Produk SRI Organik : Jadual Pengurusan Padi Tabur Bersama Produk SRI
(Perhatian: Ini jadual sebenar. Mak Tam tersilap paste awal tadi.)) Jika anda menanam padi secara tabur, anda boleh mengguna produk SRI seperti dalam panduan di bawah. Buatlah yang termampu. Kalau kita tak cuba kita tak tahu. Ini adalah cara yang dibuat oleh Encik Rosli, Sg Leman dan Encik Mohd Nor, Sg Besar dan mereka berjaya mengurangkan modal bersawah mereka. SILA AMBIL PERHATIAN: Tapi kalau padi di tabur pada kadar yang tinggi dan pokok padi terlalu rapat, guna SRI Anak sekali sahaja.
Padi SRI Selangor : Mesin Melandak Othman Mark 1 – Satu Impian Menjadi Kenyataan (24 Okt, 2011)
Banyak nak dicerita tentang mesin melandak ini. Tunggu, ye…
Padi SRI Selangor : Mesin Melandak Othman Mark 1 - Satu Impian Menjadi Kenyataan
Percaya tak jika saya kata ini adalah mesin melandak 6-baris yang pertama di negara ini? Percayalah.. Saya ingin berkongsi ilmu dengan anda mengenai kelebihan membuat kerja-kerja melandak ini. Kalau penulisan saya ini tersekat-sekat, ada sebabnya. Saya kadang-kadang perlu mencari masa yang sesuai untuk menulis. Kalau ada gangguan, penulisan pun tak lancar. Sabar, ye…
Padi SRI Selangor : Alat melandak diperbuat daripada kayu dan paku.
Kalau anda pernah tengok kayu landak yang Pak Tam dan saya guna untuk melandak tanaman padi SRI yang pertama kami, tentu anda faham apa yang saya maksudkan. Cuba tengok gambar alat tersebut di kanan ni. Sikit punya sakit pinggang menolak kayu ini atas tanah sawah untuk menggaru tanah agar dapat buang rumput sambil menggembur tanah dicelah-celah pokok padi. Selama 2 musim kami menggunanya, dan ada projek yang kandas kerana tidak ada orang yang mahu membuat kerja melandak ini.
Cabaran inilah yang menjadikan kami berdua berazam untuk terus mencari mesin yang mampu membuat kerja-kerja melandak dengan ekonomik dan efisien. Cari punya cari kat youtube, suatu hari Pak Tam terjumpa video mesin melandak 7-baris dan 11-baris di Jepun. Subhanallah.. alangkah terujanya kami berdua. Kemudian bermulalah pencarian siapa yang boleh buat mesin-mesin seperti yang ada dalam video tersebut.
Tanggal 25 Julai, 2011, semasa saya tersenyum kegembiraan melihat mesin melandak 2-baris (mesin ECHO) digunakan di tanah Encik Toif di Blok W, Sawah Sempadan, sebuah kereta merah berhenti. Tidak lama kemudian, pemandunya menegur saya dengan menyatakan bahawa rakannya Kemat juga membuat padi SRI.
“Kemat punya lagi cantik dari ini,’ katanya sambil melirik senyuman. Wah, pada masa saya mencari orang yang bernama Kemat, ada pulak orang sebut nama itu. Pemandu kereta merah pun berlalu. Tak lama kemudian, Kemat sendiri datang menaiki motosikal. Dia membawa kami ke sawahnya yang mencuba penanaman ala SRI. Dia menunjukkan bekas melandak dibuat menggunakan traktor transplanter. Lagilah teruja kedua kami. Dia ajak ke rumah orang yang membuat mesin melandak yang ditarik oleh traktor transplanter.
Apabila Kemat memperkenalkan rakannya kepada kami, barulah saya sedar bahawa orangnya ialah pemandu kereta merah tadi. Othman namanya. Dari situ bermulalah kedua Pak Tam dan saya menaruh setinggi harapan agar merealisasikan mesin melandak yang ditarik dengan mesin transplanter. Walaubagaimanapun, beberapa minggu berlalu dengan kesibukan menanam padi.
Padi SRI Selangor : Tanggal 17 Okt, 2011 Roda Landak Dihadapan Othman
Satu hari kami balik daripada Kedah, Pak Lang Razak menyiapkan roda-roda landak seperti yang dilihat dalam gambar di sebelah kiri ini. Pak Lang juga beraspirasi untuk membuat mesin melandak guna tranplanter. Pak Lang tolong tempahkan enam biji roda landak yang lebih tinggi. Sebaik mendapatnya, kami terus bawa kepada Othman. Seminggu kemudian kami ditemukan dengan mesin melandak yang kami impikan selama ini. Memang tepat sekali kami memilih Othman kerana pengalamannya mengendali pelbagai jenis mesin membolehkan ini menjadi kenyataan. Alhamdulillah.
Sementara menunggu cerita-ceriti yang panjang lebar, tengok video-video ini. Yakinlah, pertolonganNya memudahkan semua kerja.. Amin.
Video 1: Mesin Melandak Direalisasikan oleh Saudara Othman Mogek dari Blok D, Sawah Sempadan (24 Okt, 2011)
. Nanti akan saya beritahu bagaimana kerja melandak boleh menguntungkan petani.
Enam prinsip SRI adalah:
1. Tanam anak benih muda (kurang dari 14 hari),
2. Tanam dengan jarak 25 cm x 25cm, atau 30cm x 30cm, atau lebih (mengikut petak),
3. Tanam satu anak benih pada setiap point,
4. Guna baja organan seperti tahi lembu,
5. Air hanya perlu acap-acap sebelum ‘panicle iniation’,
6. Melandak (gemburkan tanah dilorong padi) pada 10, 20, 30 dan 40 hari lepas tanam.
Pemerhatian yang dibuat di Ambatovaky, Madagaskar pada tahun 1997-98 menghubungkaitkan kerja melandak dengan hasil padi memberi keputusan yang amat memberansangkan. Dari kalangan 76 orang petani bertanam padi dan membuat kerja melandak, keputusannya adalah seperti berikut:
2 petani tidak melandak mendapat hasil 6.0 tan/hek,
8 petani melandak satu kali mendapat 7.7 tan/hek,
27 petani melandak 2 kali mendapat 7.4 tan/hek,
24 petani melandak 3 kali dapat 9.1 tan/hek,
15 petani melandak 4 kali dapat 11.8 tan/hek.
Soalannya sekarang, apa kata kita buat kerja melandak ke atas padi yang kita tanam calit (iaitu tanam mengguna transplanter)? Saya berpendapat melandak boleh saja dibuat keatas tanaman padi konvensional, kerana prinsip mengudarakan tanah itu universal bagi semua tanaman. Saya rasa, jika dapat dibuat 3 kali melandak, itu sudah sangat baik dengan jangkaan kenaikan 3 tan/hek.
Pada hujung musim ini kita akan dapat melihat sama ada ini dapat direalisasikan atau tidak. Encik Mokhtar dari Parit 9, Sg Leman sempat membuat kerja melandak satu kali pada dua lot tanahnya. Selepas melandak, Encik Mokhtar terus menabur baja subsidinya. Dalam masa empat hari, pokok-pokok padinya menunjukkan tumbesaran yang sangat ketara berbanding dengan tanaman jirannya. Kita juga dapat melihat perbezaan diantara petak yang diberi IMO2 (MOL Nasi) ke atas jerami serta terus dibajak masuk ke dalam tanah, dengan petak tanah yang dibakar. Jadi kita sama-sama tunggu..
SRI bukannya satu teknologi, ia adalah ‘work in progress’. Boleh saja petani membuat pelbagai percubaan untuk mendapat hasil tertinggi. Kemat sudah merancang satu pembaharuan kepada tanaman padi cara SRI. Syabas semua rakan tani yang menyahut cabaran perubahan dengan berbagai cara. Tunggu Pak Lang dengan mesin landak 9-barisnya nanti. Pada pendapat saya, perubahan bertunjangkan petani akan lebih cepat tersebar di kalangan petani lain. Go SRI Go..
Bagi Pak Tam dan saya, aspirasi kami pada peringkat awal ini agar penggunaan racun kimia dapat dikurangkan sebanyak yang boleh. Kita sudah jumpa solutionnya dengan penggunaan produk SRI (topik ini perlukan satu lagi posting yang berjela untuk diperbincangkan. InsyaAllah.. bila sampai masa nanti).
