Bahana Penyakit Moko Pisang Terhadap Masyarakat Di Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam

Penyakit Moko : Tanaman Pisang Musnah Oleh Bakteria Ralstonia solanacearum

Penyakit Moko : Tanaman Pisang Musnah Oleh Bakteria Ralstonia solanacearum

Posting yang terdahulu mengenai penyakit moko pisang berada di sini.  Untuk melihat gambar-gambar semasa lawatan ke Kg Tebuk Jawa, Sabak Bernam, sila klik sini.

Sebaik selepas subuh, Pak Tam dan saya terus menaiki kenderaan untuk ke Sabak Bernam. Singgah mengambil Wahidah dan Hisham. Hari ini misi kami adalah untuk mencari jawapan bagaimana untuk mengguna ilmu pertanian fitrah alam mengawal bakteria Ralstonia solanacearum yang memusnahkan tanaman pisang di Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam.

Semasa melalui beberapa kebun pisang, kita boleh lihat kemusnahan yang terjadi. Daun kering, tandan pisang ada yang terkulai layu, dan banyak kawasan pisang telah ditebang pokoknya. Saudara  Mohd Mohyee Aris, pegawai Jabatan Pertanian bagi kawasan tersebut telah sedia menunggu.

Tuan Hj Munir bin Hj Hassan, Kg Tebuk Jawa, Sabak Bernam

Tuan Hj Munir bin Hj Hassan dengan pokok pisang berpenyakit moko

Pagi itu kami berjumpa dengan Tuan Haji Munir bin Hj Hassan. Beliau adalah pengurus Pusat Pengumpulan Ladang di Kampung Tebuk Jawa. Banyak maklumat yang kami kumpulkan pagi itu. Insaf mendengarnya kerana bahana ini bukan sahaja melanda orang yang bertanam pisang, malah kepada ramai orang dalam rantaian industri pisang itu sendiri.

Tuan Haji Munir memberitahu bahawa dalam tahun 2010 dan hingga pertengahan tahun 2011, beliau menerima hantaran pisang dalam 60-70 tan setiap bulan bagi keluasan 23 hektar yang melibatkan 18 orang petani. Malangnya mulai Disember, 2011, nak dapatkan 400 kg seminggu pun susah. Bayangkanlah, pengutipan pisang yang 70 tan hanya tinggal 1 tan lebih sikit sahaja sebulan.

Bagi petani yang mengharapkan pendapatan daripada tanaman pisangnya, hanya dapat melihat kepada kemusnahan pokok pisang dikebunnya. Tidak berupaya untuk berbuat apa-apa kecuali menebang. Dalam masa yang sama, orang-orang yang turut terjejas adalah yang berniaga pisang di pasar borong dan pasar tani, mereka yang menjalankan gerai goreng pisang, pengusahaan kerepek, dan peniaga kecil-kecilan yang menjual daun pisang, jantung pisang. Usahawan pengangkutan juga terjejas teruk. Apa lagi dengan hutang lori yang perlu dibayar.

Orang yang berjual goreng pisang boleh mendapat jualan diantara RM100-300 sehari. Sekarang ini untuk dapatkan buah pisang pun susah. Kalau dulu harga sesisir pisang dalam 70 sen, sekarang ini harganya RM1.30. Nampaknya, penggemar goreng pisang akan kehilangan makanan petang kegemarannya.

Pak Tam Memberi Panduan Penggunaan Produk SRI Kepada Tuan Haji Munir, Tebuk Jawa

Pak Tam Memberi Panduan Penggunaan Produk SRI Kepada Tuan Haji Munir, Tebuk Jawa

Pak Tam memberikan cara-cara yang perlu dibuat untuk mencuba produk SRI pada tanaman baru, dan juga kepada tanaman peringkat dara. Ini adalah usaha segera yang boleh kita cuba. Tak tahu akan berjaya atau tidak. Tapi kita tidak boleh berputus asa. Pada peringkat ini, tidak ada sebarang produk dipasaran yang boleh mendabik dada mengatakan bahawa ia boleh mengatasi masalah penyakit moko ini. Usaha harus diteruskan.

Mak Tam nak cadangkan kepada pihak yang perlu mengambil tindakan. Pada masa sebegini, petani-petani perlu diberi pengetahuan baru. Kita kena berubah daripada terus berharap kepada perkhidmatan seperti ‘bomba’ yang mana bila ada api, kita berharap pihak ‘bomba’ akan padamkan api. Sampai bila pun kita akan terus terbelengu dengan berharap kepada penyelesaian dari luar.

Jom kita perkasakan semua petani dengan ilmu fitrah alam yang mana bahan buangan ladang dan dapur boleh dijadikan baja alami. Kita juga boleh membuat pestisida alami daripada bawang putih, halia, kulit kayu manis dan dua jenis akar kayu yang boleh didapati dari kedai ubat Cina. Mak Tam yakin akan bertemu penyelesaian dengan usaha dan ketabahan. Terus mencuba berbagai campuran ramuan berasaskan natural farming untuk kesejahteraan petani.

