KAJIAN DAN PENYELIDIKAN


padi-transplanting

System of Rice Intensification (SRI) ataupun Sistem Kepadatan Padi ialah satu kaedah penanaman padi yang digunakan untuk meningkatkan hasil padi. Sistem ini telah diasaskan pada tahun 1983 di Madagascar.

Sejarah dan Konsep

Idea penggunaan sistem ini bermula seawal tahun 1960-an apabila Father Henri de Laulanie membuat pemerhatian kepada amalan petani yang menanam hanya satu anak pokok padi berbanding amalan biasa menanam banyak anak benih di dalam satu lubang dan tidak membiarkan sawah dipenuhi air (cukup sekadar berada dalam peringkat separa tepu) ketika peringkat fasa tampang (vegetative stage). Penanaman dilakukan dengan jarak yang luas di dalam bentuk tersusun seperti kotak. Pada ketika itu, penanaman padi secara mencedung (mengubah) dilakukan oleh manusia secara manual menggunakan kuku kambing.

Pada tahun 1983, kaedah menanam mencedung menggunakan anak benih yang berusia kurang dari 15 hari didapati menunjukkan hasil yang sangat baik. Ketika harga baja melonjak naik pada ketika itu, penggunaan baja organik sangat meluas tetapi dapat memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan penggunaan baja kimia. Konsep dan amalan SRI terus menerus dievolusikan bagi penggunaan di dalam penanaman padi tanpa sistem pengairan (rainfed) dan pada ketika itu kaedah menanam secara mencedung amat popular berbanding tabur terus.

Prinsip yang perlu di dalam penggunaan sistem SRI bagi menjamin hasil yang berkesan :

  • sawah perlu dibiarkan lembab bukannya dalam keadaan tepu air bagi meminimumkan keadaan anaerobik, supaya dapat meningkatkan dan memperbaiki pertumbuhan akar serta menyokong pembiakan dan diversiti organisma tanah yang aerobik;
  • pokok padi perlu mempunyai jarak yang optimum di antara satu sama lain bagi membantu pertumbuhan akar (bagi penyerapan nutrien dengan lebih berkesan) dan kanopi (supaya semua daun dapat menjalankan proses fotosintesis dengan lebih aktif); dan
  • anak padi perlu dipindahkan segera dalam keadaan muda (15 hari) bagi mengelakkan kesan trauma pada akar dan “kejutan” akibat pemindahan.

Prinsip ini sekaligus mengubah amalan konvensional di dalam pengurusan pokok, tanah, air dan nutrien. Perubahan ini dapat meningkatkan produktiviti bagi semua genotype padi, dengan sesetengah varieti memberi respon yang lebih baik dari yang lain apabila kaedah SRI digunakan. Sistem ini dapat meningkatkan hasil padi, mengurangkan keperluan benih dan mengurangkan keperluan air 25 hingga 50%.

Penyebaran SRI

Penyebaran SRI dari Madagascar ke seluruh dunia telah dilakukan oleh Norman Uphoff, Pengarah International Institute for Food, Agriculture and Development, Universiti Cornell yang terletak di Ithaca, New York. Beliau memulakan usaha ini sejak tahun 1993 hingga 2005.  Segalanya bermula pada tahun 1993, beliau telah menemui pegawai dari Association Tefy Saina,  sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan di Madagascar pada tahun 1990 oleh de Laulanie bagi mempromosikan SRI. Setelah melihat kejayaan SRI selama 3 tahun di mana petani di Madagascar dapat meningkatkan hasil padi purata mereka dari 2 tan/ha kepada 8 tan/ha dengan SRI, Uphoff mengiktiraf sistem ini dan pada tahun 1997 beliau mula mempromosikan SRI di Asia.

Sehingga 2007, SRI telah didokumenkan oleh 28 negara, dan yang terkini termasuklah Bhutan, Iraq, Iran dan Zambia. Kerajaan di negara China, India dan Indonesia menggalakkan penggunaan SRI dengan mengembangkan sistem ini di kalangan petani.

Konsep dan amalan SRI bukan sahaja diaplikasikan di sawah padi, tetapi juga tanaman lain seperti di India, konsep ini turut digunakan dalam tanaman gandum dan tebu. Sistem ini dikatakan berjaya digunakan di Kerala, India.

Universiti Cornell (New York), Universiti Wageningen (Belanda) dan IRRI telah bekerjasama bagi menjalankan satu kajian percubaan di seluruh dunia bagi penggunaan SRI untuk tanaman padi bermula pada tahun 2009 hingga 2011.

Kelebihan SRI

  • Pokok padi lebih resistan kepada tekanan abiotik (abiotic stress) seperti kemarau dan banjir
  • Hasil padi yang lebih tinggi
  • Penggunaan air yang lebih efisyen
  • Mengurangkan penggunaan anak benih

Kritik

Terdapat beberapa kritikan diberikan pada SRI. Sesetengah pengkritik berpendapat kejayaan SRI bergantung pada jenis tanah, di mana Madagascar dikatakan mempunyai tanah yang unik dan sesuai bagi penggunaan sistem ini. Selain itu, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan mengurangkan anak benih (seedling per point) akan mengurangkan hasil padi kerana anak benih tersebut tidak mampu untuk menghasilkan banyak batang (tillers) yang akan mengeluarkan padi.

Kaedah mencedung (transplanting) menggunakan jentera

Kaedah menanam secara mencedung atau mengubah menggunakan jentera transplanter secara tidak langsung mengaplikasikan kaedah SRI. Di dalam penanaman padi secara mencedung menggunakan jentera, jarak tanaman dan bilangan anak benih boleh diubah mengikut kesesuaian pada mesin tersebut. Dalam amalan biasa di negara ini khususnya kawasan Barat Laut Selangor, jarak antara pokok (between heel) yang biasa ialah antara 14 hingga 22 cm manakala jarak antara baris (between row) ialah 30 cm. Bilangan anak benih yang digunakan antara 3 hingga 5 seedling per point. Anak benih yang digunakan berumur di antara 14 hingga 22 hari.

Penanaman padi menggunakan kaedah mengubah (transplanting) ini mempunyai pelbagai kelebihan seperti memudahkan pengurusan rumpai, penyakit dan perosak, mengurangkan penggunaan benih, mengurangkan populasi padi angin, menjadikan penggunaan air lebih efisyen dan pelbagai kelebihan lain walaupun kos permulaannya agak tinggi. Sehingga kini,  lebih 4,000 hektar tanaman padi di Barat Laut Selangor menggunakan kaedah penanaman secara mencedung dan menjelang penghujung 2009,  sebanyak 2,000 hektar sawah lagi akan menggunakan kaedah ini.

Hasil padi juga lebih tinggi dan berkualiti dengan penggunaan kaedah penanaman menggunakan transplanter berkemungkinan dipengaruhi oleh sistem SRI, dimana akar tanaman lebih bebas untuk menyerap nutrien dan kanopi daun pokok dapat membantu daun menjalankan proses fotosintesis dengan lebih berkesan. Penggunaan baja juga dapat dioptimumkan dengan kaedah ini.  Rekod menunjukkan hasil padi tertinggi pernah dicapai di Sekinchan dan Sungai Burong diantara 10 hingga 13 tan sehektar dengan penanaman secara mencedung.

Kesimpulan

Sistem SRI yang digunapakai dalam kaedah penanaman secara mencedung menunjukkan banyak kelebihan terutama sekali bagi kawasan penanaman padi di Barat Laut Selangor. Penggunaan kaedah mencedung dengan jarak dan bilangan anak benih yang sesuai dapat meningkatkan produktiviti hasil padi dan seterusnya meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Selangor.

Jabatan Pertanian Selangor dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia akan menjalankan satu penyelidikan “Cabaran dan Strategi bagi Meningkatkan Pengeluaran Padi di Kalangan Petani Barat Laut Selangor”. Beberapa agensi lain turut terlibat dalam kajian ini termasuk IADA Barat Laut Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, AGRO Bank, MARDI, LPP dan PPK.

Tujuan kajian

  1. Mengenalpasti amalan pertanian yang diamalkan oleh petani dan hasilnya.
  2. Mengenalpasti masalah, halangan dan kaedah untuk meningkatkan hasil padi.
  3. Membuat strategi bagi meningkatkan pengeluaran padi dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani.

Objektif kajian
Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti amalan pertanian yang diamalkan oleh petani di Barat Laut Selangor. Kajian ini bertujuan untuk mendedahkan, menerangkan, menganalisa dan mengetengahkan idea bagaimana petani dapat memperbaiki amalan mereka untuk meningkatkan pengeluaran padi mereka.

Pencapaian yang dijangka
Road Map bagi Good Agricultural Practice; satu bentuk empirical-based production model (kit, modul dan program latihan) dapat dibangunkan untuk dijadikan sebagai bimbingan kepada petani, pegawai pertanian, penyelidik, pembuat polisi dan ahli akedemik bagi melatih petani membangunkan diri mereka sebagai pengusaha dan usahawan yang profesional.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (Malaysia Productivity Corporation, MPC) yang merupakan Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengadakan satu sesi temuramah petani di kawasan Sekinchan pada 18 Februari 2009.

Tiga orang pegawai dari Bahagian Penyelidikan Industri (Pertanian) MPC telah datang bagi mengumpul dan mendapatkan maklumat berkenaan dengan produktiviti pengeluaran padi di Sekinchan. Ini kerana Sekinchan telah dijadikan sebagai benchmark bagi tanaman padi di Malaysia. Satu draf disediakan dalam tempoh temuramah tersebut bagi penyediaan nota kabinet untuk Mesyuarat Jemaah Menteri berkenaan dengan produktiviti tanaman padi.

Sesi temuramah bermula pada jam 10.30 pagi bersama hampir 20 orang petani di Sekinchan bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan amalan pertanian yang diamalkan.

Antara dapatan dari sesi temuramah adalah seperti berikut;

  1. Petani di Sekinchan menitikberatkan penyediaan tanah sebelum menanam.
  2. Menjadikan tanaman padi sebagai punca pendapatan yang serius.
  3. Sikap berani mencuba sesuatu amalan atau teknologi baru.
  4. Penggunaan input (baja dan racun) yang berkesan.
  5. Sentiasa berkongsi penemuan baru, masalah dan amalan dengan masyarakat setempat.
  6. Mempraktikkan amalan terbaik bagi mendapatkan keuntungan.

Beberapa masalah juga dibangkit oleh petani seperti berikut;

  1. Pengiraan jumlah kuantiti baja subsidi kerajaan persekutuan yang dibuat oleh PPK yang mengelirukan. Menurut LPP, pengiraan jumlah baja subsidi yang diberikan adalah mengikut jumlah luas bertanam, namun petani di Sekinchan membangkitkan masalah apabila ada di kalangan mereka mendapat 15 beg baja sebatian dan ada yang cuma mendapat 14 beg baja sebatian sedangkan luas usaha tanah yang sama (1.2 ha).
  2. Baja organik yang didapati kurang berkesan. Petani di Sekinchan mencadangkan agar baja organik ditukar kepada baja lain yang lebih berkesan.
  3. Harga padi yang ditawarkan oleh pengilang luar lebih tinggi berbanding kilang di dalam Negeri Selangor. Kebanyakan mereka terpaksa menjual dengan harga sekitar RM 1,200.00 hingga ke RM 1,300.00 setan sedangkan pengilang luar sanggup membayar lebih.
  4. Potongan padi sepatutnya lebih rendah daripada 17%. Petani di Sekinchan mencadangkan agar wap basah tidak diambil kira semasa potongan.
  5. Harga input terutama baja dan racun yang meningkat. Namun di bawah DJBM terdapat pemberian racun bernilai RM 200.00 dan baja bernilai RM 400.00, petani di Sekinchan menyatakan rasa lega mereka.

Masa Optimum Pemberian Baja Nitrogen Di Peringkat Pertumbuhan Tangkai
Prof. Madya Dr. Syed Omar, S.R

Nitrogen adalah unsur terpenting dalam pengeluaran makanan terutama sekali padi di seluruh dunia. Kehilangan nitrogen melalui proses denitrifikasi adalah tinggi jika pemberiannya tidak dilaksanakan mengikut fasa keperluan nutrien oleh pokok.

Masa pemberian baja N hendaklah selari dengan peringkat tumbesaran pokok padi:
– Beranak aktif
– Pembentukan Tangkai
– Pembungaan
Pemberian N semasa peringkat tumbesaran kritikal, akan mengoptimakan agihan N dalam daun, ini akan meningkatkan kadar fotosintesis terutamanya semasa peringkat pengisian.

Metadologi

Satu eksperimen rumah kaca telah dilakukan di Ladang 10, UPM di antara Disember 2007 dan Mac 2008 bagi mendapatkan masa pembajaan N yang paling kritikal bagi dua kultivar padi iaitu MR219 dan MR232. Di dalam eksperimen ini, lima rawatan N diberi pada hari 45, 50, 55, 60 dan 65 Hari Lepas Tanam (HLT) menggunakan baja Urea (60 N kg ha-1) diperingkat pembentukan tangkai.

Baki lain baja N tersebut diberikan pada 15 HLT (37.5 kg N ha-1), 35 HLT (37.5 kg N ha-1) dan 75 HLT (15 kg N ha-1) untuk semua rawatan. Jumlah N yang diberikan ialah 150 kg N ha-1. Semua rawatan juga diberi baja P (90 kg P2O5 ha-1) dan K (150 kg K2O ha-1) pada 15 HLT.

Pada 85 HLT, 10 daun pengasuh telah disampel secara rawak untuk direkodkan nilai SPAD dan LAI (Leave Area Index). Pokok dituai pada hari 110 HLT, sampel tanaman dikeringkan dalam oven untuk mendapatkan hasil berat kering dan komponen hasil dianalisis.

Keputusan

Perbandingan Bilangan Spiklet
perbandingan-bilangan-spiklet

Peratus Pengisian Spiklet
peratus-pengisian-spiklet

Perbandingan Berat 1,000 Biji
perbandingan-berat-1000-biji

Perbandingan Hasil
perbandingan-hasil

Kesimpulan

Pembajaan N pada 55 HLT (N3) meningkatkan bilangan biji/tangkai, % kebernasan, berat 1,000 biji, dan hasil padi. Pembajaan N yang dibuat lewat iaitu pada 65 HLT mengurangkan nilai semua parameter di atas serta merendahkan hasil kepada 28% untuk MR 219 dan 14% untuk MR 232. Petani sepatutnya dinasihat supaya pembajaan N dibuat di antara bermula 50-55 HLT, walaupun hasil yang tinggi diperolehi pada 55 HLT.

Peringatan Penting:

Gunakan baja berasaskan Ammonium (NH4+) – Urea CO(NH2)2, Ammonium Sulfate, Ammonium Chloride.

JANGAN guna baja berasaskan Nitrate (NO3-) untuk tanah padi: N akan hilang melalui proses denitrifikasi. e.g.  NH4NO3

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 56 other followers