Jurnal Padi Kebal

Padi SRI Selangor : Padi SRI Selangor : Jurnal Kembara Padi Kebal di Selangor – Part 6

Padi Kebal Tak Kebal Dari Penyakit

Padi Kebal Tak Kebal Dari Penyakit

Dari nukilan dalam post ini, ternyata padi kebal tidak kebal daripada serangan penyakit karah. Penyakit reput tangkai ini adalah disebabkan oleh sejenis kulat yang nama saintifiknya adalah Pyricularia oryzae.

Penyakit ini boleh dibawa oleh biji benih dan bahan sisa tanaman yang tercemar, serta dibawa oleh angin. Negara kita yang sekejap hujan dan sekejap lagi panas ini pula menggalakkan penyebaran kulat ini.

Kulat ini boleh menjangkit dipokok padi pada semua peringkat, dan menampakkan tanda-tanda serangan pada daun dan tangkai padi. Oleh itu, serangannya menyebabkan pokok tidak boleh membuat makanan, dan juga tidak dapat membawa makanan kepada buah padi kerana reput tangkai. Buah padi akan jadi separa berisi atau terus hampa. Maka hasil padi jatuh merudum.

Yang menangis adalah petani – bukan pembekal racun, bukan eksekutif syarikat, bukan promoter, dan juga bukan pegawai kerajaan yang mengesyorkan penggunaan racun-racun itu. Malah ada yang bertegang urat dalam perbincangan rasmi kerana kalau tak disuruh petani beli, macam mana syarikat nak hidup. Jadi, nampaknya petanilah yang kena tanggung risiko sendiri. Suka dan susah petani tiada pilihan. Musim depan kalau nak tanam padi, mesti siapkan modal sekian banyak untuk membeli racun kimia untuk melawan perosak dan penyakit.

Yang Pening Adalah Petani

Yang Pening Adalah Petani

Petani menangis kerana hasil yang dituai tidak cukup untuk membayar hutang racun musim ini. Mana nak cari modal untuk musim depan pulak. Apa yang tinggal untuk membiaya kehidupan harian keluarga, duit untuk anak ke sekolah, duit untuk beli ubat jika ada yang jatuh sakit, hutang bank yang tak langsai lagi tu.

Di bawah ini Mak Tam nak syorkan beberapa perkara yang boleh petani-petani buat. Dalam kita menjalankan usaha ini, kita panjatkan doa dan harapan memohon pertolonganNya. Hanya kepadaNya kita memohon, kepadaNya jua kita pasrahkan nasib kita di dunia dan di akhirat.

Yakinlah. Dengan bimbingan dan pertolongan daripada Allah swt, beban hidup kita akan ringan. Dengan mengembalikan hak makhluk seni dalam tanah, menjaga sahabat-sahabat sawah yang diturunkan Allah untuk menjaga keseimbangan persekitaran sawah kita, (Surah Al-Jumaah Ayat 1 – Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.). Insyaallah kita akan dapat mengelak daripada serangan perosak dan penyakit, dan menerima hasil yang lebih.Tetapi kita juga perlu ingat, rezeki hanya Allah menentukan. Kita hanya berusaha secara fisikal, dan berdoa dan bermunajat memohon yang terbaik bagi usaha-usaha kita.

PERTAMAJANGAN BAKAR JERAMI

Jangan-jangan-jangan. Memang syor untuk membunuh semua jenis perosak dan jerami yang tercemar oleh kulat adalah membakar jerami. Sebenar, bersama kulat yang menyebabkan penyakit reput tangkai itu, segala macam makhluk Allah yang menjaga kesihatan pokok padi kita juga akan mati. Jadi padang jarak padang tekukur sawah kita, sunyi daripada gema tasbih makhluk seni dalam tanah. Adakah bencana yang kita hadapi adalah kerana tanah sawah kita sudah kehilangan keberkatan tasbih yang dulunya bergema menyelubungi sawah kita? Sama-sama kita renungkan. Mengapa semasa dahulu dimana tiada penggunaan racun yang berleluasa seperti sekarang ini tiada kes serangan seteruk ini?

Kemana perginya makhluk yang dulunya memenuhi sawah dengan segala kehebatan menjaga alam? Ada yang makan serangga perosak, ada yang makan telur serangga perosak, dan ada juga yang bertelur dalam ulat serangga perosak dan menetas. Dengan melaksanakan tugas-tugas mereka seperti yang difitrahkan oleh Tuhan Pencipta Sekelian Alam, sawah duduk dalam keadaan harmoni dan penuh sejahtera.

