Krisis ekonomi dan harga makanan dunia

Tahun 2008 yang telah berlalu meninggalkan banyak peristiwa. Di antaranya ialah Krisis Makanan Dunia dan Krisis Kewangan Global. Kedua-dua krisis ini berkait diantara satu sama lain dan krisis ekonomi sedunia dikatakan terjadi dari beberapa peristiwa hingga berlakunya kegawatan ekonomi di seluruh dunia. Ini merangkumi harga bahan api berasaskan petroleum yang tinggi yang menyebabkan harga makanan tinggi (akibat pergantungan penghasilan makanan pada petroleum, di samping menggunakan hasil tanaman makanan bagi penghasilan biofuel seperti etanol dan biodiesel sebagai alternatif kepada petroleum) dan inflasi sedunia; krisis kredit yang mengakibatkan kejatuhan bank-bank pelaburan dan komersil yang besar serta ternama di merata dunia; pengangguran yang semakin menjadi-jadi; dan kemungkinan kemelesetan sejagat.

Dekad 2000-an menyaksikan ledakan komoditi, iaitu harga komoditi utama melambung semula setelah melalui Kemelesetan Komoditi Besar sekitar tahun 1980 – 2000. Namun pada tahun 2008, harga-harga kebanyakan komoditi, khususnya minyak dan makanan, melambung begitu tinggi sehingga menjejaskan ekonomi, membawa ancaman stagflasi dan pengunduran globalisasi.

Pada bulan Januari 2008, harga minyak mencecah US$100 setong buat julung kalinya dalam apa yang disifatkan antara peristiwa penting terawal yang berlaku sepanjang tahun lalu. Pada bulan Julai, harga minyak mencapai tahap US$147 setong, namun selepas itu kembali menjunam.

Pada separuh kedua tahun 2008, harga kebanyakan komoditi menjunam atas jangkaan permintaan berkurangan dalam keadaan ekonomi dunia meleset.

Amerika Syarikat memasuki tahun 2008 ketika mengalami pembetulan pasaran perumahan, krisis gadai janji subprima dan kemerosotan nilai dolar. Pemerhati mengatakan bahawa krisis kewangan di AS mungkin dilihat sebagai yang paling teruk semenjak berakhirnya Perang Dunia II.

Keadaan diburukkan dengan Krisis harga makanan sedunia 2007-2008 yang merujuk kepada kenaikan harga makanan global secara mendadak yang mengakibatkan keadaan krisis di sesetengah kawasan termiskin di dunia, serta ketidakstabilan politik dan pergolakan sosial di sesetengah negara.

Punca-punca jangka pendek termasuk penuaian berkurangan sesetengah kawasan di dunia akibat daripada perubahan iklim dan bencana alam, khususnya Australia. Punca-punca lain bagi kenaikan harga makanan sedunia juga disebabkan peningkatan penggunaan biobahan api di negara-negara maju, dan peningkatan permintaan untuk diet yang lebih terutamanya daging di kalangan golongan kelas menengah yang semakin mengembang di Asia. Selain itu, kenaikan harga minyak yang berterusan telah menaikkan harga baja. Faktor-faktor ini, ditambah pula dengan simpanan stok makanan sedunia yang menurun serta ketidakstabilan akibat spekulasi pasaran saham, semuanya menyumbang kepada kenaikan harga makanan secara mendadak di seluruh dunia.

Sejak awal tahun 2007 hingga tahun 2008, harga-harga sesetengah komoditi makanan antarabangsa paling asas naik mendadak di pasaran antarabangsa. Harga pasaran gandum antarabangsa berganda dari Februari 2007 hingga Februari 2008, mencapai rekod melebihi AS$10 sebusyel. Harga beras turut mencapai takat tertinggi dalam jangka 10 tahun. Di sesetengah negara, harga susu dan daging meningkat lebih dua kali ganda, sementara harga soya (yang mencapai harga tertinggi sejak 34 tahun pada Disember 2007) dan jagung turut naik mendadak.

Untuk memastikan bekalan makanan masih mencukupi untuk penduduk tempatan serta mengekang inflasi harga yang serius, sesetengah negara Asia seperti China, India, Indonesia, Vietnam, Kemboja, dan lain-lain (termasuk Mesir) mengenakan sekatan eksport beras. Sesetengah negara Eropah pula, termasuk Ukraine, Rusia dan Serbia, turut sama mengenakan tarif tinggi atau menghalang eksport gandum dan makanan lain sama sekali, sekaligus memacu lagi peningkatan harga untuk negara-negara pengimport makanan. Seperti negara membangun yang lain, Malaysia juga menghadapi tekanan harga makanan yang melambung tinggi di pasaran dunia. Walaupun harga makanan asas seperti beras dikawal oleh kerajaan Malaysia sudah ada desakan terutama dari golongan petani supaya harga padi dinaikkan sejajar dengan lonjakan harga beras di pasaran antarabangsa.

Apa yang pasti, krisis harga makanan ini telah menyebabkan perubahan kepada dunia. Era harga pertanian dan makanan murah akan tamat kerana perubahan fundamental – terutama dari segi pengeluaran disebabkan kenaikan harga bahan api (petrol dan diesel), persaingan ke atas sumber untuk tujuan makanan dan biofuel, sumber pertanian yang kian terhakis dan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan, perubahan iklim dan polisi kerajaan negara membangun yang mengabaikan pertanian kerana mengejar pertumbuhan melalui perindustrian.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s