Padi SRI Selangor : Pengumuman SRI Tedung Menanam

SRI TEDUNG Menanam

Pengumuman SRI TEDUNG Menanam

Saudara Zul a.k.a. Tedung akan menanam mengguna kaedah SRI pagi esok. Telepon beliau jika nak confirmkan lokasi. Esok kita akan tanam satu anak benih pada setiap point. Jarak tanaman adalah 16 inci. Sawah akan diadakan salir air. Kalau nak ikut, jom kita pergi. GO SRI GO!

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku yang dalam proses penyediaan sejak tiga bulan yang lalu. Walau pun Mak Tam dah ada pengalaman menyusun buku iaitu buku “Seratus Tahun Menerajui Kecemerlangan Pertanian” Jabatan Pertanian dalam tahun 2005, tapi setiap buku itu unik. Yang dulu adalah koleksi penulisan beberapa orang pegawai, yang ini pula ditulis oleh dua orang, Pak Tam dan Mak Tam. Kami mengambil kaedah ‘natural farming’ dari Korea Selatan dan juga ilmu pertanian ekologi dari Indonesia.

‘Natural farming’ telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian sejak 2002. Itu semasa Mak Tam menjawat jawatan Pengetua di Institut Pertanian Serdang. Puan Mariam Ahmad, yang juga Pengurus Ladang institut menjadikan ‘natural farming’ sebagai salah satu subjek yang diajar kepada pelajar IPS dan peserta inkubator. Puan Mariam yang banyak menceritakan kehebatan ramuan ‘natural farming’ ini.

Setelah Mak Tam pencen, berpeluang pula menghadiri kursus Pertanian Ekologi di Pusat Latihan FELCRA (FTC) Seberang Perak. Di FTC sekali lagi Mak Tam didedahkan kepada pembuatan baja dan pestisida semulajadi yang dibuat daripada bahan-bahan yang boleh didapati disekeliling kampung. Di FTC jugalah Mak Tam mendalami kaedah SRI dan kaitannya dengan mikrob dalam tanah. Pak Deri Ramdani dari Nusantara Organik SRI Centre (NOSC), Nagrak, Sukabumi memberi banyak resepi yang boleh digunakan di Malaysia.

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Tapi orang yang paling berpengaruh dalam pembelajaran Mak Tam adalah Pak Aep Saepudin dari Tasikmalaya, Indonesia. Beliau membuka minda Mak Tam kepada banyak perkara yang berkaitan dengan sejahteraan alam sekitar dan peranan mikrob dan makhluk seni dalam tanah. Kepentingan menjaga keseimbangan zon persekitaran perakaran (rhizosphere) dan bagaimana mikrob mengilang makanan untuk tumbuhan dan menjadi benteng pertahanan utama dalam menjaga keselamatan pokok daripada serangan makhluk perosak seperti serangga, kulat dan bakteria. Beliau juga menceritakan bagaimana bunyi cengkerik juga memainkan peranan membuka stomata daun pada waktu malam hingga subuh.

Tetapi buku kami ini adalah seperti buku resepi membuat rumusan yang boleh menjadi baja dan menguatkan ketahanan tumbuhan daripada serangan perosak. Pak Tam dan Mak Tam berharap buku ini akan diguna oleh seramai pengusaha pertanian dan seterusnya menggunakannya untuk mengajar generasi muda.

Padi SRI Selangor : Perkongsian SRI Dalam Negara

Pertanian Satu Ibadah

Program Pertanian Satu Ibadah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan

SRI (System of Rice Intensification) masih amat baru di negara kita. Masih ramai yang tidak tahu mungkin kerana ianya pada mula diberi tanggapan yang tidak positif. Tersenyum Mak Tam apabila ada yang menyatakan bahawa SRI adalah satu kaedah penanaman padi yang kuno tanpa melihat kepada negara-negara pengeluar beras terbesar dunia yang mendokong pembesaran kawasan padi SRI di negara mereka.

Pihak UN Food and Agriculture Organization (FAO) melaporkan bahawa dalam tahun 2010 pengeluar beras terbesar dunia adalah China, India, Indonesia dan Vietnam. Negara-negara ini berlumba-lumba untuk mengekalkan kedudukan mereka. Yang paling agresif adalah India yang mana mereka ingin menjadi pembekal beras dunia sepanjang zaman. Dengan sumber tanah pertanian yang banyak, dan kewujudan tenaga buruh yang tinggi dan murah, pasti sahaja India boleh mencapai hasrat negaranya jika mengguna cara SRI.

