System of Rice Intensification (SRI) dan penanaman menggunakan mesin transplanter

padi-transplanting

System of Rice Intensification (SRI) ataupun Sistem Kepadatan Padi ialah satu kaedah penanaman padi yang digunakan untuk meningkatkan hasil padi. Sistem ini telah diasaskan pada tahun 1983 di Madagascar.

Sejarah dan Konsep

Idea penggunaan sistem ini bermula seawal tahun 1960-an apabila Father Henri de Laulanie membuat pemerhatian kepada amalan petani yang menanam hanya satu anak pokok padi berbanding amalan biasa menanam banyak anak benih di dalam satu lubang dan tidak membiarkan sawah dipenuhi air (cukup sekadar berada dalam peringkat separa tepu) ketika peringkat fasa tampang (vegetative stage). Penanaman dilakukan dengan jarak yang luas di dalam bentuk tersusun seperti kotak. Pada ketika itu, penanaman padi secara mencedung (mengubah) dilakukan oleh manusia secara manual menggunakan kuku kambing.

Pada tahun 1983, kaedah menanam mencedung menggunakan anak benih yang berusia kurang dari 15 hari didapati menunjukkan hasil yang sangat baik. Ketika harga baja melonjak naik pada ketika itu, penggunaan baja organik sangat meluas tetapi dapat memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan penggunaan baja kimia. Konsep dan amalan SRI terus menerus dievolusikan bagi penggunaan di dalam penanaman padi tanpa sistem pengairan (rainfed) dan pada ketika itu kaedah menanam secara mencedung amat popular berbanding tabur terus.

Prinsip yang perlu di dalam penggunaan sistem SRI bagi menjamin hasil yang berkesan :

  • sawah perlu dibiarkan lembab bukannya dalam keadaan tepu air bagi meminimumkan keadaan anaerobik, supaya dapat meningkatkan dan memperbaiki pertumbuhan akar serta menyokong pembiakan dan diversiti organisma tanah yang aerobik;
  • pokok padi perlu mempunyai jarak yang optimum di antara satu sama lain bagi membantu pertumbuhan akar (bagi penyerapan nutrien dengan lebih berkesan) dan kanopi (supaya semua daun dapat menjalankan proses fotosintesis dengan lebih aktif); dan
  • anak padi perlu dipindahkan segera dalam keadaan muda (15 hari) bagi mengelakkan kesan trauma pada akar dan “kejutan” akibat pemindahan.

Prinsip ini sekaligus mengubah amalan konvensional di dalam pengurusan pokok, tanah, air dan nutrien. Perubahan ini dapat meningkatkan produktiviti bagi semua genotype padi, dengan sesetengah varieti memberi respon yang lebih baik dari yang lain apabila kaedah SRI digunakan. Sistem ini dapat meningkatkan hasil padi, mengurangkan keperluan benih dan mengurangkan keperluan air 25 hingga 50%.

Penyebaran SRI

Penyebaran SRI dari Madagascar ke seluruh dunia telah dilakukan oleh Norman Uphoff, Pengarah International Institute for Food, Agriculture and Development, Universiti Cornell yang terletak di Ithaca, New York. Beliau memulakan usaha ini sejak tahun 1993 hingga 2005.  Segalanya bermula pada tahun 1993, beliau telah menemui pegawai dari Association Tefy Saina,  sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan di Madagascar pada tahun 1990 oleh de Laulanie bagi mempromosikan SRI. Setelah melihat kejayaan SRI selama 3 tahun di mana petani di Madagascar dapat meningkatkan hasil padi purata mereka dari 2 tan/ha kepada 8 tan/ha dengan SRI, Uphoff mengiktiraf sistem ini dan pada tahun 1997 beliau mula mempromosikan SRI di Asia.

Sehingga 2007, SRI telah didokumenkan oleh 28 negara, dan yang terkini termasuklah Bhutan, Iraq, Iran dan Zambia. Kerajaan di negara China, India dan Indonesia menggalakkan penggunaan SRI dengan mengembangkan sistem ini di kalangan petani.

