Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku yang dalam proses penyediaan sejak tiga bulan yang lalu. Walau pun Mak Tam dah ada pengalaman menyusun buku iaitu buku “Seratus Tahun Menerajui Kecemerlangan Pertanian” Jabatan Pertanian dalam tahun 2005, tapi setiap buku itu unik. Yang dulu adalah koleksi penulisan beberapa orang pegawai, yang ini pula ditulis oleh dua orang, Pak Tam dan Mak Tam. Kami mengambil kaedah ‘natural farming’ dari Korea Selatan dan juga ilmu pertanian ekologi dari Indonesia.

‘Natural farming’ telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian sejak 2002. Itu semasa Mak Tam menjawat jawatan Pengetua di Institut Pertanian Serdang. Puan Mariam Ahmad, yang juga Pengurus Ladang institut menjadikan ‘natural farming’ sebagai salah satu subjek yang diajar kepada pelajar IPS dan peserta inkubator. Puan Mariam yang banyak menceritakan kehebatan ramuan ‘natural farming’ ini.

Setelah Mak Tam pencen, berpeluang pula menghadiri kursus Pertanian Ekologi di Pusat Latihan FELCRA (FTC) Seberang Perak. Di FTC sekali lagi Mak Tam didedahkan kepada pembuatan baja dan pestisida semulajadi yang dibuat daripada bahan-bahan yang boleh didapati disekeliling kampung. Di FTC jugalah Mak Tam mendalami kaedah SRI dan kaitannya dengan mikrob dalam tanah. Pak Deri Ramdani dari Nusantara Organik SRI Centre (NOSC), Nagrak, Sukabumi memberi banyak resepi yang boleh digunakan di Malaysia.

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Tapi orang yang paling berpengaruh dalam pembelajaran Mak Tam adalah Pak Aep Saepudin dari Tasikmalaya, Indonesia. Beliau membuka minda Mak Tam kepada banyak perkara yang berkaitan dengan sejahteraan alam sekitar dan peranan mikrob dan makhluk seni dalam tanah. Kepentingan menjaga keseimbangan zon persekitaran perakaran (rhizosphere) dan bagaimana mikrob mengilang makanan untuk tumbuhan dan menjadi benteng pertahanan utama dalam menjaga keselamatan pokok daripada serangan makhluk perosak seperti serangga, kulat dan bakteria. Beliau juga menceritakan bagaimana bunyi cengkerik juga memainkan peranan membuka stomata daun pada waktu malam hingga subuh.

Tetapi buku kami ini adalah seperti buku resepi membuat rumusan yang boleh menjadi baja dan menguatkan ketahanan tumbuhan daripada serangan perosak. Pak Tam dan Mak Tam berharap buku ini akan diguna oleh seramai pengusaha pertanian dan seterusnya menggunakannya untuk mengajar generasi muda.

Padi SRI Selangor : Perkongsian SRI Dalam Negara

Pertanian Satu Ibadah

Program Pertanian Satu Ibadah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan

SRI (System of Rice Intensification) masih amat baru di negara kita. Masih ramai yang tidak tahu mungkin kerana ianya pada mula diberi tanggapan yang tidak positif. Tersenyum Mak Tam apabila ada yang menyatakan bahawa SRI adalah satu kaedah penanaman padi yang kuno tanpa melihat kepada negara-negara pengeluar beras terbesar dunia yang mendokong pembesaran kawasan padi SRI di negara mereka.

Pihak UN Food and Agriculture Organization (FAO) melaporkan bahawa dalam tahun 2010 pengeluar beras terbesar dunia adalah China, India, Indonesia dan Vietnam. Negara-negara ini berlumba-lumba untuk mengekalkan kedudukan mereka. Yang paling agresif adalah India yang mana mereka ingin menjadi pembekal beras dunia sepanjang zaman. Dengan sumber tanah pertanian yang banyak, dan kewujudan tenaga buruh yang tinggi dan murah, pasti sahaja India boleh mencapai hasrat negaranya jika mengguna cara SRI.

