PADI SRI : Minggu Ke-1 Okt, 2010 di Kelantan

Padi di Tunjung, Kelantan telah berumur 16 hari. Pertumbuhan nampak sangat memberansangkan. Pokok padi telah bercambah anak. Daunnya hijau dan keadaan pokok sihat. Inilah keadaan tanah sawah di Tunjung setelah dilandak.

Pokok Padi Berumur 16 Hari Di Tunjung, Kelantan

Pokok Padi Berumur 16 Hari Di Tunjung, Kelantan

Pokok Padi Mengeluarkan Anak

Pokok Padi Mengeluarkan Anak

Dari pemerhatiannya, Pak Aep dapat mengetahui sama ada sesuatu tanah sawah itu telah pulih dan subur, atau belum. Pokok padi akan mula bercambah anak pada hari ke-5 selepas tanam. Setiap lima hari, jumlah anaknya akan berganda sehinggalah ia berhenti mengeluarkan anak (di penghujung ’tillering stage’), iaitu sebelum padi mula bunting (panicle initiation stage).

Pada masa yang sama, dipetak yang lain, kerja-kerja melandak pertama sedang dijalankan. Nampaknya senang sahaja. Mungkin kerana tanah liatnya lebih dan tanah ini telah ditanam padi selama 3 musim. Pak Tam juga tidak mahu terlepas peluang untuk melandak. Pak Tam kata kerja ini tak lah susah sangat. Puan Salwati dan anak-anak perempuannya juga turun melandak. Lihat gambar yang diambil pada hari Jumaat sebelum kami tiba.

Puan Salwati dan Anak-anak Melandak

Puan Salwati dan Anak-anak Melandak

Pak Tam Melandak di Tunjung, Kelantan

Pak Tam Melandak di Tunjung, Kelantan

PADI SRI: Minggu Ke-3 September, 2010 – Sg Leman, Sabak Bernam, Selangor.

Perancangan Kerja

Perancangan Kerja

Selain daripada Saudara Nazri, adiknya Saudara Khairi, atau lebih dikenali dengan panggilan Atan adalah orang yang bertanggungjawb menguruskan semua kerja-kerja sawah. Beberapa sesi perbincangan diantara mereka dengan Salehuddin (Pak Tam) dan saya (Mak Tam) dibuat setiap kali kami ke tapak percubaan.

pH Tanah 4.5 Pada Permulaan Projek

pH Tanah 4.5 Pada Permulaan Projek

Pada masa yang sama, padi disekeliling tapak sawah padi SRI ini telah mula ditanam pada minggu kedua September, 2010.

Oleh kerana kerja-kerja penyediaan tanah perlu dibuat dengan baik, tarikh penanaman padi SRI terpaksa ditangguhkan lewat sedikit.

Selepas parit siap dikorek, air mula dimasukkan bagi melembutkan tanah.

Benih padi yang telah dipilih menggunakan air garam, telah direndam selama 24 jam, dan kemudian ditos selama 24 lagi.  Benih padi mula mengeluarkan ‘mata’ dan pada masa itu,  ditaburkan ke atas tapak semaian secara jarang-jarang. Ini adalah untuk memudahkan anak benih diceraikan semasa hendak ditanam nanti.

Benih Yang Telah Bercambah Ditabur Atas Tapak Semaian

Benih Yang Telah Bercambah Ditabur Atas Tapak Semaian

Selepas biji benih ditabur ke atas tapak semaian, beberapa pelepah daun kelapa digunakan untuk tutup tapak semaian. Ini adalah untuk memberi perlindungan kepada anak benih daripada cahaya matahari yang terik, dan juga menjaga kelembapan tanah. Benih dijaga selama 10 hari.

Bersama kami, anak Khairi yang dipanggil Monet sentiasa berada dekat dengan ayahnya. Saya berkata kepada Pak Tam, ‘Alangkah kayanya anak-anak kat kampong dengan pengalaman hidup yang aman damai dan segar. Anak-anak dibandar terpaksa terperuk di rumah kerana dikhuatiri dilanggar orang jika bermain ditepi jalan, dicuri orang jika keseorangan di taman permainan, dan berbagai bahaya lagi.’  Pak Tam sempat mengambil gambar Monet bermain buaian yang dipasang oleh Datoknya di belakang rumah.

Monet

Monet

PADI SRI : Pembetulan:

Saya telah bertanya kepada Pak Aep dan ada pembetulan perlu saya buat. Sebenarnya, padi SRI di Kelantan yang sekarang ini adalah musim ketiga ditanam. (Pada musim pertama 2009 yang lalu, padi tidak sempat ditanam kerana kerja-kerja penyediaan mengambil masa yang lama, iaitu semasa mengubahsuai tanah terbiar untuk dijadikan sawah).


Penyediaan tanah di Tunjong, Kelantan

Minggu Pertama September, 2010 – Bagi penanaman padi, adalah perlu tanah diratakan supaya memudahkan mengawalan air. Bagi padi ditanam menggunakan kaedah SRI, tanah yang rata adalah kritikal terutama dalam mengawal keluar-masuk air, terutamanya pada masa membuat kerja-kerja merumput dan aerasi tanah. Selepas ini, aktiviti merumput dan aerasi tanah ini dipanggil ‘melandak’.

Soalan dikepala saya ialah mengapa aktiviti ini dipanggil ‘melandak’? Nanti bila tiba masanya, akan saya tunjukkan alat melandak itu.

Mendalamkan Parit Keliling (sebelah dalam)

Mendalamkan Parit Keliling (sebelah dalam)

Oleh kerana ini adalah kali ke-3 sawah ini akan ditanam, kerja-kerja penyediaan menjadi lebih mudah berbanding semasa kali pertama. Tanah sawah telah sedia dirata. Air dibiarkan bergenang sedalam 2-3 cm di sawah bagi mengawal rumput tumbuh.

Parit keliling (yang berada di sebelah dalam sawah) diselenggara dengan mendalamkan parit, dan sambil itu meratakan tanah ditepinya. Boleh dilihat dari gambar disebelah yang menunjukkan tanah di Tunjong, Kelantan adalah mengandungi tanah liat dan apabila basah, ia akan berselut.

pH Tanah Diambil

pH Tanah Direkod

pH tanah di Tunjong, Kelantan adalah purata 6.2. Cuba perhatikan gambar yang mempunyai ph meter ini. Apa yang boleh anda lihat pada tanah dikeliling pH meter itu?

Bagi saya, ini adalah kali pertama mengambil perhatian terperinci tentang keadaan permukaan tanah. Jika kita lihat dengan lebih dekat, permukaan tanah sawah nampak macam ada banyak makhluk yang hidup. Kalau dilihat dari dekat, kita akan nampak banyak lubang-lubang dan bekas aktiviti makhluk kecil. Dengan adanya lubang-lubang ini, udara akan dapat masuk ke ruang perakaran, memberi peluang untuk pelbagai bacteria hidup dan membiak dengan aktif.

Permukaan Tanah Sawah Yang Subur

Permukaan Tanah Sawah Yang Subur

Tumbuhan perlukan cahaya, air, karbon dioksida, dan nitrogen untuk membesar. Nitrogen adalah nutrient tanaman yang paling penting. Oleh itu pembajaan kimia telah banyak menguntungkan petani dengan meransang peningkatan hasil.

Sayangnya, bukan sahaja harga baja kimia semakin meningkat, malah sisabaki kimia telah mula mencemari sumber air minum melalui pengresapan dalam tanah. Juga penggunaan baja kimia tanpa kawalan boleh menyebabkan tanah mula ‘mati’, iaitu populasi makhluk-makhluk kecil dalam tanah mula menurun.