China mula mendekati SRI pada tahun 1999, dan pada tahun 2011 mempunyai 700 ribu hektar di bawah pengurusan SRI. China mahu menambahkan keluasan ini kepada 900 ribu hektar dalam tahun 2012. (Sumber: Institute of Crop Sciences, Beijing).

Indonesia pulak mengunjurkan keluasan yang sekarang 100 ribu hektar di bawah SRI kepada 1.5 juta hektar padi SRI dalam tahun 2015. (Sumber: Indonesian Ministry of Agriculture).

Vietnam, negara yang dahulunya hancur disebabkan oleh peperangan, mempunyai keluasan padi SRI 300 ribu hektar dalam tahun 2009, berusaha meluaskan kaedah SRI kepada 1 juta hektar pada tahun 2012. (Sumber: Ministry of Agric and Rural Devt., Vietnam)

Yang paling ‘ambitious’ adalah India, iaitu dari 5 juta hektar di bawah SRI sekarang ini memberi target untuk meletakkan 10 juta hektar tanah sawahnya dibawah pengurusan SRI menjangkau 2015. (Sumber: Indian Ministry of Rural Development).

Mak Tam yakin mereka mampu mencapai cita-cita murni mereka. Dan yang lebih mustahak, mereka menggunakan agrokimia dengan kadar yang kurang daripada cara penanaman padi konvensional. Ada kalanya tiada mengguna racun kimia langsung. SRI adalah satu langkah yang sangat baik kearah menjaga kelestarian alam melalui pertanian mesra alam.

Link ini memberikan sumber berita yang melaporkan hasil seorang petani dari Bihar, India yang mencapai 22.4 tan sehektar. Dan kemudian ia diikuti oleh rombongan beberapa saintis daripada IRRI, Filipina yang pergi ke Bihar untuk menemuramah dan membuat pengesahan bahawa betul laporan berita itu.

Mak Tam dan Pak Tam bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai SRI. Hubungi kami melalui talian telefon 019-3322-947 (Pak Tam) dan 019-380-1815 (Mak Tam). Bukan sahaja mengenai System of Rice Intensification, malah bersedia berkongsi pengalaman bagaimana mengurangkan kos pengeluaran hingga 70%, bagaimana mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kawasan padi disebabkan pembakaran, bagaimana meningkatkan kesuburan tanah pertanian dengan kos yang paling minima dengan bahan mesra alam yang dibuat sendiri, bagaimana meningkatkan hasil padi bertanam mesin dengan mengguna cara mekanikal. Syor kami bukan sahaja untuk tanaman padi, bahkan telah meliputi tanaman sayuran dan buahan ditanam secara terbuka atau secara fertigasi, juga terhadap tanaman kelapa sawit.

2

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Padi SRI Selangor: Ilmu SRI Mencetus Paradigma Baru

Poster Mesin Landak

Poster Mesin Landak

Anugerah Mesin Landak

Anugerah Mesin Landak

Othman Mogek

Othman Mogek

.
.
.

Othman1

hadiah-inovasi

Othman Mogek Pemenang Hadiah Inovasi (Kategori Petani) 2012

Pagi tadi Mak Tam bersembang dengan Saudara Othman Mogek, penerima Anugerah Inovasi Pertanian 2012 Jabatan Pertanian dalam kategori inovasi petani bagi mesin power landak (mesin kawalan rumpai padi organik). Memang amat teruja Man apabila bercakap mengenai pengalamannya semasa sesi soaljawab selepas majlis anugerah. Tapi bagi Man yang telah bersama-sama Mak Tam dan Pak Tam sejak 3 musim (Laporan yang diberi link oleh Cornell University, Ithaca, New York) mengkaji dan membuat pelbagai prototaip mesin melandak dalam ikhtiar untuk mempermudahkan penanaman SRI (System of Rice Intensification), soalan-soalan yang diajukan kepadanya sudah tentu sahaja mudah dijawabnya. Dia juga menanam padi secara SRI ditepi rumahnya untuk dijadikan beras untuk dimakan keluarganya.

Memang susah bagi seseorang yang tidak menanam dan menguruskan sendiri tanaman padi SRI untuk mempercayai bahawa dengan menggunakan 6 prinsip SRI iaitu tanam anak benih muda (umur semai kurang daripada 10 hari), hanya tanam satu anak padi sahaja, berjarak yang luas iaitu 30cm x 30cm, air sawah diberi acap-acap sahaja bagi 45 hari pertama, tanah di antara baris dilandak (digembur bagi tujuan buang rumput dan pengudaraan), dan menggunakan baja organik boleh merangsang padi beranak melebihi 100 anak. Tengok gambar di bawah ini yang diambil pada tanaman musim ketiga secara SRI di Tunjong, Kelantan. Tanaman yang sebelah kiri gambar mempunyai 103 anak dan yang sebelah kanan mempunyai 60 anak. Tanaman ini telah ditanam 3 musim berturut cara SRI dan tidak diberi walau pun sebutir baja kimia atau setitik racun kimia. Hasil pada masa tersebut mencapai hampir 9 tan sehektar

100-anak

Percubaan yang kami buat di Stesen Parit 4, Sg Besar memberi dalam lingkungan 47 anak padi serumpun kerana ini adalah kali pertama padi ditanam secara SRI. Faktor tanah sawah belum pulih dari penggunaan racun kimia adalah salah satu sebab pokok padi belum boleh mendapat anak yang banyak daripada itu. Tapi cuba pulak kita lihat kepada kemampuan satu benih padi beranak pada tanah sawah yang telah menjalankan SRI lebih dari 10 musim. Gambar ini diambil di Indonesia dan mempunyai anak melebihi 260 anak (yakinlah bahawa sebiji benih padi itu jika ditanam satu sahaja dan diurus secara SRI, ia akan menyerlahkan potensi pertumbuhan dan penghasilan tertinggi yang mampu dicapainya).

Padi 260 Anak

Padi 260 Anak

Jika anda berminat untuk mengetahui mengenai SRI dan kehebatannya, jemputlah ke SRI 2013 iaitu Persidangan Kedua SRI pada 11-13 Jun, 2013. Hebahan akan dibuat pada awal tahun 2013.

Padi SRI Selangor: Sepetang Bersama Pegawai-Pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Pertanian Ekologi untuk pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Pertanian Ekologi untuk pegawai Kementerian Pertanian Afghanistan

Memang petang ini satu petang yang memberi kepuasan kepada usaha-usaha selama ini. Keinginan untuk menghalakan pertanian kepada cara yang lebih menyihatkan, yang berupaya mengurangkan kos pengeluaran, dan sudah pastinya meningkatkan pendapatan petani menjadi keinginan universal. Semua orang mahu yang lebih baik.

Satu soalan yang diajukan kepada Mak Tam adalah macam mana nak buat baja dan pencegah perosak secara organik. Mak Tam jawab tidak cukup masa kerana yang diberi hanya dua jam. Kalau diberi masa yang lebih panjang, boleh saja diberikan resepinya bagi tumbuhan atau bahan sisa yang boleh didapati di negara mereka. Yang dah tentu tiada adalah pokok buluh. Mmm.. ini kena fikirkan macam mana nak buat IMO yang power.

Sebelum Mak Tam masuk ke bilik latihan, Kamari, pembantu sesi memberi pesanan. Hampir separuh peserta latihan tidak faham bahasa Inggeris. Jadi Mak Tam perlu cakap agak perlahan. Dan nanti akan ada masa mereka akan minta luang masa untuk berbincang.

Jadi semasa Mak Tam bercakap, Mak Tam terdengar salah seorang mereka berkata “mesyuarah”. Semasa itu Mak Tam pun diam dan mereka berbincang dengan penuh semangat. Topik masa itu adalah tentang petani membuat sendiri baja dan perosak dari bahan alam semulajadi. Lama juga perbincangan mereka.

Bahasa rasmi mereka dipanggil Dari. Jadi nota Mak Tam yang dalam bahasa Inggeris dihantar 10 hari terdahulu telah pun diterjemahkan kedalam bahasa Dari. Teruja juga Mak Tam kerana ini sesuatu yang unik. Kalau dari bahasa Melayu ke Inggeris, dan sebaliknya tu, itu sudah biasa. Lihatlah bentuk rupa tulisan yang serupa dengan Jawi di bawah ini.

Terjemahan Nota ke Bahasa Dari

Terjemahan Nota ke Bahasa Dari

Setelah selesai, ketua mereka menyampaikan cenderahati. Sudah sampai ke rumah baru Mak Tam buka. Lagi satu surprise. Buat pertama kali Mak Tam tengok saffron yang tulen. Sila baca kat sini untuk tahu khasiatnya. Juga sekeping kain tenunan mungkin sebagai tudung. Besar hati Mak Tam menerima pemberian ini.

Cenderahati dari Afghanistan

Cenderahati dari Afghanistan

Padi SRI Selangor : Ilmu Itu Pelita Hati

System of Rice Intensification SRI

System of Rice Intensification SRI

Ilmu Itu Pelita Hati adalah sebuah peribahasa yang bermaksud ilmu pengetahuan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang bijak.

Blog Stats

Blog Stats

Agak lama juga Mak Tam tidak update blog kerana beberapa sebab. Pasti saja boleh sebut sibuk, tapi yang sebenarnya sudah kekeringan ilham. Terfikir Mak Tam apa lagi yang hendak diperkatakan kerana telah banyak perkara ditulis untuk tatapan. Hingga kini sudah lebih daripada 111,000 hits ke blog ini. Tapi siapa yang menatap tulisan diblog ini? Apa manfaat yang orang dapat dari membacanya? Inilah soalan-soalan yang sering berligar dalam minda Mak Tam.

Tapi pagi ini Mak Tam dapat suntikan baru dari post di fb yang dibuat oleh seorang insan bernama Nazrol Nizam Zakaria, anak muda dari Guar Perahu, Penang. Terima kasih kerana menggerakkan Mak Tam dari lamunan. Alhamdulillah juga dengan adanya internet ini, lebih mudah berinteraksi dengan pelbagai golongan orang dari semua peringkat umur dan latarbelakang. Membaca postnya, Mak Tam rasa teruja. Rupanya blog Mak Tam ini mampu membawa perubahan. Alhamdulillah jika begitu.

Sejak SRI-Mas : National Workshop on Sustainable Rice Production: Re-Visiting IPM bulan September lepas, beberapa permintaan untuk diterangkan mengenai SRI dan manfaatnya telah kami terima. Ini termasuk dari negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Topik yang paling popular adalah ‘Cara-cara mengurangkan modal bertani’.

Harga input pertanian dikatakan oleh petani naik setiap 6 bulan. Mungkin ada yang boleh buat geraf ikut perkembangan harga input pertanian di negara kita untuk melihat kebenaran kata-kata ramai petani. Sudah rasa amat terbeban kerana membeli racun kimia tidak menjamin tanaman akan selamat daripada serangan pelbagai perosak dan penyakit. Keluhan yang sama Mak Tam dengar dimerata tempat. Jadi apa yang silap disini? Sapa yang boleh beri pencerahan? Siapa yang boleh berikan penyelesaiannya?

Mak Tam hanya mampu berkata bahawa wahai rakan-rakan tani semua, anda tidak perlu menjadi hamba kepada input pertanian berbentuk kimia. Tuan-tuan boleh membuat sendiri baja dan pencegah perosak tanaman ini. Bahan-bahannya adalah daripada bahan buangan kampung sahaja. Ada pun dua jenis akar kayu boleh dibeli dikedai ubat Cina di pekan berhampiran. Minta Jabatan Pertanian ajarkan ilmu yang dipanggil ‘natural farming’. ‘Natural farming’ ini telah meluas penggunaannya di Korea, Jepun, China, Indonesia, India, Filipina dan beberapa negara lain. Mungkin mereka tidak panggil dengan nama ‘natural farming’, tapi konsepnya adalah sama. Dan ‘natural farming’ ini mampu mengembalikan kesuburan tanah, mencergaskan pertumbuhan pokok, dan sekaligus mempertahankan pokok dari serangga perosak dan penyakit. Yang paling penting adalah petani tidak terdedah kepada bahaya racun kimia, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan modal bertani.

Gerakan SRI ini bermula di Indonesia kerana ada pihak NGOnya yang ingin membantu petani disana. Para petani sering sahaja menerima padah yang buruk dari penggunaan racun kimia. Bukan sahaja terhadap kesihatan, bahkan menjadi hamba yang terbelenggu kepada hutang. Mana tidaknya jika wang dari jualan hasil ladangnya lebih banyak dibuat untuk membayar hutang kedai racun. Dan dari siapakah mereka mendapat nasihat cara mengawal perosak tanaman. Sudah tentu saja dari jurujual racun kimia. Malah isteri kepada jurujual racun kimia boleh saja beri nasihat racun mana yang patut digunakan. Adakah senario pertanian di Malaysia juga begitu? Mereka yang dalam bidang pertanian boleh beri jawapan yang tepat.

Tengoklah video dibawah ini dan bayangkanlah akibat racun terhadap petani dan operator ladang. Siapa yang peduli? Siapa yang ambil pot, seperti kata kawan Mak Tam. Bagi yang terdedah kepada racun kimia pertanian, atau mempunyai bapa, adik-beradik dan saudara dalam pertanian, kasihanilah mereka. Petani adalah orang yang berjuang sepanjang hayat mereka untuk memberi kita makan. Tidakkah kesejahteraan mereka penting?

Padi SRI : Cambodia Mengorak Langkah Memperkasakan Pesawah Tingkatkan Hasil Padi Dengan Kos Yang Rendah

Borang untuk ke Bengkel IPM di UKM download kat sini http://pertanianselangor.wordpress.com/2012/08/27/sri-mas-national-workshop-on-sustainable-rice-production-re-visiting-ipm-2/

Baca disini juga http://globalnation.inquirer.net/48582/cambodian-rice-expert-produces-more-with-less

http://www.rappler.com/move-ph/11473-cambodia-s-rm-awardee-beyond-toxic-fertilizers

http://businessmirror.com.ph/component/content/article/53-agri-commodities/31964-ramon-magsaysay-awardee-pushes-sri-for-palay-production

SRI  In Cambodia Doubling Rice Production

SRI In Cambodia Doubling Rice Production

Padi SRI Selangor : Manfaat Berkongsi Ilmu SRI Bersama Petani

Parit 6 1/2, Pancang Bedena

Parit 6 1/2, P Bedena

Parit 7, Sg Leman

Parit 7, Sg Leman

Parit 1 Barat, Sg Besar

Parit 1 Barat, Sg Besar

Parit 9, Sg Leman

Parit 9, Sg Leman

Parit 3, Sg Hj Dorani

Parit 3, Sg Hj Dorani

Parit 8, P Bedena

Parit 8, P Bedena

Pak Tam dan Mak Tam kekadang tidak percaya bahawa pada setiap sesi latihan, sambutan petani sangat baik. Ramai dikalangan mereka baru kali ini mendengar tentang pilihan-pilihan yang ada untuk meneruskan bertanam padi dengan modal yang lebih rendah. Ada juga yang apabila ditanya, “Kalau kita kurang guna racun, boleh kah kita dapat hasil yang sama”, dengan spontan sahaja menyatakan bahawa itu tidak boleh. Bila Pak Tam kata, “Jika nak tahu macam mana nak kurangkan modal untuk bersawah, sila angkat tangan”, semua petani yang hadir akan angkat tangan. Lihat gambar yang ada disebelah. Banyak lagi gambar-gambar seperti ini dari kawasan yang berlainan.

Lesung Kaki

Lesung Kaki

Kita semua telah lama diberitahu bahawa untuk bertani, mesti guna baja dan racun kimia. Kalau kedua perkara ini tiada, maka akan ketiadaan hasil lah kita. Tapi Atok saudara Mak Tam dulu tak pernah ada baja atau racun kimia pun. Tapi makan nasi juga mereka. Tak pernah beli pun beras. Bila beras kat dapur habis, nenek akan ambil padi dalam simpanan dan tumbuk padi guna lesung kaki. mmm.. sedap dapat makan beras baru ditumbuk. Sudah tentu sahaja beras yang tidak dicemari oleh sebarang kimia.

Jadi apabila Pak Tam dan Mak Tam mula membawa konsep SRI organik kepada petani, sudah tentu sahaja ramai yang tidak boleh terima. Dalam usaha menengahkan sesuatu yang baik untuk ramai orang, kami mengambil jalan yang paling kurang ranjaunya. Salah satu daripada prinsip SRI adalah menggunakan bahan mentah alam semulajadi. Oleh kerana kebanyakan bahan buangan dikampung seperti kangkung liar, pisang masak ranum (buat cucur pisang pun dah orang tak mahu), isi perut dan sisa ikan, kulit telur, dan tulang lembu/kambing lepas kenduri senang didapati, maka usaha kearah memanfaatkan bahan-bahan ini dimulakan.

