Laporan Khas Berita Harian 19/05/08 : Kekangan ‘hancurkan’ Jelapang Padi

Oleh Azrul Affandi Sobry

Kekurangan infrastruktur, sistem pengairan tak teratur punca pengeluaran menurun.

BERCAKAP, mengkritik dan menegur memang senang, tapi melaksanakannya tidak semudah apa yang dikata. Begitulah senario apabila isu hasil padi diperdebatkan di kebanyakan media sejak akhir-akhir ini berhubung krisis beras dunia yang turut terpalit ke negara kita.

Di sana-sini masyarakat mempersoalkan kegagalan kebanyakan negeri, terutama yang bergelar Jelapang Padi dalam meningkatkan hasil padi setanding dengan apa yang sudah dibuktikan di Projek Barat Laut Selangor atau lebih tepat menjurus kepada kejayaan pesawah di Sekinchan.

Justeru, tinjauan Berita Harian di kawasan Projek Barat Laut Selangor dan negeri Jelapang Padi, Kedah cuba menyelongkar sama ada halangan dan kekangan untuk negeri itu memenuhi hasrat negara meningkatkan purata hasil padi daripada 3.5 tan sehektar ketika ini kepada lebih 7.5 tan sehektar bagi menampung 100 peratus keperluan beras negara.

Realitinya, dalam desakan semua pihak supaya kerajaan memberi perhatian kepada penambahbaikan infrastruktur di kawasan Jelapang Padi, berapa ramai pula yang sedar bahawa untuk menjadikan semua kawasan itu setanding Projek Barat Laut Selangor umpama menanti ayam jantan bertelur, hampir mustahil dan merumitkan.

Jika melihat kepada struktur petak sawah di Barat Laut Selangor, semua pihak perlu bersetuju bahawa pesawah di situ dianggap sangat beruntung kerana keadaannya sangat tersusun dan sistematik, sekali gus membolehkan sistem pengairan dapat disalurkan dengan mudah.

Menjenguk pula ke Kedah, dari pandangan udara, jelas kelihatan senario yang disifatkan sebagai kaca retak lantaran struktur petak sawahnya yang tidak tersusun, berselerak di sana sini dan tidak sistematik.

Ada yang petak, tiga segi malah ada yang bulat. Dalam petak sawah yang besar, tiba-tiba ada pula petak kecil di tengahnya dan ia milik pesawah lain. Pasti senario itu nampak kelam kabut dan sukar diurus.

Contohnya, Kedah yang selama ini menjadi negeri pengeluaran padi terbesar negara dengan menyumbangkan hampir 40 peratus daripada 72 peratus keperluan beras negara, rupa-rupanya adalah negeri paling bermasalah mendapatkan bekalan air.

Bayangkan, padi, satu tumbuhan makanan yang memerlukan jumlah air paling banyak diusahakan secara besar-besaran di sebuah negeri yang punca airnya paling kritikal berbanding negeri lain di Malaysia. Pastinya, persaingan mendapatkan bekalan air akan menyebabkan ada kawasan tidak mampu mengeluarkan hasil seperti diharapkan. Gunalah apa jenis baja sekalipun dan uruslah dengan sebaik mana, ia tetap tidak bermakna jika airnya tiada. Keadaan itu diburukkan lagi dengan sistem pengairan di Kedah yang disifatkan seorang pegawai pertaniannya seumpama makan di mulut, buang juga di mulut yang sama. Maksudnya, punca bekalan air ke sawah dan saliran mengeluarkan air datangnya dari laluan sama.

Berbeza dengan Projek Barat Laut Selangor dengan jelas kelihatan air disalurkan masuk melalui palung konkrit yang dibina khas dan saluran pembuangan airnya pula menuju ke parit besar yang terus menuju ke sungai.Apapun, sektor pertanian terutama membabitkan padi di bawah Projek Barat Laut Selangor boleh dikatakan sangat bertuah kerana memiliki kawasan yang sudah tersusun secara berstruktur, sekali gus membolehkan semua proses pengurusan tanah, pembajaan serta infrastruktur mampu disempurnakan.

Pegawai Pertanian projek berkenaan, Mohamad Izwan Hasan, berkata keadaan petak sawah yang tersusun kemas serta sama rata membolehkan semua kawasan memperoleh sistem pengairan terbaik yang mampu melonjakkan hasil padi di situ. Sistem pengairan di sini boleh dikatakan terbaik di negara ini kerana sistem palong yang digunakan mampu membekalkan air secara sekata kepada semua petak sawah. Paras kerataan tanah juga sangat baik di sini bagi membolehkan baja diberi secara sekata kepada pokok padi.

Malah, pengurusan kaedah penanaman yang berjadual juga menjadi salah satu faktor kenapa hasil padi di sini sangat tinggi sehingga ada yang mencecah 13 tan sehektar. Di sini, penanaman padi tidak dijalankan secara serentak untuk membolehkan air dibekalkan ke semua kawasan tanpa masalah,” katanya. Bagaimanapun, katanya, walaupun projek itu sudah berjaya, masih ada kelemahan yang perlu diatasi terutama aspek membabitkan pengurusan individu kerana setakat ini masih ada kawasan memperoleh hasil serendah tiga tan sehektar.

Katanya, ada pemilik tanah tidak memberi tumpuan kepada penanaman padi dan menjadikan kerjaya itu sebagai aktiviti sampingan kerana ada pekerjaan lain. Mereka yang ada pekerjaan lain akan ke sawah apabila ada kelapangan. Pemberian baja pun sering tidak mengikut jadual penanaman tepat yang disarankan, sekali gus menjejaskan hasil padi.

Golongan inilah yang menyebabkan purata hasil padi di sini masih gagal mencapai 10 tan sehektar.Selain isu itu, ada juga kawasan yang tidak mampu memperoleh hasil tinggi kerana struktur tanah kurang sesuai. Tanah gambut umpamanya memang tidak sesuai untuk padi, tapi jika teknologi sesuai digunakan seperti pengapuran, ia masih mampu mendatangkan hasil sehingga sembilan tan sehektar,” katanya.

Menjelaskan keupayaan projek itu mencatatkan hasil padi sangat tinggi, Mohamad berkata, elemen paling berjaya ialah kesanggupan dan keberanian petani di situ mencuba teknologi baru yang disarankan pelbagai pihak untuk melihat peningkatan hasilnya.Orang sini mindanya agak terbuka. Mungkin kerana Kuala Selangor berhampiran Kuala Lumpur menyebabkan banyak teknologi baru cepat sampai ke sini. Apabila ada kaedah baru sama ada baja atau benih, kebanyakan pesawah di sini, terutama di kawasan Sekinchan akan mencubanya.

Faktor usia juga memainkan peranan penting. Jika di kawasan lain, susah mencari orang muda menceburi bidang ini, di sini agak berbeza apabila hampir 20 peratus daripada lebih 9,000 pesawah di sini adalah golongan belia, malah ada yang mengusahakan sawah sehingga hampir 30 hektar seorang,” katanya.

Beliau berkata, program pembangunan juga kerap dijalankan di situ membabitkan pegawai dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian dan agensi lain termasuk Mardi dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, seorang pesawah, Sakrani Ali, 67, berkata teknologi pengaliran air di kawasan Projek Barat Laut Selangor sangat membantu meningkatkan hasil padi di situ kerana pesawah mampu menguruskan penanaman padi tanpa menghadapi masalah air seperti kawasan lain.

Jika nak suruh pesawah ikut jadual, syarat paling utama ialah sistem saliran mesti betul supaya air dapat dibekalkan tepat pada masa diperlukan dan boleh dibuang pada bila-bila masa. Di sini, sistem palong yang mengalirkan air masuk dan parit untuk mengalirkan air keluar sangat baik.Namun, sejak akhir-akhir ini, banyak kebocoran di palong yang sebenarnya sudah lama dikesan pesawah, malah sudah dilaporkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Namun tiada tindakan susulan. Kebocoran itu menyebabkan sudah ada kawasan di hujung projek tidak mendapat air secukupnya dan terpaksa mengharapkan hujan,” katanya.

Bagi Abd Karim Bahar, 48, pula menyifatkan pendekatan banyak agensi termasuk syarikat pengeluar produk pertanian yang memilih kawasan projek itu untuk ditawarkan pelbagai produk percubaan membolehkan pesawah di situ boleh mencuba teknologi baru secara percuma seterusnya menggunakannya jika terbukti berkesan.Selain itu, katanya, sistem pengairan menggunakan palong yang membolehkan pesawah mengawal sendiri saliran air ke sawah masing-masing adalah kunci utama peningkatan hasil di kawasan itu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s