China mula mendekati SRI pada tahun 1999, dan pada tahun 2011 mempunyai 700 ribu hektar di bawah pengurusan SRI. China mahu menambahkan keluasan ini kepada 900 ribu hektar dalam tahun 2012. (Sumber: Institute of Crop Sciences, Beijing).

Indonesia pulak mengunjurkan keluasan yang sekarang 100 ribu hektar di bawah SRI kepada 1.5 juta hektar padi SRI dalam tahun 2015. (Sumber: Indonesian Ministry of Agriculture).

Vietnam, negara yang dahulunya hancur disebabkan oleh peperangan, mempunyai keluasan padi SRI 300 ribu hektar dalam tahun 2009, berusaha meluaskan kaedah SRI kepada 1 juta hektar pada tahun 2012. (Sumber: Ministry of Agric and Rural Devt., Vietnam)

Yang paling ‘ambitious’ adalah India, iaitu dari 5 juta hektar di bawah SRI sekarang ini memberi target untuk meletakkan 10 juta hektar tanah sawahnya dibawah pengurusan SRI menjangkau 2015. (Sumber: Indian Ministry of Rural Development).

Mak Tam yakin mereka mampu mencapai cita-cita murni mereka. Dan yang lebih mustahak, mereka menggunakan agrokimia dengan kadar yang kurang daripada cara penanaman padi konvensional. Ada kalanya tiada mengguna racun kimia langsung. SRI adalah satu langkah yang sangat baik kearah menjaga kelestarian alam melalui pertanian mesra alam.

Link ini memberikan sumber berita yang melaporkan hasil seorang petani dari Bihar, India yang mencapai 22.4 tan sehektar. Dan kemudian ia diikuti oleh rombongan beberapa saintis daripada IRRI, Filipina yang pergi ke Bihar untuk menemuramah dan membuat pengesahan bahawa betul laporan berita itu.

Mak Tam dan Pak Tam bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai SRI. Hubungi kami melalui talian telefon 019-3322-947 (Pak Tam) dan 019-380-1815 (Mak Tam). Bukan sahaja mengenai System of Rice Intensification, malah bersedia berkongsi pengalaman bagaimana mengurangkan kos pengeluaran hingga 70%, bagaimana mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kawasan padi disebabkan pembakaran, bagaimana meningkatkan kesuburan tanah pertanian dengan kos yang paling minima dengan bahan mesra alam yang dibuat sendiri, bagaimana meningkatkan hasil padi bertanam mesin dengan mengguna cara mekanikal. Syor kami bukan sahaja untuk tanaman padi, bahkan telah meliputi tanaman sayuran dan buahan ditanam secara terbuka atau secara fertigasi, juga terhadap tanaman kelapa sawit.

2

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Jabatan Pertanian Negeri Kedah

Padi SRI Selangor: Ilmu SRI Mencetus Paradigma Baru

Poster Mesin Landak

Poster Mesin Landak

Anugerah Mesin Landak

Anugerah Mesin Landak

Othman Mogek

Othman Mogek

.
.
.

Othman1

hadiah-inovasi

Othman Mogek Pemenang Hadiah Inovasi (Kategori Petani) 2012

Pagi tadi Mak Tam bersembang dengan Saudara Othman Mogek, penerima Anugerah Inovasi Pertanian 2012 Jabatan Pertanian dalam kategori inovasi petani bagi mesin power landak (mesin kawalan rumpai padi organik). Memang amat teruja Man apabila bercakap mengenai pengalamannya semasa sesi soaljawab selepas majlis anugerah. Tapi bagi Man yang telah bersama-sama Mak Tam dan Pak Tam sejak 3 musim (Laporan yang diberi link oleh Cornell University, Ithaca, New York) mengkaji dan membuat pelbagai prototaip mesin melandak dalam ikhtiar untuk mempermudahkan penanaman SRI (System of Rice Intensification), soalan-soalan yang diajukan kepadanya sudah tentu sahaja mudah dijawabnya. Dia juga menanam padi secara SRI ditepi rumahnya untuk dijadikan beras untuk dimakan keluarganya.

