Menuai Padi SRI Organik di Parit 4, Sg Burong (Musim Kedua) 4 Jan, 2012
Pada hari menuai di Parit 9, Sg Leman, saya telah meminta bantuan Hajjah Norameliawati untuk penuaian pada 4 Jan, 2012 di Parit 4, Sg Burong. Lihatlah rakan-rakan dari PLKP, Tg Karang yang datang dengan berbagai mesin dan peralatan. Semuanya telah di’service’ dan bersedia turun ke sawah. Hanya Allah swt dapat membalas pertolongan rakan-rakan SRI PLKP.
Lihatlah rakaman video pada hari tersebut.
.
Pada musim ini petak pemerhatian ini menghadapi beberapa cabaran. Penanaman terpaksa ditunda 12 hari kerana kekurangan air menyebabkan kerja membajak terakhir tergendala.
Pada masa padi berumur 10 hari, dan sepatutnya menjalani kerja melandak pertama, hujan lebat sepanjang minggu hingga air parit melimpah masuk ke sawah. Semasa pokok padi SRI perlu dikurang air kepada cap-cap sahaja, air tidak dapat dikeluarkan selama hampir 2 minggu.
Selepas itu, sebaik sahaja padi terbit bunga, kerja-kerja membersihkan parit dijalankan oleh pihak berkuasa. Tanah tidak dapat menahan air dalam sawah. Air makin berkurangan sehingga tanah dalam sawah kering dan merekah. Dugaan.. dugaan.. Padinya nampak banyak, tetapi ringan. Musim lepas, bagi petak kurang daripada 1 ekar ini dapat lebih dari 1.3 tan. Tetapi pada musim ini hanya dapat mencecah 1.05 tan sahaja. Baca posting yang dibuat oleh hijausawah.blogspot.com di sini.
Beginilah risiko yang dihadapi oleh petani setiap musim. Bila kita buat sendiri barulah dapat menghayati peritnya. InsyaAllah, kali ini akan dirancang sebaik-baiknya sebelum masuk ke musim ketiga. Pada masa yang sama, dua petak pemerhatian yang lain berjalan lancar dan satu telah pun di tuai dan memberikan anggaran hasil 8.1 tan/hektar.












