PADI SRI : 14 Hari Pertumbuhan Padi SRI di Selangor

14 Hari Selepas Tanam

14 Hari Selepas Tanam

Ini lah rupa pokok padi SRI 14 hari selepas ditanam. Air telah dimasukkan dan empat orang pekerja Bangladesh digunakan untuk membuat kerja melandak ini. Tapi oleh kerana tanah tidak rata, kawasan yang agak tinggi sedikit mengalami kesulitan membuat kerja sebegini, kecuali kalau telah dimasukkan air sehari sebelumnya.

Bagi saya, kaedah memasuk dan mengeluarkan air dari sawah ada ‘pro dan con’ nya, terutama jika bekalan datangnya dari palong pengairan seperti di Selangor. Bekalan air adalah terhad bagi satu-satu musim. Jika ramai pesawah menggunakan cara ini, akan menjejaskan bekalan air dipalong, kerana pihak yang membekal air mengharapkan agar air yang telah diambil dari palong dijaga dengan baik dalam sawah. Bila air dikeluarkan dari sawah, ia akan mengalir terus ke parit, dan tidak dapat digunakan balik, terutama dikawasan berhampiran ‘main canal’.

14 Hari Selepas Tanam - pH 6.6

14 Hari Selepas Tanam - pH 6.6

pH tanah masih bertahan pada 6.6 iaitu pada tahap yang sesuai bagi padi. Pokok padi telah mula mengeluarkan anak-anak baru. Keadaan tanah selepas dilandak kelihatan seperti dalam gambar disebelah. Tapi saya agak khuatir tentang rumput-rumput kecil yang dikeliling pokok padi kerana semasa melandak, alat tidak dapat terlalu hampir dengan pokok takut rosak sistem perakaran. Jadi kemungkinan masalah pertumbuhan rumput yang tidak terkawal wujud. Sila lihat gambar di bawah ini.

Rumput Di Keliling Pokok Padi

Rumput Di Keliling Pokok Padi

Secara ‘amnya, keadaan pokok padi adalah baik. Daun hijau dan pokok mengeluarkan anak. Kalau dalam tanaman padi konvensyenel, pokok mula diberi baja campuran (sebatian) pertama. Tapi dalam SRI ini, hanya baja organik ditaburkan sebelum menanam.  Atan berkata, “Mak Tam, kalau padi biasa, pokok padi dah mula nampak kuning kalau tak tabur baja campuran (sebatian). Yang ni nampak ok pulak. Hijau je”.

Saya merekodkan pemerhatian saya. Banyak perkara yang saya tak tahu mengenai SRI ini. Tapi ini adalah satu pengalaman yang menguja intelek dan perasaan saya. Tapi saya terlalu ingin melihat tanaman padi yang tumbuh dengan tidak menggunakan baja kimia. Ini suatu pengalaman baru.

Tanah Sawah Yang Telah Dilandak Sekali

Tanah Sawah Yang Telah Dilandak Sekali

PADI SRI :  Minggu Ke-2 Okt, 2010 – 11 Hari Pertumbuhan Padi SRI di Selangor

11 Okt, 2010 - 11 Hari Selepas Tanam

11 Okt, 2010 - 11 Hari Selepas Tanam

Pak Tam dengan pokok padi berumur 11 hari. Air telah dimasukkan, tetapi ditempat yang lebih tinggi, tanah terdedah (lihat kawasan sebelah belakang). Tanah yang terdedah dan lembab ini akan membawa masalah pertumbuhan rumput yang banyak dan cepat membesar. Rumput-rumput ini akan bersaing dengan pokok padi, dan pokok padi akan kalah.

Alat 'Melandak'

Alat 'Melandak'

Menaikkan air ini bertujuan melembutkan permukaan tanah sawah agar kerja-kerja ‘melandak’ senang dibuat. Sila lihat alat melandak ini.  Cuma satu alat yang paling ‘basic’. Tugas alat melandak ini adalah untuk menggaru tanah sawah agar apa-apa tumbuhan kecil yang ada di permukaannya akan tercabut. Tugas kedua adalah untuk menggemburkan permukaan tanah agar pengudaraan berlaku sambil meransang pembiakan dan pertumbuhan mikrob dalam tanah. Aktivti-aktiviti sebegini mendorong akar pokok padi menjadi lebih sihat, cergas dan cepat membesar.

Pak Tam dan Nazri mencuba alat yang saya beli daripada Kelantan ini di sawah. Kerja melandak mudah dilakukan dalam air. Tanah lembut, dan menolak dan menarik alat melandak ini berjalan dengan lancar. Tetapi apabila cuba dibuat pada tanah yang lebih tinggi, iaitu di tempat yang tidak naik air, kerja melandak tidak dapat dibuat. Tanah terlalu keras, dan rumput telah menjadi tebal dan tidak boleh digunakan alat melandak ini pada hampir 40 peratus daripada tanah.

Kerja-kerja Melandak (Merumput & Mengaerasi Tanah)

Kerja-kerja Melandak (Merumput & Mengaerasi Tanah)

Kalau dilihat dari gambar ini, kerja-kerja melandak dibuat dicelah barisan pokok padi. Walaupun di Kelantan saya lihat kerja melandak ini nampak senang, tapi di atas tanah gambut, kerja ini agak berat kerana tanah gambut kurang liat. Bagi membuat kerja melandak dengan sempurna, beberapa tenaga buruh perlu di ambil untuk tujuan ini.

Jadi perbincangan dibuat, dan keputusan adalah untuk mencari pekerja Bangladesh dan kerja ini diupahkan. Khairi telah berjaya mendapat 4 orang Bangladesh untuk menjalankan kerja melandak ini pada keesokan harinya. Selain dari melandak, mereka juga mencabut rumput-rumput yang tumbuh di sekeliling pokok padi. Ini adalah memastikan rumput tidak bersaing dengan pokok padi, dan mengganggu pertumbuhan pokok padi.

Catatan:  Di youtube.com banyak video yang menunjukkan pelbagai inovasi alat melandak dibuat oleh petani di India. Sila lihat video dibawah ini.

Saya yakin tentu ada orang Selangor yang mampu membuat mesin ‘melandak’ yang boleh melandak 3 atau 4 barisan sekali jalan. Sila lihat video ini pula:

PADI SRI : Minggu Ke-1 Okt, 2010 di Kelantan

Padi di Tunjung, Kelantan telah berumur 16 hari. Pertumbuhan nampak sangat memberansangkan. Pokok padi telah bercambah anak. Daunnya hijau dan keadaan pokok sihat. Inilah keadaan tanah sawah di Tunjung setelah dilandak.

Pokok Padi Berumur 16 Hari Di Tunjung, Kelantan

Pokok Padi Berumur 16 Hari Di Tunjung, Kelantan

Pokok Padi Mengeluarkan Anak

Pokok Padi Mengeluarkan Anak

Dari pemerhatiannya, Pak Aep dapat mengetahui sama ada sesuatu tanah sawah itu telah pulih dan subur, atau belum. Pokok padi akan mula bercambah anak pada hari ke-5 selepas tanam. Setiap lima hari, jumlah anaknya akan berganda sehinggalah ia berhenti mengeluarkan anak (di penghujung ’tillering stage’), iaitu sebelum padi mula bunting (panicle initiation stage).

Pada masa yang sama, dipetak yang lain, kerja-kerja melandak pertama sedang dijalankan. Nampaknya senang sahaja. Mungkin kerana tanah liatnya lebih dan tanah ini telah ditanam padi selama 3 musim. Pak Tam juga tidak mahu terlepas peluang untuk melandak. Pak Tam kata kerja ini tak lah susah sangat. Puan Salwati dan anak-anak perempuannya juga turun melandak. Lihat gambar yang diambil pada hari Jumaat sebelum kami tiba.

Puan Salwati dan Anak-anak Melandak

Puan Salwati dan Anak-anak Melandak

Pak Tam Melandak di Tunjung, Kelantan

Pak Tam Melandak di Tunjung, Kelantan

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers