Padi SRI Selangor : Cara Membuat IMO1 (MOL Nasi)

Padi SRI Selangor : Cara Membuat IMO1 (MOL Nasi)

.

Di sini Mak Tam berikan cara untuk membuat IMO1. Yang tertera di bawah ini adalah sebagai contoh untuk yang nak belajar. Elok juga dibuat beberapa buah bekas plastik berisi nasi kerana selalunya bukan semuanya menjadi. Ada yang dimakan tikus, dimasuki semut, atau basi. Cubalah sampai berjaya membuat IMO1 kerana selepas berjaya barulah dapat melangkah membuat IMO2. Bila sudah pandai dan hendak buat banyak, boleh lah guna bekas-bekas yang lebih lebar, tetapi tebal nasi tidak melebihi 5 cm. Tinggi bekas seeloknya kurang daripada 7 cm. Jangan guna kertas akhbar atau kertas yang ada dakwat untuk dijadikan penutup. Cari kertas putih (kertas majung).

Soalan-soalan boleh diajukan melalui comments. Kalau lambat balas, harap maaf kerana sekarang agak sibuk. Tapi InsyaAllah, jika terjumpa kawasan WIFI, bolehlah guna internet. Baru boleh jawab. Atau pun jika berada kat rumah.

Gambar

Cara Membuat IMO1

1.  

Tanak nasi dan tunggu sejuk. Masukkan nasi ke dalam bekas plastik. Jangan pegang nasi dengan tangan untuk mengelakkan nasi jadi basi.

2.

Tutup bekas plastik dengan kertas putih dan ikat guna getah. Ini adalah untuk mengelakkan serangga masuk dan pengudaraan berlaku. Mikrob juga akan masuk melalui kertas.

3.  

Tempatkan bekas tadi di bawah rumpun buluh. Boleh dibuat beberapa bekas nasi, dan diletakkan di beberapa lokasi buluh lain. Ini adalah untuk mencari mikrob yang paling cergas.

4.  

Kumpulkan daun-daun buluh yang kering dan letakkan ke atas bekas tadi.

5.  

Tutup bekas tadi dengan lebih banyak daun buluh kering hingga bekas tidak lagi kelihatan.

6.  

Untuk mengelakkan daripada dibasahi hujan, tutup dengan helaian plastik, atau apa-apa yang sesuai.

7.  

Selepas dua hari, ambil bekas plastik dan buka tutup kertas. Jika anda nampak di atas nasi nampak seperti ada seperti kulat berwarna putih, maka anda telah berjaya membuat IMO1.

Kadang-kadang ada juga sedikit kulat berwarna oren, hijau dan hitam. Asalkan yang berwarna putih ada banyak, sudah ok. Tetapi kalau yang hijau atau hitam banyak, buang saja dan buat baru.

Jika nasinya basi (berair/berlendir), bermakna IMO1 tidak berjaya dibuat. Nasi basi dibuang sahaja, buat lagi hingga berjaya.

Bersambung di sini: https://pertanianselangor.wordpress.com/2011/10/09/padi-sri-selangor-cara-membuat-imo2-mol-nasi/

.

8 comments on “Padi SRI Selangor : Cara Membuat IMO1 (MOL Nasi)

    • Gaulkan sama banyak gula merah + IMO1 . jika imo1 1 kg, gula merah juga 1 kg. gaul dan peram 7 hari. tutp bekas dengan kain bersih.

Leave a comment