.
Video 2: Mesin Melandak dicuba sekali lagi di Stesen Parit 4, Sg Besar selepas ubahsuai (26 Okt, 2011)
Padi SRI Selangor : Latihan Pegawai Jabatan Pertanian (22 Sep, 2011)
Rakan-rakan Jabatan Pertanian, jadikanlah ini titik permulaan membuat perubahan yang akan memanfaatkan bukan sahaja petani, malah mengembalikan kesuburan tanah sawah serta mensejahterakan alam secara lestari. Semoga kerja-kerja anda semua menjadi ibadah yang diberkati sepanjang zaman. Amin..
Gambar ini diambil oleh Prof Iswandi Anas. Eh.. selama ini tak berpeluang dan tak teringat pulak nak posing macam ni. Bila dah ada gambar begini, seronok pulak menengok sebagai kenangan. Pak Tam hero Mak Tam yang sentiasa memberi sokongan tanpa had. Pak Tam menghayati jiwa Mak Tam, walau pun kadang-kadang Mak Tam tak peka kepada perasaan sendiri. Terima kasih Pak Tam kerana menjadi dahan tempat bergantung, dan menjadi pohon tempat bersandar.
“Anak ketam jalan mengiring,
Jalan mengiring berpasang-pasang;
Sehidup berteman sama seiring,
Bersama Pak Tam bersusah senang.”
Di hadapan kami adalah serumpun pokok padi MR219 yang ditanam cara SRI. Bilangan anak yang mengeluarkan tangkai padi adalah lebihkurang 40. Pokok ini di keluarkan untuk dibawa ke persidangan kebangsaan pertama SRI di Putrajaya. Alhamdulillah ada contoh yang boleh dibawa sebagai bukti pokok padi ditanam secara SRI memberi ekspresi yang berlainan dari biasa.
Padi MR219 dibiak untuk mengeluarkan sedikit anak kerana ia lebih bertujuan untuk ditanam secara tabur. Jadi jika ia keluar dalam 2 atau 3 anak sahaja sudah mencukupi kerana cara tabur terus pokok padi tumbuh rapat. Tetapi apabila padi MR219 di tanam secara SRI, iaitu dengan jarak 30 cm x 30 cm, serta ditanam cetek, ia menjadikan pokok tumbuh seolah pokok serai. Beranak banyak dan kembang.
Sekarang nak bertolak ke Parit 4, Sg Burong untuk menuai padi di tanah saudara Raja. Nanti saya ceritakan lagi.. Jumpa di sana.. di sana.. di sana….
Padi SRI Selangor : Pak Tam dan Mak Tam dan padi MR219 SRI Musim 1/2011
Padi SRI Selangor : Prof Dr Norman Uphoff Di Tanah Raja, Parit 4, Sg Burong (4 Julai, 2011)
Padi SRI Selangor : Pak Tam Briefing Prof Dr Norman Uphoff At Raja's Field
Pak Tam dan saya tunggu rombongan kereta FTC tiba. Sebaik sahaja Pak Deri turun daripada keretanya, terus saja dia berkata dengan penuh animasi, “Mak Tam. Kalau macam ini 6 tan sudah ada”. Pak Deri terus pergi ke satu rumpun padi dan mula mengira anak padi yang mengeluarkan tangkai. Satu, dua,…., lima-puluh sembilan, enam-puluh. Prof Iswandi Anas dan Pak Ahmad Jatika tersenyum sambil memerhatikan Pak Deri dan Tuan Hj Rohaizat Ahmad yang juga sedang membilang disebelah Pak Deri. Lucy Fisher dari CIIFAD, Cornell University asyik memerhatikan keletah pejuang-pejuang SRI Malaysia dan Indonesia sambil mengambil gambar.
Padi SRI Selangor : Pak Deri Membilang Anak Padi Yang Mengeluarkan Tangkai
Pak Deri tidak sabar lagi untuk memberitahu semua rakan yang ada, “Enam-puluh ini. Sudah bagus untuk kali pertama ditanam cara SRI!” sambil senyum melerek kerana beliau merupakan salah seorang guru SRI kepada Pak Tam dan Mak Tam. Sukanya adalah kerana anak muridnya berjaya merealisasikan aspirasi pejuang-pejuang SRI. Maha suci Pencipta alam semesta ini.