Memang susah bagi seseorang yang tidak menanam dan menguruskan sendiri tanaman padi SRI untuk mempercayai bahawa dengan menggunakan 6 prinsip SRI iaitu tanam anak benih muda (umur semai kurang daripada 10 hari), hanya tanam satu anak padi sahaja, berjarak yang luas iaitu 30cm x 30cm, air sawah diberi acap-acap sahaja bagi 45 hari pertama, tanah di antara baris dilandak (digembur bagi tujuan buang rumput dan pengudaraan), dan menggunakan baja organik boleh merangsang padi beranak melebihi 100 anak. Tengok gambar di bawah ini yang diambil pada tanaman musim ketiga secara SRI di Tunjong, Kelantan. Tanaman yang sebelah kiri gambar mempunyai 103 anak dan yang sebelah kanan mempunyai 60 anak. Tanaman ini telah ditanam 3 musim berturut cara SRI dan tidak diberi walau pun sebutir baja kimia atau setitik racun kimia. Hasil pada masa tersebut mencapai hampir 9 tan sehektar

100-anak

Percubaan yang kami buat di Stesen Parit 4, Sg Besar memberi dalam lingkungan 47 anak padi serumpun kerana ini adalah kali pertama padi ditanam secara SRI. Faktor tanah sawah belum pulih dari penggunaan racun kimia adalah salah satu sebab pokok padi belum boleh mendapat anak yang banyak daripada itu. Tapi cuba pulak kita lihat kepada kemampuan satu benih padi beranak pada tanah sawah yang telah menjalankan SRI lebih dari 10 musim. Gambar ini diambil di Indonesia dan mempunyai anak melebihi 260 anak (yakinlah bahawa sebiji benih padi itu jika ditanam satu sahaja dan diurus secara SRI, ia akan menyerlahkan potensi pertumbuhan dan penghasilan tertinggi yang mampu dicapainya).

Padi 260 Anak

Padi 260 Anak

Jika anda berminat untuk mengetahui mengenai SRI dan kehebatannya, jemputlah ke SRI 2013 iaitu Persidangan Kedua SRI pada 11-13 Jun, 2013. Hebahan akan dibuat pada awal tahun 2013.

Padi SRI Selangor : Ilmu Itu Pelita Hati

System of Rice Intensification SRI

System of Rice Intensification SRI

Ilmu Itu Pelita Hati adalah sebuah peribahasa yang bermaksud ilmu pengetahuan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang bijak.

Blog Stats

Blog Stats

Agak lama juga Mak Tam tidak update blog kerana beberapa sebab. Pasti saja boleh sebut sibuk, tapi yang sebenarnya sudah kekeringan ilham. Terfikir Mak Tam apa lagi yang hendak diperkatakan kerana telah banyak perkara ditulis untuk tatapan. Hingga kini sudah lebih daripada 111,000 hits ke blog ini. Tapi siapa yang menatap tulisan diblog ini? Apa manfaat yang orang dapat dari membacanya? Inilah soalan-soalan yang sering berligar dalam minda Mak Tam.

Tapi pagi ini Mak Tam dapat suntikan baru dari post di fb yang dibuat oleh seorang insan bernama Nazrol Nizam Zakaria, anak muda dari Guar Perahu, Penang. Terima kasih kerana menggerakkan Mak Tam dari lamunan. Alhamdulillah juga dengan adanya internet ini, lebih mudah berinteraksi dengan pelbagai golongan orang dari semua peringkat umur dan latarbelakang. Membaca postnya, Mak Tam rasa teruja. Rupanya blog Mak Tam ini mampu membawa perubahan. Alhamdulillah jika begitu.

Sejak SRI-Mas : National Workshop on Sustainable Rice Production: Re-Visiting IPM bulan September lepas, beberapa permintaan untuk diterangkan mengenai SRI dan manfaatnya telah kami terima. Ini termasuk dari negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Topik yang paling popular adalah ‘Cara-cara mengurangkan modal bertani’.

Harga input pertanian dikatakan oleh petani naik setiap 6 bulan. Mungkin ada yang boleh buat geraf ikut perkembangan harga input pertanian di negara kita untuk melihat kebenaran kata-kata ramai petani. Sudah rasa amat terbeban kerana membeli racun kimia tidak menjamin tanaman akan selamat daripada serangan pelbagai perosak dan penyakit. Keluhan yang sama Mak Tam dengar dimerata tempat. Jadi apa yang silap disini? Sapa yang boleh beri pencerahan? Siapa yang boleh berikan penyelesaiannya?

Mak Tam hanya mampu berkata bahawa wahai rakan-rakan tani semua, anda tidak perlu menjadi hamba kepada input pertanian berbentuk kimia. Tuan-tuan boleh membuat sendiri baja dan pencegah perosak tanaman ini. Bahan-bahannya adalah daripada bahan buangan kampung sahaja. Ada pun dua jenis akar kayu boleh dibeli dikedai ubat Cina di pekan berhampiran. Minta Jabatan Pertanian ajarkan ilmu yang dipanggil ‘natural farming’. ‘Natural farming’ ini telah meluas penggunaannya di Korea, Jepun, China, Indonesia, India, Filipina dan beberapa negara lain. Mungkin mereka tidak panggil dengan nama ‘natural farming’, tapi konsepnya adalah sama. Dan ‘natural farming’ ini mampu mengembalikan kesuburan tanah, mencergaskan pertumbuhan pokok, dan sekaligus mempertahankan pokok dari serangga perosak dan penyakit. Yang paling penting adalah petani tidak terdedah kepada bahaya racun kimia, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan modal bertani.

Gerakan SRI ini bermula di Indonesia kerana ada pihak NGOnya yang ingin membantu petani disana. Para petani sering sahaja menerima padah yang buruk dari penggunaan racun kimia. Bukan sahaja terhadap kesihatan, bahkan menjadi hamba yang terbelenggu kepada hutang. Mana tidaknya jika wang dari jualan hasil ladangnya lebih banyak dibuat untuk membayar hutang kedai racun. Dan dari siapakah mereka mendapat nasihat cara mengawal perosak tanaman. Sudah tentu saja dari jurujual racun kimia. Malah isteri kepada jurujual racun kimia boleh saja beri nasihat racun mana yang patut digunakan. Adakah senario pertanian di Malaysia juga begitu? Mereka yang dalam bidang pertanian boleh beri jawapan yang tepat.

Tengoklah video dibawah ini dan bayangkanlah akibat racun terhadap petani dan operator ladang. Siapa yang peduli? Siapa yang ambil pot, seperti kata kawan Mak Tam. Bagi yang terdedah kepada racun kimia pertanian, atau mempunyai bapa, adik-beradik dan saudara dalam pertanian, kasihanilah mereka. Petani adalah orang yang berjuang sepanjang hayat mereka untuk memberi kita makan. Tidakkah kesejahteraan mereka penting?

Tuai Padi SRI Organik di Stesen Parit 4, Sg Besar pada 1 Feb, 2012

Putri dan Putra SRI : Penyambung Warisan

Putri dan Putra SRI : Penyambung Warisan

Lihatlah kegembiraan wajah pelajar-pelajar yang datang untuk membuat praktikal di Pusat Latihan Kejenteraan Pertanian (PLKP), Tg Karang. Memang sejak sebulan lebih mengenali mereka, banyak perkara mereka pelajari mengenai SRI. Semoga mereka menjadi pelapis untuk menghebahkan SRI dimasa hadapan. InsyaAllah.

Sesampai kami ke sawah Stesen Parit 4, Sg Besar, rakan SRI Sabak Bernam dan PLKP, Tg Karang sudah pun bersiap sedia untuk turun ke sawah. Beberapa hari sebelum, saya menerima berita menyatakan bahawa pihak kelab terpaksa menjual padi yang 100% organik ini seperti padi biasa iaitu menghantarnya kepukal kerana masalah pengendalian. Puan Salbiah menghulurkan surat dari Kelab Kebajikan dan Sukan Kakitangan Daerah Sabak Bernam. Saya membuka dan membaca isi kandungan surat. Alhamdulillah.. InsyaAllah, sebahagian padi ini akan saya jadikan beras untuk disedekahkan. Semoga dengan doa orang-orang yang memakan beras tanpa bahan kimia, penanaman cara SRI akan menjadi pilihan ramai petani.

