Produk SRI Diguna Mengganti Racun Kimia – Keberkatan Pertanian Fitrah Alam

Haruan Membesar Dalam Sawah Tanpa Racun

Sebentar tadi Mak Tam membuka fb dan ternampak gambar-gambar ikan diupload oleh saudara Zulkifli Sulaiman a.k.a. Tedung dari Sawah Sempadan, Selangor. Terbeliak mata Mak Tam melihat gambar haruan yang lebih sikit 1 kilogram beratnya. Oleh kerana dah tak boleh tahan, dan walaupun sudah jam 11 malam, Mak Tam terus menelepon Zul.

“Ikan tangkap kat mana nih?”, tanya Mak Tam.

“Ikan saya tangkap kat dalam parit tepi rumah saya,” jawabnya ringkas. Terus saja menceritakan mengenai banyaknya ikan dalam parit tepi rumah.

Ikan Puyu Dari Parit Dalam Sawah

“Mak Tam, kalau ada racun, manakan upaya anak-anak ikan yang masuk melalui air palung itu hidup dan membesar. Lama dah matinya,” tambah Zul lagi.

“Ikan haruan tu sebahagian adalah untuk abang saya yang menjalani operation. Saya pun tak sangka boleh jadi sebesar itu. Sekilo tu Mak Tam,” sambungnya lagi.

“Banyak lagi gambarnya. Itu saya tunjuk yang sebahagian saja. Banyak lagi tak upload,” kata Zul.

“Eh. Upload le kesemua sekali. Upload le. Mak Tam nak nengok,” gesa Mak Tam.

Yang Putih Adalah Ikan Lampam, Ikan Puyu, Anak Haruan

Hati Mak Tam rasa amat tersentuh melihat kehebatan alam yang disediakan oleh Allah swt dengan segala kelebihan. Tapi kita juga yang selama ini dan terus menerus mengabaikannya.

Mak Tam juga tabik kat Zul kerana terus komited tidak mahu mengguna racun dalam sawahnya. Hasil padinya tidak terjejas, kos pengeluarannya dapat dikurangkan, Zul bertani secara sihat, anak-anaknya tidak terdedah kepada racun disekeling rumahnya, semoga kesihatan seisi keluarganya terus terjaga.
Aik. Baru sebentar nampak gambar ikan sepat goreng dalam pinggan berisi nasi. Kita yang nengok ni telan air liur saja lah. Tak aci betul Zul ni. Siap tayang ikan sepat goreng segarnya.

Ikan Puyu, Ikan Sepat dan Haruan

Seorang pensyarah dari UPM yang membuat kajian mengenai ikan sawah menyatakan bahawa anak-anak ikan masuk ke sawah melalui air yang dibekalkan. Apabila anak-anak ikan yang kecil ini terkena racun kimia, maka matilah mereka.

Inilah yang berlaku setiap musim dikawasan sawah. Kalau dulu orang yang tinggal di kawasan sawah tidak payah membeli ikan, sekarang mereka terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli ikan untuk makan harian.

Jom lah kta ramai-ramai membuat perubahan dengan cara kita bertani. Kita jaga tanah kita supaya subur balik. Kita jaga agar anak-anak ikan tidak terbunuh. Racun kimia bunuh anak ikan secara ‘instant’. Tapi tahukah kita bahawa racun kimia juga menjejaskan kesihatan kita semua – tak kira tua atau muda.

Produk SRI boleh dibuat sendiri. Berjumpalah dengan pegawai pertanian kawasan masing-masing dan mintalah mereka ajarkan. Atau terus mengikuti blog Mak Tam ini yang mana dari masa kesemasa akan memberikan cara membuat baja dan pencegah perosak/penyakit bio-organik.

Kalau tidak berminat nak membuat sendiri, pergilah ke bengkel SRI di kawasan sawah anda jika di negeri Selangor. Bagi negeri lain, di atas blog ini ada nombor-nombor yang boleh dihubungi. Buatlah sesuatu untuk kebaikan kita semua. Mak Tam hanya mampu menyeru kepada perubahan ke arah pertanian fitrah alam. Pertanian lestari.

Gambar di bawah ini Zul menunjukkan ikan ketutu yang didapati dari sungai. Disimpannya dalam parit tepi rumah hinggalah sebesar itu. Sekarang disimpannya dalam kolam disawahnya untuk dimakan pada lain hari. InsyaAllah, perkara begini boleh terjadi bagi semua kawasan sawah. Tepuk dada, tanya selera!

Ikan Ketutu Dari Sungai di Simpan Dalam Kolam Tepi Rumah
Ikan Ketutu Dari Sungai di Simpan Dalam Kolam Untuk Makan Lain Hari
Wakil Produk SRI Negeri

Wakil Produk SRI Negeri