Padi SRI Selangor : Apa Itu Superweed? Part 16

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Apa Itu Superweed? Part 16

mmm.. petang tadi ada wakil daripada syarikat racun rumput (sudah pasti anda boleh mengagak syarikat yang mana satu, kan?) ingin berbincang mengenai apa yang Mak Tam tulis dalam blog ini. Pak Tam kata kalau nak jumpa jom pergi sawah esok kerana kami ada kerja di sana. Mak Tam pun teringin nak tahu apa yang hendak dibincangkan. Esok Mak Tam akan ceritakan di blog ini. Tapi sebelum itu, sila baca mengenai masalah yang menimpa petani di US di sini. http://eatdrinkbetter.com/2013/07/01/superweeds-and-herbicide-use-on-the-rise/. Lepas tu tengok video ini yang dah Mak Tam letakkan alihbahasa bagi membantu.

Siapalah agaknya yang membuat carian katakunci sebegini di internet? Boleh anda teka siapa? Mak Tam harap ia adalah rakan-rakan Mak Tam yang kat satu organisasi yang boleh membuat sesuatu untuk membantu petani.

padi+kebal+tidak+kebal+penyakit 5
akhbar tentang penanaman padi 4
pak+tam+padi+kebal 3
labu+kayu+baja+pencegah+perosak 3
padi+kebal+pak+tam 3
padi sri selangor pak tam mak tam tentang padi kebal 3
pak tam & mak tam on padi kebal

.
Siri Kembara Padi Kebal

1. Mana Lebih Membawa Padah – Padi Angin atau Padi Kebal?

2. Petani Mula Meminati Padi Kebal

3. Kesan Racun Padi Kebal Terhadap Tanaman

4. Mengenali Padi Kebal

5. Petani Mengeluh Harga Pakej Padi Kebal Mahal

6. Masalah Serangan Perosak Meningkat

7. Ancaman Serangga Perosak & Penyakit Terus Meningkat

8. Petani Mula Merungut & Tertanya-tanya

9. Itik Ternakan Menjadi Mangsa Racun Padi Kebal

10. Siapa Sebenarnya Mempromosi Padi Kebal

11. Ambil Iktibar Dari Gejala GMO (Genetically Modified Organism)

12. Penanaman Padi Kebal Tidak Dikawal

13. Ancaman Super Padi Angin atau ‘Superweed’

14. Keselamatan Makanan Terjejas Dengan Padi Kebal

15. Skandal Benih Padi Dalam Negara

16. Benih GMO Kapas BT Adalah Satu Kesilapan

Advertisements

Padi SRI Selangor : Skandal Benih Padi Dalam Negara – Part 14

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Skandal Benih Padi Dalam Negara – Part 14

Adakah Bekalan Benih Dalam Tangan Petani? Kalau tidak, bekalan benih dalam tangan siapa?

Adakah Bekalan Benih Dalam Tangan Petani? Kalau tidak, bekalan benih dalam tangan siapa?

.
Baca dengan hati. Ini rintihan daripada warga Kementerian sendiri iaitu orang yang tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tak cukup-cukup merompak hak rakyat. Petani yang sepatutnya menikmati semua wang tersebut, akhirnya menanggung kesusahan berpanjangan. Kemudahan untuk petani mendapat benih padi yang berkualiti tinggi juga terjejas. Jaminan untuk perancangan dan pembekalan benih padi bagi negara juga tergugat. Petani terpaksa membeli dan menanam padi kebal kerana jiran tanam padi kebal. Kalau dia tanam padi lain, alamat tak berpendapatanlah musim tersebut. Semuanya pasal adanya pemimpin yang tamak tahap gaban.

Penanaman padi kebal oleh petani padi telah membawa kepada ramai petani sayuran bersebelahan sawah bertanam padi kebal di Sg Leman hilang punca pendapatan. Ini belum lagi mengira kerugian terhadap modal yang mereka telah laburkan. Baca dan renungkanlah. Nanti akan Mak Tam coretkan keluhan ramai dari antara mereka.

Keluhan Petani Sekinchan

Keluhan Petani Sekinchan

Keluhan Petani Sekinchan

Semasa lawatan ke Sekinchan membawa pelajar-pelajar universiti dari Mexico, terjumpa seorang petani Sekinchan. Dalam perbualan, petani ini menyatakan kesusahan kebanyakan petani kerana katanya sekarang ini masalah mereka adalah untuk mendapat benih. Mereka hanya dapat membeli daripada dua syarikat sahaja. Katanya, oleh kerana kedua pembekal ini tidak ada saingan, maka kualiti benih tidak diambil berat. Ada benih yang tak tumbuh. Ada benih yang disyaki membawa penyakit.