Pak Tam menerangkan bahawa di sawah saudara Raja ini, kaedah SRI dapat di tepati kurang daripada 70%. Kami sedang berunding dengan Raja agar musim akan datang ini, kami berhajat untuk menyewa tanahnya. Alhamdulillah, Raja sudah pun bersetuju. Raja juga bersetuju untuk membantu sedikit sebanyak pengurusan di sawahnya, terutama untuk mengepamkan air. Kami rasa sangat bertuah di atas kesudiannya. Cuma sayangnya, Raja tidak dapat bersama kami semua pada hari tersebut.
Selepas itu, sesi bergambar dengan sawah celebriti bermula. Yang berbagai aksi. Lihat saja di bawah ini. Untuk membuat perbandingan diantara saiz rumpun padi SRI dan padi tanaman konvensionel sahaja berbagai posing dibuat, sehinggakan Mak Tam pun dapat bermisaikan daun padi SRI. Lihat sahaja gambar di bawah ini
Padi SRI Selangor : Perbandingan Saiz Rumpun Padi SRI dan Padi Ditanam Cara Konvensional. Keduanya rumpun ini adalah varieti MR 219.
Esok, Isnin, 11 Julai, 2011 jam 11 pagi, padi SRI ini akan dituai. Soalan yang paling banyak Mak Tam dan Pak Tam terima adalah berapa tan kah hasilnya. Kami tidak yakin dapat mengatasi hasil Raja pada musim lepas iaitu 9 tan sehektar, iaitu yang dibuat dengan menggunakan agrokimia. Ini adalah tanaman padi cara SRI yang tidak menggunakan agrokimia yang pertama di atas tanah ini. SRI memerlukan sekurang-kurangnya 3 musim untuk mendapatkan kembali kesuburan tanahnya seperti semulajadi. Insyaallah, esok kita akan tahu.
Saya sudah diberitahu Dr Anizan Isahak (UKM) dan Dr Rosenani Abu Bakar (UPM) akan buat kajian. Begitu juga Azmir. Wahidah bertungkus lumus membuat persediaan. PPL SRI akan membantu dengan kanopi. Encik Abd Lateef Omar (BERNAS) akan datang dengan team BERNAS SRI nya dan akan berada disana 2 hari jika perlu, katanya. Tuan Hj Rohaizat (FTC FELCRA) baru beritahu akan bersama. Semua mereka tidak perlu dijemput untuk datang, hanya mengetahui tarikh dan masa serta tempat sudah cukup. Itu lah kehebatan perjuangan SRI ini. Semua orang ingin memberi sokongan. JOS! SRI-Mas. (JOS itu singkatan Jangan Omong Saja, iaitu bagi mengingatkan pejuang-pejuang SRI agar terus ‘BERTINDAK’ dan bukannya bercakap kosong sahaja. JOS! laungan semangat. JOS! mendorong tekad. JOS!)
Pihak Kejenteraan Jabatan Pertanian akan jadi tuan rumah untuk esok. Pak Tam dan Mak Tam akan bersama dengan besar hati dan sudah tentunya tersentuh perasaan kerana akhirnya perjuangan ini mendapat sokongan ramai. Tapi yang paling diharapkan, ialah SRI dapat dimanfaatkan oleh semua warga tani di Selangor dan seterusnya diseluruh negara. Amin. Ya Rabb hanya pada mu kami berserah. Bimbinglah dan berkatilah usaha-usaha kami untuk menjaga amanahMu.
Demonstrasi yang akan dijalankan esok adalah:
Menuai padi menggunakan mini combine harvester.
Menghancurkan jerami segar dengan peralatan dipanggil ‘flailing’ yang di tarik dengan traktor.
Penyemburan IMO2 dan MOL kangkung ke atas jerami yang telah dihancurkan oleh alat ‘flailing’.
Membajak rotor supaya jerami yang telah dirawat dengan IMO2 dan MOL kangkung tadi dimasukkan kedalam tanah semula.
Jika anda sudi, datanglah bersama kami menyaksikan demonstrasi ini.
Padi SRI Selangor : Pelan Ke Padi SRI Parit 4, Sg Burong