Padi SRI Selangor : Cara Membuat MOL Siput Gondang
Baru sebentar tadi dapat permintaan daripada Facebook. Saudara Zoro Terbang (aisay.. Zoro naik kuda, daa…) minta resipi MOL siput gondang. Sebenarnya siput apa-apa pun boleh. Tapi pasal siput gondang yang makan padi, biar kita buat bagi padi makan siput gondang pulak, seperti kata Pak Aep Saepudin Tasikmalaya.
Bahan:
5 kg siput yang masih hidup,
1 kg gula merah,
10 liter air kelapa.
.
Cara membuat MOL (Mikro Organisma Lokal):
1. Tumbuk siput sampai hancur dan tuangkan ke dalam bekas plastik. Pastikan tinggal ruang udara lebihkurang suku daripada saiz bekas.
2. Masukkan gula merah dan air kelapa, kacau hingga rata.
3. Tutup bekas plastik dengan rapat dan salurkan udara dari dalam bekas plastik melalui paip plastik ke dalam botol berisi air (penyediaan MOL dalam keadaan inaerobik). Lebihkurang macam gambar kat sini. Cuma mungkin bekas lebih besar dan siput lebih banyak. Juga memastikan bekas plastik berisi siput tidak meletup.
4. Selepas 7 hari, tapis dan tapisan disimpan didalam bekas plastik yang ditutup rapat. Simpan di tempat redup.
.
Cara menggunakannya:
MOL siput ini boleh digunakan sebagai bahan pereput, juga sebagai baja.
Sebagai bahan pereput untuk membuat kompos:
Guna pada kadar 1 liter MOL siput dan 5 liter air (elok jangan guna air paip sebab air paip ada klorin – guna air hujan atau air dari palong/parit), serta campur 3 sudu gula merah. Kacau dan siram atas bahan organan yang hendak dikomposkan.
Sebagai baja:
Guna pada kadar 1 liter MOL siput dan 10 liter air. Sembur kepada pokok padi berumur 10, 20, 30, dan 40 hari lepas tanam.
.
Kebaikan mengguna MOL siput gondang:
MOL siput gondang mengandungi nitrogen dan protin amino asid yang tinggi. Oleh itu ia boleh memacu pertumbuhan awal tanaman padi. Gunalah MOL ini terhadap padi yang ditanam secara konvensional dan tengok perbezaannya. Lepas tu laporkan kepada Mak Tam apa yang terjadi. Baru lah seronok Mak Tam bagi resipi. Kalau tidak, penat den menaip, jo…
Nota: Sesapa nak resipi yang lain, kena buktikan sudah buat MOL siput gondang dulu. Buat blog bergambar ke, video ke.. Amacam?
.
Atau boleh pergi buat training yang lengkap dan hands-on di Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd. Latihannya best sekali. Pak Tam dan Mak Tam hasil dari dilatih di FTC, Seberang Perak. Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Tuan Haji Rohaizat Ahmad (message kat facebook nama Rohaizat Ahmad) atau email beliau di rohaizat@felcratraining.com. Atau hubungi Encik Kharul 012-322-9755. Selamat belajar!
Percayalah, anda sudah tentu bersyukur dapat mengetahui rahsia alam semulajadi pertanian yang diciptaNya.









