Pakej SRI


Padi SRI Selangor: Pelancaran Buku Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Pelancaran Buku SRI oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim

Pelancaran Buku SRI oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor

Tanggal 8 Mac, 2013 adalah detik masa paling gembira bagi Pak Tam dan Mak Tam. 20 bulan yang lalu, Y.A.B. Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, telah mengarahkan kami berdua mencungkil rahsia kaedah padi SRI yang pesat diusahakan di Tasikmalaya, Indonesia.

Pada peringkat awal pengembaraan menjumpakan kami dengan seorang yang arif dalam penanaman padi SRI (System of Rice Intensification). Seorang aktivis pertanian lestari iaitu Pak Aep Saifudin Sukriadi yang berasal dari Tasikmalaya. Semasa itu beliau diambil oleh Koperasi Sunnahtani untuk mengerjakan padi organik seluas 8 ekar di Tunjong, Kelantan.

Saban minggu Pak Tam dan saya berulangalik dari rumah di Selangor ke Tunjong, Kelantan untuk mengikuti perkembangan pokok padi ditanam dan diurus cara SRI. Pada masa yang sama menjalankan penanaman kaedah SRI pertama di Sg Leman, Selangor. Dalam keadaan tidak pasti apa sepatutnya dibuat, kami melayari internet untuk mencari berbagai maklumat mengenai SRI.

Selama 3 musim kami membuat beberapa petak percubaan. Bermula dengan 1 petak di Sg leman pada musim 2/2010, kepada 4 petak pada musim 1/2011. Petak percubaan di Parit 4, Sg Burong merupakan detik melihat kehebatan tanaman padi yang tumbuh dan keluar hasil tanpa sebutir baja kimia atau setitik racun kimia. Selama masa percubaan, apa yang kami dapati adalah kaedah SRI ini mampu dibuat dengan syarat kerja menanam satu setiap point dan kerja-kerja melandak perlukan usaha mekanisasi yang kreatif.

Tanaman Padi Tanpa Baja atau Racun Kimia

Tanaman Padi MR219 Tanpa Baja atau Racun Kimia

Pak Tam terus berusaha untuk mencari atau merekacipta mesin yang boleh membuat kerja melandak atau menggembur tanah sawah di celah baris pokok padi. Beberapa prototaip mesin melandak dapat disiapkan dengan kerjasama rakan-rakan dari Jabatan Pertanian dan rakan tani. Pengalaman selama beberapa musim membuat percubaan SRI telah mencetuskan idea bahawa untuk SRI bertapak, ia perlu diperkenalkan secara berperingkat.

Pada masa yang sama, produk SRI organik mula digunakan oleh petani sayur dan padi di kawasan Sg Leman. Masing-masing memberikan maklumbalas yang positif mengenai kesan produk SRI terhadap tanaman mereka dan yang paling nyata, penggunaan racun perosak dapat dikurangkan kerana pokok menjadi lebih sihat dan kuat.

Bersama Jabatan Pertanian, sesi penerangan dan latihan praktikal untuk petani dibuat lebih daripada 100 kali yang kebanyakannya dibuat di daerah Sabak Bernam. Maka wujudlah bengkel-bengkel membuat produk SRI organik bermula dengan Bengkel SRI-D9, di Parit 9, Sg Leman, di daerah Sabak Bernam. Hingga minggu ini yang telah beroperasi adalah 11 buah bengkel SRI. Ahli bengkel terdiri daripada kalangan petani dan usahawan tani sendiri dan 10 bengkel bertempat di lokasi yang stategik dalam kawasan sawah dan sebuah dalam kawasan sayuran. Hanya 11 bengkel ini yang diberi latihan khusus dan pemantauan yang rapi.

Sebelas Buah Bengkel SRI Organik di Selangor – Pastikan Anda Dapat PRODUK SRI ORGANIK Yang TULEN!

Sebelas Buah Bengkel SRI Organik di Selangor – Pastikan Anda Dapat PRODUK SRI ORGANIK Yang TULEN!

.
Label botol dibuat standard untuk semua bengkel SRI Organik. Jika anda tinggal di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor dan ingin membeli, terus saja ke bengkel yang tertera di gambar sebelah atas ini. Nombor telefon juga dipamirkan. Sila klik atas gambar untuk melihat jelas nombor telefon. Untuk dari luar Selangor hubungi wakil Kedah (013-508-6301), Pulau Pinang (013-464-3552) dan Perak (019-495-8098), dan untuk negeri-negeri lain hubungi Pak Tam 019-3322-947.
.

Label Botol Produk SRI Organik

Label Botol Produk SRI Organik

.
Enam bulan yang lepas, terlintas idea untuk menyediakan sebuah buku panduan membuat dan mengguna produk SRI organik agar ilmu ini dapat dipanjang ke generasi akan datang. Selepas berbincang dengan Puan Rohany Dato’ Talib, Ketua Pentadbir Menteri Besar Incorporated (Selangor), usaha kearah merealisasikannya pun dijalankan. Alhamdulillah sebagai membuka tirai tahun 2013, Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik pun diterbitkan. Tanggal 8 Mac, 2013 buku ini dilancarkan oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor dengan penuh harapan agar ilmu ini dimanfaatkan dan dijadikan warisan zaman berzaman.

Penulis Bersama Tan Sri

Semoga Ilmu Menjadi Warisan Zaman

.
Sebenarnya ini baru satu prinsip SRI yang dirungkai. Ada 5 lagi prinsipnya yang harus diserlahkan. Prinsip kedua yang telah dijalankan ujikaji dan rekabentuk adalah mesin untuk melandak (menggembur) tanah diantara baris pokok padi. Mungkinkah akan terbit sebuah buku baru yang memberi panduan menanam dan mengurus padi secara SRI? Insyaallah, masa akan menentukan. Wassalam.

Produk SRI ORGANIK : Promosi Disediakan oleh MediaSelangorKu

Padi SRI Selangor : Memperkasakan Petani Dengan Maklumat

Permohonan Latihan Padi SRI Dari Daerah Sabak Bernam

Permohonan Latihan Padi SRI Dari Daerah Sabak Bernam - InsyaAllah, Pak Tam dan Mak Tam akan tunaikan kesemua permintaan. Semoga diberi kesempatan olehNya.. Amin..

Apakah sebenarnya yang membezakan seseorang itu dari rakannya? Satu daripadanya adalah maklumat. Kita membuat sesuatu pilihan itu berdasarkan  maklumat yang kita ada pada masa tersebut. Contohnya, seorang petani itu membuat pilihan mengguna racun kimia untuk mengawal penyakit bakteria hawar daun di sawahnya, sementara jirannya yang bernama Ferozz memilih untuk mengguna produk SRI. Mengapa Ferozz terlalu yakin akan pilihannya menggunakan produk SRI padahal produk ini baru sahaja diperkenalkan, dan lagi pun produk ini dibuat oleh petani sendiri? Apa yang memberinya keyakinan?

Ferozz Yakin Dengan Produk SRI

Ferozz Yakin Dengan Produk SRI Buatan Petani Sendiri

Mak Tam baru sahaja bercakap telefon dengan Ferozz. Jawapannya adalah dia ingin menggunakan bahan organik. Mak Tam tanya lagi, “Kalau selepas sembur produk SRI hari tu, pokok padi semuanya musnah, macam mana?”

“Kalau tak cuba macam mana nak tahu? Saya sembur nampak ok sahaja,” jawabnya pulak.

Rupanya ada unsur ‘risk taking’ di sini. Diberi maklumat sahaja tak cukup sebenarnya. Orang yang menerima maklumat itu sendiri perlu mempunyai hati yang cekal untuk membuktikan sesuatu maklumat yang didengarnya benar.

Begitulah juga dengan sikap ramai dari kalangan petani yang mencuba produk SRI untuk kali pertama. Ada yang teragak-agak, ada yang terus sahaja berani menggunakan, ada juga yang mentertawakan produk ini pada mulanya, dan kemudian terpaksa meminta tolong pada kawan lain untuk membelinya sebab rasa malu untuk membeli sendiri.

Dari kalangan pegawai juga sama. Pada asalnya ramai yang tidak dapat menerima maklumat yang diberikan mengenai penggunaan baja dan pencegah alami. Itu bukan sesuatu yang pelik kerana dalam pembelajaran baik di sekolah, di institusi pengajian tinggi dan dalam industri pertanian, penggunaan bahan alam semulajadi tidak diberi perhatian. Saya menjemput agar kita semua membuka minda kepada banyak ilmu baru dalam pertanian (sebenarnya ini adalah ilmu azali atau pun ilmu alam semulajadi, bukan ilmu baru). Yang mustahaknya kena baca banyak bahan rujukan (kat internet ni seumpama perpustakaan tahap ‘colossal’), dan yang lebih penting kena turun ke ladang dan buat sendiri bersama petani. Selagi kita tidak berdamping dengan petani dan merasai kesusahan dan kegembiraan mereka, kita hanya melayan rasa syok sendiri yang berpanjangan.

Begitu jugalah terhadap ilmu SRI yang mencadangkan penanaman cetek satu anak benih muda. Tidak terbayang dalam minda kita bahawa tanam satu itu bersama dengan pengurusan air, pengolahan tanah, serta penggunaan bahan organik boleh memberi hasil paling tinggi. Tapi itulah hakikat sebenarnya berlaku yang mana seorang petani dari Bihar, India mendapat hasil kasar 22.4 tan sehektar, dan hasil bersih 20.16 tan sehektar. Mak Tam sekarang sedang mencari jadual pengurusan sawahnya yang terperinci dan akan mencubanya di sawah, InsyaAllah. Prof Norman Uphoff dari Cornell University, New York sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Pertanian Tamil Nadu mengenai perkara ini. Buat masa sekarang, kita tunggu saja.

Penanaman Padi di Tamil Nadu (masih guna tenaga manusia)

Penanaman Padi di Tamil Nadu (masih guna tenaga manusia) - kreditgambar trekearth.com

Baru tiga minggu lepas bersembang dengan seorang rakan dari BERNAS. Beliau menyatakan bahawa sekarang Tamil Nadu di India merupakan salah satu pengeksport beras, walhal hanya beberapa tahun dulu mereka cuma mengeluarkan beras cukup makan sahaja. Apabila ditanya tentang apakah usaha-usaha yang membolehkan mereka mengeluarkan beras yang banyak, ‘counterpart’ beliau di Tamil Nadu menyatakan bahawa petani di Tamil Nadu memilih menggunakan kaedah pengurusan SRI. (Sila baca artikel ini).  Yang ini satu berita yang menyokong keyakinan Mak Tam bahawa kita boleh meningkatkan hasil padi negara kita ini dengan cara SRI. Mereka masih guna banyak tenaga manusia dalam pengurusan padi, kita dengan berbagai mesin canggih. Rasanya kalau kita semua serta pihak berwajib bersungguh, tak mustahil. Hendak dengan tak hendak saja.

Baru semalam Mak Tam mendengar maklumat bahawa pada musim lepas, negara kita menunjukkan pengurangan pengeluaran padi sebanyak 100,000 tan. Mak Tam beranggapan bahawa banyak insiden serangan perosak dan penyakit yang dilaporkan oleh berita menjadi salah satu penyebab. Jadi suka atau tidak, kita kena realistik dalam perkara ini. Adakah kebergantungan kepada agrokimia sepenuhnya menjadi salah satu penyebab lebih banyak serangga perosak dan penyakit menjadi kebal kepada racun kimia yang sedia ada? Tidak kah kita semua hendak berusaha ke arah mengseimbangkan alam ini semula agar segala makhluk didalamnya dapat hidup dalam harmoni? Tepuk dada, tanya selera…

Encik Zainal Dari Taliair 14, Sg Besar Akan Cuba Melandak 4 Kali

Encik Zainal (baju biru) Dari Taliair 14, Sg Besar Akan Cuba Melandak 4 Kali

Sebagai langkah melihat sendiri prestasi pokok padi yang dilandak, Encik Zainal dari taliair 14, Sg Besar telah membenarkan kerja melandak dibuat ditanahnya seluas setengah keping (satu setengah ekar).  Pak Tam kata, “Biar pokok tu yang beritahu kat kita”. mm.. betul juga kata Pak Tam tu.  Mak Tam akan laporkan untuk tatapan pembaca sebagai satu langkah pembelajaran bersama.   Oleh itu jenguklah selalu untuk perkongsian seterusnya. Semoga semua pihak termasuk pihak kerajaan, swasta, dan institusi pengajian tinggi sudi memperhebatkan pencarian mesin menanam yang sesuai (tanam satu anak padi setiap point), dan sudah tentu membanyakkan mesin melandak.   :D

Padi SRI Selangor : SRI-D’Dorani Melangkah Gagah

UPDATE :  Jika berminat menengok gambar-gambar pada hari kursus,sila kik di sini.

SRI D'Dorani Melangkah Gagah Ke Arena Pertanian Fitrah Alam

SRI D'Dorani Melangkah Gagah Ke Arena Pertanian Fitrah Alam - Syabas dan Tahniah kepada Puan Salbiah Sani, Tok Sidang Shafie bin Zakaria dan pasukan SRI-D'Dorani

Sebelum ini, kita telah melihat kepada penubuhan SRI-D9 yang beroperasi di Parit 9, Sg Leman, Selangor. Alhamdulillah, semalam sebuah lagi bengkel pengeluar produk SRI melangkah ke arena pertanian fitrah alam. Penekanan SRI sebagai langkah yang paling menguntungkan adalah berusaha kearah mengurangkan kos bersawah. Selama dua musim bersawah, rakan-rakan SRI di Sg Leman, Sawah Sempadan, Panchang Bedena, Pasir Panjang, Sg Nipah dan Sg Hj Dorani telah menceritakan dengan gembiranya tentang prestasi tanaman padi mereka yang menggunakan produk SRI, dan juga penjimatan yang mereka buat dengan pengurangan membeli racun kimia dan baja tambahan.

Produk SRI : Label Botol SRI Anak, SRI Bunga, dan SRI Buah

Produk SRI : Label Botol SRI Anak, SRI Bunga, dan SRI Buah

Dengan mengguna baja subsidi dan insentif yang diberi oleh kerajaan, dan menggabungkan penggunaan produk SRI, mereka rata-rata menikmati tiga kelebihan – kos pengeluaran bersawah berkurangan, mereka kurang menggunakan racun kimia (sembur produk SRI yang mesra alam adalah selamat), dan ramai yang menikmati hasil padi yang lebih.

Mak Tam nak berjumpa dengan setiap mereka yang menggunakan produk SRI dan temuramah mereka. Video-videonya nanti akan dikongsi di blog ini agar ramai dikalangan kita dapat mendengar sendiri testimoni mereka. Bak peribahasa Melayu, hanya jauhari sahaja mengenal manikam. Jauharinya di sini adalah para petani. Jadi kalau nak tanya sama ada sesuatu itu baik atau tidak untuk mereka, hanya mereka yang tepat membuat penilaiannya.

Syabas Puan Salbiah Sani

Puan Salbiah Sani Mengorak Perubahan di Kampung Sg Hj Dorani

Pada masa yang sama, Puan Salbiah Sani, Pembantu Pertanian Kawasan, memainkan peranan yang sangat positif memberi motivasi dan bimbingan kepada kumpulan ini. Bukan sesuatu yang senang untuk menubuhkan kumpulan sebegini. Bukan senang juga untuk mendapat kepercayaan petani sekeliling untuk menggunakan produk SRI di sawah mereka.

Ini adalah kerana bagi ramai petani, hasil padi mereka merupakan pendapatan yang menyara keluarga mereka. Jika terdapat kekurangan pada hasil, maka akan menyusahkan mereka sekeluarga. Jadi untuk membuat perubahan kepada sesuatu yang telah menjadi kebiasaan bukannya sesuatu yang mudah.

Di sinilah Pak Tam dan Mak Tam menawarkan diri untuk menghebahkan cara-cara yang boleh dibuat untuk mengurangkan kos bersawah, dan satu langkah yang agak mudah untuk menaikan hasil padi. Hingga ke hari ini, entah berapa banyak penerangan dan latihan yang telah kami lakukan sejak awal 2011, Mak Tam pun dah lupa. Tapi yang tentunya, kami berdua sangat ‘motivated’ kerana sambutan dari rakan-rakan tani sangat mesra dan terbuka.

Bagi kami berdua, yang mustahak adalah menyampaikan maklumat kepada para rakan tani. Jawab segala pertanyaan semampu yang boleh. Alhamdulillah, bagi yang mengambil inisiatif membuat perubahan kepada mencuba produk SRI, seperti mengguna bahan pereput SRI dan baja serta pencegah perosak alami SRI, telah menikmati pengurangan kos dan peningkatan hasil. Kami akan terus berusaha agar banyak lagi ilmu fitrah alam yang dapat dikongsi bersama. InsyaAllah.

Di bawah ini adalah beberapa gambar pada hari itu untuk tatapan. Semoga dipermudahkan segala urusan… Amin..

"Angkat tangan jika ingin tahu cara megurangkan kos bersawah"

"Angkat tangan jika ingin tahu cara mengurangkan kos bersawah" (Klik untuk besarkan gambar)

Muslimat Juga Tidak Mahu Ketinggalan

Muslimat Juga Tidak Mahu Ketinggalan

———————————————————————————————————————————————–

Latihan Membuat Campuran Produk SRI

Latihan Membuat Campuran Produk SRI

Kehadiran Petani

Kehadiran Petani

Razak Chik : Produk SRI Berkesan Mengawal Penyakit Karah, Reput Tangkai dan ‘False Smut’

{Asas Pembuatan Baja SRI : 1. Cara membuat IMO1 dan IMO2 mustahak dipelajari.  2. Bahan yang kena buat untuk campuran produk SRI adalah FPJ, FFJ (mukasurat 6-8), FAA (mukasurat 9), 5 jenis OHN (mukasurat 10-11), CaP dan PCa (mukasurat 13). Jadi bahan asasnya adalah 10 jenis. Kalau boleh buat kesemua 10 jenis ini sudah mencukupi. Pelajari lah asasnya dari buku panduan Natural Farming oleh Jabatan Pertanian.}

Dengarlah sendiri apa kata Encik Razak Chik mengenai pengalamannya mengguna produk SRI. Produk SRI boleh dibuat sendiri. Mak Tam buat kat dalam dapur saja. Dah cukup 10 bahan asas untuk dibuat campuran.

Apa yang Mak Tam nak cerita sebenarnya ialah kita ada pilihan untuk terus menerus berharap kepada racun, atau belajar cara yang telah terbukti boleh dijadikan penyelesaian masalah kos bersawah yang semakin memeras petani.

Dalam perbincangan dengan rakan-rakan dari Indonesia dan India, pergantungan terhadap agrokimia dikalangan petani di negara mereka ada yang ditahap menyeksakan. Tahap keracunan yang membawa maut terhadap pengguna racun, dan juga terhadap anak-anak mereka sehingga ada yang membawa kecacatan seumur hidup.

Ramai juga yang hidup mereka terbelengu dengan hutang kerana racun yang dibeli tiada gerenti mereka mendapat hasil. Kalau sudah diserang perosak dan penyakit, yang tinggal hanyalah hutang sekeliling pinggang. Apa hasil yang didapati dari penanaman padi mereka, adalah untuk membeli agrokimia untuk musim seterusnya.

Sebenarnya, Encik Razak Chik sendiri pernah menceritakan tentang perbualannya dengan seorang petani dari Sekinchan yang memberitahu bahawa keuntungannya hanyalah subsidi harga padi yang diberi kerajaan. Jika tiada subsidi harga padi itu, memang dia tidak buat sebarang keuntungan kerana kos pengeluaran bagi petani di Sekinchan adalah dalam RM6,000 semusim bagi sehektar.

Setiap kali Mak Tam membaca berita tentang serangan perosak dan penyakit padi di Seberang Perak, di Kedah, atau di Pulau Pinang, Mak Tam rasa amat sedih. Rasa macam petani tiada pembelaan apabila petani disuruh menggunakan cara konvensional iaitu guna racun, racun dan racun lagi. Tidak kah ada pihak berwajib yang hendak mencuba cara fitrah alam yang telah kita pelajari dari Korea. Sudah 8 tahun kita didedahkan dengan kaedah natural farming dari Korea, telah pun dicuba di Pusat Pertanian Bumbong Lima, Pulau Pinang selama 6 musim, dan di Pusat Pertanian Melor, Kelantan selama 8 musim.

Mak Tam juga faham kerana ramai dari kalangan tokoh pertanian takut bahawa dengan beralih kepada cara ala organik, maka hasil padi akan turun. Tidak perlu kita bertukar kepada 100% organik. Cuba ‘cantum’ ilmu organik dengan ilmu konvensional, dan ambil jalan tengah yang boleh memberi keputusan yang terbaik. Di Selangor, kami telah menjumpa formula yang mana boleh membantu menghindarkan serangga perosak (walau pun masih mencari penyelesaian untuk ulat pengorek batang), dan penyakit akibat kulat dan bakteria. Malah berupaya mengurangkan kos membeli berbagai racun kimia, tetapi masih berkesan mengawal perosak dan penyakit. Kos bersawah dapat dikurangkan melebihi 50%, dan petani yang kreatif dan berkeyakinan, dapat mengurangkan kos membeli agrokimia sehingga 80%. Setelah dua musim mencuba, hasil ada kenaikan sedikit kerana kurang perosak dan penyakit, dan yang bagusnya ialah kos bersawah dapat dikurangkan.

Pihak berwajib kerajaan mempunyai wang yang banyak dan kepakaran yang ramai dalam pelbagai bidang. Cubalah melihat kepada cara yang Mak Tam nyatakan dalam blog Mak Tam ini. Kalau kita semua berusaha kearah kebaikan, InsyaAllah pertolongan Allah swt bersama kita. Mak Tam dan Pak Tam serta rakan-rakan SRI hanya mampu sedikit sahaja membantu petani, tetapi pihak berwajib mampu membawa perubahan yang cepat dan melibatkan ramai petani. Ini doa saya. Ya Rabb.. bantulah petani yang sentiasa menjadi catur dalam usaha-usaha ‘permodenan pertanian’. Permudahkanlah usaha kami ini Ya Allah….

.

Ringkasan:

Sawah saya sebelas-sebelas lot tidak didatangi oleh penyakit karah, reput tangkai, ‘false smut’ ada satu dua. ‘False smut’ iaitu buah pecah.

Kawan saya Ridzuan, salah sorang pegawai pertanian Sg Burong, loji benih. Beliau telepon saya tengahari. Dia datang check sawah saya. Dia lah yang meluluskan. Kalau dia lulus, luluslah. Kalau dia tak lulus, tak luluslah.

Eh Razak, mari datang sawah jap. Eh tuan, ni tengahari ni, jom kita minum dulu. Tak, kau datang ke sawah jap. Saya datang lebih kurang dalam pukul dua.

Razak, saya peliklah. Kenapa sawah false smut tu sebiji, dia tak merebak. Saya pun tahu, benda tu memang hari-hari saya pergi kat sawah tu.

Sebelum tu, kalau dah kena ‘false smut’ confirm tak kan lulus untuk benih. Dia akan rosak sampai ke bawah.

Yang ni saya kena sebiji, dia tetap akan rosak sebiji. Dia akan jadi busuk sebiji tu saja, yang lain cantik, comel.

Jadi Ridzuan tanya saya, Razak kau pakai apa? Ridzuan, saya nak cakap. Yang mana satu berkesan saya tidak tahu. Tapi saya cakap saya gunakan produk SRI.

Dia pun fikir, apa dia benda SRI tu? Kalau nak tahu maklumat lanjut saya cakap jumpa Puan Wahidah.

Saya tanya, kalau nakkan saya punya ilmu, saya nak tanya padi saya ni lulus atau tidak? Sapa tak nak lulus, tuan-tuan. Harganya satu empat, sekarang satu tiga. Kalau dulu zaman skim SPBB satu empat (RM1400 se tan).

Wan, padi saya ni lulus atau tidak? Dah, aku tunjuk ni. Dah right pun dah kau punya dah lulus. Kau punya sebelas lot, sebelas sebelas lot dah lulus.

Reput tangkai jiran saya kena, reput tangkai, karah daun jiran saya kena. Saya alhamdulillah. Yang amat ketara, Puan Wahidah pergi bendang, satu lot 3 ekar. 5 rantai saya punya didepan, 5 rantai dibelakang, petani lain punya.

Saya punya tidak ada kena reput tangkai dengan karah daun. Kalau ia merebak, sempadan 5 rantai, sudah tentu ada kena karah daun. Itu pengalaman saya menggunakan produk ini, sebab sekarang sayalah yang akan memperjuangkan produk ini untuk petani.

Mengapa saya bercakap begitu? Sebab selama ni saya menggunakan seratus peratus bahan kimia. Satu pun saya tak pernah cuba bahan organik.

Musim lepas saya gunakan 50 kimia, 50 organik. Musim ini Alhamdulillah, saya akan cuba gunakan produk SRI sebanyak 70%. Hanya bahan kimia 30%.

Bantuan yang kerajaan bagi saya akan pakai. Baja subsidi, racun yang diberi saya akan pakai. Tapi saya campur seminima yang boleh.

Sampai hari ini sawah saya berumur 15-16 hari, saya belum ada menggunakan racun kimia. Setakat hari ini, saya hanya menggunakan kangkung sahaja. Yang lain saya belum ada guna.

Padi SRI Selangor : Kurangkan Kos Bersawah – Siri 1 (Masukkan Jerami Segar Kedalam Tanah Basah)

Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Selangor

Pegawai-Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Selangor

Hari ini rasa bersemangat sungguh. Alhamdulillah.. Pak Tam dan Mak Tam masuk gear empat dalam usaha menyebarkan berita gembira bahawa melalui SRI, dan kerjasama rakan-rakan dari Jabatan Pertanian serta warga tani, kami telah menemui rahsia mengurangkan kos bersawah, malah termasuk kos bertanam sayur.

Bukan pengurangan yang sedikit, tetapi yang sudah tentunya menggembirakan semua yang membuatnya. Hingga sekarang, hampir 200 orang mendampingi cara SRI. Dan belum ada seorang pun yang mengatakan dia tidak gembira dapat menjimatkan duit. Sudah tentu sahaja senyuman meleret apabila ditanya kepada mereka pengalaman menggunakan produk bio-baja dan bio-pestisida yang dibekalkan oleh SRI-D9. Juga sudah ada yang mula membuat produk SRI secara berperingkat. Tak kurang juga yang ingin belajar membuat IMO2 atau MOL Nasi.
Sebagai membuka Siri 1 – “Kurangkan Kos Bersawah” ini, Mak Tam nak bawa semua melawat Sawah Sempadan. Bulan November 2011 lalu, boleh kata keseluruhan kawasan Sawah Sempadan siap menuai. Kena pula masa itu hingga ke pertengahan Disember, cuaca mendung dan selalu hujan. Melihat kepada tanah sawah yang basah, Pak Tam cadangkan agar demo untuk merawat jerami segar dan memasukkannya balik ke dalam tanah diadakan.

Kami berbincang dengan Encik Zaimi, pegawai pertanian yang bertanggungjawab, dan Zaimi mencadangkan 10 lot di blok W dijadikan petak demo. Perkara tersebut mendapat persetujuan Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Maka pada 16 November, Encik Talib dan rakan-rakan dari PLKP, Tg Karang telah memulakan kerja-kerja. Lihatlah video di bawah ini.


.
Bagaimana pulak merawat dan memasukkan jerami dalam tanah boleh membawa kepada penjimatan kos bersawah? Mari kita bincangkan perkara tersebut.

Prof Dr Iswandi Anas - Jerami Segar Adalah Baja

Prof Dr Iswandi Anas - Jerami Segar Adalah Baja

1. Dengan hanya membuat pembajakan tanah sawah sebaik saja siap menuai, kita dapat mengembalikan segala baja yang ada dalam jerami masuk ke dalam tanah. Cuma ada satu sahaja yang baru, iaitu dengan menyemburkan jerami segar tadi dengan IMO2 (MOL Nasi) dan FPJ (MOL Kangkung). Ini akan menambahkan mikrob yang mereputkan jerami ke dalam tanah. Bahan organan yang reput dengan baik dalam tanah akan bertambah. Hidupan kecil dan halus yang ditempatkan didalam tanah oleh Penciptanya untuk bekerja mengilang makanan untuk tumbuhan membiak dengan banyak.

2. Bahan pereputnya boleh dibuat sendiri. Sila muat turun nota latihan Pak Tam mengenai “Cara Membuat IMO1 & IMO2“. FPJ atau MOL Kangkung boleh dibuat sendiri juga. Muat turun buku Panduan Natural Farming ini. Ikut panduan di mukasurat 6 dan 7. Buat jangan tak buat. Sesiapa yang bersawah sudah tentu tahu harga pereput dipasaran. Kan itu sudah dapat jimat banyak, tu… Kalau nak cuba khasiatnya, beli saja kat SRI-D9.

3. Dalam tanah yang tidak tercemar oleh bahan agrokimia teramat banyak jenis dan bilangan bakteria, kulat, cacing, hidupan kecil, dan pelbagai lagi. Tapi bagi tujuan pereputan, sejenis bakteria yang sangat banyak jasanya, iaitu Bacillus subtilis. Sebulan dua ini setiap hari Mak Tam cari maklumat mengenai bakteria ini. Sungguh mengagumkan peranan yang diberi ALlah swt kepada bakteria ini. Tapi kali ini biarlah disini dulu. Mak Tam akan bercerita mengenai bakteria yang hebat ini dalam satu posting yang tersendiri.

4. Bagi kawasan yang kering, cara memasukkan jerami akan jadi agak susah sikit. Ada satu peringkat yang perlu dibuat sebelum menyembur IMO2 dan FPJ. Posting selepas ini Mak Tam akan beritahu.

Padi SRI Selangor : Perasmian Selangor Agrofest (28 Nov – 4 Dis, 2011)

Selangor Agrofest 2011 : Tan Sri Khalid Ibrahim

Selangor Agrofest 2011 : Tan Sri Khalid Ibrahim

Sudah tentu sahaja banyak yang boleh diceritakan. InsyaAllah. Jemputlah menonton video kemuncak majlis perasmian Selangor Agrofest 2011 dulu.

Selangor Agrofest 2011 bermula pada tahun ini dengan penuh harapan. Pada saya yang mustahaknya adalah bidang pertanian diberi pengiktirafan atas kepentingannya terhadap pembangunan negeri. Ini adalah kerana ramai berpendapat bahawa bidang-bidang lain seperti perindustrian dan perkhidmatan memainkan peranan membangunkan ekonomi sesebuah negeri dan memandang sepi peranan bidang pertanian. Mereka lupa bahawa walau bagaimana maju pun sesebuah negeri atau negara, jika bergantung sepenuhnya keperluan makanan kepada orang lain, pada suatu masa nanti akan mengalami kepayahan apabila bekalan makanan kekurangan. Jangan kita lupa kepada insiden kekurangan bekalan beras pada 2008 lalu. Tidak mustahil ia mungkin berlaku lagi pada masa hadapan. Mungkin disebabkan oleh bencana alam, atau pertelingkahan diantara negara-negara pengeluar beras, atau serangan penyakit padi berleluasan. Kita tidak tahu apa boleh berlaku di masa hadapan, jadi perlu sentiasa merancang dan bersedia untuk menghadapi berbagai kemungkinan.

Johan Pembimbing Terbaik : Encik Kashim Sarman

Johan Pembimbing Terbaik : Encik Kashim Sarman

Berbagai kategori pertandingan bagi menggalakkan persaingan dikalangan petani dan penduduk luarbandar diadakan sepanjang tahun. Kemuncak acara adalah penyampaian hadiah bagi pertandingan kategori projek terbaik (Johan RM50,000, Kedua RM30,000, Ketiga RM20,000, Saguhati RM500)), kategori ketua blok terbaik (Johan RM3,000, Kedua RM2,000, Ketiga RM1,000), kategori hasil tertinggi (RM500), kategori pembimbing terbaik (Johan RM2,000, Kedua RM1,500, Ketiga RM1,000), kategori ketua kampong terbaik (Johan RM2000 & RM5000), dan kategori rumah tradisional terbaik (Johan RM10,000, Kedua RM8,000, Ketiga RM5,000). Program Bantuan Dana Nelayan bagi nelayan darrah Sabak Bernam adalah RM527,423. Semoga aktiviti-aktiviti seperti ini mendorong petani dan warga luarbandar terus mencari yang terbaik dalam semua bidang. Syabas dan tahniah kepada yang menang. Agar menyingkap semangat untuk terus memberi yang terbaik!

Semasa di majlis perasmian Agrofest, saya sibuk mengambil gambar – satu aktiviti yang menjadi kegemaran saya sekarang. Rupanya seronok merakamkan detik demi detik kerana setiap detik itu tidak akan berulang. Jadi pesan saya kepada mereka yang muda, rakamlah detik-detik istimewa dalam hidup, kerana ianya datang hanya sekali itu. Esh.. udah cerita lain pulak saya ni.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Semasa saya mengambil gambar majlis penyampaian hadiah kepada penerima anugerah, saya menoleh ke belakang menghadap para jemputan. Mata saya ternampak seorang insan yang saya kagumi. Saya terus meminta kebenaran untuk mengambil gambarnya. Dia tersenyum dengan manis sekali dan menganggukkan kepalanya, juga menjemput saya mengambil gambar bersamanya. Keayuan dan kelembutannya menyentuh sanubari saya. Tapi saya mengagumi kecekalan dan ketabahan hatinya. Kekuatannya mengharungi seribu macam pengalaman hidup yang tidak wajar dilemparkan terhadap dirinya dan keluarganya oleh orang-orang yang tidak berhati perut. Semoga Allah memberi dirinya dan keluarganya perlindungan dari orang-orang yang jahat. Amin.

System of Rice Intensification (SRI) in Malaysia : Giving Credit Where Credit Is Due

.

Padi SRI Selangor : Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor

Padi SRI Selangor : Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim, MENTERI BESAR SELANGOR

.

“…Selangor state is becoming a source of innovation for advancing SRI, ranging from pest control (for goldenapple snails that eat young seedlings), to utilizing microorganisms to enhance soil biological processes, to state-of-the-art mechanical engineering…”  

Prof Dr Norman Uphoff, Senior Advisor SRI-Rice, 

Cornell University, Ithaca, New York.

.
Tanggal 2 Ogos, 2010, Pak Tam dan saya mendapat mandat daripada Tan Sri untuk meneliti penanaman padi yang ada di Tunjong, Kelantan, yang juga mempunyai kaitan dengan cara menanam padi di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.

Sejak hari tersebut, pelbagai pengalaman baru yang mencabar minda kami lalui. Satu terus kekal dan bersemarak, iaitu semangat untuk menggunakan ilmu SRI (System of Rice Intensification) dan mengadaptasikan ia untuk dimanfaatkan oleh seramai petani yang boleh.

Pak Tam dan saya berasa amat besar hati mendapat kepercayaan meneruskan usaha mencari jalan menggunakan ilmu SRI untuk petani sejagat. Walau pun ada masanya terpaksa menongkah arus, but it’s all worth it in the end. Amat berbaloi akhirnya :D

Ilmu SRI adalah ilmu untuk memperkasakan sekelian makhluk dalam zone akar tanaman (rhizosphere). Banyak perkara mengenai mikrobiologi tanah yang kita perlu belajar. Mengetahui dan memahami bagaimana mikrob dan kehidupan seni dalam tanah berfungsi akan mencerahkan pemahaman kita. Usahalah untuk mengorek rahsianya.

Melalui SRI kami menjumpai jawapan kepada pengurangan kos pengeluaran tanaman, baik padi atau pun sayuran. Apa mungkin kita berpaling ke arah lain apabila terbukti produk SRI yang berasaskan konsep natural farming Korea memberi alternatif kepada baja dan racun kimia? Petani menghela nafas lega apabila duit dari keringat kudratnya sekarang tidak perlu dihantar kepada kedai racun seperti yang dibuatnya setiap musim.  Subhanallah..

Bagi ramai ahli pertanian, SRI merupakan sesuai hanya untuk petani yang tinggal di negara mundur, yang mana tenaga buruhnya banyak dan murah. Mereka dengan penuh yakin bahawa SRI tiada tempat untuk negara yang mana pertaniannya bermekanisasi sepenuhnya seperti di jelapang padi di Malaysia.

Tapi kami mengambil pandangan yang lebih terbuka. Dalam dunia yang penuh berteknologi ini, semua perkara boleh di mekanisasikan. Dari tanam satu anak satu point kepada kerja melandak. Cuma kedua perkara ini sahaja yang memerlukan pengubahsuaian pada mesin yang sedia ada dalam negara.

Mesin melandak terbaru telah menembusi kebuntuan minda dan direalisasikan. Hanya tinggal mesin yang menanam satu anak satu point sahaja. Berita yang baru saya dengar dari Tuan Haji Ali Boher, Tuanpunya Sendi Enterprise yang membekalkan perkhidmatan menanam padi, mesin yang menanam padi hibrid di Jepun dan China memang sudah digunakan untuk tanam satu. Mmm.. tersenyum saya mendengarnya. Mungkinkah dengan wujudnya mesin menanam satu anak satu point ini akan menjadi ‘the last bastion of opposition?’

Walau apa pun, segelintir petani di Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, dan Perak sudah ada yang mengorak langkah untuk mendampingi SRI. Masa akan mencerahkan kefahaman dan mencetus penerimaan. SRI cuma satu lagi pilihan yang petani boleh ambil dalam keadaan biasa, atau dalam keadaan kekurangan bekalan benih, atau dalam situasi kekurangan bekalan air ke sawah, dan dengan keinginan mengurangkan kos pengeluaran yang sekarang amat membebankan petani. Pilihan ada didepan mata kita. Tiada yang memaksa, tiada yang menyuruh. Cuma kami memberikan pencerahan minda dan pemahaman mengenai potensi yang ada pada SRI – System of Rice Intensification.

Next Page »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 53 other followers