Produk SRI Diguna Mengganti Racun Kimia – Keberkatan Pertanian Fitrah Alam

Haruan Membesar Dalam Sawah Tanpa Racun

Sebentar tadi Mak Tam membuka fb dan ternampak gambar-gambar ikan diupload oleh saudara Zulkifli Sulaiman a.k.a. Tedung dari Sawah Sempadan, Selangor. Terbeliak mata Mak Tam melihat gambar haruan yang lebih sikit 1 kilogram beratnya. Oleh kerana dah tak boleh tahan, dan walaupun sudah jam 11 malam, Mak Tam terus menelepon Zul.

“Ikan tangkap kat mana nih?”, tanya Mak Tam.

“Ikan saya tangkap kat dalam parit tepi rumah saya,” jawabnya ringkas. Terus saja menceritakan mengenai banyaknya ikan dalam parit tepi rumah.

Ikan Puyu Dari Parit Dalam Sawah

“Mak Tam, kalau ada racun, manakan upaya anak-anak ikan yang masuk melalui air palung itu hidup dan membesar. Lama dah matinya,” tambah Zul lagi.

“Ikan haruan tu sebahagian adalah untuk abang saya yang menjalani operation. Saya pun tak sangka boleh jadi sebesar itu. Sekilo tu Mak Tam,” sambungnya lagi.

“Banyak lagi gambarnya. Itu saya tunjuk yang sebahagian saja. Banyak lagi tak upload,” kata Zul.

“Eh. Upload le kesemua sekali. Upload le. Mak Tam nak nengok,” gesa Mak Tam.

Yang Putih Adalah Ikan Lampam, Ikan Puyu, Anak Haruan

Hati Mak Tam rasa amat tersentuh melihat kehebatan alam yang disediakan oleh Allah swt dengan segala kelebihan. Tapi kita juga yang selama ini dan terus menerus mengabaikannya.

Mak Tam juga tabik kat Zul kerana terus komited tidak mahu mengguna racun dalam sawahnya. Hasil padinya tidak terjejas, kos pengeluarannya dapat dikurangkan, Zul bertani secara sihat, anak-anaknya tidak terdedah kepada racun disekeling rumahnya, semoga kesihatan seisi keluarganya terus terjaga.
Aik. Baru sebentar nampak gambar ikan sepat goreng dalam pinggan berisi nasi. Kita yang nengok ni telan air liur saja lah. Tak aci betul Zul ni. Siap tayang ikan sepat goreng segarnya.

Ikan Puyu, Ikan Sepat dan Haruan

Seorang pensyarah dari UPM yang membuat kajian mengenai ikan sawah menyatakan bahawa anak-anak ikan masuk ke sawah melalui air yang dibekalkan. Apabila anak-anak ikan yang kecil ini terkena racun kimia, maka matilah mereka.

Inilah yang berlaku setiap musim dikawasan sawah. Kalau dulu orang yang tinggal di kawasan sawah tidak payah membeli ikan, sekarang mereka terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli ikan untuk makan harian.

Jom lah kta ramai-ramai membuat perubahan dengan cara kita bertani. Kita jaga tanah kita supaya subur balik. Kita jaga agar anak-anak ikan tidak terbunuh. Racun kimia bunuh anak ikan secara ‘instant’. Tapi tahukah kita bahawa racun kimia juga menjejaskan kesihatan kita semua – tak kira tua atau muda.

Produk SRI boleh dibuat sendiri. Berjumpalah dengan pegawai pertanian kawasan masing-masing dan mintalah mereka ajarkan. Atau terus mengikuti blog Mak Tam ini yang mana dari masa kesemasa akan memberikan cara membuat baja dan pencegah perosak/penyakit bio-organik.

Kalau tidak berminat nak membuat sendiri, pergilah ke bengkel SRI di kawasan sawah anda jika di negeri Selangor. Bagi negeri lain, di atas blog ini ada nombor-nombor yang boleh dihubungi. Buatlah sesuatu untuk kebaikan kita semua. Mak Tam hanya mampu menyeru kepada perubahan ke arah pertanian fitrah alam. Pertanian lestari.

Gambar di bawah ini Zul menunjukkan ikan ketutu yang didapati dari sungai. Disimpannya dalam parit tepi rumah hinggalah sebesar itu. Sekarang disimpannya dalam kolam disawahnya untuk dimakan pada lain hari. InsyaAllah, perkara begini boleh terjadi bagi semua kawasan sawah. Tepuk dada, tanya selera!

Ikan Ketutu Dari Sungai di Simpan Dalam Kolam Tepi Rumah
Ikan Ketutu Dari Sungai di Simpan Dalam Kolam Untuk Makan Lain Hari
Wakil Produk SRI Negeri

Wakil Produk SRI Negeri

Padi SRI : Wadah SRI Untuk Manfaat Semua

Padi SRI : Wadah SRI Untuk Manfaat Semua

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan SRI 2013

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan SRI 2013

Tidak lama lagi Persidangan SRI 2013 akan berlangsung di Orient Star Resort, Lumut Perak pada 11-13 Jun, 2013. Sekarang adalah kerja-kerja pelarasan bagi memastikan persidangan berjalan dengan licin.

Sila download brosur SRI 2013 di sini untuk maklumat lanjut. Jumpa disana.

Nota: Bagi posting berbentuk maklumat semasa berkenaan pandangan Mak Tam terhadap Malaysia Tanahairku, sekarang ini akan dikumpulkan dibawah tajuk MALAYSIA TANAHAIRKU di tab berkaitan (disebelah tab ‘Home’)

Padi SRI Selangor : Bengkel SRI Organik ke-12 di Selangor

Padi SRI Selangor : Bengkel SRI Organik ke-12 di Selangor

Tertubuhnya Bengkel SRI D'Selasa

Tertubuhnya Bengkel SRI D’Selasa

Tanggal 13 Mac, 2013 ini maka rasmilah jumlah bengkel SRI organik di Selangor adalah 12 buah semuanya. Adalah mustahak yang terpilih merupakan dari kalangan petani dan usahawan tani yang melalui latihan terperinci. Ini adalah kerana kita tidak mahu kualiti produk SRI organik dicemari oleh kualiti yang rendah dan membawa kepada ketidak berkesan atau kemudaratan kepada para petani yang menggunakannya terhadap tanaman mereka.

JKKK dari Kg Pekan Selasa, Sg Hj Dorani telah menelepon Mak Tam beberapa bulan yang lalu meminta diberikan penerangan mengenai faedah mengguna produk SRI organik. Alhamdulillah, selepas penerangan oleh Pak Tam pada 7 Januari, 2013, sekumpulan daripada mereka telah meminta diberikan latihan praktikal.

Kumpulan meminta agar latihan praktikal dibuat sebelah malam kerana pada siangnya mereka sibuk. Maka pada 29 Jan, 2013 dijalankan latihan praktikal. Mak Tam gembira kerana boleh kata semua peserta menunjukkan semangat yang tinggi untuk belajar. Sedar-sedar sudah jam 1 malam.

Latihan Membuat Produk SRI Organik

Latihan Membuat Produk SRI Organik

Memotong Kangkung Liar

Memotong Kangkung Liar

Memproses Buah Labu Kayu Matang

Memproses Buah Labu Kayu Matang

Kumpulan terpaksa menunggu sekurang-kurangnya satu bulan untuk bahan seperti peraman tulang, kulit telur dan ikan siap. Cukup sebulan, Pak Imam Samsuri sekali lagi bertanya khabar bila nak teruskan latihan untuk bancuhan produk. Tapi kali ni kami pula meminta dibuat sebelah siang kerana mata kena cerah dan terang untuk mengukur bahan. Dalam gelap macam-macam boleh jadi. 😀

Maka tanggal 13 Mac, 2013 kami berkumpul sekali lagi. Kali ini latihan membuat bancuhan produk SRI organik mengikut formulasi khusus. Mak Tam berpesan, sesiapa yang buat bancuhan tak boleh diajak bersembang sebab takut tersilap kiraan. Akhirnya mereka memilih seorang ahli yang tugas khasnya untuk memantau perkiraan. Pada hari tersebut, hasil yang didapati adalah 30 botol SRI Anak, 30 botol SRI Bunga, dan 60 botol SRI Bunga. Dengan harga jualan RM30 sebotol, akan menghasilkan jualan sejumlah RM3,600. Semoga Bengkel SRI D’SELASA terus maju jaya melestarikan kampung anda.

Pak Imam Membelek Buku Panduan Produk SRI Organik

Pak Imam Membelek Buku Panduan Produk SRI Organik

Penyerahan Botol dan Label

Penyerahan Botol dan Label

Membuat Bancuhan Produk SRI Organik

Membuat Bancuhan Produk SRI Organik

Syabas JKKK Kg Pekan Selasa, Sg Hj Dorani. You all are awesome! YES!

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku yang dalam proses penyediaan sejak tiga bulan yang lalu. Walau pun Mak Tam dah ada pengalaman menyusun buku iaitu buku “Seratus Tahun Menerajui Kecemerlangan Pertanian” Jabatan Pertanian dalam tahun 2005, tapi setiap buku itu unik. Yang dulu adalah koleksi penulisan beberapa orang pegawai, yang ini pula ditulis oleh dua orang, Pak Tam dan Mak Tam. Kami mengambil kaedah ‘natural farming’ dari Korea Selatan dan juga ilmu pertanian ekologi dari Indonesia.

‘Natural farming’ telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian sejak 2002. Itu semasa Mak Tam menjawat jawatan Pengetua di Institut Pertanian Serdang. Puan Mariam Ahmad, yang juga Pengurus Ladang institut menjadikan ‘natural farming’ sebagai salah satu subjek yang diajar kepada pelajar IPS dan peserta inkubator. Puan Mariam yang banyak menceritakan kehebatan ramuan ‘natural farming’ ini.

Setelah Mak Tam pencen, berpeluang pula menghadiri kursus Pertanian Ekologi di Pusat Latihan FELCRA (FTC) Seberang Perak. Di FTC sekali lagi Mak Tam didedahkan kepada pembuatan baja dan pestisida semulajadi yang dibuat daripada bahan-bahan yang boleh didapati disekeliling kampung. Di FTC jugalah Mak Tam mendalami kaedah SRI dan kaitannya dengan mikrob dalam tanah. Pak Deri Ramdani dari Nusantara Organik SRI Centre (NOSC), Nagrak, Sukabumi memberi banyak resepi yang boleh digunakan di Malaysia.

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Tapi orang yang paling berpengaruh dalam pembelajaran Mak Tam adalah Pak Aep Saepudin dari Tasikmalaya, Indonesia. Beliau membuka minda Mak Tam kepada banyak perkara yang berkaitan dengan sejahteraan alam sekitar dan peranan mikrob dan makhluk seni dalam tanah. Kepentingan menjaga keseimbangan zon persekitaran perakaran (rhizosphere) dan bagaimana mikrob mengilang makanan untuk tumbuhan dan menjadi benteng pertahanan utama dalam menjaga keselamatan pokok daripada serangan makhluk perosak seperti serangga, kulat dan bakteria. Beliau juga menceritakan bagaimana bunyi cengkerik juga memainkan peranan membuka stomata daun pada waktu malam hingga subuh.

Tetapi buku kami ini adalah seperti buku resepi membuat rumusan yang boleh menjadi baja dan menguatkan ketahanan tumbuhan daripada serangan perosak. Pak Tam dan Mak Tam berharap buku ini akan diguna oleh seramai pengusaha pertanian dan seterusnya menggunakannya untuk mengajar generasi muda.

Padi SRI Selangor : Perkongsian SRI Dalam Negara

Padi SRI Selangor : Perkongsian SRI Dalam Negara

Pertanian Satu Ibadah

Program Pertanian Satu Ibadah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan

SRI (System of Rice Intensification) masih amat baru di negara kita. Masih ramai yang tidak tahu mungkin kerana ianya pada mula diberi tanggapan yang tidak positif. Tersenyum Mak Tam apabila ada yang menyatakan bahawa SRI adalah satu kaedah penanaman padi yang kuno tanpa melihat kepada negara-negara pengeluar beras terbesar dunia yang mendokong pembesaran kawasan padi SRI di negara mereka.

Pihak UN Food and Agriculture Organization (FAO) melaporkan bahawa dalam tahun 2010 pengeluar beras terbesar dunia adalah China, India, Indonesia dan Vietnam. Negara-negara ini berlumba-lumba untuk mengekalkan kedudukan mereka. Yang paling agresif adalah India yang mana mereka ingin menjadi pembekal beras dunia sepanjang zaman. Dengan sumber tanah pertanian yang banyak, dan kewujudan tenaga buruh yang tinggi dan murah, pasti sahaja India boleh mencapai hasrat negaranya jika mengguna cara SRI.

China mula mendekati SRI pada tahun 1999, dan pada tahun 2011 mempunyai 700 ribu hektar di bawah pengurusan SRI. China mahu menambahkan keluasan ini kepada 900 ribu hektar dalam tahun 2012. (Sumber: Institute of Crop Sciences, Beijing).

Indonesia pulak mengunjurkan keluasan yang sekarang 100 ribu hektar di bawah SRI kepada 1.5 juta hektar padi SRI dalam tahun 2015. (Sumber: Indonesian Ministry of Agriculture).

Vietnam, negara yang dahulunya hancur disebabkan oleh peperangan, mempunyai keluasan padi SRI 300 ribu hektar dalam tahun 2009, berusaha meluaskan kaedah SRI kepada 1 juta hektar pada tahun 2012. (Sumber: Ministry of Agric and Rural Devt., Vietnam)

Yang paling ‘ambitious’ adalah India, iaitu dari 5 juta hektar di bawah SRI sekarang ini memberi target untuk meletakkan 10 juta hektar tanah sawahnya dibawah pengurusan SRI menjangkau 2015. (Sumber: Indian Ministry of Rural Development).

Mak Tam yakin mereka mampu mencapai cita-cita murni mereka. Dan yang lebih mustahak, mereka menggunakan agrokimia dengan kadar yang kurang daripada cara penanaman padi konvensional. Ada kalanya tiada mengguna racun kimia langsung. SRI adalah satu langkah yang sangat baik kearah menjaga kelestarian alam melalui pertanian mesra alam.

Link ini memberikan sumber berita yang melaporkan hasil seorang petani dari Bihar, India yang mencapai 22.4 tan sehektar. Dan kemudian ia diikuti oleh rombongan beberapa saintis daripada IRRI, Filipina yang pergi ke Bihar untuk menemuramah dan membuat pengesahan bahawa betul laporan berita itu.

Mak Tam dan Pak Tam bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai SRI. Hubungi kami melalui talian telefon 019-3322-947 (Pak Tam) dan 019-380-1815 (Mak Tam). Bukan sahaja mengenai System of Rice Intensification, malah bersedia berkongsi pengalaman bagaimana mengurangkan kos pengeluaran hingga 70%, bagaimana mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kawasan padi disebabkan pembakaran, bagaimana meningkatkan kesuburan tanah pertanian dengan kos yang paling minima dengan bahan mesra alam yang dibuat sendiri, bagaimana meningkatkan hasil padi bertanam mesin dengan mengguna cara mekanikal. Syor kami bukan sahaja untuk tanaman padi, bahkan telah meliputi tanaman sayuran dan buahan ditanam secara terbuka atau secara fertigasi, juga terhadap tanaman kelapa sawit.

2

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Padi SRI Selangor: Sepetang Bersama Pegawai-Pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Padi SRI Selangor: Sepetang Bersama Pegawai-Pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Pertanian Ekologi untuk pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Pertanian Ekologi untuk pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Memang petang ini satu petang yang memberi kepuasan kepada usaha-usaha selama ini. Keinginan untuk menghalakan pertanian kepada cara yang lebih menyihatkan, yang berupaya mengurangkan kos pengeluaran, dan sudah pastinya meningkatkan pendapatan petani menjadi keinginan universal. Semua orang mahu yang lebih baik.

Satu soalan yang diajukan kepada Mak Tam adalah macam mana nak buat baja dan pencegah perosak secara organik. Mak Tam jawab tidak cukup masa kerana yang diberi hanya dua jam. Kalau diberi masa yang lebih panjang, boleh saja diberikan resepinya bagi tumbuhan atau bahan sisa yang boleh didapati di negara mereka. Yang dah tentu tiada adalah pokok buluh. Mmm.. ini kena fikirkan macam mana nak buat IMO yang power.

Sebelum Mak Tam masuk ke bilik latihan, Kamari, pembantu sesi memberi pesanan. Hampir separuh peserta latihan tidak faham bahasa Inggeris. Jadi Mak Tam perlu cakap agak perlahan. Dan nanti akan ada masa mereka akan minta luang masa untuk berbincang.

Jadi semasa Mak Tam bercakap, Mak Tam terdengar salah seorang mereka berkata “mesyuarah”. Semasa itu Mak Tam pun diam dan mereka berbincang dengan penuh semangat. Topik masa itu adalah tentang petani membuat sendiri baja dan perosak dari bahan alam semulajadi. Lama juga perbincangan mereka.

Bahasa rasmi mereka dipanggil Dari. Jadi nota Mak Tam yang dalam bahasa Inggeris dihantar 10 hari terdahulu telah pun diterjemahkan kedalam bahasa Dari. Teruja juga Mak Tam kerana ini sesuatu yang unik. Kalau dari bahasa Melayu ke Inggeris, dan sebaliknya tu, itu sudah biasa. Lihatlah bentuk rupa tulisan yang serupa dengan Jawi di bawah ini.

Terjemahan Nota ke Bahasa Dari

Terjemahan Nota ke Bahasa Dari

Setelah selesai, ketua mereka menyampaikan cenderahati. Sudah sampai ke rumah baru Mak Tam buka. Lagi satu surprise. Buat pertama kali Mak Tam tengok saffron yang tulen. Sila baca kat sini untuk tahu khasiatnya. Juga sekeping kain tenunan mungkin sebagai tudung. Besar hati Mak Tam menerima pemberian ini.

Cenderahati dari Afghanistan

Cenderahati dari Afghanistan

Padi SRI Selangor: Perjuangan Untuk Semua

Padi SRI Selangor: Perjuangan Untuk Semua

SelangorKini Berita SRI

SelangorKini Berita SRI

Apa pun perbuatan untuk mengarah kepada kebaikan Mak Tam istilahkan sebagai satu perjuangan. Ini adalah kerana membuat perubahan itu satu yang selalunya kurang disenangi, lebih-lebih lagi jika ia memerlukan kita mengambil risiko. Kalau dalam hal ini, risikonya adalah kemungkinan mendapat hasil yang lebih rendah daripada selalu. Bukan kata petani sahaja, malah masa Mak Tam baru-baru mengenali SRI ini pun ada perasaan ragu-ragu. Kadang-kadang benak tertanya, Ish.. betul ke boleh kurangkan penggunaan racun kimia dan baja kimia?

Jom kita renungkan keadaan ini. Seorang petani menghadapi masalah bena perang. Maka petani ini akan terus ke kedai racun untuk membeli racun serangga yang kuat. Kalau ada pulak rakan atau penjual racun cadangkan yang lebih kuat, maka petani akan terus membeli kerana yakin lagi kuat racun digunakan, lebih mudah membunuh bena perang itu. Maka, akan selamatlah tanaman padi. Sayangnya, lagi kita racun tanaman padi kita, makin teruk pulak serangan perosak.

Sekarang cuba pulak kita lihat dari sudut pokok padi itu sendiri. Mak Tam yakin bahawa pokok padi itu merintih kesakitan apabila pelbagai jenis racun tersentuh ke daun, batang dan semua bahagian pokok. Racun pulak akan turut jatuh ke tanah, dan meranalah segala jenis makhluk tanah yang tinggal didalamnya. Bahkan berbillion makhluk seni Allah yang ditugaskan membuat makanan dan mempertahankan kesihatan pokok turut terbunuh. Maka sunyi senyaplah sawah tersebut daripada ucapan tasbih makhluk-makhluk yang selama ini bergema disawah tersebut. Mari kita lihat surah Al-Jumua’ah ayat satu.

Surah Al-Juma'ah Ayat 1

Surah Al-Juma’ah Ayat 1

Alangkah sedihnya, apabila tanah kita menjadi gersang dan sunyi dari keberkatan ucapan tasbih berbillion makhluk Allah yang tinggal dalam tanah sawah. Dengan itu kita sering dengar bahawa lagi kita meracun, lagi teruk pokok, dan lagi teruk juga hasilnya. Kalau hasil dapat bertahan, kocek kita pulak berlubang besar kerana belanja membeli racun-racun kimia itu semakin hari semakin tinggi. Akhirnya, petani mengalami kerugian yang berpanjangan.

Jadi apa boleh kita buat? Kita sebenarnya sudah ada jawapan kepada soalan itu. Jom guna produk SRI Organik. Usah teragak-agak lagi kerana lagi lambat kita membuat perubahan, seperti lah kita membazir wang. Mak Tam dan rakan-rakan yang telah pun mengguna SRI sudah menikmati barakah yang berlipat ganda. Baik dari segi kewangan, kesihatan, ketenangan jiwa dan berasa teramat bersyukur diatas hijab yang dibuka membolehkan kita mendalami ilmu SRI ini.

Rakan SRI Mak Tam bernama Md Nor dari Parit 5, Sg Besar kata, “Mak Tam, pada saya SRI itu adalah Sabar, Redha, Ikhlas”.

“Pasal apa sabar?” tanya Mak Tam.

“Apa tidaknya! Masa saya mula mengikuti perjuangan SRI ini, saya selalu digelakkan oleh rakan sekampung. Jadi bersabar sajalah…” jawabnya.

Jadi Mak Tam nak ajak para pembaca blog Mak Tam ni, sebarkanlah berita gembira ini kepada kaum keluarga, rakan, jiran, dan kepada diri sendiri, marilah kita buat perubahan ini bersama. Ayuh.. masa tidak menunggu kita.. Kalau ada bengkel SRI Organik kat kampung, pergi beli kat sana. Kalau tak ada, boleh tempah dari Pak Tam. Lepas tu belajar buat sendiri, atau pakat beberapa kawan, masing-masing buat dua jenis, kongsi pakai. Lagi untung. Atau buat macam Pak Lang Razak, Wak Rosli dan Udin. Buat sendiri, guna sendiri. Setiap musim senyum lebar dengan ucapan Alhamdulillah.. Pak Lang kata seronok dapat simpan duit sendiri. Tak payah bagi kat orang..

Produk SRI Organik : Cara Mengguna Produk SRI Untuk Sayur Daun dan Sayur Buah

Produk SRI Organik : Cara Mengguna Produk SRI Untuk Sayur Daun dan Sayur Buah

Tanaman sayuran boleh disembur dengan produk SRI organik mengikut jadual yang disediakan oleh Puan Nurwahidah Hambali. HLT itu adalah Hari Lepas Tanam. Bagi rakan-rakan SRI yang memerlukan jadual ini, silalah download dan cetak untuk memudahkan dibaca dan difahami.


.