Padi SRI Selangor : Status Benih Padi Negara – Part 7

Padi SRI Selangor : Status Benih Padi Negara – Part 7
Bahana Serangan Penyakit Hawar Daun (Bacterial Leaf Blight – BLB) Terhadap Padi Kebal

Penyakit Hawar Daun Serang Petak Benih Padi Kebal di Sekinchan

Penyakit Hawar Daun Serang Petak Benih Padi Kebal di Sekinchan – klik untuk lihat label petak benih.

Pada awal Disember lalu Pak Tam dan Mak Tam melalui kawasan padi Sekinchan untuk ke Sg Leman. Waduh.. saujana mata memandang sawah berwarna coklat. Tidak pernah terlihat keadaan seperti ini di mana-mana. Yang terkena di Sawah Sempadan dan Sg Burong pun tidak seluas ini. Mak Tam diberitahu bahawa 90% petani Sekinchan menanam padi kebal pada musim ini. Sekarang ini 80%, iaitu lebihkurang 1,400 hektar kawasan padi Sekinchan terjejas.

Kebanyakan petak sawah yang kami teliti, ada yang buah padinya kekal hijau walaupun sudah boleh dituai. Petani menyatakan bahawa serangan bermula awal iaitu masa bunting dan masa buah nak mula mengisi (grain-filling stage). Buah yang tinggal diatas pokok hanya yang berisi sebahagian sahaja. Oleh itu hasil terjejas teruk.

Mak Tam nak cerita sikit pasal Sekinchan. Sekinchan ini sebuah pekan sederhana besar yang menjadi nadi perniagaan di kawasan padi Barat Laut Selangor. Kawasan padinya lebihkurang 1800 hektar dan terkenal sebagai kawasan sawah yang mempunyai hasil tertinggi dalam negara. Setiap musim sebelum ini, sebanyak 80% hasil padinya dijual sebagai benih padi. Hasilnya dalam 9 hingga 11 tan sekeping (iaitu seluas 1.2 hektar). Purata hasil dalam 7.9 tan sehektar. Tapi nampaknya tidak satu petak pun yang boleh diluluskan sebagai benih.

Juga Sekinchan dan kawasan sekelilingnya menjadi tumpuan pelawat daripada bandar. Kedudukannya yang agak hampir dengan Lembah Kelang dan kawasan pertanian yang tersusun indah memberinya kelebihan. Mak Tam pun suka bawa pelawat datang padi Sekinchan pasal memang cantik dan bersih.

Pelawat Hujung Minggu di Sekinchan

Pelawat Hujung Minggu di Sekinchan

Pelawat Luar Negara di Sekinchan

Pelawat Luar Negara di Sekinchan

Ramai pelawat tempatan datang untuk makan di restoran makanan laut, melawat kawasan pertanian, mengambil gambar, bersantai dan menikmati keindahan sawahnya. Mak Tam dan Pak Tam juga suka kerana sawah Sekinchan memberi inspirasi kearah penghasilan yang tinggi. Tapi untuk mendapat hasil yang tinggi, petani Sekinchan menggunakan input pertanian seperti baja kimia dan racun kimia yang banyak. Ini menjadikan kos pengeluarannya hingga mencapai lebih daripada RM6000. Ada petani yang menyatakan bahawa keuntungannya adalah duit subsidi harga padi yang didapatinya setiap musim. RM248 se tan. Cubalah bayangkan perasaan mereka apabila dapat 3 – 6 tan sahaja musim ini. Penyakit BLB ini telah mula menyerang pada tahun lepas lagi. Sila lihat padi MR219 yang kena BLB pada Jun 2012 di bawah ini.

BLB di Sekinchan Jun 2012

BLB di Sekinchan Jun 2012

Penyakit ini dibawa oleh sejenis bakteria. Ia merebak melalui benih, tanah, air, angin dan manusia. Jadi tak boleh lari. Untuk hapuskan bakteria tiada racun yang berkesan. Yang berkesan adalah OHN atau Oriental Herbal Nutrient yang dibuat daripada bawang putih, halia, kulit kayu manis, kam co dan tong kui. Mari tengok apa kata Puan Aini Waznati daripada Pusat Pertanian Sg Burong. Puan Aini sudah dua tahun memberi perhatian kepada penggunaan produk SRI yang berasaskan ‘natural farming’ dari Korea. SRI Anak, SRI Bunga dan SRI Buah telah dicampurkan OHN. Oleh itu pokok dilindungi daripada umur muda lagi. Puan Aini telah melihat pencegahan penyakit sama ada reput tangkai atau BLB ini beberapa musim. Beliau juga sering merekodkan pemerhatiannya difbnya.