Petani Sayur Hilang Pendapatan dan Tanggung Kerugian

Tercemar Racun Padi Kebal

Pokok Kacang Panjang Rosak Tercemar Racun Padi Kebal

Perbincangan Petani Sayur Kawasan Sg Leman, Sabak Bernam

Perbincangan Petani Sayur Kawasan Sg Leman, Sabak Bernam Mengenai Kerosakan Tanaman Mereka Disebabkan oleh Racun Padi Kebal

Siri Kembara Padi Kebal

1.   Mana Lebih Membawa Padah – Padi Angin atau Padi Kebal?

2.   Petani Mula Meminati Padi Kebal

3.   Kesan Racun Padi Kebal Terhadap Tanaman

4.  Mengenali Padi Kebal

5.  Petani Mengeluh Harga Pakej Padi Kebal Mahal

6.  Masalah Serangan Perosak Meningkat

7.  Ancaman Serangga Perosak & Penyakit Terus Meningkat

8.  Petani Mula Merungut & Tertanya-tanya

9.  Itik Ternakan Menjadi Mangsa Racun Padi Kebal

10. Siapa Sebenarnya Mempromosi Padi Kebal

11.  Ambil Iktibar Dari Gejala GMO (Genetically Modified Organism)

12. Penanaman Padi Kebal Tidak Dikawal

13. Ancaman Super Padi Angin atau ‘Superweed’

14. Keselamatan Makanan Terjejas Dengan Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 13

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 13

Adakah Bekalan Benih Dalam Tangan Petani? Kalau tidak, bekalan benih dalam tangan siapa?

Adakah Bekalan Benih Dalam Tangan Petani? Kalau tidak, bekalan benih dalam tangan siapa?

Sebenarnya, biji benih itu adalah sambungan nyawa makhluk di dunia. Ada benih, ada tumbuhan. Ada tumbuhan, adalah makanan. Tumbuhan beri makanan pada haiwan seperti lembu, kambing dan sebarang haiwan ternakan. Tumbuhan dan haiwan jadi makanan manusia. Selagi manusia tanam biji benih, selagi itulah kitaran kehidupan bersambung zaman.

Kalau Mak Tam ini nak kaya raya, senang saja. Kawal benih itu. Buatkan ia satu komoditi yang terpaksa dibeli oleh petani untuk meneruskan bertani. Setiap kali petani nak tanam, petani kena cari Mak Tam. Bayar wang, baru dapat benih.

Kalau Mak Tam nak kaya sampai buncit meletup, juga senang. Mak Tam akan olahkan benih itu sebagai benih transgenik. Masukkan daya tahan dari sejenis racun rumput kedalam gennya. Bila petani nak beli, Mak Tam akan kata kepadanya, “awak kena beli padi kebal ini dipakej bersama racun rumput imida. Harganya cuma RM120 satu set. Awak akan perlu dalam 7 set untuk 3 ekar. Baru RM840 sahaja. Hasil padi gerenti akan meningkat. Pasal padi angin sudah diracun dengan imida. Lagi pun racun ini aktif hingga tuai hasil. Tak payah sembur racun rumput apa-apa lagi. Bukankah itu satu pelaburan yang baik? Tapi ingat, awak tanam 2 musim sahaja!

Nak dijadikan cerita, maka adalah beberapa petani yang tanam padi kebal dan dapat hasil yang tinggi. Mencanak naik dari 1.5 tan kepada 11 tan. Adui.. bukan kepalang gembiranya petani. Kalau macam ini, tak mengapa pakej benihnya mahal. Berbaloi.. sungguh berbaloi… Kalau hasil macam ini, manakan boleh ditanam 2 musim sahaja. Mesti ditanam bermusim-musim supaya petani semua dapat manfaatnya. (akan bersambung – ni tengah tulis ni)

Pelbagai Benih Tumbuhan Makanan

Pelbagai Benih Tumbuhan Makanan – Kredit gambar – growerdirect.com

.
Mungkin ada pembaca akan tertanya-tanya, “Macam mana pulak petani dah tak ada pilihan. Bukankah mereka boleh tanam MR219, MR253, MR263, dan yang baru MR269? Bukan ada sesiapa pun akan penjarakan petani kalau mereka tak tanam padi kebal.”

Jom Mak Tam bawa anda ke realiti show kat negara ini. Apabila jiran sebelah tanah sawah bertanam padi kebal, petani akan berfikir berkali-kali untuk tanam padi selain daripada padi kebal. Apabila jiran atau pekerjanya membuat semburan racun imida, dan tidak mengawal halatuju semburan, lalu dibawa angin akan semburan racun imida ke sawah berjiran, maka pokok padi MR akan tersentot dan mati. Dah berapa ramai petani bergaduh kerana padi MR mereka kena tempias racun sebegini.

Jika macam kat kawasan padi di Kedah yang mana air mengalir dari satu sawah kepada sawah yang lain, air yang ada racun imida itu juga akan menyebabkan pokok padi MR terencat pertumbuhannya. Jadi apa pilihan yang tinggal pada petani? MR219 pun dah berbelas tahun dan ada pegawai kata sudah ‘breakdown’. Maksudnya makin mudah kena serangan perosak dan penyakit. Tapi kalau tanam juga, nanti dibunuh oleh racun imida sawah sebelah pulak. Nak cari benih MR253, MR263, dan MR269, berebut-rebut orang lain juga cari, benih tak cukup untuk semua orang. Hish… baiklah bawak padi kebal. Halas! Tak payah fening-fening. Nampak tak urutan cara pemikiran petani. Juga lihatkan urutan saikologi orang-orang yang nak kaya dengan memulas tangan petani supaya menggunakan padi kebal. (haluuuuussssss sekali).

