Padi SRI : Wadah SRI Untuk Manfaat Semua

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan SRI 2013

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan SRI 2013

Tidak lama lagi Persidangan SRI 2013 akan berlangsung di Orient Star Resort, Lumut Perak pada 11-13 Jun, 2013. Sekarang adalah kerja-kerja pelarasan bagi memastikan persidangan berjalan dengan licin.

Sila download brosur SRI 2013 di sini untuk maklumat lanjut. Jumpa disana.

Nota: Bagi posting berbentuk maklumat semasa berkenaan pandangan Mak Tam terhadap Malaysia Tanahairku, sekarang ini akan dikumpulkan dibawah tajuk MALAYSIA TANAHAIRKU di tab berkaitan (disebelah tab ‘Home’)

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku yang dalam proses penyediaan sejak tiga bulan yang lalu. Walau pun Mak Tam dah ada pengalaman menyusun buku iaitu buku “Seratus Tahun Menerajui Kecemerlangan Pertanian” Jabatan Pertanian dalam tahun 2005, tapi setiap buku itu unik. Yang dulu adalah koleksi penulisan beberapa orang pegawai, yang ini pula ditulis oleh dua orang, Pak Tam dan Mak Tam. Kami mengambil kaedah ‘natural farming’ dari Korea Selatan dan juga ilmu pertanian ekologi dari Indonesia.

‘Natural farming’ telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian sejak 2002. Itu semasa Mak Tam menjawat jawatan Pengetua di Institut Pertanian Serdang. Puan Mariam Ahmad, yang juga Pengurus Ladang institut menjadikan ‘natural farming’ sebagai salah satu subjek yang diajar kepada pelajar IPS dan peserta inkubator. Puan Mariam yang banyak menceritakan kehebatan ramuan ‘natural farming’ ini.

Setelah Mak Tam pencen, berpeluang pula menghadiri kursus Pertanian Ekologi di Pusat Latihan FELCRA (FTC) Seberang Perak. Di FTC sekali lagi Mak Tam didedahkan kepada pembuatan baja dan pestisida semulajadi yang dibuat daripada bahan-bahan yang boleh didapati disekeliling kampung. Di FTC jugalah Mak Tam mendalami kaedah SRI dan kaitannya dengan mikrob dalam tanah. Pak Deri Ramdani dari Nusantara Organik SRI Centre (NOSC), Nagrak, Sukabumi memberi banyak resepi yang boleh digunakan di Malaysia.

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Tapi orang yang paling berpengaruh dalam pembelajaran Mak Tam adalah Pak Aep Saepudin dari Tasikmalaya, Indonesia. Beliau membuka minda Mak Tam kepada banyak perkara yang berkaitan dengan sejahteraan alam sekitar dan peranan mikrob dan makhluk seni dalam tanah. Kepentingan menjaga keseimbangan zon persekitaran perakaran (rhizosphere) dan bagaimana mikrob mengilang makanan untuk tumbuhan dan menjadi benteng pertahanan utama dalam menjaga keselamatan pokok daripada serangan makhluk perosak seperti serangga, kulat dan bakteria. Beliau juga menceritakan bagaimana bunyi cengkerik juga memainkan peranan membuka stomata daun pada waktu malam hingga subuh.

Tetapi buku kami ini adalah seperti buku resepi membuat rumusan yang boleh menjadi baja dan menguatkan ketahanan tumbuhan daripada serangan perosak. Pak Tam dan Mak Tam berharap buku ini akan diguna oleh seramai pengusaha pertanian dan seterusnya menggunakannya untuk mengajar generasi muda.

Padi SRI Selangor : Ilmu Itu Pelita Hati

System of Rice Intensification SRI

System of Rice Intensification SRI

Ilmu Itu Pelita Hati adalah sebuah peribahasa yang bermaksud ilmu pengetahuan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang bijak.

Blog Stats

Blog Stats

Agak lama juga Mak Tam tidak update blog kerana beberapa sebab. Pasti saja boleh sebut sibuk, tapi yang sebenarnya sudah kekeringan ilham. Terfikir Mak Tam apa lagi yang hendak diperkatakan kerana telah banyak perkara ditulis untuk tatapan. Hingga kini sudah lebih daripada 111,000 hits ke blog ini. Tapi siapa yang menatap tulisan diblog ini? Apa manfaat yang orang dapat dari membacanya? Inilah soalan-soalan yang sering berligar dalam minda Mak Tam.

Tapi pagi ini Mak Tam dapat suntikan baru dari post di fb yang dibuat oleh seorang insan bernama Nazrol Nizam Zakaria, anak muda dari Guar Perahu, Penang. Terima kasih kerana menggerakkan Mak Tam dari lamunan. Alhamdulillah juga dengan adanya internet ini, lebih mudah berinteraksi dengan pelbagai golongan orang dari semua peringkat umur dan latarbelakang. Membaca postnya, Mak Tam rasa teruja. Rupanya blog Mak Tam ini mampu membawa perubahan. Alhamdulillah jika begitu.

Sejak SRI-Mas : National Workshop on Sustainable Rice Production: Re-Visiting IPM bulan September lepas, beberapa permintaan untuk diterangkan mengenai SRI dan manfaatnya telah kami terima. Ini termasuk dari negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Topik yang paling popular adalah ‘Cara-cara mengurangkan modal bertani’.

Harga input pertanian dikatakan oleh petani naik setiap 6 bulan. Mungkin ada yang boleh buat geraf ikut perkembangan harga input pertanian di negara kita untuk melihat kebenaran kata-kata ramai petani. Sudah rasa amat terbeban kerana membeli racun kimia tidak menjamin tanaman akan selamat daripada serangan pelbagai perosak dan penyakit. Keluhan yang sama Mak Tam dengar dimerata tempat. Jadi apa yang silap disini? Sapa yang boleh beri pencerahan? Siapa yang boleh berikan penyelesaiannya?

Mak Tam hanya mampu berkata bahawa wahai rakan-rakan tani semua, anda tidak perlu menjadi hamba kepada input pertanian berbentuk kimia. Tuan-tuan boleh membuat sendiri baja dan pencegah perosak tanaman ini. Bahan-bahannya adalah daripada bahan buangan kampung sahaja. Ada pun dua jenis akar kayu boleh dibeli dikedai ubat Cina di pekan berhampiran. Minta Jabatan Pertanian ajarkan ilmu yang dipanggil ‘natural farming’. ‘Natural farming’ ini telah meluas penggunaannya di Korea, Jepun, China, Indonesia, India, Filipina dan beberapa negara lain. Mungkin mereka tidak panggil dengan nama ‘natural farming’, tapi konsepnya adalah sama. Dan ‘natural farming’ ini mampu mengembalikan kesuburan tanah, mencergaskan pertumbuhan pokok, dan sekaligus mempertahankan pokok dari serangga perosak dan penyakit. Yang paling penting adalah petani tidak terdedah kepada bahaya racun kimia, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan modal bertani.

Gerakan SRI ini bermula di Indonesia kerana ada pihak NGOnya yang ingin membantu petani disana. Para petani sering sahaja menerima padah yang buruk dari penggunaan racun kimia. Bukan sahaja terhadap kesihatan, bahkan menjadi hamba yang terbelenggu kepada hutang. Mana tidaknya jika wang dari jualan hasil ladangnya lebih banyak dibuat untuk membayar hutang kedai racun. Dan dari siapakah mereka mendapat nasihat cara mengawal perosak tanaman. Sudah tentu saja dari jurujual racun kimia. Malah isteri kepada jurujual racun kimia boleh saja beri nasihat racun mana yang patut digunakan. Adakah senario pertanian di Malaysia juga begitu? Mereka yang dalam bidang pertanian boleh beri jawapan yang tepat.

Tengoklah video dibawah ini dan bayangkanlah akibat racun terhadap petani dan operator ladang. Siapa yang peduli? Siapa yang ambil pot, seperti kata kawan Mak Tam. Bagi yang terdedah kepada racun kimia pertanian, atau mempunyai bapa, adik-beradik dan saudara dalam pertanian, kasihanilah mereka. Petani adalah orang yang berjuang sepanjang hayat mereka untuk memberi kita makan. Tidakkah kesejahteraan mereka penting?

Padi SRI Selangor :  Selamat Menyambut Aidil Fitri

Padi SRI Selangor :  Selamat Aidil Fitri

Padi SRI Selangor : Selamat Aidil Fitri

Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami meyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Disisir diandam dengan cekap
Potong rambut pelbagai gaya
Puasa sebulan sudahlah lengkap
Sama menyambut Hari Raya

Padi SRI Selangor : Merealisasikan Mesin Melandak (26 Julai, 2011)

Padi SRI Selangor : Tahniah dan Syabas Saudara Toif

Padi SRI Selangor : Tahniah dan Syabas Saudara Toif yang menanam padi SRI dengan penuh keyakinan kepadaNya.

Bagi Pak Tam dan saya, tarikh 26 Julai, 2011 adalah hari yang sangat menggembirakan. Selama setahun kami mencari, mencuba dan bertanya tentang mesin untuk membuat kerja melandak bagi tanaman padi SRI. Akhirnya berkat persepakatan dan komitmen, PLKP Tg Karang telah berjaya membuat satu mesin melandak yang diubahsuai hanya pada roda-landaknya, iaitu daripada mini garden tiller pada asalnya. Apatah lagi alat yang Pak Tam gelar ‘Talib Mark I’ itu sangat mudah operasinya, dan tentunya mampu dibeli oleh usahawan yang mahu menawarkan perkhidmatan melandak kepada petani yang bertanam cara SRI, atau pun petani sendiri yang membeli dan menggunakannya untuk sawahnya sendiri.

Padi SRI Selangor : Arbani (Komeng) Juga Salah Seorang Wira SRI

Padi SRI Selangor : Saudara Arbani (Komeng) Juga Salah Seorang Wira SRI

Kami berdua gembira kerana mesin melandak ini adalah langkah pertama, dan banyak lagi mesin-mesin  yang akan keluar kerana petani-petani kita memang ramai yang kreatif. Kami telah berjumpa dengan seorang yang bernama saudara Osman (rakan saudara Kemat yang juga mencuba cara ala-SRI dengan dimenjarakkan tanam mesin, tetapi bukan ditanam satu benih) yang telah merekacipta alat mesin melandak yang ditarik belakang jentera transplanter (iaitu alat menanam dikeluarkan dulu).  Dan seorang insan kreatif saudara Tabien yang sedang memikirkan tentang mesin/alat menanam satu anak benih. Saya berdoa agar mereka akan berjaya membawa perubahan kepada penanaman dan pengurusan padi di Selangor. La Vida Vive, Selangor!

Jadi perkembangan SRI ini akan dipelopori oleh petani sendiri. Mereka yang tanam, mereka yang rekacipta mesin menanam dan melandaknya, dan mereka yang akan memastikan SRI membawa keuntungan hasil dan pendapatan yang tinggi. Tapi pada saya,  keuntungan yang terbaik adalah mengembalikan kesuburan tanah dengan meransang pembiakan pelbagai mikrob dalam tanah, serta memperkasakan segala mikrob melaksanakan tugas yang fitrah bagi mereka. Ya Rabb, permudahkanlah.

Esok kita akan berpuasa. Melangkah ke bulan Ramadhan dengan penuh keinsafan dan harapan. Harapan untuk mendapat keredhaanNya, memohon perlindungan daripada segala kejahatan yang nampak dengan yang terlindung, berdoa agar diberi ruang masa dan kesihatan untuk membuat yang terdaya bagi sisa masa yang masih ada. Saya yakin dengan sepenuh hati bahawa untuk mengembalikan kesuburan tanah dengan mengurangkan penggunaan agrokimia akan dibantu oleh Allah swt, Pencipta alam semesta. InsyaAllah.. Ada jalannya.. Yakinlah..


Maher Zain – InsyaAllah (Malay Version) Lirik

Andainya kau rasa tak berupaya
Hidup sendirian tiada pembela
Segalanya suram
Bagai malam yang kelam
Tiada bantuan tiada tujuan

Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Chorus
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya

Andainya dosamu berulang lagi
Bagai tiada ruang untuk kembali
Dikau keliru atas kesilapan lalu
Membelenggu hati dan fikiranmu

Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Repeat Chorus

Kembalilah
Kepada Yang Esa
Yakin padaNya
Panjatkanlah doa
Oh Ya Allah
Pimpinlah daku dari tersasar
Tunjukkan daku ke jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar

Padi SRI Selangor : Mesin Melandak Dicuba Di Tanah Encik Toif, Sawah Sempadan pada 25 Julai, 2011

Padi SRI Selangor :  Latihan Membuat Baja dan Penghindar Natural Farming

Padi SRI Selangor : Latihan Membuat Baja dan Penghindar Natural Farming

Hari Isnin 25 Julai, 2011 dimulai dengan Pak Tam, Mak Tam dan Wahidah memberi latihan membuat baja dan penghindar SRI untuk rakan-rakan di PLKP, Tg Karang.  Empat orang dari kalangan rakan-rakan PLKP terlibat dalam aktiviti persawahan. Harapan kami adalah agar mereka dapat memulakan pembuatan sendiri baja dan penghindar ini dan menggunanya terus kepada padi mereka. Semoga mereka dapat faedah dari ini, dan seterusnya, dapat menjadi contoh kepada petani disekitar sawah mereka nanti.