Sebenarnya sekarang ini semua makhluk yang ada di sawah telah dibunuh oleh racun kimia yang kita guna sepanjang musim. Makhluk yang kita panggil sahabat sawah ini lambat membiak. Serangga perosak pula sangat cepat membiak. Apabila kita meracun, sahabat sawah akan mati. Itulah sebabnya, jika kita meracun untuk bena perang, tempat yang kita racun itulah yang kering kontang. Baca kat sini.

KEDUA: SEMBUR IMO KE JERAMI

Sebaik lepas menuai padi, semburkan IMO dan pati kangkung kepada jerami. Terus bajak jerami tadi ke dalam tanah. Jangan tunggu sehari atau seminggu baru nak bajak. Keluarlah modal sikit untuk upah membajak ini. IMO dan pati kangkung ini boleh dibuat sendiri.

  • Cara membuat IMO – Klik di  sini dan di sini untuk cara membuatnya.  Bila dah siap, labelkan bekas, simpan ditempat redup.
  • Cara membuat pati kangkung – ambil 5 kilo kangkung liar, potong lebar 1 inci (3 cm), gaulkan 5 kg gula merah. Masukkan dalam baldi plastik, tekan bahan-bahan tadi, dan tutup dengan kain bersih. Lepas 5 hari, tapiskan pati kangkung. Simpan dalam botol plastik (labelkan bekas) dan simpan ditempat teduh dalam rumah/setor.
  • Cara menggunakannya:  100 ml IMO dan 100 ml pati kangkung bancuhkan dalam air dalam pam penyembur (20 liter). Pastikan bukan bekas pam penyembur racun rumput. Lepas sembur terus bajak. Insyaallah, nanti kita boleh tengok hasil kerja bertrillion mikrob. Padi musim depan akan sihat dan kuat. Yakinlah. Dalam IMO ini penuh dengan mikrob dari kalangan kulat dan bakteria. Mereka ini diturunkan oleh Allah untuk buat kerja menjaga kesejahteraan tanaman. Baca dan tengok video yang ada kat dalam ni sekali lagi. Tengok banyak kali pun tak apa asalkan dapat faham konsep makhluk seni ini yang sebenarnya menjaga alam. Kalau kita bunuh mereka, alam kita jadi mati.

Kemudian, baca apa yang para saintis laporkan. Tengok kat bawah sini. Buat carian kat Pakcik Google dan renungkan. Saintis membuktikan kulat dan bakteria perlu dikawal oleh kalangan mereka sendiri. Bukan dengan mengguna racun. Percayalah wahai rakan-rakan Mak Tam yang rajin datang membaca kat blog ini. Yakinlah kepada kebesaran Allah, Pencipta segala yang hidup dan yang mati.

Belum habis lagi langkah-langkah yang boleh dibuat. Baca yang ini dulu.  Buat carian mengenai Bacillus subtilis ni kerana ia salah satu dari banyak jenis mikrob yang ada dalam IMO. Tunggu catatan Mak Tam kat Jurnal Kembara Padi Kebal seterusnya.

Reput Tangkai Dikawal oleh Bacillus subtilis

Reput Tangkai Dikawal oleh Bacillus subtilis

Hawar Daun Dikawal oleh Bacillus subtilis

Hawar Daun Dikawal oleh Bacillus subtilis

Post SRI Selangor : Produk SRI-D9 Di Karnival SelangorKu, Tg Karang (29 Sep – 4 Okt, 2011)

Padi SRI Selangor : Penyakit Bakteria Padi (Bacterial Leaf Blight) Di Sawah Sempadan

Padi SRI Selangor : Penyakit Hawar Daun Bakteria Padi (Bacterial Leaf Blight) Di Sawah Sempadan

Pada hari Pak Tam dan Mak Tam menuju ke Kedah, kami singgah di rumah En Razak (selepas ini akan dipanggil Pak Lang, panggilannya di kampong) di Parit 9, Sg Leman. Man dan Azmi pun sama menunggu. Dalam perbualan kami, Pak Lang memberitahu bahawa mereka telah mengambil keputusan untuk mempromosi dan menjual produk SRI di Karnival SelangorKu. Go SRI Go. Satu langkah yang baik untuk memperkenalkan produk SRI kepada ramai lagi petani padi.