Konsep dan amalan SRI bukan sahaja diaplikasikan di sawah padi, tetapi juga tanaman lain seperti di India, konsep ini turut digunakan dalam tanaman gandum dan tebu. Sistem ini dikatakan berjaya digunakan di Kerala, India.

Universiti Cornell (New York), Universiti Wageningen (Belanda) dan IRRI telah bekerjasama bagi menjalankan satu kajian percubaan di seluruh dunia bagi penggunaan SRI untuk tanaman padi bermula pada tahun 2009 hingga 2011.

Kelebihan SRI

  • Pokok padi lebih resistan kepada tekanan abiotik (abiotic stress) seperti kemarau dan banjir
  • Hasil padi yang lebih tinggi
  • Penggunaan air yang lebih efisyen
  • Mengurangkan penggunaan anak benih

Kritik

Terdapat beberapa kritikan diberikan pada SRI. Sesetengah pengkritik berpendapat kejayaan SRI bergantung pada jenis tanah, di mana Madagascar dikatakan mempunyai tanah yang unik dan sesuai bagi penggunaan sistem ini. Selain itu, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan mengurangkan anak benih (seedling per point) akan mengurangkan hasil padi kerana anak benih tersebut tidak mampu untuk menghasilkan banyak batang (tillers) yang akan mengeluarkan padi.

Kaedah mencedung (transplanting) menggunakan jentera

Kaedah menanam secara mencedung atau mengubah menggunakan jentera transplanter secara tidak langsung mengaplikasikan kaedah SRI. Di dalam penanaman padi secara mencedung menggunakan jentera, jarak tanaman dan bilangan anak benih boleh diubah mengikut kesesuaian pada mesin tersebut. Dalam amalan biasa di negara ini khususnya kawasan Barat Laut Selangor, jarak antara pokok (between heel) yang biasa ialah antara 14 hingga 22 cm manakala jarak antara baris (between row) ialah 30 cm. Bilangan anak benih yang digunakan antara 3 hingga 5 seedling per point. Anak benih yang digunakan berumur di antara 14 hingga 22 hari.

Penanaman padi menggunakan kaedah mengubah (transplanting) ini mempunyai pelbagai kelebihan seperti memudahkan pengurusan rumpai, penyakit dan perosak, mengurangkan penggunaan benih, mengurangkan populasi padi angin, menjadikan penggunaan air lebih efisyen dan pelbagai kelebihan lain walaupun kos permulaannya agak tinggi. Sehingga kini,  lebih 4,000 hektar tanaman padi di Barat Laut Selangor menggunakan kaedah penanaman secara mencedung dan menjelang penghujung 2009,  sebanyak 2,000 hektar sawah lagi akan menggunakan kaedah ini.

Hasil padi juga lebih tinggi dan berkualiti dengan penggunaan kaedah penanaman menggunakan transplanter berkemungkinan dipengaruhi oleh sistem SRI, dimana akar tanaman lebih bebas untuk menyerap nutrien dan kanopi daun pokok dapat membantu daun menjalankan proses fotosintesis dengan lebih berkesan. Penggunaan baja juga dapat dioptimumkan dengan kaedah ini.  Rekod menunjukkan hasil padi tertinggi pernah dicapai di Sekinchan dan Sungai Burong diantara 10 hingga 13 tan sehektar dengan penanaman secara mencedung.

Kesimpulan

Sistem SRI yang digunapakai dalam kaedah penanaman secara mencedung menunjukkan banyak kelebihan terutama sekali bagi kawasan penanaman padi di Barat Laut Selangor. Penggunaan kaedah mencedung dengan jarak dan bilangan anak benih yang sesuai dapat meningkatkan produktiviti hasil padi dan seterusnya meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Selangor.

Advertisements

2 comments on “System of Rice Intensification (SRI) dan penanaman menggunakan mesin transplanter

  1. Pingback: Maklumat SRI – Satu Perspektif « Weblog Padi Selangor

  2. boleh saya tahu apakah sebenarnya teknik bentuk kotak ini? Bagaimanakah teknik ini digunakan untuk menanam tebu di India? Berapa batang pucuk tebu ditanam pada satu tempat? dan berapakah jarak antara mereka?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s