Fikir balik. Syor penggunaan padi kebal adalah 2 kali sahaja. Tidak lebih dari itu. Tetapi, kilang benih padi terus saja jual benih padi kebal secara terbuka. Mana kawalannya? Sapa yang kawal? Mak Tam pernah tanya kat kawan (Mak Tam sengaja tak mahu sebut namanya. Tapi bukan calang-calang pangkatnya weh..), “Eh.. siapa yang sebenarnya bertanggungjawab tentang perancangan benih padi di negara ini sekarang? Kalau dulu, Jabatan Pertanian merancang dan melaksanakan pengeluaran benih padi untuk negara. Sekarang ni siapa?”

Lama juga dia termenung. Mana dia tak termenung? Nak jawab soalan yang tersangat mudah. SAPA buat perancangan benih padi di negara ini? SAPA yang pastikan bahawa bekalan benih terpilih cukup untuk semua pesawah negara ini? SAPA? SAPA? kerana ‘FOOD SECURITY’ atau ‘KESELAMATAN MAKANAN’ negara sebenarnya bermula dengan benih. Kalau benih padi ada masalah, ia akan memulakan rantaian kejatuhan hasil padi negara. Tup- tup- mungkin terjadi insiden seperti tahun 2008, negara dikejutkan dengan ‘kehilangan’ beras dalam pasaran dunia. Tiba-tiba ada negara pengeluar yang enggan menjual beras mereka kepada Malaysia kerana takut simpanan untuk rakyat mereka tak cukup. Dan kita terpaksa beli juga walaupun harganya berdentum tinggi. Apa nak dikatakan? Bukan salah ibu mengandung, kita terlena zzzzzzzzzzz…..

Minggu lepas Mak Tam balik Kedah dengan Pak Tam. Dengar rintihan keluarga di Kedah. Rintihan rakan-rakan. Rintihan rakan-rakan fb yang walau pun lama dah kenal di fb, tapi baru kali ini berjumpa. Rata-rata merintih kerana dapat hasil padi kurang dari 1 tan se relong Kedah (anggaran 3 tan sehektar). Sama saja jawapan samada ditanam di Padang Lumat, atau di Kg Jelai, atau Kg Dulang, Yan.

Mak Tam tanya tanam padi apa? Hampir kesemua menjawab padi kebal. Mak Tam tanya pasal apa teruk sangat hasil. Mereka kata kena serangan penyakit padi kering pada umur 100 hari. Sebelum itu, padi cukup cantik. Selepas 100 hari tepat, daun padi jadi kekuningan dan terus kering. Sampai ada batangnya pun kering. Hasil padi nampak banyak, tapi ringan, kata mereka.

Kak ipar kata dia kena penyakit bom. Mak Tam tanya kat kawan, rupa nya kena serangan bena perang. Kak ipar kata, ‘sembur racun bermacam-macam. Habis juga,’. Nada suaranya kecewa. Matanya redup mengingatkan banyaknya modal yang telah dikeluarkan. Adik ipar lelaki pulak kata, ‘bukan habih modal saja, hutang racun pun tak boleh bayar!’

Bena Perang Serang Kedah danPerlis

Bena Perang Serang Kedah danPerlis

Ini satu perkara yang sangat membimbangkan. Kalau padi kebal yang ditanam di Selangor juga kena serangan bena perang dan penyakit reput tangkai dan hawar daun sebegini, Ya Allah! Seluruh kawasan dari Sawah Sempadan, Sg Burung, Sg Leman, Sg Nipah mungkin melebihi 80% dari kawasan bertanam padi kebal. Padi MR219 dan padi kebal juga kena serangan penyakit pada musim lepas. Tapi musim ini istimewa! Peratus bertanam padi kebal adalah teramat tinggi. Yang paling tinggi dalam sejarah padi kebal sejak diperkenalkan 6 musim yang lalu. Dalam peratus yang tinggi ini, cuba kita agak berapa daripada mereka yang tanam padi kebal lebih daripada 2 kali. Ada sesiapa ada data ini? Ada sesiapa yang pantau? Kalau tiada sapa yang pantau, mengapa pula dikeluarkan syor supaya ditanam 2 kali sahaja. Apa sebenarnya rahsia dibelakang syor tersebut?

Mak Tam akan berasa amat berbesar hati jika pihak berwajib boleh jawab secara bertulis secara terbuka dalam blog ini tentang RAHSIA TANAM 2 KALI tu. Apa yang dirisaukan jika petani tanam lebih daripada 2 kali? Apa yang tidak dijelaskan oleh pihak berwajib kepada petani? Nak tunggu petani menghasilkan padi angin kebal dulu baru nak cakap? Mak Tam hanya upaya menggeleng kepala dan beristighfar. Sampai hati mereka-mereka ini memperjudikan periok nasi dan kesihatan petani serta keluarga mereka. Tidak adakah pertimbangan? Tidak adakah ada rasa kasih sayang? Tidak adakah rasa bersalah walau sekelumit apabila menyarankan penanaman padi kebal ini secara berleluasan?

Pada mula, padi kebal adalah untuk mengawal padi angin. Sekarang ni bagaimana pulak? Mak Tam nak tengok lepas ini tiada lagi masalah padi angin kat mana-mana sawah. Sama-sama kita tengok, ye.

Dari maklumat terkini, hasil pengeluaran padi negara pada musim lepas 2/2012 turun 30% akibat serangan bena perang dan penyakit, termasuk tanah sawah ditinggalkan kerana jerlus. Maklumat ini didapati daripada kurangnya jumlah bayaran subsidi harga padi. Kalau bayaran subsidi harga padi turun 30%, maknanya jumlah padi yang sampai kepada semua kilang juga berkurangan 30%. Kita sama-samalah fikirkan perkara ini, ye..  Tidur nanti mimpi yang baik-baik.

Oh.. jangan tidur lagi. Kalau anda faham bahasa Inggeris, mai tengok video ni. Lepas tu baru tidur. Masa nak lelap tu, fikirkan apa kita boleh buat dengan beras dari padi kebal. Kita buat bubur untuk baby kita makan. Atau cucu kita. Kita masak nasi supaya seisi keluarga kita makan. Buat kuih dari tepung beras. Buat bihun, buat laksa. Ish.. yang dalam video tu cakap pasal tikus makan jagung GMO, padi kebal bukan GMO. Padi kebal tu depa kata padi transgenik. Ni rakan Mak Tam kata:

“Dear Mak Tam, saya akan kemukan beberapa finding saya – kalau tanya …… jawapan yang akan diberi – ini adalah rahsia syarikat. Clearfield (CL) MR220 CL1 & CL2 adalah hasil kacukan aruhan MR220 dengan IMI-TR 1770. Singkatan bagi nama padi transgenik IMI – imidazolinone tolerance rice, TR – Truman (nama penyelidik), 1770 – coding klon. Ada beberapa varieti lagi – Wilmot (WI), Truman (TR), Wynne (WY), Marianna (MA), Stuttgart (ST) dll.. Imidazolinone (trade name – Check) adalah salah satu jenis racun. If something goes wrong, ada dua jenis racun lagi boleh digunakan – imazethapyr (trade name – New Path) dan imazamox (trade name – Beyond). Clearly dalam dokumen IRRI, …. “menyembunyikan” sumber genetik yang memberi kerintangan padi CL kepada imidazolinone.” Racun kat Malaysia guna imazapic dan imazapyr.

Nanti Mak Tam beritahu secara ringkas apa yang mereka katakan tentang hasil kajian memberi tikus makan jagung kebal dalam kajian yang dibuat selama 2 tahun.

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 12

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 12

Padi kebal ini adalah sejenis padi yang diolah secara ‘transgenic’. Senangkan cerita, padi MR220 tu sudah diubah susunatur bakanya menjadikan ia kebal kepada racun rumpai imidazolinone. Dikeluarkan dua jenis iaitu MR220 CL1 dan MR220 CL2.

Pokok padi secara semulajadi melalui pendebungaan sendiri. Maknanya tak payah ada pokok padi lain, dia boleh debunga sendiri dan keluar bunga, serta keluar buah. Dalam alam semulajadi, diantara 1% – 4% terjadi pendebungan silang dari pokok padi yang berlainan. Mungkin kerana disinggah serangga atau dibawa angin. Kalau satu pokok itu adalah padi angin, dan satu pokok lagi itu adalah padi kebal, dan pendebungaan bersilang terjadi, padi yang terbentuk berkemungkinan mempunyai ciri-ciri padi angin dan padi kebal. Maka wujudlah ‘SUPER PADI ANGIN’ yang racun imidazolinone pun tak boleh kawal. Gambar pendebungaan lebihkurang macam kat bawah ni.

pendebungaan-silang-

pendebungaan-silang-

Jika ada satu saja benih ‘SUPER PADI ANGIN’ ini terjadi, dan tumbuh pulak, ia akan terus tumbuh, berbunga dan mengeluarkan buah. Selalunya padi angin biasa masak lebih awal dari padi biasa. Padinya akan lerai dan jatuh ke tanah. Pada musim seterusnya, akan berkembanglah ‘SUPER PADI ANGIN’ mengikut trak jentuai dengan benihnya menjangkau masuk ke sawah seterusnya yang dituai oleh mesin jentuai. Selepas dua musim, kita akan ‘berpestalah’ cuba menangani ‘SUPER PADI ANGIN’ yang tak lut apa-apa racun pun.

Cara-Super-Padi-Angin-Merebak

Cara-Super-Padi-Angin-Merebak (Lebihkurang Macam Ni)

PENYELESAIAN PADA MASA ITU – cabut ‘SUPER PADI ANGIN’ atau potong dengan tangan. Apa bezanya dengan apa yang dilakukan sekarang bagi membuang padi angin biasa? Maaf. Bukan sama. Tetapi akan jadi lebih teruk dari sekarang, dan kos mengawal akan berganda, hasil akan jadi lebih teruk dibanding dengan kehilangan disebab oleh padi angin biasa. Comprehendo??  Faham?? (Yang ni bukan untuk pembaca. Ini untuk lepas geram Mak Tam kerana banyak perkara disorok dari petani. Pegawai-pegawai kanan kerajaan juga tahu, tapi buat tak tahu! Itu lah pasal disyorkan tanam dua kali sahaja.Mengapa tidak diberitahu risiko-risiko jika petani terus menanam berkali-kali.

Percayalah. Apabila sudah timbul masalah ‘SUPER PADI ANGIN’ yang akan dikatakan bahawa yang bersalah adalah petani. Pasal petani yang tanam lebih dari dua kali. Bukan kah petani sudah diberitahu tanam dua kali sahaja. Sekarang sudah ada petani tanam padi kebal dan dibuat benih supaya dapat teruskan guna benih padi kebal tanpa beli mahal-mahal atau dipakej dengan racun imidazolinone. Baca kat sini apa kata Al-Amin. Mak Tam minta rakan-rakan yang membaca blog ini jangkaulah minda anda (your imagination) kepada apa yang akan terjadi selepas ini.

Gambar Yang di Tag Kat FB Mak Tam tadi

Gambar Yang di Tag Kat FB Mak Tam tadi

Sebentar tadi ada le rakan fb yang tag gambar ini untuk Mak Tam.  Apa nak di katakan?

TEPUK DADA, TANYA SELERA. 

Tak upaya Mak Tam nak kata.  Bagai Pak Tam kata, ‘Ooi.. Mak Hang. You are fighting this alone!’  Lantak le Mak Tam cakap sesorang ke, atau beratus ribu mata membaca ke, Mak Tam akan teruskan menyampaikan maklumat mengenai padi kebal. Kalau panjang umur, kita semua akan saksikan.  Mak Tam tidak mahu bersubahat menyebabkan pendapatan dan kesihatan beribu petani dan keluarga mereka terancam.

Saintis barat sudah mula memikirkan robot untuk cabut SUPERWEED.  Fikir-fikirkanlah wahai pembaca yang budiman. Jual benih padi kebal dan racun pihak swasta yang untung berganda-ganda. Siap dengan subsidi kerajaan lagi. Fooh.. Hebat.. hebat.. Ada masyuuukkkkk… Faham? Jual robot cabut padi angin kebal, pihak swasta jugalah yang untung jika ini berlaku. Sapa pulak yang rugi??? Jawab sendirilah! Sekarang ni sama-sama kita tukar makanan rugi kita kepada dot-dot-dot.. Selamat malam.  Güet’ Nàcht.  Сайхан амраарай  Gut nait.  Orang putih kata Good Night!

Kalau tak boleh tidur, baca pasal SUPERINSECT dan SUPERWEED pulak.

おやすみなさい
Robot Cabut SUPER PADI ANGIN

Robot Cabut SUPER PADI ANGIN

Balik dari Kedah nanti, Mak Tam nak cerita bagaimana petani boleh jadi hamba abdi. Tunggu…

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 11

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 11

Mak Tam nak buat rujukan kepada satu potongan berita akhbar tempatan yang mana pihak MARDI menyatakan sedemikian –

“Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI, Dr Sariam Othman teknologi SPC memberi banyak manfaat kepada para petani daripada segi peningkatan hasil dan kualiti padi selain mengurangkan kos kawalan rumpai.

“Sistem tanaman Clearfield ini sebenarnya tidak perlu digunakan setiap musim. Cukup digunakan untuk dua musim sahaja bertujuan menghapuskan padi angin.

“Selepas tempoh itu, para petani boleh kembali semula menggunakan benih padi varieti asal,” katanya pada majlis menuai padi bersama petani-petani SPC di Bagan Terap, Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.”

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm#ixzz2KzIAgKrY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mak Tam rasa patut diberitahu kepada petani mengapa hanya dua musim sahaja disyorkan. Mak Tam rasa Mak Tam tahu pasal apa disyorkan 2 kali sahaja. Tapi rasa tak puas hati, jadi Mak Tam buat carian sendiri. Itu menyebabkan yang Mak Tam halusi berita mengenai masalah Bt cotton atau kapas Bt (lepas ni Mak Tam panggil kapas kebal, iaitu kebal kepada sejenis serangga pengorek buah) di India, dan masalah Superweed di Amerika Syarikat.

Kapas Kebal Membawa Harapan

Kapas Kebal Membawa Harapan Baru – Kredit Gambar Current.com

Di India, prestasi benih kapas kebal tidak seperti diwar-warkan. Pihak kerajaannya dan syarikat racun mencanangkan bahawa pengeluaran hasil akan berganda dan pengunaan racun perosak akan berkurangan. Malangnya, sejak 2002, data menunjukkan ada peningkatan hasil yang banyak hanya beberapa musim awal kemudian hasil turun, pokok kapas pula terus diserang oleh pelbagai jenis serangga perosak dan penyakit yang baru (dan oleh kerana itu memerlukan penggunaan racun kimia yang lebih banyak dari sebelumnya), kapas kebal memerlukan kadar pembajaan dan air yang tinggi. Selepas beberapa tahun, hasil kapas kebal mula menurun, keperluan racun kimia berganda, hutang bertambah, dan akibatnya adalah ramai petani membunuh diri sebab desakan hutang dan kekecewaan. Angan-angan untuk jadi kaya hancur seperti kaca terhempas ke batu apabila kapas kebal tidak mengeluarkan hasil seperti yang dicanang oleh pihak berwajib.

Penggunaan Racun Makin Bertambah

Penggunaan Racun Makin Bertambah – Kredit Gambar IndiaToday.In

Selepas 10 tahun, didapati purata hasil kapas kebal terus menurun. Sila lihat kepada carta di bawah. Dan di sebahagian tempat didapati hasil kapas kebal adalah kurang daripada hasil kapas tradisi.

Hasil Kapas Bt Semakin Menurun

Hasil Kapas Bt Semakin Menurun – Kredit Gambar Fieldquestions.com

Jadi apabila semua ini berlaku, pihak berwajib India mula menunding jari menyatakan sebenarnya yang bersalah adalah petani. Sila baca disini. Pihak kerajaan India dah bagitau, mengapa petani di India tak dengar cakap.

Perkara yang sama sudah pun berlaku di negara kita yang mana pihak berwajib telah mula menyalahkan petani kerana tanam lebih daripada dua kali berturut-turut. Tanyalah orang-orang Sawah Sempadan yang dengar dengan telinga mereka sendiri.

Beberapa hari lepas, Mak Tam dapat komen dari saudara Mohd Najib dari Sg Besar. Bukan saudara Mohd Najib sahaja yang tanam sampai 5 musim berturut-turut, ramai lagi rakan tani yang berbuat begitu. Ada yang terpikat kerana ada yang mendapat peningkatan hasil yang mendadak dari 3 tan dapat 11 tan sekeping. Ada juga yang terpaksa kerana jiran semua tanam padi angin, dan petani tidak mahu mengambil risiko padinya rosak akibat tempias semburan racun imidazolinone.

Walau apa pun sebabnya, ramai petani tanam lebih daripada dua kali. Sekarang ini pemusatan racun kebal di satu kawasan padi seluas 2300 hektar iaitu di Sawah Sempadan. Apa yang akan berlaku selepas ini? Adakah padi kebal rintang daripada serangan serangga perosak atau penyakit padi? Atau akan terjadi yang macam ini?

Selepas 2 musim, adakah petani Sawah Sempadan akan terus menanam padi kebal? Kalau tak tanam padi kebal, nak tanam padi apa? Ramai juga petani yang dapati bahawa apabila menanam padi selain daripada padi kebal, padi tak tumbuh. Tengok gambar diambil di Pasir Panjang musim lepas. Padi MR219 ditabur, tetapi sebahagiannya tak tumbuh. Ada laporan yang menyatakan bahawa imazapic, iaitu salah satu bahan aktif bagi racun imidazolinone ini aktif dari 7 hari hingga 150 hari. Baca kat sini.

Padi MR219 Tak Tumbuh Atas Bekas Sawah Padi Kebal

Padi MR219 Tak Tumbuh Atas Bekas Sawah Padi Kebal

Adalah dikatakan bahawa kesan racun imidazolinone ini terus aktif walaupun selepas satu musim berlalu. Ini juga menakutkan kerana adakah kemungkinan beras kita juga tercemar. Bagaimana pulak dengan para petani yang mengerjakan sawahnya, tidakkah petani menghadapi bahaya pencemaran racun.

Membawa padi kebal kepada petani di negara kita bukanlah satu tindakan yang bijak. Banyak aspek harus dikaji dengan teliti. Pangalaman negara lain juga patut diambilkira supaya petani Malaysia tidak tanggung masalah yang sama. Pada Mak Tam program padi kebal ini membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Tapi yang malang adalah pihak petani kerana merekalah yang menanggung semua kemudaratan ini. Mari Mak Tam senaraikan kemudaratan yang ditanggung oleh petani.

  1. Kos pembelian pakej padi kebal yang tinggi petani yang tanggung.
  2. Jika padi kebal kena serangan perosak atau penyakit, petani yang tanggung.
  3. Jika petani kehilangan mata pencarian sampingan seperti hasil pisang, pucuk ubi kayu, bela itik atau ayam, petani juga tangggung.
  4. Jika petani serta seisi keluarga jatuh sakit kerana terdedah kepada racun, petani juga tanggung.
  5. Ikan kat parit kawasan yang memang dah sikit akan hilang, dah lama petani tanggung.
  6. Pembaca yang budiman boleh tambah senarai ini. Tulis kat bahagian komen posting ini.

Jadi akhirnya siapa yang salah? Pada Mak Tam, orang-orang yang memperkenal dan menggalakkan pakej padi kebal ini kepada para petanilah yang patut dipersalahkan. Kesemuanya, dari bawah sampai yang atas sekali. Kirim salam..

Nanti Mak Tam nak tulis pasal macam mana Superweed atau Super Padi Angin boleh terjadi. Kalau ini terjadi, kita semua tak payah makan nasi, pasal nak tanam padi pun tak akan menjadi. Atau pun kos mengawal Super Padi Angin akan jadi berganda-ganda. Tunggu posting Mak Tam selepas ini.

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 10

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 10

Kita baca ayat-ayat ini dulu dan hayati maksudnya. Semoga Allah swt membuka hati-hati kita kepada kebenaran. Semoga hati kita menjurus kepada yang baik disisiNya. Amin.

Surah Al-Baqarah:  Ayat 11-12

Surah Al-Baqarah: Ayat 11-12

.
Mak Tam nak cerita mengenai keadaan permulaan yang hampir sama di India. Dalam tahun 2002, Monsanto memperkenalkan benih GM dipanggil ‘Bt cotton’ atau kapas Bt di beberapa negeri pengeluar kapas di negara itu. Benih kapas ini diolah secara genetik untuk dapat melawan sejenis ulat pengorek buah. Adalah diceritakan kepada petani bahawa dengan mengguna benih kapas Bt ini (yang mahal harganya) petani akan dapat hasil yang berganda kerana ulat pengorek buah kapas dapat dikawal dengan berkesan.