Kami berdua mengunjungi gerai mereka bersama rakan-rakan dari Brunei. Apa yang kami lihat adalah pengunjung ramai dari kalangan petani-petani Sawah Sempadan dan Sg Burong. Saya memasang telinga kepada pertanyaan pengunjung untuk mengetahui soalan-soalan yang mereka ajukan.

Ramai yang bertanya mengenai keberkesanan produk SRI, apa ramuan yang diguna, bolehkah produk SRI membantu mengawal penyakit padi. Pak Lang rasa simpati kepada mereka yang padi telah dijangkiti penyakit bakteria (bacterial leaf blight) tetapi memberitahu bahawa produk SRI perlu diguna dari peringkat benih, barulah pokok padi dapat bertahan daripada penyakit. Kalau sudah kena, tidak boleh dibantu lagi. Kalau sembur racun kimia pun, pokok sudah berpenyakit, tidak dapat dibantu lagi. Cuma harap pokok yang tak kena lagi tu belum tentu boleh diselamatkan.

Man bercerita pada hari sebelumnya mereka dapat ramai petani dari Sg Burong mengajukan pertanyaan mengapa petani Sg Burong tidak diberitahu mengenai produk SRI. Man menyatakan mungkin mereka juga risau kalau-kalau penyakit di Sawah Sempadan merebak ke kawasan mereka.

Pak Lang berkata bahawa jika seseorang itu masuk ke dalam sawah yang dijangkiti penyakit ini, dan kemudian berjalan ke kawasan sawahnya yang masih sihat, atau berjalan ditepi sawah berjiran, sudah tentulah kawasan ini semua akan juga berjangkit. Dan jika sudah berjangkit, padi akan menjadi ringan. Pak Tam kata orang kampung panggil ‘padi spring’. Padi yang dituai nampak banyak, tetapi bila dimasukkan ke dalam lori, kemudian kita pijak atas timbunan padi itu, kita akan terasa seperti ‘berspring’ kerana padi tidak padat.

Kehilangan berat padi boleh sampai hingga 36% atau lebih. Jika ini berlaku, petani akan menanggung kerugian yang tinggi. Hutang bertambah, dan tiada modal untuk musim seterusnya. Wang untuk sara keluarga juga tiada. Jadi kami menawarkan pilihan untuk petani. Iaitu pilihan yang murah, dan InsyaAllah akan membantu. Bukan kami hendak menjual produk SRI. Jika ada kumpulan yang mahu membuat produk SRI sendiri, kami boleh berikan semua ilmu. Jadi untuk petani Selangor, hubungilah pegawai pertanian kawasan masing-masing. Minta diberi latihan membuat produk SRI.

Lihatlah video semasa SRI-D9 di Karnival SelangorKu.

Padi SRI Selangor : Mikrob Tanah Mengawal Perosak dan Penyakit Tumbuhan?

Padi SRI Selangor : Gambar Bakteria Menglilingi Hyphae Dalam Tanah

Padi SRI Selangor : Gambar Bakteria Mengelilingi Hyphae Kulat Dalam Tanah - Kredit gambar: USDA

Terdapat maklumat tentang peranan bakteria, kulat dan pelbagai mikrob tanah dalam website USDA (United States Department of Agriculture) ini. Masa saya kat university dulu, perkara ini ada diajar. Tetapi setelah bekerja, tidak pulak digunakan pengetahuan tersebut kepada kerja. Mungkin lebih mudah merekomen baja dan racun kimia kerana ianya ada disekitar kita, dan promosi mengenai baja dan racun kimia agresif dan terkehadapan. Bolehlah ambil yang mana satu untuk dijadikan alasan saya, tapi pada hakikatnya, saya telah tersilap. Mungkin ada sisa-sisa umur ini boleh membantu memberi maklumat mengenai peranan mikrob dalam tanah, dan bagaimana kita boleh memperkasakan mikrob mengikut fitrah kejadian mereka.

Sebelum itu, lihatlah video yang telah saya letakkan alihbahasa kepada bahasa Melayu untuk renungan bersama.


.

Trichoderma Membelit Hyphae Rhizoctonia sp.

Trichoderma Membelit Hyphae Rhizoctonia sp.

Dalam video di atas disebut sejenis kulat dipanggil Trichoderma. Kulat Trichoderma ini akan menyerang kulat (Rhizoctonia solani) yang membawa penyakit hawar seludang pada padi. Sebuah kajian di Vietnam menyatakan selain dari menyerang kulat yang membawa penyakit, Trichoderma juga mengeluarkan bahan antibiotik bagi bertahan dari serangan kulat yang membawa penyakit. Sila baca kertas dari Hanoi University of Agriculture di sini. Juga lihat di sini untuk maklumat lanjut.

Bacillus subtilis pula adalah sejenis bakteria aerobik yang membiak dan menghuni sistem akar tumbuhan dengan banyak sekali. Mereka menghalang kulat yang membawa penyakit untuk menghampiri akar, iaitu bertugas sebagai pengawal keselamatan akar. Ini boleh dilihat dalam video di atas yang mana gerombolan bakteria menghalang kulat Fusarium menghampiri akar. Bakteria Bacillus subtilis boleh dianggap sebagai ‘natural fungicide‘ (penghindar kulat semulajadi).

Jadi kalau kita menggunakan racun rumpai, serta baja kimia, serta membanjiri sawah, sudah tentu sahaja mikrob aerobik dalam tanah banyak yang mati. Maka tidak dapatlah mereka membantu menjaga kesihatan pokok. Alkisahnya, manusia akan terus berharap kepada pelbagai jenis racun untuk mengawal berbagai jenis penyakit yang timbul. Sudah pastinya, kena mengeluarkan ongkos yang banyak. Dalam pemerhatian saya, petani di kawasan padi membeli diantara RM500 ke RM 1000 racun untuk mempastikan mereka mendapat hasil padi. Alangkah baik jika saya katakan bahawa ada jalan lebih murah dan selamat untuk mengawal perosak dan penyakit. InyaAllah.. InsyaAllah.. InsyaAllah.. Ada jalannya…

Produk SRI Berasas Kepada Prinsip Natural Farming

Produk SRI Berasas Kepada Prinsip Natural Farming

Kita sebenarnya telah pun ada jawapannya dalam produk SRI yang dibuat sendiri oleh PPL SRI, Parit 9, Sg Leman. Produk yang dibuat oleh petani sendiri dari tumbuhan/haiwan disekeliling kampung, diformulasikan mengikut prinsip ‘natural farming’ dari Korea, dan telah pun menunjukkan kesan positif menghindar perosak seperti bena perang, serta mengawal penyakit karah padi yang menyebabkan reput tangkai (dengar apa kata Encik Razak Chik di sini dalam video yang ketiga).
.
Marilah bersama saya merungkai kehidupan seni dalam tanah. Siapakah yang menghuni tanah pada lapisan atas, iaitu kedalaman lapisan diantara 5 cm ke 20 cm dari permukaan tanah (topsoil). Dari lapisan yang nipis ini lah akar membesar dan menjalar untuk mendapatkan makanan. Oleh itu, konsentrasi mikrob tanah adalah dilapisan ini.

Makhluk yang dipanggil bakteria ini terlalu banyak dalam topsoil. Satu sudu kecil tanah mengandungi diantara 100 juta ke 1 billion bakteria. Bakteria tergulung kepada 4 jenis tugas.

  • Satu kumpulan bakteria adalah yang menguraikan sisa tanaman yang telah mati, iaitu dengan menukarkan bahan organan sisa tanaman tadi kepada bentuk makanan untuk organisma lain dalam tanah,
  • Kumpulan kedua pulak adalah bakteria yang mendampingi tanaman seperti nitrogen-fixing bacteria yang mengambil nitrogen dari udara dan menukarkannya kepada soluble nitrate yang boleh digunakan oleh tanaman,
  • Kumpulan ketiga adalah jenis bakteria yang membawa penyakit kepada tanaman seperti Xymomonas dan Erwinia,
  • Kumpulan keempat adalah bakteria yang bertugas untuk kitaran nitrogen (nitrogen cycling) dan menguraikan bahan pencemar (pollutants).

Silalah ke website ini untuk penerangan yang lebih lanjut mengenai pelbagai mikrob lain seperti kulat, Actinomycetes dan lain-lain website USDA (United States Department of Agriculture)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 55 other followers