Padi SRI Selangor : Rakan PLKP Memberi Perhatian

Padi SRI Selangor : Rakan PLKP Memberi Perhatian

Pada sebelah petangnya, kami bersama Talib dan rakan-rakan menjurus ke tanah Encik Toif di Blok W, Sawah Sempadan. Hati kami berdebar-debar kerana pada hari ini Encik Toif seharusnya telah mula melandak. Semasa kami sampai, kami dapati sawah telah pun dinaikkan air untuk melembutkan tanah sebelum kerja melandak dibuat.

Saya terus menelefon Encik Toif. Anaknya Siti menjawab dan memberitahu dia dan ayah nya berada di Ipoh untuk memberi barang untuk lori mereka. Setelah Pak Tam gagal mencari abang kepada Siti, kami mengambil keputusan untuk mencuba mesin melandak yang diubahsuai oleh Talib dan rakan-rakan.

Wahidah bertepuk tangan sambil berlari-lari anak untuk melihat Talib menggunakan mesin melandak untuk kali pertama di sawah semasa anak padi berumur 10 hari. Pak Tam yang mulanya nampak terpegun bersorak riang, ‘wooo.. hooi.. orait Lib, orait..’ Saya berjalan atas batas sambil memegang kamera dan hampir tergelincir ke dalam parit. Tapi kalau jatuh parit pun saya rasa berbaloi. Kami telah dapat satu mesin yang boleh menjalankan kerja melandak dengan lebih senang dan lebih cepat. Sekarang kena buat ‘sling’ bahu yang boleh menampung berat mesin, agar operator boleh menggunakan tangan untuk kawal perjalanan mesin dengan lebih tepat. YES! Go Padi SRI Selangor. Go PLKP SRI, Go PPL SRI.. GO, Go. Go…  :D   Syukur Alhamdulillah, Ya Rabb..

Padi SRI Selangor : Padi SRI Musim Ke-3 Persediaan  20 Julai, 2011

Padi SRI Selangor : Perbincangan Mekanisasi SRI 20 Julai, 2011

Padi SRI Selangor : Perbincangan Mekanisasi SRI 20 Julai, 2011

Rabu, tanggal 20 Julai, 2011 merupakan hari yang sangat produktif. Sebelah paginya ialah perbincangan dengan pasukan kejenteraan. Saya juga telah mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan terhadap kerjasama dan sokongan pihak Jabatan Pertanian Negeri dalam petak-petak pemerhatian SRI. Selepas saya menerangkan tentang falsafah SRI bagi negeri Selangor, Pak Tam ambil alih untuk perbincangan keperluan bagi penanaman padi di dua kawasan demonstrasi SRI, iaitu di Parit 9, Sg Leman dan Parit 4, Sg Burong.

Perbincangan berkisar disekitar khidmat yang diperlukan untuk menyediakan kedua tanah khusus untuk pemerhatian SRI supaya menepati syarat keperluan SRI. Perkara-perkara yang dipersetujui adalah:

1. Tanah sawah perlu sangat rata.

2. Parit keliling perlu ada 30 cm lebar dan 30 cm dalam.

3. Jarak tanam adalah 25 cm x 25 cm, dan gelung yang mempunyai 6 baris serta besi lintang yang lengkap akan disediakan sebanyak 1 unit. MBI akan membiayai kos gelung ini.

4. Tarikh menanam dicaadangkan 25 Ogos, 2011.

5. Baja organik tahi lembu akan ditebar di kedua tanah sawah.

6. Kumpulan PPL, Parit 9, Sg Leman akan menyediakan semai berumur 10 hari.

Sebuah Bengkel Mekanisasi SRI dicadang untuk dibuat pada bulan Oktober, 2011 di PLKP, Tg Karang. Cadangan ini akan dibawa kepada Pengarah Pertanian Negeri Selangor untuk persetujuan. Beberapa aktiviti dicadang untuk dilaksanakan sempena bengkel tersebut:

1. Demonstrasi mesin menanam yang diubahsuai membolehkan penanaman 1 atau 2 anak semai yang berumur bawah daripada 12 hari.

2. Demonstrasi drum-seeder untuk penanaman cara SRI.

3. Demonstrasi tabur terus (ditabur jarang-jarang dengan kadar 25-30 kg/hek) dan selepas 10 hari di’landak’ dua baris melintang untuk dijadikan tapak penanaman secara SRI.

4. Demonstrasi penggunaan ‘Laser Leveler’

5. Demonstrasi mesin ‘melandak’ 7-row seperti yang digunakan oleh pesawah organik di Jepun.

6. Penerangan mengenai cara menguruskan pengwujudan ‘hard-pan’ bagi sawah.

Kursus penyediaan baja dan penghindar perosak/penyakit Natural Farming akan dibuat pada hari Isnin, 25 Julai, 2011.

——————————————————————————————————-

Disebelah tengah hari kami ke Parit 4 dan Parit 9, dan terserempak dengan lawatan para Pengusaha Homestay Kuala Langat ke PPL, Parit 9, Sg Leman dimana Wahidah memberi penerangan mengenai baja dan penghindar perosak/penyakit natural farming.

Padi SRI Selangor: PPL SRI Menerima Lawatan

Padi SRI Selangor: PPL SRI Menerima Lawatan

——————————————————————————————————–

Sebelah petang kami melawat sambil berbincang dengan Encik Toif di blok W, Sawah Sempadan, dan Encik Amirudin (Komeng) di blok G, Sawah Sempadan. Mereka berdua adalah perintis SRI di Sawah Sempadan. Keduanya sama teguh dan sama kuat pendirian. Keduanya mempunyai karekter yang banyak persamaan. Keduanya pada saya adalah ‘Hang Jebat’ pertanian. Nanti, kalau ada luang masa, akan saya huraikan mengapa saya kata mereka ini ‘Hang Jebat’. :D

Padi SRI Selangor :  Encik Toif Blok W, Sawah Sempadan

Padi SRI Selangor : Encik Toif Blok W, Sawah Sempadan

Padi SRI Selangor : Encik Amirudin (Komeng), Blok G, Sawah Sempadan

Padi SRI Selangor : Encik Amirudin (Komeng), Blok G, Sawah Sempadan

SRI Mas : Pak Tam dan Mak Tam

Gambar ini diambil oleh Prof Iswandi Anas. Eh.. selama ini tak berpeluang dan tak teringat pulak nak posing macam ni. Bila dah ada gambar begini, seronok pulak menengok sebagai kenangan. Pak Tam hero Mak Tam yang sentiasa memberi sokongan tanpa had. Pak Tam menghayati jiwa Mak Tam, walau pun kadang-kadang Mak Tam tak peka kepada perasaan sendiri. Terima kasih Pak Tam kerana menjadi dahan tempat bergantung, dan menjadi pohon tempat bersandar.

“Anak ketam jalan mengiring,

Jalan mengiring berpasang-pasang;

Sehidup berteman sama seiring,

Bersama Pak Tam bersusah senang.”

Di hadapan kami adalah serumpun pokok padi MR219 yang ditanam cara SRI. Bilangan anak yang mengeluarkan tangkai padi adalah lebihkurang 40. Pokok ini di keluarkan untuk dibawa ke persidangan kebangsaan pertama SRI di Putrajaya. Alhamdulillah ada contoh yang boleh dibawa sebagai bukti pokok padi ditanam secara SRI memberi ekspresi yang berlainan dari biasa.

Padi MR219 dibiak untuk mengeluarkan sedikit anak kerana ia lebih bertujuan untuk ditanam secara tabur. Jadi jika ia keluar dalam 2 atau 3 anak sahaja sudah mencukupi kerana cara tabur terus pokok padi tumbuh rapat. Tetapi apabila padi MR219 di tanam secara SRI, iaitu dengan jarak 30 cm x 30 cm, serta ditanam cetek, ia menjadikan pokok tumbuh seolah pokok serai. Beranak banyak dan kembang.

Sekarang nak bertolak ke Parit 4, Sg Burong untuk menuai padi di tanah saudara Raja. Nanti saya ceritakan lagi..  Jumpa di sana.. di sana.. di sana….

Padi SRI Selangor : Pak Tam dan Mak Tam

Padi SRI Selangor : Pak Tam dan Mak Tam dan padi MR219 SRI Musim 1/2011

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers