Mana Lebih Membawa Padah? Padi Angin atau Padi Kebal?

NOTA: Pak Tam menerima panggilan telepon daripada saudara Ghazali bin Ahmad dari Kampong Kok Kelenge, Mata Air, Perlis tempoh hari. Terima kasih kerana sudi singgah di laman Padi SRI Selangor. Pak Tam dan Mak Tam mengalu-ngalukan kesudian untuk menjengok dan berkongsi pengalaman kami di Selangor.


Mana Lebih Membawa Padah? Padi Angin atau Padi Kebal?

Kalau kita sebut pasal padi angin dan kepayahan yang dibawanya, sudah tentu sahaja mereka yang mengalaminya akan menceritakan betapa menyusahkan padi angin ini kepada petani. Tengok sajalah gambar di bawah ini. Entah berapa tan sajalah boleh dituai dari sawah yang penuh dengan padi angin ini. Kalau sawah kita kena macam ini, memang terbayang dimata bahawa kali ini, kena mengikat perutlah kita sebab hasilnya sudah tentu tinggal ciput sahaja. Buah padi angin terlalu mudah gugur hinggakan kadang-kadang, dengan hembusan angin pun sudah bertebaran padinya ke tanah.

Sawah Yang Penuh Dengan Padi Angin

Sawah Yang Penuh Dengan Padi Angin

Memang ada beberapa cara yang dicadangkan untuk menghindari padi angin di sawah. Sebelum tahun 2009, cadangan dari pihak berwajib adalah untuk mengubah cara menanam dari kaedah tabur terus kepada tanam guna mesin. Tetapi tanam mengguna mesin ini mahal pulak harganya. Kalau di Selangor, harganya mencecah RM1,200 sekeping (iaitu bagi sawah seluas 1.2 hektar). Adui… sakit juga tu. Dan bagi mereka yang tidak mahir mengurus padi calit (orang kat Selangor panggil padi tanam mesin begini), ada juga masalah padi angin. Jadi berganda-gandalah ruginya.

Pihak berwajib kerajaan prihatin terhadap masalah padi angin ini. Satu cara penyelesaian adalah melalui Sistem Pengeluaran Clearfield (CPS) yang dilancarkan pada bulan Julai 2010 di Pusat Benih Felcra Seberang Perak.

Dari hari ke sehari, padi kebal ini semakin meluas penanamannya. Alhamdulillah, ramai petani di Sabak Bernam meraih penuaian yang tinggi sekali sehinggakan ada yang mencapai 9 tan. Padinya juga ringan. Bukan ringan beratnya, tetapi mempunyai tempoh matang yang lebih awal daripada MR219 yang popular ditanam di Selangor.

Satu syarat menanam padi kebal ini adalah selepas dua kali berturut-turut menanamnya, mestilah kembali menanam padi biasa. Tak boleh diteruskan penanaman padi kebal lagi selepas itu.

Tapi dalam perbincangan saya dengan beberapa petani, terdengar kata-kata bahawa kalau padi kebal ini memberi hasil yang tinggi, mengapa pulak nak berhenti. Terus saja menanam padi kebal, dan terus saja meraih keuntungannya.

Ingin Tahu Cara Mengurangkan Kos Bersawah

Ingin Tahu Cara Mengurangkan Kos Bersawah Cara SRI

Pada 18 Jan, 2012, saya berada di Dewan Orang Ramai, Parit 8 1/2, Sg Besar memberi penerangan mengenai ‘Cara-cara Mengurangkan Kos Bersawah’. Pada pagi itu hampir 60 orang petani hadir. Seronok betul interaksi hari itu. Tengoklah respons mereka apabila saya ajukan ungkapan ini, ‘Angkat tangan kalau nak tahu cara mengurangkan kos bersawah cara SRI’. Hampir semua mengangkat tangan. Syabas warga tani Parit 6 hingga 9, Sg Besar!

Setelah selesai majlis, Puan Siti Safiah beria-ia mengajak Pak Tam dan Mak Tam ikut ke rumahnya. Sesampai ke rumahnya, beliau terus menunjukkan kesan-kesan terencat pada pokok pisang, mempelam, mengkudu dan ubi kayu yang memberi wang saku untuknya selama ini. Ayam-ayam peliharaaannya juga sakit merana. Ayamnya semua dikurung jadi beliau mensyaki ada sesuatu dalam udara kelilingnya yang menjadi sebab. Rumahnya sekarang ini dikelilingi dengan tanaman padi kebal. Cuma tanahnya saja tidak menanam padi kebal.

Pada pihak yang berwajib, saya menyeru marilah turun mengkaji apa yang sebenarnya berlaku. Ini bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi untuk mencari yang terbaik untuk petani. Mungkin bagi mereka yang tidak tinggal dalam kawasan sawah, mereka tidak terdedah kepada bahaya ini. Tetapi mereka yang rumah kediamannya di sawah, adakah kesihatan mereka akan terancam oleh racun imidazolinone yang dipakej bersama padi kebal? Dengarlah keluhan hati Puan Siti Safiah di video ini. Tatapilah lembu-lembu yang memakan rumput dikawasan tersebut pada penghujung video. Adakah lembu kurus sampai nampak tulang sebab tak cukup makan, atau….


.
Dari tahun 2011 lagi saya mendengar ketakutan pekerja Bangladesh untuk turun ke sawah yang telah menggunakan racun imidazolinone. Mereka menceritakan bahawa setelah bekerja disawah padi kebal, kaki mereka menjadi kebas. Kalau kita nak cari pekerja Bangladesh untuk turun kesawah padi kebal sudah tentu saja menghadapi masalah.

Saya melayari internet mencari maklumat mengenai imidazolinone. Saya jumpa sedikit maklumat tentang kesan racun imidazolinone kepada tumbuhan.

“Imidazolinones

Penggunaan: (Assert) Imazamethabenz untuk gandum, barli, dan bunga matahari – Imazaquin (Sceptor) untuk kacang soya – Imazethapyr (Pursuit) bagi kacang soya, kacang kering, dan kacang pea.

Gejala kecederaan: Rumput tumbuh-tumbuhan boleh terbantut, dengan kuning interveinal (warna kuning daun) atau purpling. Tumbuhan jagung boleh terbantut dan menunjukkan gejala-gejala perencatan akar seperti pemangkasan akar sisi. Daun yang baru muncul dari lingkaran jagung tidak boleh mengembang dengan betul dan boleh kuning lut rupa. Tumbuh-tumbuhan berdaun lebar boleh terbantut dan chlorotic atau ungu. Kecederaan kacang soya boleh berkisar dari membantutkan pertumbuhannya kepada kematian pucuknya. Daun kacang soya menjadi kekuningan dan veination daun kelihatan merah atau berwarna ungu.

Laman Tindakan: enzim synthase Acetolactate (ALS). Juga dirujuk sebagai synthase asid acetohydroxy (AHAS).”

Advertisements

10 comments on “Mana Lebih Membawa Padah? Padi Angin atau Padi Kebal?

  1. Pingback: Padi SRI Selangor : Benih GMO Kapas BT Adalah Satu Kesilapan – Part 15 | Weblog Padi Selangor | Pertanian Selangor

  2. Pingback: Padi SRI Selangor : Skandal Benih Padi Dalam Negara – Part 14 | Weblog Padi Selangor | Pertanian Selangor

  3. Pingback: Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 8 « Weblog Padi Selangor | Pertanian Selangor

  4. Dikala dunia rancak beralih arah ke pada organik dengan penanaman padi SRI, kerana ia selamat dan hasilnya juga lumayan.
    Sebaliknya kita menyongsang arah kepada penggunakan racun sangat bahaya. malahan racunnya adalah yang termahal di malaysia (http://www.pelbagai.com/kampung-2/parit2-com-parit2-com/racun-yang-termahal-di-malaysia/) .

    Biarpun mereka meletup-letup pendapatan sekeping, saya tidak berminat untuk mengaplikasikannya dibendang saya kerana saya terasa meracun rakyat malaysia. elok-elok perkerjaan ini menjadi satu ibadah, dah jadi sebaliknya.

    Kalau mak tam ada masa, tanya kepada cina-cina sekinchan kenapa mereka tak bawa padi kebal wahal ada juga mereka mencalit padi kebal. kenapa?

    • Insyaallah Mak Tam akan tanya rakan tani kat Sekinchan. Sama-samalah kita doakan ada penyelesaian yang baik kepada semua permasalahan yang direka oleh manusia sendiri. Padi kebal ada yagn menunjukkan prestasi hasil yang tinggi. Lagi-lagi lah susah untuk petani nak beralih daripada padi kebal. Terima kasih di atas maklumbalas.

  5. Pingback: Padi SRI Selangor : Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 3 « Weblog Padi Selangor | Pertanian Selangor

  6. Assalamualaikum Mak Tam dan Pak Tam;
    Tertarik saya melihat video makcik tu melapurkan tanamanya rosak.
    Saya pernah lihat kotak racun ‘Onduty WG’ ni. a.i nya Imazapyr dan Imazapic. Kalau tahun 1980 dulu Imazapyr ni racunnya berjenama Assault 100A, dan sekarang ni racun ni masih tersenarai dalam LRMP. Saya setuju dengan MakTam dan PakTam supaya pihak berwajib turun padang meninjau hal ini. Sekarang ini ada pula petani kata Padi Kebal kalau tuai 100 hari atau lebih, padi jadi ringan – alasannya pokok macam ‘bunuh diri’. Dan satu lagi, kebelakangan ini buah pisang menjadi hitam, petani kata pisang kena HIV dan jabatan kata masih misteri – adakah ini juga satu dari petanda yang dirungutkan oleh makcik tu?

    • Wa alaikumsalam. Betul pasal buah pisang jadi hitam tu. Kalau Mak Tam pergi ke sana, nanti Mak Tam akan cuba ambil gambarnya sekali. Jika Al Amin ada info lagi mengenai racun ini, harap kongsi bersama. Kami berdua sangat risau melihat kepada perkembangannya sekarang. Lagi-lagi pulak ianya dipromosi oleh pihak kerajaan sebagai ‘solution’ kepada masalah padi angin.

  7. Kita kena cari jalan yang lebih baik untuk cegah padi angin dari menggunakan clearfill ,sekiranya ada terbukti bahan aktif boleh menyebabkan kemusnahan ,ataupun bahan aktifnya dikurangkan percentage.

    • Ada dua perkara asas yang ditakuti dengan penggunaan cara Clearfield ini.
      1. Racun imidazolinone ini merbahaya kepada manusia (seperti juga racun-racun lain) dan tanaman selain dari yang telah diberi rawatan mutasi transgenik. Ini bermakna, semua jenis tanaman lain akan mengalami masalah untuk tumbuh secara normal. Ini terbukti dimana jika racun tersebut disembur dengan tidak sengaja melintasi sawah orang lain, maka semua tanaman padi biasa yang terkena racun ini akan mati. Pada masa yang sama, kesannya pada binatang ternakan juga perlu diperhatikan. Dikhuatiri, ayam, itek, kambing dan lembu dikampung yang mungkin terkena racun ini sama ada melalui makanan atau pernafasan, juga akan tercemar dagingnya. Kita juga tidak tahu bagaimana pulak kesannya terhadap manusia yang tinggal dalam kawasan sawah yang dikelilingi oleh padi kebal, dan justeru itu menghidu racun pada hari-hari kerja meracun dijalankan.
      2. Padi kebal ini dibenarkan ditanam 2 kali berturut-turut sahaja. Siapakah yang akan menjadi penguatkuasanya memastikan petani ikut? Petani menikmati hasil yang tinggi dari padi kebal, maka secara lumrahnya akan terus menanam untuk mendapat keuntungan. Pada Mak Tam itu adalah hak petani kerana banyak tahun mereka menganggung masalah kurang hasil oleh kerana padi angin. Apa yang ditakuti adalah padi kebal akan berkahwin dengan padi yang sedia ada, atau dengan padi angin disawah yang tidak menggunakan imidazolinone. Kemungkinan menghasilkan padi angin jenis baru yang SUPER KEBAL KEPADA SEBARANG RACUN RUMPAI sentiasa terbuka. Apabila itu terjadi, habislah industri padi kita kerana semua pesawah akan terdedah kepada padi angin jenis baru ini melalui sebaran mekanikal (jentuai, jentera membajak, dll). Apabila sampai masa itu, akan disaran pulak racun rumpai lagi POWER dan lagi MAHAL. Yang tanggung kesusahan menanggung kos yang lebih tinggi, serta tergugat kesihatan adalah petani.

      Pada Mak Tam, dengan ramai dari kalangan penyelidik dan pakar pertanian, tentu sahaja cara lebih selamat boleh dicari untuk mengatasi padi angin. Menukar cara menanam dari tanam tabur terus kepada menanam dengan mesin menanam juga mampu menghadapi padi angin ini. Cara ini telah terbukti berupaya. Mengapa kita pilih cara yang memudaratkan manusia?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s