Walau pun pada mulanya kurang sambutan, tetapi selepas tahun 2004 petani mulai menerima kapas Bt dan mengharapkan kemewahan yang diwar-warkan. Apa yang terjadi adalah sebaliknya. Walaupun kapas Bt dikatakan kebal kepada serangan ulat pengorek batang, tetapi serangga perosak yang lain masih memerlukan kawalan kimia. Selepas beberapa tahun, ulat pengorek batang telah jadi semakin kebal hinggakan disembur lebih banyak racun, masih tidak dapat mengawalnya.

Petani menghadapi masalah hutang berganda. Hutang benih, hutang racun, hutang mengupah orang. Sehinggakan ramai dari kalangan mereka mengambil keputusan membunuh diri. Tapi itu tidak melepaskan keluarga mereka dari hutang. Isterinya terpaksa menanggung hutang itu. Kemudian isterinya pula bunuh diri kerana tak mampu nak bayar hutang. Akhir-akhir ini terdengar seluruh keluarga membunuh diri. Fenomena ini disebut sebagai GM Genocide.

Mengapa jadi begini? Kerana jurujual benih kapas Bt dan juga pegawai kerajaan menjanjikan petani akan mendapat hasil yang lebih baik, bebas daripada ulat pengorek batang dan serangga perosak. Pada masa yang sama, petani tidak dibenarkan menanam benih kapas tradisi yang selama ini mereka gunakan.

Apa yang tidak diberitahu kepada petani adalah pokok kapas Bt memerlukan air yang lebih banyak dari kapas tradisi. Jadi apabila kekurangan air, tanaman kapas Bt mereka tidak menjadi, hasil tidak dapat, hutang tak mampu bayar, bank mengejar, tiada wang lagi untuk dijadikan modal untuk tanaman seterusnya. Akhirnya, jalan keluar adalah dengan membunuh diri. Hingga sekarang, hampir suku juta petani kapas di India telah mengambil jalan ini.

Akhirnya kerajaan Maharashtra mengaku bahawa program kapas Bt ini satu kegagalan. Tapi itu tidak sama sekali dapat membantu beratus ribu keluarga yang kehilangan ketua keluarga, dan yang masih hidup menghadapi hutang melambak dan status kesihatan yang meresahkan, dan perbelanjaan kesihatan yang tidak mampu mereka tanggung. Baca laporan ini mengenai kapas Bt di India.

Program Kapas Bt Gagal di India

Program Kapas Bt Gagal di India

Terjemahan: ‘Secara ringkasnya, kisah kapas Bt jelas menunjukkan kegagalan gembar-gembur dan janji palsu. Kapas Bt telah gagal memenuhi janjinya dalam segi keuntungan hasil yang berterusan, perlindungan perosak dan pengurangan dalam penggunaan racun perosak. Ini adalah masa untuk kerajaan, saintis dan pembuat dasar untuk menolak gembar-gembur sekitar kapas Bt, dan memberi tumpuan kepada penyelesaian yang mampan dan langkah-langkah pro-petani untuk mencapai pengeluaran, keselamatan alam sekitar dan kebajikan petani yang berkekalan.’

Alah. Nanti ada hamba Allah yang akan kata pulak, merepek sajalah Mak Tam ni. Mustahil masalah padi kebal sampai boleh jadi macam itu? Mak Tam kata, kita diberi akal. Kita diberi perasan sayang terhadap sesama manusia. Mengapa tidak kita mengambil tauladan dari kesilapan orang lain? Mengapa kita meneruskan perkara yang sudah membawa mudarat yang besar di negara lain kepada negara kita ini? Jurnal part 11 akan menghuraikan bagaimana musibbah akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 8

Jurnal Padi Kebal

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 8

racun padi kebal bunuh itik

Racun padi kebal bunuh lebih 50 ekor itik peliharaan Saudara Zulkifli Sulaiman, Sawah Sempadan, Selangor

Hari ini Mak Tam turun ke Sawah Sempadan bersama Pak Tam. Cuma kelainan hari ini ialah rakan baru kami Major (rtd) Mokhtarudin Mohd dan anaknya turut bersama dengan kereta mereka sendiri. Mula pergi ke petak percubaan saudara Othman Mogek. Lepas itu berbincang di rumah saudara Man.

Kami memang nak pergi melihat prestasi pertumbuhan padi MR219 yang ditanam cara SRI. Pokok yang ditanda dengan kayu mengeluarkan 43 anak pada hari ini iaitu hari ke-29. Seronok juga tengok pokok padi tumbuh begitu cepat.

Tak lama kemudian saudara Zul menceritakan hal itik-itiknya menjadi lumpuh, melentuk dan terus mati. Kami pun bergegas ke reban itiknya yang disebelah rumahnya di kawasan sawah. Selain padi MR219 yang ditanam cara SRI di petak kecil depan rumah, dia membawa padi kebal ditanah selebihnya. Air dalam sawah bersamaan dengan yang dalam parit ditepi reban itiknya. Di situlah tempat itik-itiknya minum dan bermain air. Lihat apa katanya dalam video di bawah ini.


.

Sebagai petua orang tua-tua, Zul cuba bagi air kelapa kepada itik-itik yang sakit. Tapi tidak berkesan. Itik-itik itu terus juga mati. Begitulah betapa kuatnya kuasa racun padi kebal ini.

Rakan baik saudara Man, Roslan namanya menceritakan baru kelmarin dia turun ke sawah untuk buat kerja. Tetapi kakinya jadi kebas-kebas. Dia terus balik dan rendam kakinya dalam air garam. Wallahua’lam apa kesan masa panjangnya. Mak Tam tak yakin air garam boleh membantu kalau racun dah serap masuk badan kita.

Para pembaca cubalah renungkan perkara ini. Ini baru cerita dua orang hamba Allah yang bersawah di kawasan Sawah Sempadan. Bayangkanlah, di Sawah Sempadan ini ada beribu-ribu orang tinggal bersama keluarga mereka. Anak-anak kecil yang kadang-kadang lalukan tangan dan kaki ke dalam parit.  Tidakkah ini akan menjejaskan kesihatan anak-anak itu?

Hanya 40 lot sahaja bertanam padi selain padi kebal. Hampir 2,300 hektar kawasan padi bertanam padi kebal. Bayangkan konsentrasi atau pemusatan kehadiran racun imidazolinone ini dalam satu tempat. Mak Tam hanya mampu melihat dan memantau. Sama-sama kita hayati bersama.

Ada orang yang dah mula berdolak-dalik mengatakan racun ini sebenarnya dijual oleh syarikat lain. Bukan dibekalkan bersama benih. Sapa yang lancarkan program penggunaan pakej padi kebal ini pada bulan Julai, 2010 yang lalu? Fikirkan lah bersama. Lepas tu ada ura-ura untuk pakej ini diberi sebagai subsidi kerajaan pulak. Renungkanlah. Yang rugi petani, yang sakit petani, yang menangis adalah petani dan seisi keluarganya.

Sekarang ini tak payah lah kita nak berangan nak ada ikan dalam parit atau sawah. Tak payahlah petani susah-susah nak bela ayam atau itik untuk mencari pendapatan tambahan. Anak-anak yang suka turun main disawah dan dalam parit sawah itu baiklah dikurung dalam rumah setiap musim jika petani terus menanam padi kebal.

Mak Tam rasa teramat sedih kerana hanya mampu mengomel-ngomel sorang diri dalam blog ini, dan hanya dapat melihat sahaja kepada kemudaratan yang dibawa oleh padi kebal ini kepada para petani. Ya Rabb.. kau tunjukkanlah kebenaran kepada semua orang yang terlibat dalam usaha-usaha membawa kononnya ‘teknologi hebat’ kepada para petani ini. Jika ini berterusan, Mak Tam jangkakan hanya kerosakan dan penganiayaan kepada golongan manusia yang memberi makan kepada rakyat Malaysia. Ya Allah lindungilah anak-anak yang tinggal di kawasan persawahan, yang bersekolah di sini, yang bermain di sini, yang harapan untuk terus hidup dengan sihat juga di sini.

Gadis Kecil Mengail

Gadis Kecil Mengail

Cari Ikan Dalam Parit Sawah

Cari Ikan Dalam Parit Sawah

Ibu Mengail Ikan Dalam Parit

Ibu Mengail Ikan Dalam Parit

Menjala Ikan dalam Parit

Menjala Ikan dalam Parit

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 7

Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 7

Mak Tam baru balik dari Sawah Sempadan. Telinga Mak Tam mendengar khabar mengenai masalah padi kebal, dan bagaimana acara silat mengelak sudah bermula. Tepis menepis ini akan lebih hebat apabila lebih ramai petani menghadapi pengalaman mimpi buruk dengan padi kebal.

Dah ada yang mula mengatakan bahawa semua ini adalah kesalahan petani sendiri. Petani sendiri yang pilih nak tanam padi kebal ramai-ramai. Bukankah pihak berwajib dah cakap, tanam DUA kali sahaja padi kebal ini. Kalau tanam lebih daripada itu, petanilah yang salah, katanya. Mak Tam pula tertanya-tanya, siapa yang menggalak padi kebal ini ditanam di negara ini? Boleh sesapa bagikan jawapannya?

Kita nanti tengok ke arah mana episod tarian silat belut nak melepaskan diri ini bergerak. Percayalah, akhirnya yang salah adalah petani seratus lima puluh peratus! Yang salah petani, yang rugi petani, yang sakit petani, yang menangis juga petani.

Mari kita baca pengalaman rakan kita di Kedah. Sekarang ni, Alhamdulillah kita senang berkomunikasi. Maklumat cepat tersebar. Berita datang dari petikan hujung jari saja. Kita tengok gambar padi kebal kena penyakit karah di Kg Sedaka, Yan, Kedah.

Padi Kebal Kena Reput Tangkai

Padi Kebal Kena Reput Tangkai

Berbalik kepada Sawah Sempadan. Kita semua kena berusaha agar penyakit ini tidak menjadi wabak di kawasan Sawah Sempadan. Bolehkah kita mengelak dari kena? Kita tanya macam mana Pak Lang Razak buat. Kita dengar apa katanya dalam video di sini.

Sikit hari lagi Mak Tam nak tulis mengenai impak padi kebal kepada bekalan benih padi negara. Mak Tam juga nak cerita bagaimana perhambaan golongan petani terjadi di Asia. Sementara tengah bersantai, baca laporan UKM tentang satu kajian kesihatan yang dibuat terhadap 100 orang petani dari daerah Sabak Bernam.