Jadi sebagai langkah pertama, kami mengajukan agar produk SRI digunakan terhadap padi tanaman konvensional, iaitu petani terus saja menggunakan baja kimia yang diperolehi melalui subsidi kerajaan. Produk SRI yang organik dan murah harganya, diolah berasaskan ‘natural farming’ digunakan 4 kali sepanjang musim sebagai ‘top-up’.

Parit 2, Sg Hj Dorani

Parit 1, Sg Hj Dorani

Sg Nipah

Sg Nipah

Parit 3, Sg Hj Dorani

SRI D'Dorani

En Jalil Berbangga Dengan Padinya

En Jalil Samhari Berbangga Dengan Padinya Mengguna Produk SRI (Tel: 012-3583-814)

Sekarang ini dari kalangan mereka yang menggunakan produk SRI yang dibuat sendiri oleh kumpulan petani yang dilatih khusus, ramai yang sangat berpuashati kerana keadaan tanaman padi mereka lebih cergas dan kurang serangan perosak. Kebanyakan mereka dengan gembira sekali memberitahu tentang peningkatan hasil padi mereka juga. Oleh yang demikian, keperluan membeli racun kimia juga menurun. Duit yang tersimpan dalam tangan petani itu amat bermakna kerana dengan penjimatan ini mereka dapat menikmati usaha kudrat mereka sendiri. Bukan untuk membeli racun kimia yang boleh membahayakan diri mereka. Telefon lah mereka jika mahu dengar sendiri.

Tuan Haji Tumiran Jais dari Sg Nipah 013-253-3372.
.

Tanyalah Pak Lang Razak (016-2027-361) untuk mendengar sendiri penjimatan beliau.
.
Penanam sayur Sg Leman juga sudah bertukar daripada kimia kepada produk SRI. Hanya apabila dirasakan perlu sahaja, barulah mereka membeli racun kimia. Itu pun dalam kadar yang sedikit. Dengar apa kata Encik Rosli Kasman (Tel: 019-2580-210) daripada Parit 9, Sg Leman. Anak Encik Rosli bernama Udin mampu membeli kereta Unser dengan menggunakan penjimatan (tidak lagi perlu membeli racun kimia) itu untuk membuat bayaran ansuran keretanya. Udin juga ada kebun sayurnya sendiri. Klik di sini untuk mengetahui cerita Udin dan Toyota UNSER SRInya.

.

Azmi Mendapat Hasil Bendi Gred A+

Azmi Mendapat Hasil Bendi Gred A+ (Tel : 019-605-9677)

Encik Azmi dari Parit 9, Sg Leman sangat gembira menceritakan buat pertama kali beliau mendapat gred A+ bagi hasil bendinya baru-baru ini. Lihat lah gambarnya (klik gambar untuk lihat lebih jelas) dengan resit pembayaran yang menunjukkan gred bendinya. Encik Azmi pada mula dulu, tidak dapat percaya bahawa produk SRI boleh membawa perubahan kepada peningkatan dan kualiti hasil tanamannya. Sekarang beliau salah seorang pengeluar produk SRI, dan seorang yang banyak membuat inovasi terhadap cara menyediakan tanah kebun sayurnya, dengan mengguna IMO2, FPJ kangkung dan FAA ikan. Kata Encik Azmi, dulu, jika nak mulakan tanam sayuran, mesti ada diantara RM3,000-RM5,000 untuk modal. Sekarang ni siapkan duit untuk beli benih, kayu junjung dan duit upah saja. Tak payah susah hati nak cari duit beli baja dan racun kimia. Kalau perlu pun, cuma racun yang murah dan sedikit sahaja. Sesiapa yang ingin belajar bagaimana, silalah hubungi beliau sendiri.

.
Pak Tam dan Mak Tam berbesar hati menunaikan permintaan untuk sesi penerangan ‘Cara Mengurangkan Kos Bersawah’ dan latihan amali membuat baja dan pencegah SRI. Di bawah ini adalah sebahagian daripada gambar-gambar yang diambil bulan ini. Klik di link dibawah untuk melihatnya kut-kut ada gambar orang-orang yang anda kenal. Tanya mereka apa pendapat mereka tentang ilmu baru yang mereka dapati.

1.  Sesi Penerangan di Parit 6 1/2, Panchang Bedena, Sg Besar pada 18 April, 2012.

2.  Latihan Amali 1 di Parit 10, Pasir Panjang pada 17 April, 2012.

3.  Latihan Amali SRI Intensif di PLKP, Tg Karang pada 12 April, 2012.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers