Pesawah Sekinchan Hasil 13 Tan Metrik Padi Sehektar

Laporan Khas Oleh Nurul Halawati Azhari

Menurut Pengerusi Unit Peladang Sekinchan Law Kok Choy, hasil padi yang tinggi banyak bergantung kepada cara pengurusan sawah.

Foto:Nurul Halawati Azhari

____________________________________________________________

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Sekinchan, yang menjadi antara kawasan penanaman padi yang utama di Selangor, kini boleh berbangga dengan keupayaannya menghasilkan padi mencapai sehingga 13 tan metrik untuk setiap satu hektar.

Bukan setakat itu sahaja, padi yang dihasilkan juga bermutu tinggi.

Berbanding dengan Kedah, yang bergelar jelapang padi, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menghasilkan sebahagian besar padi tempatan dengan purata empat tan bagi setiap hektar.

Jumlah empat tan sehektar itu adalah purata bagi seluruh negara, namun di Selangor terutamanya pesawah di Sekinchan hasil padi mereka mampu mencapai sehingga 13 tan metrik sehektar dengan kualiti padi yang amat baik.

Angka ini melebihi had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu tujuh hingga lapan tan sehektar.

Oleh itu timbul persoalan apakah yang membezakan keupayaan pesawah di kawasan ini berbanding pesawah di negeri lain?

Juga timbul persoalan sama ada pengeluaran padi boleh ditingkatkan dengan menambah keluasan bendang ataupun dengan memperkenalkan baka padi yang menjanjikan hasil yang tinggi?

Sekarang ini keluasan sawah di seluruh negara ialah kira-kira 650,000 hektar.

RAHSIA DI SEBALIK KEJAYAAN PETANI SEKINCHAN

Menurut Pengerusi Unit Peladang Sekinchan Law Kok Choy, hasil yang tinggi banyak bergantung kepada cara pengurusan sawah.

“Walaupun memiliki sawah yang luas, infrastruktur serta sistem pengurusan yang tidak betul boleh menjejaskan hasil keluaran padi.

“Paling penting ialah sistem saliran yang dilaksanakan di kawasan Sekinchan dan kawasan sawah lain di Selangor. Saya berpendapat pesawah di sini memiliki sistem saliran yang terbaik dan sistematik,” jelas beliau.

Secara keseluruhannya, sistem saliran yang membekalkan air dibuat pada setiap petak dan ini membolehkan setiap petak menerima jumlah air yang sama.

Berbanding di sesetengah tempat, pesawah hanya menggunakan satu tali air untuk mengairi beberapa petak sawah. Ini menyebabkan jumlah air yang diterima oleh petak yang terletak jauh dari tali air berkurang.

Selain itu, Law berpendapat kesediaan hampir 90 peratus penanam padi di kawasan itu menggunakan teknologi mesin “transplan” (penyemai) sejak empat tahun lepas juga menyumbang kepada peningkatan hasil padi mereka.

Walaupun teknologi dari Jepun dan Taiwan ini bukan baru di negara ini, tetapi ia tidak digunakan sepenuhnya oleh pesawah.

Menurut Law, proses penghasilan anak padi jenis MR219 dilakukan di tapak semaian sebelum dipindahkan ke petak-petak sawah menggunakan mesin “transplan”. Walaupun kosnya agak tinggi iaitu mencecah RM850 satu lot (1.2 hektar), hasil padinya lebih tinggi berbanding menanam menggunakan teknik tabur yang hanya menelan kos RM400.

“Jarak yang teratur iaitu 10 inci di antara satu rumpun dengan rumpun lain membolehkan cahaya matahari sampai hingga ke bahagian bawah secara sekata. Bahkan dapat mengelak daripada ancaman tikus dan serangga yang gemar bersembunyi di rumpun pokok yang terlalu rapat,” jelas Law.

JANGAN TABUR, TUNGGU DAN TUAI SAHAJA

Menurut seorang lagi pesawah di Sekinchan, Yap Kang Pua, 65, jika pesawah hanya bergantung kepada 3T iaitu tabur, tunggu dan tuai sahaja, hasilnya adalah sekitar enam hingga tujuh tan metrik bagi satu lot.

“Pengurusan baja secara tepat dan berkala adalah langkah terbaik. Pesawah kena tahu teknik dan waktu yang paling tepat untuk menabur baja. Kita mesti letak baja yang cukup untuk hasilkan buah yang banyak.

“Ramai pesawah di sini yang menggunakan baja tambahan dan menampung perbelanjaan lebih daripada RM1,000 untuk membeli baja tambahan jenis Urea Campuran 15 dan baja buah. Barulah dapat hasil seperti ini,” jelasnya.

Yap berpendapat pengeluaran padi di kawasan Sekinchan sudah mencapai tahap maksimum dan adalah mustahil bagi mereka untuk meningkatkan lagi hasil berdasarkan kemampuan yang ada.

SEDIA BERKONGSI TEKNOLOGI DENGAN PESAWAH LAIN

Namun, Yap yang mengusahakan sehektar sawah berpendapat teknologi serta maklumat yang dimiliki oleh pesawah di Sekinchan dapat dikongsi dengan pesawah di negeri-negeri lain.

Selain pesawah daripada masyarakat Cina, kaedah penanaman padi sedemikian turut diamalkan oleh pesawah-pesawah Melayu dan India yang bersempadan dengan mereka.

Perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi berlaku secara tidak langsung apabila mereka ini mengambil upah meracun dan membaja bendang-bendang di Sekinchan.

“Ramai di kalangan pesawah di sini terdiri daripada mereka yang telah berusia 50 tahun ke atas. Bila sudah tua, tenaga pula semakin kurang. Hendak tabur racun dan benih pun tak larat. Jadi kenalah upah orang,” jelas Yap.

Cara ini secara tidak langsung mendidik penduduk kampung di sekitar mempelajari teknik pesawah di kawasan itu yang kemudiannya dicuba di sawah mereka sendiri.

“Ini juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil padi di Sekinchan dan mungkin boleh dicuba di tempat lain pula bagi menambah hasil padi negara,” jelas Yap.

CADANG PADI HIBRID

Sebagai pesawah yang telah lebih 30 tahun bergelumang dengan lumpur, Yap turut berpendapat penggunaan benih padi daripada jenis MR219, MR220 dan MR232 yang dibekalkan oleh MARDI mungkin perlu diperbaharui.

“Saya cadangkan padi hibrid jenis ‘Siraj’ diteruskan kerana ia bukan sahaja mengeluarkan hasil yang bermutu tinggi malah bilangan biji juga lebih sekali ganda tinggi.

“Contohnya, satu tangkai padi benih biasa boleh menghasilkan kira-kira 200 biji padi manakala padi Siraj boleh mengeluarkan kira-kira 400 biji padi pada satu tangkai.

Cadangan Yap turut disokong Law yang berpendapat hasil padi hibrid lebih tinggi dan kerajaan juga boleh menggunakan tanah-tanah terbiar di Malaysia bagi penanaman padi.

“Padi hibrid telah diusahakan di China sejak 30 tahun yang lepas. Kita pernah mencubanya sekali. Kali pertama hasilnya tidaklah tinggi sangat, tetapi kalau diteruskan, saya berpendapat ia satu cara untuk meningkatkan hasil keluaran padi,” kata beliau.

Buat masa ini Malaysia mengeluarkan 72 peratus daripada bekalan beras yang diperlukan bagi 27 juta penduduknya. Bekalan selebihnya diimport dari Thailand, Vietnam, Pakistan, China dan India.

Menjelang 2010, Malaysia dijangka mampu menghasilkan 90 peratus daripada beras yang diperlukannya.

BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s