Mengambil Sampel Untuk Pengiraan Komponen Hasil Padi

Mengambil Sampel Untuk Pengiraan Komponen Hasil Padi

Pak Tam segera menguruskan penerangan kepada anak-anak muda dalam praktikal cara membuat pengambilan sampel untuk pengiraan komponen hasil. Kalau tak silap saya, ini adalah kali ketiga mereka membuat pengambilan sampel. Saudara Azmir juga bersama hadir untuk membantu membuat analisis hasil. Kali ini ada 4 cara penanaman iaitu padi ditanam guna mesin (2-3 anak setiap point), padi di tanam dengan tangan (1 anak setiap point), padi ditabur cara jalur, dan padi tabur terus yang dilandak.

Seperti biasa, sebelum mesin turun menuai, kami akan membuat tekaan. Berapakah hasil tuaian hari tersebut? Saudara Talib telah bersedia dengan kertas dan pen. Mak Tam kata 4960 kg. Pak Tam kata 4750 kg. Masing-masing yang hadir dah pun siap memberi angka. Yang nyata, kerosakan dibuat oleh ulat batang dan tikus agak tinggi. Yang ni Mak Tam nak kena cari ramuan organik terbaik untuk mengawal kedua ini. Ulat batang boleh dikawal dengan ubi gadung (tapi ubi gadung ni bukan senang dapat) dan tikus dikawal dengan air rendaman buah jering matang. Kalau sesapa ada cadangan, silalah berikan, ye…

Pagi tadi Mak Tam dapat timbangan sebenar padi. Jeng.. jeng.. jeng.. 4410 kg. Nampaknya nanti akan ada pemenangnya. Hadiah adalah 5 kg beras SRI Organik. Yeah!… Terima kasih Puan Hajjah Noremeliawati, Encik Abuzar, Encik Talib dan Dream Team PLKP SRI.

Nurrun dan Salbiah : Dari Hanya Satu Anak Padi

Nurrun dan Salbiah : Dari Hanya Satu Anak Padi

PADI SRI : Apa Kata Encik Fauzi Mat Zin, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu

Encik Fauzi Mat Zin

Encik Fauzi Mat Zin

Saya terpaksa menoleh dua kali melihat peserta seminar ini. Mula-mula saya sangkakan Tuan Haji Zakaria Sidek, Pengarah Pertanian Negeri Selangor. Rupanya pelandok hampir serupa!

Semasa di dewan makan beliau berjumpa saya menyatakan minatnya membeli produk SRI untuk diguna di negeri Terengganu. Tetapi yang paling menarik perhatian saya adalah kata-katanya semasa sesi networking sebelah petang. SRI makin mendapat perhatian dikalangan peminat dan pendokong pertanian lestari, dan itu adalah mustahak untuk mempercepatkan proses tersebarnya sistem yang membawa banyak manfaat ini.

.

Kata-kata Encik Fauzi Mat Zin dari Jabatan Pertanian Negeri Terengganu

Tapi saya berbangga dengan apa yang kita tengok dalam pendekatan SRI hari ini. Kita lupa kepada proses bagaimana untuk educate petani kita.

Jadi apa yang kita tengok dalam konsep SRI kita pergi bukan lagi kepada konsep konvensional. Petani didedahkan bagaimana menggunakan sumber yang ada disitu, berbalik kepada orang kata organik. Keselamatan alam sekitar, keselamatan produk, keselamatan petani itu sendiri.

Jadi saya rasa apa yang kita nampak tadi mungkin tahun pertama, tahun kedua makin meningkat sehingga menyebabkan sekiranya lima tahun, sebagaimana berlaku ditempat saya, lima tahun itu sepatutnya berada di kemuncak.

Jadi saya berharaplah dengan sedikit pendedahan pada hari ini saya boleh bincang. Saya rasa perlulah SRI yang terlibat ni ambillah peluang datanglah ke Trengganu.

Mungkin dengan kuasa yang ada pada saya tapi saya kalau boleh direct kepada kepimpinan negeri saya rasa kalau ada taklimat disana saya yakin peluang akan terbuka seluas-luasnya. Sebab Trengganu mempunyai peruntukan yang begitu besar saya rasa tidak akan menjanjikan yang terbaik.

Jadi kalau kita, macam saya tengok macam saya berbincang dengan group daripada pengeluar-pengeluar racun konvensional ni. Dia orang pun hampir surrender. Kalau setiap musim mereka cuma nak prove yang terbaik yang terbaik, dan dia tak boleh sustain untuk musim berikutnya, saya rasa that konsep akan fail.

Jadi apa yang saya tengok dengan konsep ini, inilah konsep sebenarnya. Jadi saya cerita dengan sebahagian kawan-kawan saya, saya ada berpeluang melihat bagaimana program pembangunan padi di Japan. Bagaimana dia membalik kepada kisah yang kita bincang pada hari ini. Tapi malangnya apabila saya lontarkan sedikit sebanyak pengalaman saya ini saya rasa terlalu jauh buat dia orang menerimanya. Mungkin tahap pemikiran agak berbeza.

Jadi hari ini saya nampak, saya setuju, kita kena mengembalikan TANAH SEBAGAI IBU PERTANIAN KITA. Jadi kalau tanah sebagai ibu pertanian kita rosak, kita jangan mengharaplah kita mendapat hasil yang boleh sustain, seterusnya pokok padi, atau pun hasil padi.

Jadi kalau hari ini kita rasa kita perlu fikir dah sampai masa hari ini saya bincang dengan kawan-kawan saya pun ambil produk tadi, beli pun ada, dia orang beri ni, saya hendak cuba.

Ia satu produk yang sangat bagus. Mungkin kita tidak berpeluang untuk beri maklumat ini kepada sebahagian besar petani kita. Jadi saya rasa dah sampai masa dalam pembangunan padi dan juga lain-lain tanaman, kita perlu educate petani secara direct.

Jadi apa yang saya buat hari ini, InsyaAllah saya akan cuba convince sebahagian petani-petani saya, kawan-kawan kita dan pegawai-pegawai kita, kita akan cuba promote produk ini sebab terlampau terbukti dan ia adalah konsep sebenarnya kearah pembangunan pertanian lestari.

Terima kasih.

Padi SRI Selangor : Mikrob Tanah Mengawal Perosak dan Penyakit Tumbuhan?

Padi SRI Selangor : Gambar Bakteria Menglilingi Hyphae Dalam Tanah

Padi SRI Selangor : Gambar Bakteria Mengelilingi Hyphae Kulat Dalam Tanah - Kredit gambar: USDA

Terdapat maklumat tentang peranan bakteria, kulat dan pelbagai mikrob tanah dalam website USDA (United States Department of Agriculture) ini. Masa saya kat university dulu, perkara ini ada diajar. Tetapi setelah bekerja, tidak pulak digunakan pengetahuan tersebut kepada kerja. Mungkin lebih mudah merekomen baja dan racun kimia kerana ianya ada disekitar kita, dan promosi mengenai baja dan racun kimia agresif dan terkehadapan. Bolehlah ambil yang mana satu untuk dijadikan alasan saya, tapi pada hakikatnya, saya telah tersilap. Mungkin ada sisa-sisa umur ini boleh membantu memberi maklumat mengenai peranan mikrob dalam tanah, dan bagaimana kita boleh memperkasakan mikrob mengikut fitrah kejadian mereka.

Sebelum itu, lihatlah video yang telah saya letakkan alihbahasa kepada bahasa Melayu untuk renungan bersama.


.

Trichoderma Membelit Hyphae Rhizoctonia sp.

Trichoderma Membelit Hyphae Rhizoctonia sp.

Dalam video di atas disebut sejenis kulat dipanggil Trichoderma. Kulat Trichoderma ini akan menyerang kulat (Rhizoctonia solani) yang membawa penyakit hawar seludang pada padi. Sebuah kajian di Vietnam menyatakan selain dari menyerang kulat yang membawa penyakit, Trichoderma juga mengeluarkan bahan antibiotik bagi bertahan dari serangan kulat yang membawa penyakit. Sila baca kertas dari Hanoi University of Agriculture di sini. Juga lihat di sini untuk maklumat lanjut.

Bacillus subtilis pula adalah sejenis bakteria aerobik yang membiak dan menghuni sistem akar tumbuhan dengan banyak sekali. Mereka menghalang kulat yang membawa penyakit untuk menghampiri akar, iaitu bertugas sebagai pengawal keselamatan akar. Ini boleh dilihat dalam video di atas yang mana gerombolan bakteria menghalang kulat Fusarium menghampiri akar. Bakteria Bacillus subtilis boleh dianggap sebagai ‘natural fungicide‘ (penghindar kulat semulajadi).

Jadi kalau kita menggunakan racun rumpai, serta baja kimia, serta membanjiri sawah, sudah tentu sahaja mikrob aerobik dalam tanah banyak yang mati. Maka tidak dapatlah mereka membantu menjaga kesihatan pokok. Alkisahnya, manusia akan terus berharap kepada pelbagai jenis racun untuk mengawal berbagai jenis penyakit yang timbul. Sudah pastinya, kena mengeluarkan ongkos yang banyak. Dalam pemerhatian saya, petani di kawasan padi membeli diantara RM500 ke RM 1000 racun untuk mempastikan mereka mendapat hasil padi. Alangkah baik jika saya katakan bahawa ada jalan lebih murah dan selamat untuk mengawal perosak dan penyakit. InyaAllah.. InsyaAllah.. InsyaAllah.. Ada jalannya…

Produk SRI Berasas Kepada Prinsip Natural Farming

Produk SRI Berasas Kepada Prinsip Natural Farming

Kita sebenarnya telah pun ada jawapannya dalam produk SRI yang dibuat sendiri oleh PPL SRI, Parit 9, Sg Leman. Produk yang dibuat oleh petani sendiri dari tumbuhan/haiwan disekeliling kampung, diformulasikan mengikut prinsip ‘natural farming’ dari Korea, dan telah pun menunjukkan kesan positif menghindar perosak seperti bena perang, serta mengawal penyakit karah padi yang menyebabkan reput tangkai (dengar apa kata Encik Razak Chik di sini dalam video yang ketiga).
.
Marilah bersama saya merungkai kehidupan seni dalam tanah. Siapakah yang menghuni tanah pada lapisan atas, iaitu kedalaman lapisan diantara 5 cm ke 20 cm dari permukaan tanah (topsoil). Dari lapisan yang nipis ini lah akar membesar dan menjalar untuk mendapatkan makanan. Oleh itu, konsentrasi mikrob tanah adalah dilapisan ini.

Makhluk yang dipanggil bakteria ini terlalu banyak dalam topsoil. Satu sudu kecil tanah mengandungi diantara 100 juta ke 1 billion bakteria. Bakteria tergulung kepada 4 jenis tugas.

  • Satu kumpulan bakteria adalah yang menguraikan sisa tanaman yang telah mati, iaitu dengan menukarkan bahan organan sisa tanaman tadi kepada bentuk makanan untuk organisma lain dalam tanah,
  • Kumpulan kedua pulak adalah bakteria yang mendampingi tanaman seperti nitrogen-fixing bacteria yang mengambil nitrogen dari udara dan menukarkannya kepada soluble nitrate yang boleh digunakan oleh tanaman,
  • Kumpulan ketiga adalah jenis bakteria yang membawa penyakit kepada tanaman seperti Xymomonas dan Erwinia,
  • Kumpulan keempat adalah bakteria yang bertugas untuk kitaran nitrogen (nitrogen cycling) dan menguraikan bahan pencemar (pollutants).

Silalah ke website ini untuk penerangan yang lebih lanjut mengenai pelbagai mikrob lain seperti kulat, Actinomycetes dan lain-lain website USDA (United States Department of Agriculture)

Padi SRI Selangor : Lihatlah Kesan Racun Agrokimia (Pestisida) Terhadap Manusia

Lihat lah video kesan agrokimia yang ditanggung oleh petani-petani dari Indonesia ini. Jika kita buat kajian dikalangan petani di Malaysia, apakah yang akan kita dapati? Sudah pastinya kesan-kesan yang sama. (Nota: menyemprot = menyembur)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers