PADI SRI :  Minggu Ke-2 Okt, 2010 – 11 Hari Pertumbuhan Padi SRI di Selangor

11 Okt, 2010 - 11 Hari Selepas Tanam

11 Okt, 2010 - 11 Hari Selepas Tanam

Pak Tam dengan pokok padi berumur 11 hari. Air telah dimasukkan, tetapi ditempat yang lebih tinggi, tanah terdedah (lihat kawasan sebelah belakang). Tanah yang terdedah dan lembab ini akan membawa masalah pertumbuhan rumput yang banyak dan cepat membesar. Rumput-rumput ini akan bersaing dengan pokok padi, dan pokok padi akan kalah.

Alat 'Melandak'

Alat 'Melandak'

Menaikkan air ini bertujuan melembutkan permukaan tanah sawah agar kerja-kerja ‘melandak’ senang dibuat. Sila lihat alat melandak ini.  Cuma satu alat yang paling ‘basic’. Tugas alat melandak ini adalah untuk menggaru tanah sawah agar apa-apa tumbuhan kecil yang ada di permukaannya akan tercabut. Tugas kedua adalah untuk menggemburkan permukaan tanah agar pengudaraan berlaku sambil meransang pembiakan dan pertumbuhan mikrob dalam tanah. Aktivti-aktiviti sebegini mendorong akar pokok padi menjadi lebih sihat, cergas dan cepat membesar.

Pak Tam dan Nazri mencuba alat yang saya beli daripada Kelantan ini di sawah. Kerja melandak mudah dilakukan dalam air. Tanah lembut, dan menolak dan menarik alat melandak ini berjalan dengan lancar. Tetapi apabila cuba dibuat pada tanah yang lebih tinggi, iaitu di tempat yang tidak naik air, kerja melandak tidak dapat dibuat. Tanah terlalu keras, dan rumput telah menjadi tebal dan tidak boleh digunakan alat melandak ini pada hampir 40 peratus daripada tanah.

Kerja-kerja Melandak (Merumput & Mengaerasi Tanah)

Kerja-kerja Melandak (Merumput & Mengaerasi Tanah)

Kalau dilihat dari gambar ini, kerja-kerja melandak dibuat dicelah barisan pokok padi. Walaupun di Kelantan saya lihat kerja melandak ini nampak senang, tapi di atas tanah gambut, kerja ini agak berat kerana tanah gambut kurang liat. Bagi membuat kerja melandak dengan sempurna, beberapa tenaga buruh perlu di ambil untuk tujuan ini.

Jadi perbincangan dibuat, dan keputusan adalah untuk mencari pekerja Bangladesh dan kerja ini diupahkan. Khairi telah berjaya mendapat 4 orang Bangladesh untuk menjalankan kerja melandak ini pada keesokan harinya. Selain dari melandak, mereka juga mencabut rumput-rumput yang tumbuh di sekeliling pokok padi. Ini adalah memastikan rumput tidak bersaing dengan pokok padi, dan mengganggu pertumbuhan pokok padi.

Catatan:  Di youtube.com banyak video yang menunjukkan pelbagai inovasi alat melandak dibuat oleh petani di India. Sila lihat video dibawah ini.

Saya yakin tentu ada orang Selangor yang mampu membuat mesin ‘melandak’ yang boleh melandak 3 atau 4 barisan sekali jalan. Sila lihat video ini pula:

PADI SRI : Minggu Ke-1 Okt, 2010 di Kelantan

Padi di Tunjung, Kelantan telah berumur 16 hari. Pertumbuhan nampak sangat memberansangkan. Pokok padi telah bercambah anak. Daunnya hijau dan keadaan pokok sihat. Inilah keadaan tanah sawah di Tunjung setelah dilandak.

Pokok Padi Berumur 16 Hari Di Tunjung, Kelantan

Pokok Padi Berumur 16 Hari Di Tunjung, Kelantan

Pokok Padi Mengeluarkan Anak

Pokok Padi Mengeluarkan Anak

Dari pemerhatiannya, Pak Aep dapat mengetahui sama ada sesuatu tanah sawah itu telah pulih dan subur, atau belum. Pokok padi akan mula bercambah anak pada hari ke-5 selepas tanam. Setiap lima hari, jumlah anaknya akan berganda sehinggalah ia berhenti mengeluarkan anak (di penghujung ’tillering stage’), iaitu sebelum padi mula bunting (panicle initiation stage).

Pada masa yang sama, dipetak yang lain, kerja-kerja melandak pertama sedang dijalankan. Nampaknya senang sahaja. Mungkin kerana tanah liatnya lebih dan tanah ini telah ditanam padi selama 3 musim. Pak Tam juga tidak mahu terlepas peluang untuk melandak. Pak Tam kata kerja ini tak lah susah sangat. Puan Salwati dan anak-anak perempuannya juga turun melandak. Lihat gambar yang diambil pada hari Jumaat sebelum kami tiba.

Puan Salwati dan Anak-anak Melandak

Puan Salwati dan Anak-anak Melandak

Pak Tam Melandak di Tunjung, Kelantan

Pak Tam Melandak di Tunjung, Kelantan

PADI SRI : Minggu ke-3 September, 2010 di Sg Leman, Selangor.

Kami didedahkan kepada beberapa perkara asas dalam perancangan untuk penyediaan sawah di Sg Leman. Saya paparkan di bawah ini secara ringkas.

Tanah Sg Leman Telah Dibajak Sekali

Tanah Sg Leman Telah Dibajak Sekali

1. Tanah sawah perlu dibajak dan diratakan supaya air mudah dikawal dan seluruh permukaan tanah sawah mendapat air sekata (ini amat penting terutamanya semasa kerja-kerja melandak nanti).

Parit Keliling Dalam dan Luar Sawah Disediakan

Parit Keliling Dalam dan Luar Sawah Disediakan

2. pH tanah hendaklah diantara 5.5 ke 6.5. Kapor perlu bagi tujuan ini kerana tanah di Sg Leman mempunyai pH 4.5 sahaja.

3. Baja organik perlu untuk menampung pertumbuhan padi kerana baja kimia tidak akan digunakan langsung. Sebanyak satu tan baja kompos jerami ditaburkan di tanah sawah ini.

4. Mesti ada parit keliling disebelah dalam dan luar sawah. Ini akan memudahkan masuk dan keluar air, iaitu untuk kawalan air.

5. Tapak semaian perlu disediakan berhampiran dengan sawah bagi memudah dan mempercepatkan kerja menanam.

Biji Benih Yang Telah Keluar 'Mata'

Biji Benih Yang Telah Keluar 'Mata'

6. Benih padi mesti dipilih menggunakan campuran air garam. Kadar campuran air garam diuji dengan meletakkan telur ayam ke dalamnya. Apabila telur ayam timbul dalam campuran air garam tadi, maknanya campuran air garam bersedia digunakan. Telur dikeluarkan. Kemudian benih padi dicurahkan kedalam air garam tersebut. Mana benih yang timbul, semuanya dibuang. Yang tenggelam dibilas beberapa kali, dan direndam dalam guni selama 24 jam. Kemudian ditoskan selama 24 jam. Biji padi akan mengeluarkan ‘mata’ selepas 24 jam ditos.

7. Benih ditabur ke atas tapak semaian secara jarang-jarang supaya senang diceraikan satu-satu.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers