Padi SRI Selangor : Menjawab Soalan Mengenai SRI
Soalan: Padi SRI ini varieti baru kah?
Jawapan: Tidak. SRI adalah ringkasan daripada System of Rice Intensification. Di dalam blog ini, ‘padi SRI’ bermaksud padi yang ditanam menggunakan kaedah SRI. SRI merupakan satu kaedah penanaman dan pengurusan tanaman padi yang agak berbeza daripada yang biasa kita jalankan.
Soalan: Varieti padi yang mana satu yang sesuai untuk kaedah SRI ini?
Jawapan: Mana-mana varieti tempatan seperti MR 219, MR 220, dan varieti padi wangi MRQ 74 juga sesuai ditanam dengan SRI. Cuma kita masih tidak mempunyai data penyelidikan atau pemerhatian yang dijalankan di negara ini, jadi kita tidak tahu yang mana satu ‘perform’ lebih baik di bawah pengurusan secara SRI.
Soalan: Bolehkah kaedah SRI ini memberi peningkatan hasil yang tinggi seperti yang dilaporkan oleh pihak Indonesia, China dan Afghanistan, iaitu menghampiri 20 tan sehektar?
Jawapan: Kaedah SRI memerlukan sekurang-kurangnya 3 musim untuk menunjukkan kehebatan pengeluaran hasil terutama bagi tempat-tempat yang banyak menggunakan baja kimia dan racun kimia. Ini adalah kerana, pada musim pertama, usaha-usaha adalah kearah mengembalikan kesuburan tanah. Iaitu dengan mengembalikan dan menambah bilangan populasi mikrob dan kehidupan seni dalam tanah. Ini juga ke arah memperkasakan mikrob dalam tanah supaya bertindak menurut fitrah kejadiannya.
Pada musim pertama, selalunya petani kurang percaya kepada kaedah SRI, dan akan menggunakan bahan kimia untuk mengawal rumput dan memberi tambahan baja kimia. Petani baru belajar cara membuat baja ‘natural farming’ dan perlukan masa untuk mempunyai kepercayaan tentang keberkesanan baja ini. Petani juga teragak-agak mengurangkan air dalam sawah ke paras acap-acap. Jika ini tidak dibuat pada umur padi berumur 1 hingga 40 hari lepas tanam, pertumbuhan anak padi akan menjadi lembab dan tidak banyak. Tetapi percubaan pertama di Sg Leman memberikan purata anak padi sebanyak 28 anak.
Pada musim kedua, tanah semakin subur, dan petani semakin yakin (Insyaallah), dan pengurusan padi SRI akan bertambah baik. Perubahan yang ketara yang akan berlaku ialah percambahan anak padi akan meningkat secara mendadak dan boleh mencapai sehingga 60-70 anak. Pengurusan air akan lebih cekap dan ini akan memberi peluang untuk sistem akar mendapat pengudaraan yang mencukupi, dan seterusnya akar akan menyerap air dan nutrien dengan lebih banyak dan lebih efisien. Petani akan lebih mahir membuat sendiri dan mengguna baja ‘natural farming’. Maka sudah tentunya hasil akan bertambah baik.
Pada musim ketiga, tanah akan menunjukkan ciri-ciri kesuburan yang diharapkan. Permukaan tanah akan menjadi menggerutu dan berlubang-lubang kecil. Ini adalah kesan daripada aktiviti kehidupan pelbagai jenis hidupan kecil dan seni seperti cacing, cengkerik, bakteria dan kulat. pH tanah akan seimbang. Pokok padi akan ‘respond’ dengan cara mengeluarkan anak yang banyak mungkin mencecah bilangan seratus atau lebih. ‘Effective tillers’ atau anak yang mengeluarkan tangkai juga akan tinggi iaitu hampir 80%. Tangkai padi juga panjang dan mempunyai bilangan biji padi yang banyak. Perkara-perkara inilah yang mendorong pokok padi memberi hasil yang tinggi.
Tapi perlu diambil perhatian bahawa bukan semua orang boleh mencapai hasil yang setinggi itu. Tapi jika boleh mencapai lebih 10 tan sehektar, dengan kaedah yang menjimatkan air dan mesra alam ini, SRI tentu saja telah membawa manfaat kepada manusia sejagat.










