Masalah Kekurangan Air

Kawasan Barat Laut Selangor hanya mendapat bekalan air dari sungai; Sungai Tengi dan Sungai Bernam melalui Headwork Sungai Bernam dan Rumah Pam Bagan Terap. Bekalan air untuk tanaman padi hanya dapat menampung sebanyak 85 peratus dari keperluan.

Kawasan penanaman padi yang bermasalah ialah ISA III (Irrigation Service Area 3) iaitu kawasan Panchang Bedena dan Bagan Terap. Kedua-dua kawasan ini menghadapi masalah kekurangan air kerana lokasinya di penghujung jelapang (tail end water user). Masalah ini telah timbul sejak tahun 1990-an kerana kaedah penanaman padi secara tabur terus memerlukan keperluan air pada waktu puncak ketika peringkat pra tepu (presaturation period) selama 14 hari.

Keadaan menjadi lebih meruncing kerana Rumah Pam Bagan Terap yang mengepam air dari Sungai Bernam tidak dapat membekalkan air secara konsisten terutama sekali ketika musim kemarau. Keadaan Sungai Bernam yang berlumpur juga menyebabkan pam-pam yang digunakan perlu diselenggara akibat daripada lumpur yang tersumbat.

Cadangan Pembinaan Sebuah Kolam Takungan

Sejak kebelakangan ini, keadaan cuaca yang tidak menentu, musim kemarau dan fenomena El-Nino yang melanda menyebabkan masalah kepada pengairan di kawasan penanaman padi di Selangor. Ini seterusnya menyebabkan pembinaan sebuah kolam takungan perlu. Bagi menyimpan air, sebuah kolam takungan seluas 816 hektar dengan kedalaman 4 meter perlu dibina di KBLS. Namun demikian, oleh kerana peruntukan yang terhad, sebuah kolam yang lebih kecil dicadangkan untuk dibina di kawasan Panchang Bedena – Bagan Terap bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan pengairan ini.

Luas kolam yang dicadangkan: 73 ha x 4 m dalam dapat memberi sokongan pengairan tambahan kepada seluas 1,274 ha kawasan penanaman padi.

Kolam ini akan mempunyai infrastruktur yang lengkap dengan saluran masuk (inlet channel),  rumah pam (dengan 3 pam berkapasiti 2.3m/s), paip penghantaran (delivery pipe) berdiameter 1,500mm dengan 600 meter panjang dan 1.2 juta meter3 tambakan tanah ban (ring bund).

Ketika musim hujan, kolam ini akan dipenuhi dengan air dari terusan utama menggunakan aliran graviti. Pam akan digunakan bagi memenuhkan kolam ini kepada paras maksimum. Ketika musim kering, air dari kolam akan dialirkan ke dalam terusan utama menggunakan aliran graviti dan pam akan digunakan bagi mengosongkan kolam dan memenuhkan air ke dalam terusan utama.

Pembinaan kolam takungan ini akan dilaksanakan pada suku terakhir tahun 2009. Satu lagi projek yang akan dijalankan ialah menaiktaraf sistem saliran DD-Line di Sungai Haji Dorani bagi mengatasi masalah banjir dan akan dijalankan serentak. Apa yang diharapkan, pembinaan kolam takungan dan kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran di kawasan Panchang Bedena dan Bagan Terap dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh petani di situ sejak sekian lama.

About these ads