PADI SRI : Minggu ke -3 September, 2010 di Tunjong, Kelantan.

Dalam perjalanan balik dari Sg Leman, Selangor, saya telah menelepon Saudara Farid yang mengurus Projek Padi Organik di Tunjong. Beliau menyatakan padi akan dimula tanam pada keesokan harinya.

Tanpa lengah, petang itu juga bergegas ke Tunjong. Sampai ke Wakaf Che Yeh sudah jam 12.30 malam. Menginap di Ombak Inn. Jam 7.30 pagi esoknya saya dah berada di Tunjong. Pak Aep sudah pun berada di dalam sawah.

Alat Penggaris 16-baris

Alat Penggaris 16-baris

Walaupun saya telah banyak membaca tentang cara membuat garisan 1 kaki x 1  kaki, dan saya ingat kerja ini adalah satu kerja yang renyah (ini kata orang Perak jika sesuatu kerja itu susah sikit untuk dijalankan). Tetapi setelah didemonstrasi oleh Pak Aep, nyata sangkaan saya silap. Jika diikut teknik yang betul, dalam masa yang singkat, menggaris tanah sawah ini mampu dibuat oleh seorang sahaja.

Penting diingatkan supaya air sawah diturunkan sehingga permukaan sawah mempunyai air acap-acap sahaja. Tetapi, pastikan air di parit keliling di sebelah dalam sawah penuh. Bermaknanya, tanah sawah ‘saturated’ (tepu). Oleh itu, adalah elok air mula dikeluarkan sehari sebelum kerja menggaris dan menanam dibuat.

Mula sekali kena sediakan kayu penggaris seperti dalam gambar disebelah kanan ini. Terpulanglah kepada pengusaha banyak mana baris yang ingin dibuat dengan sekali tarik. Yang dipegang oleh Pak Aep ini adalah unutk 16 baris.

Mulakan dengan memasang tali merintangi petak sawah secara melintang.Tali ini akan menjadi panduan semasa membuat garisan nanti. Tali rafia boleh digunakan dan harganya pun murah, dan boleh digunakan berkali-kali.

Tali Dirintang Secara Bertentangan Dipetak Sawah

Tali Dirintang Secara Bertentangan Dipetak Sawah

Letakkan salah satu mata penggaris tepi tali dan tarik sambil menggunakan tali sebagai panduan. Selepas itu, pusing kayu penggaris dan letakkan mata penggaris yang pertama pada baris yang paling hujung, dan tarik lurus. Jumlah baris sekarang telah jadi 16 + 15 iaitu 31 baris semuanya. Ulang hingga semua baris sehala siap dibuat.

Perlu diambil perhatian bahawa keadaan tanah di Tunjong adalah berselut dan rata setelah melalui dua kali penanaman secara SRI. Jadi kerja-kerja membuat garisan adalah agak mudah. Permukaan tanah hanya mempunyai air acap-acap. Air dalam parit disimpan mencecahi permukaan tanah (klik pada gambar jika ingin melihat gambar yang lebih besar).

Pastikan Guna Panduan Tali Untuk Mula Menggaris

Pastikan Guna Panduan Tali Untuk Mula Menggaris

Ulang Berpandukan Garisan Terakhir Sekali

Ulang Berpandukan Garisan Terakhir Sekali

About these ads