Ada sejenis bakteria, Azospirillum, jika hadir dalam tanah, boleh membantu ‘nitrogen fixation’. Bakteria ini juga mengeluarkan auxins (sejenis plant growth regulator) yang berfungsi menggalak pertumbuhan lebih banyak akar rerambut. Akar rerambut ini berfungsi meresap lebih banyak air dan sudah tentunya nutrien dari dalam tanah. Lebih baik sistem perakarannya, lebih subur and kuat pokok. Ini akan menentukan hasil padi yang lebih tinggi.

PADI SRI

PADI SRI : Selepas ini saya akan paparkan keadaan sebenar tanaman padi SRI di Kelantan dan di Selangor. Secara ringkas, ada beberapa perbezaan diantara kedua kawasan dari segi tanah, pengurusan dan ilmu pengetahuan. Di bawah ini saya paparkan perbezaan itu:

Tunjong, Kelantan Sg Leman, Selangor
1. Kawasan dipilih adalah kawasan tanah terbiar di sebelah kawasan padi KADA. Kawasan dipilih adalah kawasan bekas bertanam sayuran yang terletak dalam kawasan padi IADA, Barat Laut Selangor.
2. Luas kawasan adalah 2.8 hektar (7 ekar). Kawasan adalah seluas 0.4 hektar (1 ekar)
3. Kandungan tanah liat adalah lebih tinggi (~80%). Tanah gambut yang kandungan liatnya lebih rendah (~60%).
4. Sumber bekalan air daripada parit. Sumber bekalan air daripada palong pengairan.
5. Pengurus adalah seorang yang mempunyai pengalaman yang lama dalam SRI di Indonesia. Pengurus baru diperkenalkan kepada kaedah SRI melalui kursus ilmiah satu hari.
6. Pekerja dibawa daripada Indonesia dan berpengalaman dalam SRI. Orang-orang perseorangan dari luar juga datang untuk belajar sambil bekerja disawah (‘hands-on’). Pekerja diambil daripada kalangan tenaga keluargatani dan warga asing, dan berpengalaman dalam tanaman padi secara menanam 2o tahun yang lalu.
7. Telah menjalankan penanaman secara SRI selama 3 musim, dan ini adalah musim yang ke-4. Baru pertama kali menanam menggunakan kaedah SRI.
8. Pada musim ke-3 penanaman, sawah mencapai hasil sebanyak 7.4 tan sehektar (pengesahan dibuat oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan). Belum mengeluarkan hasil.
9. Masih menggunakan tenaga manusia bagi menanam, dan membuang rumput/aerasi tanah. Sama.
10. Menggunakan alat menggaris dan merumput/aerasi yang dibuat sendiri. Sama.
11. Sedang membangunkan mesin untuk menanam satu anak benih setiap ‘point’, dengan jarak 25 cm x 25 cm. Belum.
11. Tujuan projek adalah untuk melatih petani/usahawan kearah menghasilkan padi organik. Tujuan projek adalah untuk mencuba kaedah SRI, dan menyediakan buku panduan penanaman kaedah SRI bagi tujuan meningkatkan hasil padi.

 
 

Gambar kawasan padi SRI di Tunjong, Kelantan (Musim ke-4).

Kawasan Padi Organik, Tunjong, Kelantan.

Kawasan Padi Organik, Tunjong, Kelantan.

 
 

9 Ogos, 2010 – Semasa lawatan, kawasan ini telah siap menuai. Selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan, sawah dibiar digenangi air dengan tujuan menghindar pertumbuhan rumput-rumpai.  Itik-itik juga dilepaskan untuk mencari makan dan bermain air. Itik boleh memainkan peranan memakan rumpai, ‘menggembur’ kan permukaan tanah sawah, dan memakan anak siput gondang, jika ada.

 

Gambar kawasan percubaan padi SRI di Sg Leman, Sabak Bernam, Selangor (Sebelum ditanam).

 

Tanah bekas tanaman sayuran di tanah gambut, Sg Leman

Tanah bekas tanaman sayuran di tanah gambut, Sg Leman

 

6 September, 2010 – Tanah di Sg Leman ini adalah bekas bertanam sayuran. Pada masa gambar ini diambil, tanah telah dibajak sekali. Walaupun begitu, tanahnya masih keras. Oleh kerana saya sendiri tiada pengalaman dalam kaedah SRI, saya mengambil keputusan mencuba penanaman padi SRI ditanah ini dengan persetujuan pengusahanya. Pengusahanya, Saudara Nazri,  juga mempunyai sebidang tanah yang ditanamnya dengan padi.  Orang kampung memanggilnya Ee. Saudara Ee ingin melihat pertumbuhan serta hasil padi SRI. Katanya, “Mak Tam. Kalau padi ni boleh bagi hasil 1.5 tan ditanah ni, saya akan guna kaedah ini kat tanah yang lain tu pada musim hadapan”. Saya kata, “Kat Kelantan pun musim ketiga baru berjaya. Kita kena buat elok-elok le. Insyaallah.”

PADI SRI

PADI SRI : Oleh kerana bertolak agak lewat, kami telah sampai ke Kota Bharu pada lewat malam, hampir jam sebelas. Hotel di tengah bandar kebanyakannya penuh pada waktu itu. Mujurlah dapat menginap di sebuah hotel yang mempunyai sebuah bilik ‘family’ ditingkat atas sekali.

Esoknya kami menghubungi Encik Kamaruzzaman daripada pejabat PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan). Kami mengikuti kenderaan beliau hingga ke sebuah kawasan yang agak tersorok daripada pandangan.

Mengimbas kembali, sesampai kami di kawasan penanaman padi SRI di Tunjong, Kelantan, terasa sebagai ada suatu kelainan. Setelah melalui kawasan yang semak samun dan kawasan padi yang ditumbuhi rumpai dan padi batat, mata cepat menangkap kawasan sawah yang cantik dipandang mata. Seolah memasuki kawasan yang terasing dari sekelilingnya. Atau saya tiba-tiba berjiwa puitis. Apa pun, ada lintasan puisi yang bermula dari mata meluncur ke hati apabila tiba ditempat ini.

taman organik tunjong, padi organik, kelantan, tunjong, beras organik, organik, beras, padi sri

Papan tanda Taman Organik Tunjong menyambut kedatangan kami

Kawasan yang kami sampai ini bersebelahan dengan kawasan KADA. Kami disambut oleh itik-itik yang baru lepas mencari makan di sawah yang telah siap dituai.

Pak Aep Saepudin

Pemandangan di sawah di Tunjong, Kelantan.

Tandatanya mengenai padi SRI masih terngiang-ngiang di kepala. Kami lihat disekeliling, ada sebuah kawasan padi yang luasnya lebihkurang 10 ekar bersih digenangi air. Di sebelahnya adalah deretan bangunan kedai 3-tingkat. Kawasan sawah yang terhad, diiringi bunyi itik-itik, dan hembusan angin yang perlahan, membuat saya berasa seperti berada disuatu tempat yang asing.

padi organik, organic rice, padi organik, pad, organik, organic, tunjong, kelantan, tunjung

Sawah Tenang Berjirankan Pembangunan

Sayangnya, semasa lawatan, mereka sudah lepas menuai. Jadi tiada apa yang boleh dilihat. Sayugia, kami terus mencari tempat duduk dibawah sebuah bangunan beratap rumbia. Sejuk dan berangin.

Sejenak kemudian, datang seorang lelaki yang diperkenalkan kepada kami sebagai Pak Aep, nama penuhnya Aep Saepudin berusia empat-puluhan. Beliau dikatakan datang daripada sebuah kawasan di Jawa Barat yang bernama Tasikmalaya. Seorang pejuang makanan organik yang gigih dan tegas.

Setelah wadah perkenalan, soalan pertama kami adalah, “Pak Aep, apa itu SRI?”. Penjelasan yang panjang lebar yang diberi amat menarik perhatian kami berdua. Setelah memulakan kerja kami dikawasan yang ada bertanam padi sejak lewat tahun ’70an, apa yang kami dengar dari mulut Pak Aep menguji pemahaman tanaman padi secara konvensyenel.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers