

Memang susah bagi seseorang yang tidak menanam dan menguruskan sendiri tanaman padi SRI untuk mempercayai bahawa dengan menggunakan 6 prinsip SRI iaitu tanam anak benih muda (umur semai kurang daripada 10 hari), hanya tanam satu anak padi sahaja, berjarak yang luas iaitu 30cm x 30cm, air sawah diberi acap-acap sahaja bagi 45 hari pertama, tanah di antara baris dilandak (digembur bagi tujuan buang rumput dan pengudaraan), dan menggunakan baja organik boleh merangsang padi beranak melebihi 100 anak. Tengok gambar di bawah ini yang diambil pada tanaman musim ketiga secara SRI di Tunjong, Kelantan. Tanaman yang sebelah kiri gambar mempunyai 103 anak dan yang sebelah kanan mempunyai 60 anak. Tanaman ini telah ditanam 3 musim berturut cara SRI dan tidak diberi walau pun sebutir baja kimia atau setitik racun kimia. Hasil pada masa tersebut mencapai hampir 9 tan sehektar

100-anak

Percubaan yang kami buat di Stesen Parit 4, Sg Besar memberi dalam lingkungan 47 anak padi serumpun kerana ini adalah kali pertama padi ditanam secara SRI. Faktor tanah sawah belum pulih dari penggunaan racun kimia adalah salah satu sebab pokok padi belum boleh mendapat anak yang banyak daripada itu. Tapi cuba pulak kita lihat kepada kemampuan satu benih padi beranak pada tanah sawah yang telah menjalankan SRI lebih dari 10 musim. Gambar ini diambil di Indonesia dan mempunyai anak melebihi 260 anak (yakinlah bahawa sebiji benih padi itu jika ditanam satu sahaja dan diurus secara SRI, ia akan menyerlahkan potensi pertumbuhan dan penghasilan tertinggi yang mampu dicapainya).

Padi 260 Anak

Padi 260 Anak

Jika anda berminat untuk mengetahui mengenai SRI dan kehebatannya, jemputlah ke SRI 2013 iaitu Persidangan Kedua SRI pada 11-13 Jun, 2013. Hebahan akan dibuat pada awal tahun 2013.

« Previous PageNext Page »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers