PADI SELANGOR


Padi SRI 2: Persediaan Penanaman Padi SRI bagi Musim Kedua (Feb-Jun 2011) Pt 3

bersambung:  Penyediaan Tanah Sawah Selepas Menuai

2. Pentingnya Menjaga pH Tanah

Proses mereputkan jerami telah pun bermula dengan menabur IMO3.  Jika tidak sempat menyediakan IMO3, petani boleh menaburkan 1 tan baja kompos seekar. Ini akan membantu meningkatkan populasi mikro organisma dalam tanah.

Disamping itu, tanah sawah di Sg Leman didapati pada tahap pH 4.5 sahaja, iaitu dalam keadaan ‘masam’ (acidic). Bagi pembiakan bakteria tanah yang optimum, pH tanah perlu berada diantara 6.3-6.8, walaubagaimana pun pelbagai jenis kulat tanah mempunyai toleransi pH yang lebih luas. Oleh itu, sawah dibekalkan dengan kapur GML sebanyak 1 tan seekar. Dari pengalaman musim lepas, pH tanah naik ke tahap 6.2 – 6.7 selepas ditaburkan kapur.

Pelbagai Mikro Organisma Dalam Tanah

Pelbagai Mikro Organisma Dalam Tanah

Menyediakan keadaan isi tanah agar sesuai untuk meransang aktiviti pelbagai mikro organisma sudah tentunya akan meningkatkan kesuburannya. Segala aktiviti semulajadi dalam tanah dapat dimanfaatkan oleh tanaman dan mudahkan menyerapan nutrien yang lebih effisien.

Pada tahap pH 6.3, tanaman dapat menyerap secara optimum semua nutrien penting bagi pertumbuhan tanaman yang sihat. Sila lihat carta di bawah ini.

Carta pH & Pengambilan Nutrien Oleh Tanaman

Carta pH & Pengambilan Nutrien Oleh Tanaman

 

Padi SRI 2 : Cara Membuat IMO3 & IMO4

IMO adalah singkatan bagi Indigenous Micro Organism (Mikro Organisma Setempat). Satu istilah yang digunakan oleh pejuang natural farming. Gambarajah di bawah ini menunjukkan proses pembuatan IMO1 hingga IMO5. Proses pembuatan IMO ini adalah dengan tujuan untuk membiakkan mikro organisma terpilih dengan lebih banyak. Untuk panduan membuat IMO1 hingga IMO5, sila layari site ini.

Padi SRI 2 : Proses Pembuatan IMO1 hingga IMO5

Padi SRI 2 : Proses Pembuatan IMO1 hingga IMO5

IMO3 ini akan dibuat 3 minggu sebelum menuai musim ini untuk digunakan musim depan.

Padi SRI 2 : Lawatan Kerja BERNAS

Sehari kami bersama pegawai-pegawai dari BERNAS di Sg Leman, Selangor. Kagum saya melihat kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua mereka, dari pagi hingga petang. Berbincang tak kira di mana – tepi jalan, bawah pokok, tengah sawah, restoran. Turun ke sawah menanam padi SRI, kemudian membuat kerja-kerja melandak.

Tahniah saya ucapkan kepada Encik Mohd Rushdan Yusof, Encik Abdul Lateef Omar, serta setiap pegawai yang sudi berkampong sehari suntuk di Sg Leman. Insyaallah, suatu hari nanti mungkin BERNAS membeli padi organik. Bertuahlah petani-petani yang belajar menanam cara SRI sekarang ini. Satu cara penanaman padi alternatif yang diharapkan menjadi pilihan pesawah demi keselamatan dan kesihatan mereka. Hanya masa akan menentukan. Amin.

Saya dah janji akan upload gambar-gambar ‘high-action visit’ hari ini. Semoga terhibur….

Tengok sendiri video ni, macam pertandingan lumba F1 Sg Leman! :-D

Lawatan Kerja BERNAS pada hari kedua merangkumi taklimat mengenai Program Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor, berbincang dengan pegawai-pegawai kawasan, serta bertemu usahawan-usahawan muda tani. Pada waktu tengahari lawatan dibuat untuk melihat kerja-kerja membuat prototaip mesin menggembur tanah. Cadangan dari pihak BERNAS adalah supaya mesin yang sama juga digunakan untuk membuat garisan untuk menanam. Pengalaman mereka yang menarik gelong pembaris memberi maklumbalas bahawa kerja menarik gelung tersebut adalah sangat memenatkan. Ada yang menyatakan sampai sakit dada. Kami melihat ini sebagai satu feedback yang sangat berguna dan ‘very relevant’. Kerja membuat garisan memang patut dipermudahkan.

Brunei Darussalam

Brunei Darussalam

Pak Tam dan Mak Tam berbesar hati mengalu-alukan singgahan virtual pengusaha padi organik daripada negara Brunei Darussalam. Semoga dapat dimanfaatkan ilmu yang dikongsi di Weblog Pertanian Selangor.

“Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara”

Padi SRI 2: Persediaan Penanaman Padi SRI bagi Musim Kedua (Feb-Jun 2011) Pt 2

Musim pertama penanaman padi cara SRI dibuat secara tergopoh-gopoh supaya tidak tertinggal musim, dan dengan niat untuk belajar. Kali ini saya dan Pak Tam sudah bersedia dengan ilmu SRI yang diperlukan. Kami telah menyediakan jadual pengurusan SRI yang lengkap dan terperinci. Saya juga menggabungkan pengalaman ‘natural farming’ dengan SRI agar pembajaan dan kawalan tanaman adalah organik keseluruhannya, tanpa mengurangkan keupayaan padi mengeluarkan potensi hasilnya yang paling tinggi. Mampukah padi SRI menjangkau hasil melebihi 10 tan sehektar? Hanya usaha dan masa akan menentukan.

Cara SRI dan ‘natural farming’ saling sokong-menyokong. SRI menumpukan kepada cara penanaman dan pengurusan padi yang tidak semestinya 100% organik.  ‘Natural farming’ pula bergolak kepada cara pengurusan yang 100% organik. Pada saya, mustahak kita mencari satu kompromi yang mana penggunaan bahan kimia diganti dengan bahan semula jadi agar dapat menjaga kesejahteraan dan kesihatan petani dan seisi keluarga mereka. Pada masa yang sama mencari kaedah yang mana kos pengeluaran adalah rendah, dan mendapat pengeluaran hasil yang tinggi. Ini akan menjamin keuntungan yang besar kepada pengusaha.

Penyediaan Tanah Sawah Selepas Menuai

Yang paling utama adalah penyediaan tanah sawah. Saya mengambil pengalaman dari Seberang Perai, Pulau Pinang dan Melor, Kelantan mengenai penanaman padi organik. Pegawai-pegawai yang terlibat adalah terlatih dengan cara pertanian organik ‘natural farming’ yang dipelopori oleh Encik Cho Han Kyu daripada Korea.

Inilah Rupa IMO3 Yang Baik - Gemburkan & Tabur Atas Jerami/Tanah

Inilah Rupa IMO3 Yang Baik - Gemburkan & Tabur Atas Jerami/Tanah

1. Memperkayakan tanah dengan mikro organisma.

Selepas menuai padi, di sawah akan tinggal tunggul-tunggul padi. Taburkan IMO3 keatas tunggul-tunggul padi untuk mempercepatkan proses pereputan. IMO perlu disediakan 3 minggu sebelum menuai. Apabila jerami menjadi putih dengan ketumbuhan kulat, ini menunjukkan IMO telah pun menjalankan tugasnya sebagai perangsang pertumbuhan kulat yang baik bagi kesuburan tanah dan seterusnya untuk tanaman padi. Sila ke laman ini untuk membaca mengenai ‘natural farming’ dan cara-cara membuat IMO, dan baja serta pengelak serangga organik. Buku itu juga boleh dibeli daripada Jabatan Pertanian di Putrajaya dengan harga RM20.00.

Dalam ‘natural farming’, usaha dijalankan dengan tujuan memperbaiki dan memantapkan ekologi mikro organisma setempat. Ini akan membawa kepada tanah menjadi lebih subur, dan meransang pembesaran dan pengukuhan sistem akar. Sistem akar yang baik akan memastikan penyerapan bahan nutrien oleh pokok padi lancar.

Mikro organisma yang diperlukan oleh tanaman adalah:

(i) bakteria fotosintetik yang menambat karbon,

(ii) Azotobacter yang menambat nitrogen,

(iii) Actinomyces yang menghindar penyakit,

(iv) Yeast fungus (kulat ragi) yang memecahkan saccharide,

(v) Bakteria asid laktik yang menguraikan bahan organik dalam keadaan anaerobic,

(vi) IMO (mikro organisma lokal) merupakan kombinasi pelbagai jenis hidupan seni yang penting dalam penyuburan tanah.

Dengan penggunaan baja kimia dan racun makhluk perosak, kebanyakan mikro organisma yang penting ini tidak dapat hidup dan meneruskan fungsi mereka. Dengan mengamalkan cara SRI dan ‘natural farming’, fungsi mikro organisma dapat dikembalikan dan diperkasakan demi keberlangsungan pertanian sejagat.

Adalah penting juga pelbagai jenis mikro organisma ini datangnya daripada kawasan setempat (lokal). Ini dibolehkan kerana semua jenis baja dan pengelak serangga/penyakit di bawah pengurusan SRI diperbuat daripada persekitaran petani, dan boleh dibuat sendiri oleh petani. Ini bermakna kos pengeluaran dapat dijimatkan, dan petani tidak terdedah kepada bahaya racun kimia.

Padi SRI 2: Persediaan Penanaman Padi SRI bagi Musim Kedua (Feb-Jun 2011) Pt 1

Sejak hari menuai padi SRI lagi, perancangan untuk musim kedua telah dijalankan. Penanaman padi SRI seluas kurang daripada 1 ekar tidak dapat memberi gambaran sama ada ianya ekonomik atau tidak. Kos yang  digunakan juga tidak dapat dibuat sebagai contoh kos pengeluaran sebenar. Sila baca analisis yang dibuat oleh Azmir Firdaus di sini. Oleh yang demikian, penanaman kali kedua ini akan melibatkan beberapa keping sawah.

Terlebih dahulu kami mendengar pendapat ibu dan bapa kepada saudara Nazri dan Khairi yang terlibat secara aktif sepanjang musim lepas. Bapa mereka menyatakan bahawa penanaman padi cara SRI mempunyai potensi terutama sekali tentang pertumbuhan padi yang sihat tanpa baja kimia. Ibu mereka menyatakan bahawa jika dapat dikawal serangan ulat batang pada musim lepas, dan bekalan air tidak terputus, sudah tentu hasilnya dapat berganda daripada 750 kg bagi kawasan yang kurang daripada 1 ekar itu. Hasil dianggarkan dalam 2.5 tan sehektar. Ini adalah satu penghasilan yang rendah, tetapi bagi saya berpadan dengan penanaman kali pertama padi cara SRI di atas bekas tanah bertanam sayur. Lagi pula tiada menggunakan baja dan racun kimia langsung.

Penerangan Padi SRI Musim Kedua

Penerangan Padi SRI Musim Kedua

Bagi tujuan itu, beberapa sesi penerangan dan perbincangan telah dibuat dengan beberapa orang petani. Yang mula-mula dibuat adalah dengan Nazri dan Khairi yang sama-sama menguruskan tanaman padi SRI yang pertama. Kedua mereka bersetuju menguruskan tanaman padi mereka secara kaedah SRI bagi musim ini. Khairi akan menjalankan penanaman seluas 2.5 ekar di sawahnya di Ban Pakat, Taliar 7, sementara Nazri meluaskan penanaman keseluruh kawasan padinya yang juga seluas 2.5 ekar, iaitu termasuk kawasan percubaan padi SRI musim lepas, iaitu di Taliair 8, Sg Leman.

Penerangan & Persetujuan Dibuat Secara Bertulis

Penerangan & Persetujuan Dibuat Secara Bertulis

Seorang lagi dari kalangan usahawan di kawasan tersebut yang berminat adalah Tuan Haji Mohd. Beliau akan menanam seluas 2.75 ekar di Ban Pakat Parit 9, Sg Leman.  Ketiga lot sawah yang akan bertanam dengan padi diurus secara SRI ini berhampiran. Ini akan memudahkan bimbingan dan pemantauan.

Seorang lagi yang telah memberi persetujuan adalah saudara Rajan daripada Parit 4, Sg Burong. Beliau bersedia mencuba cara SRI ini di tanahnya seluas hampir 1 ekar. Yang menarik mengenai kawasan Pt 4 ini adalah kawasan ini merupakan kawasan penanaman padi yang diusahakan oleh pengusaha-pengusaha berbangsa India, dan buat masa sekarang, ini merupakan kawasan pengeluaran tertinggi di Barat Laut Selangor. Rata-rata mereka menggunakan cara konvensyenel dengan tahap pengurusan yang amat baik. Pengeluaran padi mereka adalah di antara yang tertinggi di kawasan Barat Laut Selangor, dan ada yang mengatakan bahawa pengeluaran mereka telah mengalahkan pengusaha-pengusaha dari Sekinchan.

Rajan Mendengar Penerangan oleh Pak Tam

Rajan Mendengar Penerangan oleh Pak Tam

Jadi, bagi musim kedua penanaman padi cara SRI ini melibatkan 4 orang pengusaha dengan keluasan hampir 9 ekar semuanya. Bagi melancarkan penanaman kali ini, saya membuat persetujuan secara bertulis agar pihak pengusaha mendapat perincian kerja berjadual tentang apa yang perlu dibuat bagi menjalankan penanaman SRI kali ini. Saya berharapan agar kali ini pengusaha mendapat penghasilan yang bertepatan dengan usaha yang dijalankan sepanjang musim. Amin.

Padi SRI : Video Padi SRI di Sg Leman Musim 2/2010

Pada saya, melihat balik setiap langkah dalam gerak kerja penanaman padi SRI ini penting untuk tujuan ‘post-mortem’. Setiap langkah yang diambil pada kali pertama ini adalah dibuat dengan tujuan untuk mendapat pengalaman menanam padi menggunakan cara SRI. Suka saya katakan bahawa pengalaman ini adalah sangat berharga. Bukan sahaja kami, Pak Tam dan saya, dapat menimba ilmu baru, malah ia mencabar minda kami untuk menyelami lebih dalam lagi rahsia-rahsia alam semulajadi terutama mengenai bagaimana meningkatkan kesuburan tanah sawah secara azali.

Kedua video ini adalah koleksi gambar-gambar mulai dari bulan September 2010 hingga Januari 2011.

Padi SRI : Musim 2/2010 Sg Leman, Selangor – Part 1

Padi SRI : Musim 2/2010 Sg Leman, Selangor – Part 2

Video-video ini perlu diikuti dengan video menuai padi yang telah dipost terlebih awal http://www.youtube.com/watch?v=6Tq3lLSUhqw

Kerja-kerja persediaan untuk Musim Kedua Padi SRI telah pun berjalan. Pengalaman pertama ini memberi kami ‘pointers’ untuk memastikan ‘we cover all bases’ (perincian) untuk penanaman seterusnya. Dengan komitmen daripada Jabatan Pertanian, saya rasa kita akan melihat sesuatu yang baru berkembang di sawah padi negeri Selangor.

Padi SRI : Peranan Bunyi Cengkerik Terhadap Tumbuhan

Bolehkah suara cengkerik membantu pertumbuhan pokok? Saya pernah mendengar perkara ini semasa temuduga wartawan Malaysian Insider dengan usahawan-usahawan muda padi dari Sawah Sempadan seperti yang dilaporkan dalam “The Pride of Selangor” oleh Sheridan Mahavera. Ini adalah petikan daripada laporan tersebut:

“And these three are already doing that; Zainuddin, Zaidun and Burhanuddin are now experimenting with sound waves to get fatter crops.

You heard that right. They plan to broadcast uniquely patterned sounds that they believe will encourage the padi plant to absorb more nutrients and grow bigger.

It’s been done with other crops but they don’t really know if it’ll work with padi.

“But hey man, it’s worth a try,” quips Zainuddin, as if to paraphrase that entrepreneurial zeal that the country has long been searching for in its padi farmers.”

Alih bahasa:

“Dan mereka yang bertiga ini, iaitu Zainuddin, Zaidun dan Burhanuddin sekarang ini ingin cuba mengguna bunyi-bunyian untuk menyuburkan tanaman.

Betul apa yang anda dengar. Mereka merancang untuk menyebarkan bunyi suara yang unik yang mereka percaya mengupayakan pokok padi menyerap lebih banyak makanan dan mempercepatkan pertumbuhan.

Ia telah pun dilakukan terhadap tanaman lain, tetapi mereka tidak tahu sama ada ia akan berkesan terhadap padi atau tidak.

‘Hey saudara, tidak rugi mencuba,’ ujar Zainuddin, dengan menyerlah semangat keusahawanan yang dicari-cari oleh negara ini dari kalangan pesawahnya.”

Di seminar ini sekali lagi saya mendengar tentang perkara ini. Tonton kedua-kedua video ini dan terserah sama ada anda percaya atau tidak. :)

« Previous PageNext Page »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 53 other followers