Padi SRI Selangor : Ilmu Itu Pelita Hati

Padi SRI Selangor : Ilmu Itu Pelita Hati

System of Rice Intensification SRI

System of Rice Intensification SRI

Ilmu Itu Pelita Hati adalah sebuah peribahasa yang bermaksud ilmu pengetahuan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang bijak.

Blog Stats

Blog Stats

Agak lama juga Mak Tam tidak update blog kerana beberapa sebab. Pasti saja boleh sebut sibuk, tapi yang sebenarnya sudah kekeringan ilham. Terfikir Mak Tam apa lagi yang hendak diperkatakan kerana telah banyak perkara ditulis untuk tatapan. Hingga kini sudah lebih daripada 111,000 hits ke blog ini. Tapi siapa yang menatap tulisan diblog ini? Apa manfaat yang orang dapat dari membacanya? Inilah soalan-soalan yang sering berligar dalam minda Mak Tam.

Tapi pagi ini Mak Tam dapat suntikan baru dari post di fb yang dibuat oleh seorang insan bernama Nazrol Nizam Zakaria, anak muda dari Guar Perahu, Penang. Terima kasih kerana menggerakkan Mak Tam dari lamunan. Alhamdulillah juga dengan adanya internet ini, lebih mudah berinteraksi dengan pelbagai golongan orang dari semua peringkat umur dan latarbelakang. Membaca postnya, Mak Tam rasa teruja. Rupanya blog Mak Tam ini mampu membawa perubahan. Alhamdulillah jika begitu.

Sejak SRI-Mas : National Workshop on Sustainable Rice Production: Re-Visiting IPM bulan September lepas, beberapa permintaan untuk diterangkan mengenai SRI dan manfaatnya telah kami terima. Ini termasuk dari negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Topik yang paling popular adalah ‘Cara-cara mengurangkan modal bertani’.

Harga input pertanian dikatakan oleh petani naik setiap 6 bulan. Mungkin ada yang boleh buat geraf ikut perkembangan harga input pertanian di negara kita untuk melihat kebenaran kata-kata ramai petani. Sudah rasa amat terbeban kerana membeli racun kimia tidak menjamin tanaman akan selamat daripada serangan pelbagai perosak dan penyakit. Keluhan yang sama Mak Tam dengar dimerata tempat. Jadi apa yang silap disini? Sapa yang boleh beri pencerahan? Siapa yang boleh berikan penyelesaiannya?

Mak Tam hanya mampu berkata bahawa wahai rakan-rakan tani semua, anda tidak perlu menjadi hamba kepada input pertanian berbentuk kimia. Tuan-tuan boleh membuat sendiri baja dan pencegah perosak tanaman ini. Bahan-bahannya adalah daripada bahan buangan kampung sahaja. Ada pun dua jenis akar kayu boleh dibeli dikedai ubat Cina di pekan berhampiran. Minta Jabatan Pertanian ajarkan ilmu yang dipanggil ‘natural farming’. ‘Natural farming’ ini telah meluas penggunaannya di Korea, Jepun, China, Indonesia, India, Filipina dan beberapa negara lain. Mungkin mereka tidak panggil dengan nama ‘natural farming’, tapi konsepnya adalah sama. Dan ‘natural farming’ ini mampu mengembalikan kesuburan tanah, mencergaskan pertumbuhan pokok, dan sekaligus mempertahankan pokok dari serangga perosak dan penyakit. Yang paling penting adalah petani tidak terdedah kepada bahaya racun kimia, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan modal bertani.

Gerakan SRI ini bermula di Indonesia kerana ada pihak NGOnya yang ingin membantu petani disana. Para petani sering sahaja menerima padah yang buruk dari penggunaan racun kimia. Bukan sahaja terhadap kesihatan, bahkan menjadi hamba yang terbelenggu kepada hutang. Mana tidaknya jika wang dari jualan hasil ladangnya lebih banyak dibuat untuk membayar hutang kedai racun. Dan dari siapakah mereka mendapat nasihat cara mengawal perosak tanaman. Sudah tentu saja dari jurujual racun kimia. Malah isteri kepada jurujual racun kimia boleh saja beri nasihat racun mana yang patut digunakan. Adakah senario pertanian di Malaysia juga begitu? Mereka yang dalam bidang pertanian boleh beri jawapan yang tepat.

Tengoklah video dibawah ini dan bayangkanlah akibat racun terhadap petani dan operator ladang. Siapa yang peduli? Siapa yang ambil pot, seperti kata kawan Mak Tam. Bagi yang terdedah kepada racun kimia pertanian, atau mempunyai bapa, adik-beradik dan saudara dalam pertanian, kasihanilah mereka. Petani adalah orang yang berjuang sepanjang hayat mereka untuk memberi kita makan. Tidakkah kesejahteraan mereka penting?

Leave a comment