Kurangkan Kos Bersawah – Siri 2 (Masukkan Jerami Segar Kedalam Tanah Kering)

Padi SRI Selangor : Kurangkan Kos Bersawah – Siri 2 (Masukkan Jerami Segar Kedalam Tanah Kering)

Tanah Sawah Yang Dibakar

Tanah Sawah Yang Dibakar

Semasa musim kering, padi di tuai dalam keadaan tanah yang kering. Jerami selalunya dibakar oleh petani sebagai satu langkah yang biasa dibuat untuk mengurangkan jerami dalam sawah. Jabatan Pertanian juga mengesyorkan jerami dibakar bagi sawah-sawah yang dijangkiti penyakit disebabkan oleh kulat dan bakteria.  Membakar jerami adalah satu aktiviti yang biasa dibuat daripada dulu lagi.

Jerami Yang Dikutip Mengguna 'Baler'

Jerami Yang Dikutip Mengguna 'Baler'

Sejak tahun 2007, satu program untuk mengelakkan pembakaran dimulakan dengan menggalakkan jerami dikutip menggunakan mesin ‘baler’ atau mesin pengutip jerami. Pengutipan jerami disawah diterokai oleh beberapa individu dan jerami itu diberi tambah nilai dengan dijadikan baja kompos, makanan lembu, lapik kandang lembu dan hamparan cerun oleh usahawan tempatan. Hanya dalam 70% daripada jerami di sawah dikeluarkan, selainnya tinggal dalam sawah dan dibakar. Pengutipan jerami ini masih diteruskan hingga sekarang tetapi sesuai untuk musim kering sahaja.

Kedua-dua cara ini mengeluarkan jerami dari sawah, iaitu samada dibakar atau di’bale’.  Kalau dibakar, bermakna jerami hilang begitu sahaja. Kalau dikutip, sebahagian jerami diguna semula dan ada nilai.

Selepas mendapat tahu mengenai kajian yang dijalankan oleh Prof Dr Iswandi Anas dari Universiti Pertanian Bogor mengenai kandungan baja yang terdapat dalam jerami segar, Mak Tam mencadangkan kita guna jerami kita sebaik yang mungkin. Jerami dapat dimanfaatkan dengan cara menjaga persekitaran kita dan pada masa yang sama mengembalikan pelbagai jenis mikrob dan hidupan halus kedalam tanah. Sudah pasti ia akan meningkatkan kesuburan tanah sawah.

Traktor Menarik Peralatan Menghancurkan Jerami (Flail Mower)

Traktor Menarik Peralatan Menghancurkan Jerami (Flail Mower)

Dalam musim kering, sebaik sahaja lepas menuai, guna peralatan menghancur jerami ditarik oleh traktor. Alat ini dipanggil ‘flail’ dan mempunyai blade bergerak (sila lihat gambar di bawah).

Blade Flail Dari Dekat

Blade Flail Dari Dekat

Setelah mengguna mesin ini, jerami akan hancur. Ini tidak sama dengan jerami yang ditebas menggunakan mesin tebas. Jerami yang ditebas tidak dihancurkan tetapi dipotong. Jerami yang hancur lebih mudah dimasukkan kedalam tanah dengan bajak roto.

Sebaik dihancurkan, jerami hendaklah disembur dengan IMO2 (MOL nasi) dan FPJ (MOL kangkung) seperti yang diterangkan dalam post sebelum ini. Kemudian bajak roto bagi memasukkan jerami hancur tadi ke dalam tanah. Jika boleh, masukkan air selepas kerja bajak roto. Mikrob akan bertindakbalas dengan lebih cepat untuk menghancurkan jerami. Kalau turun hujan yang dapat melembabkan tanah juga sudah mencukupi.

Keadaan Jerami Yang Dihancurkan & Dibajak Roto - 3 Julai, 2011

Jerami Dihancur & Dibajak Roto Pada 3 Julai, 2011

Gambar-gambar yang diambil ini menunjukkan keadaan tanah dan jerami setelah dirawat dengan IMO2 dan FPJ dan dibajak roto pada 3 Julai, 2011. Dalam masa 3 minggu, jerami reput keseluruhannya. Petani keliling mula bertanya bagaimana nak dapatkan jerami reput cepat macam tu. Ada yang dah mula buat tempahan agar pada musim depan mereka juga mahu membuat yang sama.

Keadaan Tanah & Jerami Pada 16 Julai, 2011

Keadaan Tanah & Jerami Pada 16 Julai, 2011

Keadaan Tanah & Jerami - 22 Julai, 2011

Keadaan Tanah & Jerami Pada 22 Julai, 2011

Jerami Timbul Jika Tidak Direputkan

Jerami Timbul Jika Tidak Direputkan (Klik gambar ini)

Tanah yang mendapat jerami yang reput dengan cepat dan baik sebegini sudah tentu sahaja bertambah bahan organan. Ditambah pulak dengan rawatan dengan IMO2 dan FPJ, sudah tentu sahaja populasi pelbagai mikrob berguna meningkat dengan banyak sekali. Ini semuanya membawa faedah bukan sahaja kepada kesuburan tanah, ia termasuk juga kepada pokok padi yang bakal ditanam ditanah tersebut. Kandungan baja dalam tanah ditambah oleh bahan organan yang dirawat dengan mikrob.

Perkara yang sering berlaku jika usaha pereputan tidak dibuat dengan baik adalah jerami tidak reput. Apabila air ditakungkan dalam sawah, air jadi masam disebabkan oleh jerami mereput serta berbau. Kadangkala, jerami juga turut terapung. Ini akan mengganggu penanaman dan pertumbuhan padi. Jadi usahakanlah agar jerami segar dirawat dengan IMO2 dan FPJ, kemudian dibajak roto untuk suburkan tanah sawah.

2 comments on “Kurangkan Kos Bersawah – Siri 2 (Masukkan Jerami Segar Kedalam Tanah Kering)

  1. salam…..

    pertanyaan :

    saya amat berminat dengan kaedah pereputan jerami yang ditunjukkan dalam post ini dan post sebelum ini. saya bercadang untuk melakukannya disawah saya yang terletak di parit 9 barat dan parit 9 timur disungai besar

    untuk pengetahuan saya telah berjaya menghasilkan mol nasi dan mol kangkung.

    apa yang saya faham terdapat 2 kaedah untuk melakukan pereputan jerami ini .

    kaedah 1 (ketika sawah basah/musim hujan)

    a-selepas menuai sembur jerami dengan mol nasi dan mol kangkung.semburan boleh dilakukan dengan mesin penyembur atau boom sprayer

    b-masukkan jerami kedalam tanah dengan menggunakan jentera pembajak(roto).

    kaedah 2 (ketika sawah kering/musim kering)

    a-selepas menuai hancurkan jerami dengan flail.

    b-jerami yang telah hancur hendaklah disembur dengan mol nasi dan mol kangkung

    c-kemudian bajak roto untuk memasukkan jerami kedalam tanah.

    d-masukkan air kedalam sawah

    persoalan saya…

    1-adakah kefahaman saya diatas benar

    2-berapa sukatan mol nasi dan mol kangkung yang diperlukan untuk satu keping sawah.

    3-untuk kawasan parit 9 sungai besar ada tak sesapa yang mengambil upah untuk merawat jerami ini dan berapa upahnya.

Leave a comment