Razak Chik : Produk SRI Berkesan Mengawal Penyakit Karah, Reput Tangkai dan ‘False Smut’

{Asas Pembuatan Baja SRI : 1. Cara membuat IMO1 dan IMO2 mustahak dipelajari.  2. Bahan yang kena buat untuk campuran produk SRI adalah FPJ, FFJ (mukasurat 6-8), FAA (mukasurat 9), 5 jenis OHN (mukasurat 10-11), CaP dan PCa (mukasurat 13). Jadi bahan asasnya adalah 10 jenis. Kalau boleh buat kesemua 10 jenis ini sudah mencukupi. Pelajari lah asasnya dari buku panduan Natural Farming oleh Jabatan Pertanian.}

Dengarlah sendiri apa kata Encik Razak Chik mengenai pengalamannya mengguna produk SRI. Produk SRI boleh dibuat sendiri. Mak Tam buat kat dalam dapur saja. Dah cukup 10 bahan asas untuk dibuat campuran.

Apa yang Mak Tam nak cerita sebenarnya ialah kita ada pilihan untuk terus menerus berharap kepada racun, atau belajar cara yang telah terbukti boleh dijadikan penyelesaian masalah kos bersawah yang semakin memeras petani.

Dalam perbincangan dengan rakan-rakan dari Indonesia dan India, pergantungan terhadap agrokimia dikalangan petani di negara mereka ada yang ditahap menyeksakan. Tahap keracunan yang membawa maut terhadap pengguna racun, dan juga terhadap anak-anak mereka sehingga ada yang membawa kecacatan seumur hidup.

Ramai juga yang hidup mereka terbelengu dengan hutang kerana racun yang dibeli tiada gerenti mereka mendapat hasil. Kalau sudah diserang perosak dan penyakit, yang tinggal hanyalah hutang sekeliling pinggang. Apa hasil yang didapati dari penanaman padi mereka, adalah untuk membeli agrokimia untuk musim seterusnya.

Sebenarnya, Encik Razak Chik sendiri pernah menceritakan tentang perbualannya dengan seorang petani dari Sekinchan yang memberitahu bahawa keuntungannya hanyalah subsidi harga padi yang diberi kerajaan. Jika tiada subsidi harga padi itu, memang dia tidak buat sebarang keuntungan kerana kos pengeluaran bagi petani di Sekinchan adalah dalam RM6,000 semusim bagi sehektar.

Setiap kali Mak Tam membaca berita tentang serangan perosak dan penyakit padi di Seberang Perak, di Kedah, atau di Pulau Pinang, Mak Tam rasa amat sedih. Rasa macam petani tiada pembelaan apabila petani disuruh menggunakan cara konvensional iaitu guna racun, racun dan racun lagi. Tidak kah ada pihak berwajib yang hendak mencuba cara fitrah alam yang telah kita pelajari dari Korea. Sudah 8 tahun kita didedahkan dengan kaedah natural farming dari Korea, telah pun dicuba di Pusat Pertanian Bumbong Lima, Pulau Pinang selama 6 musim, dan di Pusat Pertanian Melor, Kelantan selama 8 musim.

Mak Tam juga faham kerana ramai dari kalangan tokoh pertanian takut bahawa dengan beralih kepada cara ala organik, maka hasil padi akan turun. Tidak perlu kita bertukar kepada 100% organik. Cuba ‘cantum’ ilmu organik dengan ilmu konvensional, dan ambil jalan tengah yang boleh memberi keputusan yang terbaik. Di Selangor, kami telah menjumpa formula yang mana boleh membantu menghindarkan serangga perosak (walau pun masih mencari penyelesaian untuk ulat pengorek batang), dan penyakit akibat kulat dan bakteria. Malah berupaya mengurangkan kos membeli berbagai racun kimia, tetapi masih berkesan mengawal perosak dan penyakit. Kos bersawah dapat dikurangkan melebihi 50%, dan petani yang kreatif dan berkeyakinan, dapat mengurangkan kos membeli agrokimia sehingga 80%. Setelah dua musim mencuba, hasil ada kenaikan sedikit kerana kurang perosak dan penyakit, dan yang bagusnya ialah kos bersawah dapat dikurangkan.

Pihak berwajib kerajaan mempunyai wang yang banyak dan kepakaran yang ramai dalam pelbagai bidang. Cubalah melihat kepada cara yang Mak Tam nyatakan dalam blog Mak Tam ini. Kalau kita semua berusaha kearah kebaikan, InsyaAllah pertolongan Allah swt bersama kita. Mak Tam dan Pak Tam serta rakan-rakan SRI hanya mampu sedikit sahaja membantu petani, tetapi pihak berwajib mampu membawa perubahan yang cepat dan melibatkan ramai petani. Ini doa saya. Ya Rabb.. bantulah petani yang sentiasa menjadi catur dalam usaha-usaha ‘permodenan pertanian’. Permudahkanlah usaha kami ini Ya Allah….

.

Ringkasan:

Sawah saya sebelas-sebelas lot tidak didatangi oleh penyakit karah, reput tangkai, ‘false smut’ ada satu dua. ‘False smut’ iaitu buah pecah.

Kawan saya Ridzuan, salah sorang pegawai pertanian Sg Burong, loji benih. Beliau telepon saya tengahari. Dia datang check sawah saya. Dia lah yang meluluskan. Kalau dia lulus, luluslah. Kalau dia tak lulus, tak luluslah.

Eh Razak, mari datang sawah jap. Eh tuan, ni tengahari ni, jom kita minum dulu. Tak, kau datang ke sawah jap. Saya datang lebih kurang dalam pukul dua.

Razak, saya peliklah. Kenapa sawah false smut tu sebiji, dia tak merebak. Saya pun tahu, benda tu memang hari-hari saya pergi kat sawah tu.

Sebelum tu, kalau dah kena ‘false smut’ confirm tak kan lulus untuk benih. Dia akan rosak sampai ke bawah.

Yang ni saya kena sebiji, dia tetap akan rosak sebiji. Dia akan jadi busuk sebiji tu saja, yang lain cantik, comel.

Jadi Ridzuan tanya saya, Razak kau pakai apa? Ridzuan, saya nak cakap. Yang mana satu berkesan saya tidak tahu. Tapi saya cakap saya gunakan produk SRI.

Dia pun fikir, apa dia benda SRI tu? Kalau nak tahu maklumat lanjut saya cakap jumpa Puan Wahidah.

Saya tanya, kalau nakkan saya punya ilmu, saya nak tanya padi saya ni lulus atau tidak? Sapa tak nak lulus, tuan-tuan. Harganya satu empat, sekarang satu tiga. Kalau dulu zaman skim SPBB satu empat (RM1400 se tan).

Wan, padi saya ni lulus atau tidak? Dah, aku tunjuk ni. Dah right pun dah kau punya dah lulus. Kau punya sebelas lot, sebelas sebelas lot dah lulus.

Reput tangkai jiran saya kena, reput tangkai, karah daun jiran saya kena. Saya alhamdulillah. Yang amat ketara, Puan Wahidah pergi bendang, satu lot 3 ekar. 5 rantai saya punya didepan, 5 rantai dibelakang, petani lain punya.

Saya punya tidak ada kena reput tangkai dengan karah daun. Kalau ia merebak, sempadan 5 rantai, sudah tentu ada kena karah daun. Itu pengalaman saya menggunakan produk ini, sebab sekarang sayalah yang akan memperjuangkan produk ini untuk petani.

Mengapa saya bercakap begitu? Sebab selama ni saya menggunakan seratus peratus bahan kimia. Satu pun saya tak pernah cuba bahan organik.

Musim lepas saya gunakan 50 kimia, 50 organik. Musim ini Alhamdulillah, saya akan cuba gunakan produk SRI sebanyak 70%. Hanya bahan kimia 30%.

Bantuan yang kerajaan bagi saya akan pakai. Baja subsidi, racun yang diberi saya akan pakai. Tapi saya campur seminima yang boleh.

Sampai hari ini sawah saya berumur 15-16 hari, saya belum ada menggunakan racun kimia. Setakat hari ini, saya hanya menggunakan kangkung sahaja. Yang lain saya belum ada guna.