Padi SRI 2: Persediaan Penanaman Padi SRI bagi Musim Kedua (Feb-Jun 2011) Pt 5

Padi SRI 2: Persediaan Penanaman Padi SRI bagi Musim Kedua (Feb-Jun 2011) Pt 5

bersambung: Penyediaan Tanah Sawah Selepas Menuai

4. Kerja Merata Tanah Dalam Keadaan Kering

Tanah sawah perlu betul-betul rata untuk pertumbuhan padi yang sekata. Untuk tujuan itu, traktor yang sama di ganti peralatan dibelakangnya dengan ‘back bucket’  untuk membuat kerja merata tanah ini. ‘Back bucket’ digunakan untuk menolak tanah dari tempat yang lebih tinggi ke yang lebih rendah. Kerja ini banyak bergantung kepada kecekapan operator. Sila lihat gambar dibawah yang menunjukkan perbezaan kesan terhadap taburan serta percambahan benih padi, pertumbuhan padi dan rumpai, dan tahap padi masak.

Kebaikan Meratakan Tanah Sawah

Kebaikan Meratakan Tanah Sawah

Video dibawah ini menunjukkan kerja-kerja meratakan tanah menggunakan ‘back bucket’.

Apabila batas-batas dipecahkan, tikus-tikus yang tinggal didalamnya akan bertempiaran lari. Kalau saya melompat mengelakkan diri dari tikus, anak Nazri, Mohamad Danish dengan bersahaja menangkap seekor anak tikus.

Petani-petani disekeliling menyatakan bahawa dalam tempoh semusim dua ini, populasi tikus makin meningkat. Pasal kawalan tikus secara biologikal, saya akan tulis dalam catatan seterusnya.

PADI SRI : Latihan Sehari Bersama Pak Aep

PADI SRI :  Minggu Ke-3 September, 2010 di Sg. Leman, Sabak Bernam, Selangor. Sebalik kami daripada Kelantan, Pak Tam dan saya membincangkan langkah seterusnya. Sepanjang jalan, kami bertukar pendapat. Pak Tam berasa sangat teruja dengan padi SRI kerana potensinya. Saya masih memproses maklumat yang banyak kami dapati daripada lawatan ke Kelantan.

Semasa itu kawasan Sawah Sempadan, Sg Burong dan Sekinchan telah siap menanam. Kawasan Sg Leman telah mula dan hampir selesai bertanam bagi seluruh kawasan ini. Jika percubaan padi SRI tidak dibuat segera, maka terpaksa menunggu 6 bulan lagi baru boleh mula.

Tanah Bekas Tanam Sayuran di Sg Leman

Tanah Bekas Tanam Sayuran di Sg Leman

Akhirnya, kami bertemu Saudara Khairi dan abangnya, Saudara Nazri. Persetujuan dibuat agar tanah sawah sedia ada tidak dilibatkan kerana itu adalah punca pendapatan mereka berdua. Kami bersetuju menggunakan kawasan bekas bertanam sayur.

Tapi ada lagi masalah yang mana kesemua kami tidak ada pengetahuan, apa lagi pengalaman mengenai padi SRI. Oleh itu, Khairi dan saya bergegas ke Tunjong, Kelantan untuk mendapat latihan dan pendoman daripada Pak Aep sendiri. Sepatutnya Nazri bersama kami, tetapi atas sebab kesihatan, dia tidak dapat pergi.

Kami sampai ke Tunjong pada sebelah petang dan terus mengambil kesempatan berjumpa Pak Aep. Kami menyatakan hasrat kami untuk belajar dengannya pada keesokan harinya.

Pagi esoknya, jam 7.30 pagi kami telah terpacak di Tunjong. Pak Aep berada di tengah sawah. Sepanjang hari, kami duduk mendengar panjang lebar mengenai amalan padi SRI. Banyak soalan yang diajukan oleh Khairi kepada Pak Aep.

Pak Aep Memberi Penerangan Padi SRI

Pak Aep Memberi Penerangan Padi SRI

Yang paling dirisaukan oleh Khairi adalah serangan makhluk perosak dan penyakit. Pak Aep menyatakan bahawa dengan pengamalan SRI, pokok padi menjadi sihat dan kuat. Jika ada serangan pun, masih boleh dikawal dengan semburan campuran organik daripada jenis tanaman terpilih. Khairi nampak kurang puashati dengan penerangan itu.

Kemudian kami ke sawah melihat tapak semaian yang sedang disediakan. Khairi membelek alat-alat yang digunakan untuk membuat garisan 1 kakix 1 kaki di tanah sawah, alat untuk ‘melandak’ iaitu merumput dan aerasi tanah, serta cara menanam. Berkajang-kajang kertas untuk merekodkan semua ilmu yang dicurahkan oleh Pak Aep kepada kami. Sebelum sampai saya telah berkata kepada Khairi, “Atan, nanti kau dengar dan tanya banyak soalan kepada Pak Aep, Mak Tam akan tulis”. Itu lah yang kami buat sepanjang lawatan kami.