SRI Halang BLB Merebak

Produk SRI halang BLB merebak, kata Puan Aini Waznati, Pusat Pertanian Sg Burong

Ada video dan gambar yang juga menceritakan produk SRI dapat mencegah perosak dan penyakit tanaman.

BLB Sawah Sempadan - Produk SRI vs Kimia

BLB Sawah Sempadan – Produk SRI vs Kimia

Produk SRI Pak Lang Razak

Stor Produk SRI Pak Lang Razak untuk kegunaannya sendiri.

Mak Tam bukan nak suruh beli produk SRI, tapi nak suruh buat. Jumpalah pegawai pertanian kawasan anda, dan minta dia ajarkan. Ini ilmu dah ada pada Jabatan Pertanian dari 2003 lagi. Dah 10 tahun tu. Kalau nak cuba, beli kat bengkel-bengkel SRI yang ada kat kawasan sawah di Selangor. Kalau kat tempat lain, cuba cari agen-agen yang ada jual. Di bawah ni ada beberapa nombor telepon. Cubalah. Ikut jadual semburan yang ada pada label botol. SRI Bunga dan SRI Buah kena campur air laut. Yakinlah. Ini ilmu alam semulajadi.

Ada satu soalan Mak Tam nak tanya pihak berwajib. Siapakah yang merancang untuk benih padi negara? Jika semua petak benih diserang BLB seluruh negara, dimana akan kita cari benih selain benih padi kebal? Siapa yang menentukan berapa banyak benih padi dan kepelbagaian varieti untuk mengelakkan seluruh kawasan dilanda penyakit macam ini? Akan jadi satu mala petaka jika isu ini tidak diatasi. Adakah kita menunggu ia berlaku? Ia sudah pasti akan berlaku kalau pihak berwajib terus lalai dan ambil ringan perkara ini. Mak Tam dah kata apa yang perlu diperkatakan. Pasrah.

Untuk latihan membuat dan bekalan produk SRI bagi jabatan/agensi yang mengguna pesanan tempatan sila hubungi Salehuddin Yahya (Pak Tam), NS Nature Rice di telepon 019-3322-947.

Wakil Produk SRI Negeri

Wakil Produk SRI Negeri

Padi SRI Selangor : Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 5

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 5

Bacalah keratan berita ini dulu. Agaknya apakah penyelesaian yang dicadangkan oleh pihak berwajib? Adalah penyelesaian cara mengguna pelbagai jenis racun sahaja atau ada cadangan yang lain.

Serangan Bena Perang di Kedah/Perlis Jan 2013

Serangan Bena Perang di Kedah/Perlis Jan 2013

Mak Tam nak bagi cadangan nanti. Kalaulah ada orang yang nak ikut dan nak buat, alangkah baiknya. Kita balik kepada cara menjaga tanah mengikut fitrah alam. Ada sesiapa yang berani? Wallahua’lam. Nanti Mak Tam akan berikan cadangan Mak Tam satu persatu. Kalau ada yang nak cuba, Alhamdulillah. Mak Tam hanya berikan pilihan yang agak berlainan dari yang selalu dibuat. Mak Tam juga akan bagi sebab musabab cadangan itu dibuat.

(Nota: Malam ni nanti kita sambung. Sekarang kena pergi kedai cari barang dapur dulu. Lepas tu Mak Tam bagi langkah pertama.)

Dalam sawah kita itu dari awal lagi telah ada serangga yang menjaga kesejahteraan tanaman padi. Serangga-serangga ini kita panggil sebagai sahabat sawah. Ia termasuk pelbagai jenis labah-labah, kumbang kura-kura (ladybird), cengkerik pepatung, kutu pencakar air, dan lain-lain. Sila ke blog Masterji untuk melihat gambar sahabat sawah kita ini. Masing-masing ada tugas tersendiri.

Kajian di IRRI (International Rice Research Institute), Filipina, di mana para saintis padi berkerja menyelidik pelbagai hal mengenai padi, penyelidik Lene Sigsgaard telah membentang hasil kajian “Early season natural biological control of insect pests in rice by spiders – and some factors in the management of the cropping system that may affect this control”. Ia bermaksud “Kawalan awal musim serangga perosak dalam sawah oleh labah-labah – dan beberapa faktor pengurusan yang mempengaruhi kawalan ini”. Baca laporan itu di sini.

Kajian ini membuktikan bahawa jika kita tidak meracun sawah pada awal musim, dan menjaga rumpai cara lain daripada meracun, kita dapat menjaga persekitaran sawah dalam keadaan baik. Itu bermakna, sahabat sawah akan dapat terus hidup dan membiak, serta menjalankan tugas yang difitrahkan kepada mereka iaitu memberi keseimbangan agar serangga perosak lelompat daun (seperti bena perang) tidak membiak dengan terlalu cepat.

Mari tengok gambar yang diambil oleh Cikgu Roslizan Zakaria, Sedaka, Yan di mana beliau menggunakan produk SRI organik (dengan tambahan air tembakau jawa) pada awal musim. Alangkah gembiranya beliau melihat banyak sekali serangga yang tertangkap pada sarang labah-labah.

Labah-labah Sebagai Sahabat  Sawah

Labah-labah Sebagai Sahabat Sawah

Bayangkan, satu sarang itu dibuat oleh hanya seekor labah-labah, tapi serangga perosak yang ditangkapnya amat banyak. Kalau ada beribu labah-labah yang dibiarkan hidup, berapa juta serangga perosak yang dihalang daripada membiak. Jika kita racun awal, labah-labah dan sahabat sawah yang lain juga akan mati. Maka bermaharajalela serangga perosak. Al-kisah, bila sudah tidak terkawal, pokok padi disedut kering kontang dan seterusnya menyembah bumi. Terjadilah kerosakan yang amat memilukan seperti yang tersiar dalam berita akhbar, radio dan TV.

Mari tengok salah satu hasil kajian pihak IRRI yang dibentang oleh Dr K.L. Heong semasa Bengkel IPM di UKM September, 2012 lepas. Mereka mendapati bahawa apabila tidak dibuat semburan racun terhadap padi bagi tujuan mengawal ulat lipat daun, hasilnya adalah populasi bena perang amat kurang. Lihat rajah di bawah ini yang menyatakan bahawa dengan meracun pada awal pertumbuhan pokok padi menyebabkan kemungkinan serangan bena perang terjadi adalah 10 kali ganda. Ini adalah kerana kebanyakan sahabat sawah telah mati terkena racun, dan bena perang pula sangat cepat membiak. Dengan keadaan cuaca yang sesuai, serangan dan kerosakan disebabkan oleh bena perang tidak dapat dihalang lagi.

Tidak Meracun Awal - Kurang Bena Perang

Tidak Meracun Awal – Kurang Bena Perang – K.L. Heong IRRI

Tengok saja gambar yang diambil di Sekinchan yang menunjukkan bahawa kerosakan bena perang adalah pada jalur selebar semburan yang dibuat oleh alat penyembur yang digunakan. Dimana dengan meracun, kita akan terus sahaja membunuh sahabat sawah. Dengan itu populasi bena perang akan terus meningkat, dan seterusnya menyerang dan akibatnya pokok padi kering seperti gambar di bawah.

Kerosakan Bena Perang Mengikut Luas Kerja Meracun

Kerosakan Bena Perang Mengikut Keluasan Kerja Meracun – K.L. Heong, IRRI

Jadi Mak Tam nak cadangkan, gunalah produk SRI organik (SRI Anak) dicampur dengan air rendaman tembakau jawa pada padi berumur 15-18 hari lepas tanam. SRI Anak akan merangsang pokok cepat mengeluarkan anak, tumbuh dengan sihat, dan ramuan pencegah perosak dalam SRI Anak serta tambahan air tembakau akan menjauhkan ulat lipat daun. Pada masa yang sama kita jaga sahabat sawah supaya terus hidup melaksanakan tugas yang difitrahkan Allah swt kepada mereka, iaitu menjaga eko-sistem mikro dalam sawah. Perseimbangan ini akan memastikan populasi serangga perosak ditahap tidak membawa kerosakan kepada pokok padi.

Dan selagi kita menjaga kesejahteraan alam sekitar kita, Mak Tam yakin gema tasbih segala makhluk Allah yang hidup akan membawa berkat kepada kawasan itu. InsyaAllah. “Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.  Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Oleh itu bagi yang nak buat sendiri produk SRI, buatlah segera supaya boleh guna musim datang ni. Bagi yang tak minat nak buat sendiri, beli. Bagi yang luar Selangor, boleh tempah kat Pak Tam 019-3322-947. Produk SRI di Kedah dibekalkan oleh Shukri Osman 013-594-5068 / 04-714-1124. Lepas ini Mak Tam akan beritahu bagaimana untuk jaga tanah sawah agar subur dan penuh dengan mikrob bermanfaat. Jumpa lagi. 🙂