Ada pepatah Inggeris berkata, “Give a man a fish and he will eat for a day. Teach a man to fish and he will eat for a lifetime.” Ianya bermaksud jika kita beri seseorang itu seekor ikan, ia kan dapat makan pada hari itu sahaja. Tetapi jika kita ajar dia cara mendapatkan ikan, dia akan dapat memakannya sepanjang hayat. Masanya telah sampai untuk kita memperkasakan petani dengan ilmu baru. Ayuh.. Kita bergerak kearah melestarikan pertanian. Insyaallah, akan mendapat bantuanNya. Amin..

Penghantaran Bekalan Produk SRI Untuk Dicuba Dalam Mengatasi Penyakit Moko Pisang

Penghantaran Bekalan Produk SRI Untuk Dicuba Dalam Mengatasi Penyakit Moko Pisang. Produk SRI Boleh Dibuat Sendiri Oleh Petani dan Suri Rumah.

Penyakit Yang Tiada Ubat? Tanaman Pisang Diserang Penyakit Moko

Pokok Pisang Diserang Penyakit Moko

Pokok Pisang Diserang Penyakit Moko - Kredit gambar upttksb

Sebelum kita membincangkan bagaimana untuk menangani penyakit moko ini, mari kita berkenalan dengannya dulu. Penyakit moko ini disebabkan oleh sejenis bakteria yang nama saintifiknya adalah Ralstonia solanacearum E. Yabuuchi. Moko ini endemik di Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Ia menular ke merata dunia termasuklah negara kita. Bakteria ini menyerang tanaman makanan seperti pisang, ubi kentang, tomato, terung, cili, kapsikum dan kacang tanah.

Penyakit ini adalah ‘soil-borne’, iaitu penyebarannya adalah melalui tanah. Oleh yang demikian, adalah susah untuk dikawal melalui penggunaan kimia. Jangkitan juga boleh berlaku dari penggunaan peralatan seperti pisau, parang dan cangkul. Jadi kalau petani menggunakan parang untuk memotong batang atau mana-mana bahagian pokok yang berpenyakit moko ini, kemudian menggunakan parang yang sama pada pokok yang lain, bakterianya akan berjangkit kepada pokok itu.

Tanda Penyakit Moko Pada Tanaman Pisang

Tanda Penyakit Moko Pada Tanaman Pisang - Kredit gambar Kusumadarma

Seringkali, jangkitan bakteria ini adalah melalui akar atau umbisi. Tanda-tanda awalnya adalah daun tua menjadi kekuningan dan mula layu, dan kemudian menjadi kering dan longlai. Tanda-tandanya kemudian merebak kepada daun muda, dan daun muda bertukar warna menjadi hijau muda dan kadang-kadang berwarna keputihan, sebelum daunnya menjadi kekeringan. Sulur anak pisang akan layu. Pembesaran buah pisang menjadi terbantut, dan jika dipotong buahnya, isi dalam menjadi kehitaman. Untuk memastikan kehadiran bakteria ini, potong batang tanaman yang berpenyakit dan masukkan kedalam air. Kita akan nampak lendir keputihan turun kedalam air itu. Lendir itu mengandungi bakteria Ralstonia solanacearum.

Dalam keadaan sekarang, dimana tanaman pisang dijangkiti pengyakit moko, bukan sahaja melibatkan pengusaha bertanam pisang sahaja, bahkan industri makanan ringan juga akan terjejas. Berapa ramai petani dan pengusaha akan menanggung kesusahan jika penyelesaian tidak diberikan bagi menangani gejala ini. Tak payah sebut pasal racun sebab tidak ada racun bagi penyakit moko.

Persoalannya sekarang, apa kita nak buat?

Dalam beberapa minggu ini Mak Tam dan Pak Tam banyak membuat pencarian dalam internet. Berbincang dengan Wahidah kemungkinan untuk membuat ramuan untuk melawan penyakit moko khusus bagi tanaman pisang. Kita kena lawan bakteria dengan pelbagai jenis mikrob. Sama seperti kita melawan penyakit hawar daun padi di Sawah Sempadan hujung musim lepas dengan mengguna SRI Buah. Ramuannya juga telah dikenalpasti, iaitu OHN yang 5 jenis itu, dan beberapa campuran ramuan yang lain.

Kalau kita cerita sahaja, tapi tak cuba kat ladang, kita tidak akan tahu. Rasanya pihak bahagian teknikal Jabatan Pertanian kena pro-aktif dalam hal ini. Buatlah beberapa campuran ramuan bahan natural farming yang ada, cuba di ladang. Mak Tam dah berbincang dengan panjang lebar dengan saudara Zainal Abidin di Parit 4, Sg Besar pada awal bulan ni. Mak Tam yakin kita boleh mendapat sesuatu yang menakjubkan. Sesuatu yang tak pernah kita pedulikan, tetapi telah kita belajar 8 tahun yang lalu. InsyaAllah, ruang belajar dan mencerahan ilmu sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin berfikir melewati ‘kotak’ mindanya. Subhanallah… segala penyakit telah pun disediakan ubatnya oleh Pencipta Alam Semesta ini… percayalah! Kita cuma perlu mendalami ilmu alam ini dan mencungkil rahsianya satu persatu. Amin…
.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 54 other followers