May 2009


Penyakit Moko (Moko disease) yang menyerang pisang disebabkan oleh bakteria Ralstonia solanacearum (yang dahulunya dikenali sebagai Pseudomonas solanacearum). Ralstonia solanacearum ialah patogen perosak tanaman, gram negatif dan merupakan bakteria bawaan tanah (soil bacterium). Ia turut dikenali sebagai Granville wilt apabila bakteria ini menyerang tanaman tembakau. Bakteria ini bersifat aerobik, tidak berspora, berbentuk rod, dan motile (bergerak secara bebas). Bakteria ini akan membentuk koloni dan membiak di dalam xilem tumbuhan yang menjadi hos yang akan menyebabkan simptom layu bakteria (bacteria wilt).

micro-electron-181x244

Klasifikasi saintifik:
Kingdom: Bacteria
Phylum: Proteobacteria
Class: Beta Proteobacteria
Order: Burkholderiales
Family: Ralstoniaceae
Genus: Ralstonia

Mikrografi bakteria R. solanacearum

______________________________________________________________

Tanaman yang diserang oleh penyakit bakteria ini termasuklah kentang, (Solanum tuberosum) tomato, (Lycopersicon esculentum) aubergine (spesis terung) (Solanum melongena) terung, (Musa) pisang, (Zingiber officinale) halia (Nicotiana tabacum) tembakau, (Capsicum) lada dan (Olea europaea) zaitun.

colonies-170x269

Cara penyebaran

Penyakit bakteria ini boleh merebak melalui air, tanah dan benih yang dijangkiti bakteria ini. Penggunaan mesin, jentera dan alatan ladang yang tercemar juga boleh menyebabkan penyakit ini merebak. Ralstonia solanacearum boleh hidup di dalam tanah bagi jangkamasa yang lama sehingga beberapa tahun. Ini menyebabkan penyakit ini agak sukar untuk dikawal dan kawasan yang telah terkena jangkitan penyakit ini tidak boleh ditanam dengan pokok yang sama untuk tempoh beberapa tahun.

Koloni R. solanacearum di dalam piring petri _______________________________________________________________________ 

Simptom

  • Pembentukan bacteria ooze (jejalur seperti benang) apabila bahagian tanaman yang dijangkiti direndam di dalam air.
  • Tumbuhan layu walaupun daun masih hijau.
  • Tisu hijau daun kehilangan warna menjadi putih dan kuning.
  • Tisu nekrotik berwarna hitam pada bahagian dalam tumbuhan.
  • Tisu vaskular menjadi perang.
  • Daun melecuh, keguguran daun abnormal, layu, berwarna kuning dengan kesan terbakar.
  • Pertumbuhan pokok terbantut, melecuh dan mati rosot.
  • Akar pokok menjadi reput dan berwarna hitam.

Notation_scale-306x195

Simptom serangan R. solanacearum pada pokok pisang 

Maklumat lanjut:
Gambar lawatan pemantauan kesan serangan Moko disease di Teluk Gong, Klang oleh UPT Sungai Burong.

sk_01_APC

sk_01_seminar

PUTRAJAYA 15 Mei – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kes pertama selesema babi di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pesakit pertama di Malaysia merupakan seorang pelajar lelaki berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, pesakit tersebut mengalami demam, sakit tekak, sakit badan pada semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

“Beliau telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan di laman web rasmi Kementerian Kesihatan. – Utusan

Laporan Khas Oleh Nurul Halawati Azhari

Menurut Pengerusi Unit Peladang Sekinchan Law Kok Choy, hasil padi yang tinggi banyak bergantung kepada cara pengurusan sawah.

Foto:Nurul Halawati Azhari

____________________________________________________________

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Sekinchan, yang menjadi antara kawasan penanaman padi yang utama di Selangor, kini boleh berbangga dengan keupayaannya menghasilkan padi mencapai sehingga 13 tan metrik untuk setiap satu hektar.

Bukan setakat itu sahaja, padi yang dihasilkan juga bermutu tinggi.

Berbanding dengan Kedah, yang bergelar jelapang padi, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menghasilkan sebahagian besar padi tempatan dengan purata empat tan bagi setiap hektar.

Jumlah empat tan sehektar itu adalah purata bagi seluruh negara, namun di Selangor terutamanya pesawah di Sekinchan hasil padi mereka mampu mencapai sehingga 13 tan metrik sehektar dengan kualiti padi yang amat baik.

Angka ini melebihi had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu tujuh hingga lapan tan sehektar.

Oleh itu timbul persoalan apakah yang membezakan keupayaan pesawah di kawasan ini berbanding pesawah di negeri lain?

Juga timbul persoalan sama ada pengeluaran padi boleh ditingkatkan dengan menambah keluasan bendang ataupun dengan memperkenalkan baka padi yang menjanjikan hasil yang tinggi?

Sekarang ini keluasan sawah di seluruh negara ialah kira-kira 650,000 hektar.

RAHSIA DI SEBALIK KEJAYAAN PETANI SEKINCHAN

Menurut Pengerusi Unit Peladang Sekinchan Law Kok Choy, hasil yang tinggi banyak bergantung kepada cara pengurusan sawah.

“Walaupun memiliki sawah yang luas, infrastruktur serta sistem pengurusan yang tidak betul boleh menjejaskan hasil keluaran padi.

“Paling penting ialah sistem saliran yang dilaksanakan di kawasan Sekinchan dan kawasan sawah lain di Selangor. Saya berpendapat pesawah di sini memiliki sistem saliran yang terbaik dan sistematik,” jelas beliau.

Secara keseluruhannya, sistem saliran yang membekalkan air dibuat pada setiap petak dan ini membolehkan setiap petak menerima jumlah air yang sama.

Berbanding di sesetengah tempat, pesawah hanya menggunakan satu tali air untuk mengairi beberapa petak sawah. Ini menyebabkan jumlah air yang diterima oleh petak yang terletak jauh dari tali air berkurang.

Selain itu, Law berpendapat kesediaan hampir 90 peratus penanam padi di kawasan itu menggunakan teknologi mesin “transplan” (penyemai) sejak empat tahun lepas juga menyumbang kepada peningkatan hasil padi mereka.

Walaupun teknologi dari Jepun dan Taiwan ini bukan baru di negara ini, tetapi ia tidak digunakan sepenuhnya oleh pesawah.

Menurut Law, proses penghasilan anak padi jenis MR219 dilakukan di tapak semaian sebelum dipindahkan ke petak-petak sawah menggunakan mesin “transplan”. Walaupun kosnya agak tinggi iaitu mencecah RM850 satu lot (1.2 hektar), hasil padinya lebih tinggi berbanding menanam menggunakan teknik tabur yang hanya menelan kos RM400.

“Jarak yang teratur iaitu 10 inci di antara satu rumpun dengan rumpun lain membolehkan cahaya matahari sampai hingga ke bahagian bawah secara sekata. Bahkan dapat mengelak daripada ancaman tikus dan serangga yang gemar bersembunyi di rumpun pokok yang terlalu rapat,” jelas Law.

JANGAN TABUR, TUNGGU DAN TUAI SAHAJA

Menurut seorang lagi pesawah di Sekinchan, Yap Kang Pua, 65, jika pesawah hanya bergantung kepada 3T iaitu tabur, tunggu dan tuai sahaja, hasilnya adalah sekitar enam hingga tujuh tan metrik bagi satu lot.

“Pengurusan baja secara tepat dan berkala adalah langkah terbaik. Pesawah kena tahu teknik dan waktu yang paling tepat untuk menabur baja. Kita mesti letak baja yang cukup untuk hasilkan buah yang banyak.

“Ramai pesawah di sini yang menggunakan baja tambahan dan menampung perbelanjaan lebih daripada RM1,000 untuk membeli baja tambahan jenis Urea Campuran 15 dan baja buah. Barulah dapat hasil seperti ini,” jelasnya.

Yap berpendapat pengeluaran padi di kawasan Sekinchan sudah mencapai tahap maksimum dan adalah mustahil bagi mereka untuk meningkatkan lagi hasil berdasarkan kemampuan yang ada.

SEDIA BERKONGSI TEKNOLOGI DENGAN PESAWAH LAIN

Namun, Yap yang mengusahakan sehektar sawah berpendapat teknologi serta maklumat yang dimiliki oleh pesawah di Sekinchan dapat dikongsi dengan pesawah di negeri-negeri lain.

Selain pesawah daripada masyarakat Cina, kaedah penanaman padi sedemikian turut diamalkan oleh pesawah-pesawah Melayu dan India yang bersempadan dengan mereka.

Perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi berlaku secara tidak langsung apabila mereka ini mengambil upah meracun dan membaja bendang-bendang di Sekinchan.

“Ramai di kalangan pesawah di sini terdiri daripada mereka yang telah berusia 50 tahun ke atas. Bila sudah tua, tenaga pula semakin kurang. Hendak tabur racun dan benih pun tak larat. Jadi kenalah upah orang,” jelas Yap.

Cara ini secara tidak langsung mendidik penduduk kampung di sekitar mempelajari teknik pesawah di kawasan itu yang kemudiannya dicuba di sawah mereka sendiri.

“Ini juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil padi di Sekinchan dan mungkin boleh dicuba di tempat lain pula bagi menambah hasil padi negara,” jelas Yap.

CADANG PADI HIBRID

Sebagai pesawah yang telah lebih 30 tahun bergelumang dengan lumpur, Yap turut berpendapat penggunaan benih padi daripada jenis MR219, MR220 dan MR232 yang dibekalkan oleh MARDI mungkin perlu diperbaharui.

“Saya cadangkan padi hibrid jenis ‘Siraj’ diteruskan kerana ia bukan sahaja mengeluarkan hasil yang bermutu tinggi malah bilangan biji juga lebih sekali ganda tinggi.

“Contohnya, satu tangkai padi benih biasa boleh menghasilkan kira-kira 200 biji padi manakala padi Siraj boleh mengeluarkan kira-kira 400 biji padi pada satu tangkai.

Cadangan Yap turut disokong Law yang berpendapat hasil padi hibrid lebih tinggi dan kerajaan juga boleh menggunakan tanah-tanah terbiar di Malaysia bagi penanaman padi.

“Padi hibrid telah diusahakan di China sejak 30 tahun yang lepas. Kita pernah mencubanya sekali. Kali pertama hasilnya tidaklah tinggi sangat, tetapi kalau diteruskan, saya berpendapat ia satu cara untuk meningkatkan hasil keluaran padi,” kata beliau.

Buat masa ini Malaysia mengeluarkan 72 peratus daripada bekalan beras yang diperlukan bagi 27 juta penduduknya. Bekalan selebihnya diimport dari Thailand, Vietnam, Pakistan, China dan India.

Menjelang 2010, Malaysia dijangka mampu menghasilkan 90 peratus daripada beras yang diperlukannya.

BERNAMA

padi-transplanting

System of Rice Intensification (SRI) ataupun Sistem Kepadatan Padi ialah satu kaedah penanaman padi yang digunakan untuk meningkatkan hasil padi. Sistem ini telah diasaskan pada tahun 1983 di Madagascar.

Sejarah dan Konsep

Idea penggunaan sistem ini bermula seawal tahun 1960-an apabila Father Henri de Laulanie membuat pemerhatian kepada amalan petani yang menanam hanya satu anak pokok padi berbanding amalan biasa menanam banyak anak benih di dalam satu lubang dan tidak membiarkan sawah dipenuhi air (cukup sekadar berada dalam peringkat separa tepu) ketika peringkat fasa tampang (vegetative stage). Penanaman dilakukan dengan jarak yang luas di dalam bentuk tersusun seperti kotak. Pada ketika itu, penanaman padi secara mencedung (mengubah) dilakukan oleh manusia secara manual menggunakan kuku kambing.

Pada tahun 1983, kaedah menanam mencedung menggunakan anak benih yang berusia kurang dari 15 hari didapati menunjukkan hasil yang sangat baik. Ketika harga baja melonjak naik pada ketika itu, penggunaan baja organik sangat meluas tetapi dapat memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan penggunaan baja kimia. Konsep dan amalan SRI terus menerus dievolusikan bagi penggunaan di dalam penanaman padi tanpa sistem pengairan (rainfed) dan pada ketika itu kaedah menanam secara mencedung amat popular berbanding tabur terus.

Prinsip yang perlu di dalam penggunaan sistem SRI bagi menjamin hasil yang berkesan :

  • sawah perlu dibiarkan lembab bukannya dalam keadaan tepu air bagi meminimumkan keadaan anaerobik, supaya dapat meningkatkan dan memperbaiki pertumbuhan akar serta menyokong pembiakan dan diversiti organisma tanah yang aerobik;
  • pokok padi perlu mempunyai jarak yang optimum di antara satu sama lain bagi membantu pertumbuhan akar (bagi penyerapan nutrien dengan lebih berkesan) dan kanopi (supaya semua daun dapat menjalankan proses fotosintesis dengan lebih aktif); dan
  • anak padi perlu dipindahkan segera dalam keadaan muda (15 hari) bagi mengelakkan kesan trauma pada akar dan “kejutan” akibat pemindahan.

Prinsip ini sekaligus mengubah amalan konvensional di dalam pengurusan pokok, tanah, air dan nutrien. Perubahan ini dapat meningkatkan produktiviti bagi semua genotype padi, dengan sesetengah varieti memberi respon yang lebih baik dari yang lain apabila kaedah SRI digunakan. Sistem ini dapat meningkatkan hasil padi, mengurangkan keperluan benih dan mengurangkan keperluan air 25 hingga 50%.

Penyebaran SRI

Penyebaran SRI dari Madagascar ke seluruh dunia telah dilakukan oleh Norman Uphoff, Pengarah International Institute for Food, Agriculture and Development, Universiti Cornell yang terletak di Ithaca, New York. Beliau memulakan usaha ini sejak tahun 1993 hingga 2005.  Segalanya bermula pada tahun 1993, beliau telah menemui pegawai dari Association Tefy Saina,  sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan di Madagascar pada tahun 1990 oleh de Laulanie bagi mempromosikan SRI. Setelah melihat kejayaan SRI selama 3 tahun di mana petani di Madagascar dapat meningkatkan hasil padi purata mereka dari 2 tan/ha kepada 8 tan/ha dengan SRI, Uphoff mengiktiraf sistem ini dan pada tahun 1997 beliau mula mempromosikan SRI di Asia.

Sehingga 2007, SRI telah didokumenkan oleh 28 negara, dan yang terkini termasuklah Bhutan, Iraq, Iran dan Zambia. Kerajaan di negara China, India dan Indonesia menggalakkan penggunaan SRI dengan mengembangkan sistem ini di kalangan petani.

Konsep dan amalan SRI bukan sahaja diaplikasikan di sawah padi, tetapi juga tanaman lain seperti di India, konsep ini turut digunakan dalam tanaman gandum dan tebu. Sistem ini dikatakan berjaya digunakan di Kerala, India.

Universiti Cornell (New York), Universiti Wageningen (Belanda) dan IRRI telah bekerjasama bagi menjalankan satu kajian percubaan di seluruh dunia bagi penggunaan SRI untuk tanaman padi bermula pada tahun 2009 hingga 2011.

Kelebihan SRI

  • Pokok padi lebih resistan kepada tekanan abiotik (abiotic stress) seperti kemarau dan banjir
  • Hasil padi yang lebih tinggi
  • Penggunaan air yang lebih efisyen
  • Mengurangkan penggunaan anak benih

Kritik

Terdapat beberapa kritikan diberikan pada SRI. Sesetengah pengkritik berpendapat kejayaan SRI bergantung pada jenis tanah, di mana Madagascar dikatakan mempunyai tanah yang unik dan sesuai bagi penggunaan sistem ini. Selain itu, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan mengurangkan anak benih (seedling per point) akan mengurangkan hasil padi kerana anak benih tersebut tidak mampu untuk menghasilkan banyak batang (tillers) yang akan mengeluarkan padi.

Kaedah mencedung (transplanting) menggunakan jentera

Kaedah menanam secara mencedung atau mengubah menggunakan jentera transplanter secara tidak langsung mengaplikasikan kaedah SRI. Di dalam penanaman padi secara mencedung menggunakan jentera, jarak tanaman dan bilangan anak benih boleh diubah mengikut kesesuaian pada mesin tersebut. Dalam amalan biasa di negara ini khususnya kawasan Barat Laut Selangor, jarak antara pokok (between heel) yang biasa ialah antara 14 hingga 22 cm manakala jarak antara baris (between row) ialah 30 cm. Bilangan anak benih yang digunakan antara 3 hingga 5 seedling per point. Anak benih yang digunakan berumur di antara 14 hingga 22 hari.

Penanaman padi menggunakan kaedah mengubah (transplanting) ini mempunyai pelbagai kelebihan seperti memudahkan pengurusan rumpai, penyakit dan perosak, mengurangkan penggunaan benih, mengurangkan populasi padi angin, menjadikan penggunaan air lebih efisyen dan pelbagai kelebihan lain walaupun kos permulaannya agak tinggi. Sehingga kini,  lebih 4,000 hektar tanaman padi di Barat Laut Selangor menggunakan kaedah penanaman secara mencedung dan menjelang penghujung 2009,  sebanyak 2,000 hektar sawah lagi akan menggunakan kaedah ini.

Hasil padi juga lebih tinggi dan berkualiti dengan penggunaan kaedah penanaman menggunakan transplanter berkemungkinan dipengaruhi oleh sistem SRI, dimana akar tanaman lebih bebas untuk menyerap nutrien dan kanopi daun pokok dapat membantu daun menjalankan proses fotosintesis dengan lebih berkesan. Penggunaan baja juga dapat dioptimumkan dengan kaedah ini.  Rekod menunjukkan hasil padi tertinggi pernah dicapai di Sekinchan dan Sungai Burong diantara 10 hingga 13 tan sehektar dengan penanaman secara mencedung.

Kesimpulan

Sistem SRI yang digunapakai dalam kaedah penanaman secara mencedung menunjukkan banyak kelebihan terutama sekali bagi kawasan penanaman padi di Barat Laut Selangor. Penggunaan kaedah mencedung dengan jarak dan bilangan anak benih yang sesuai dapat meningkatkan produktiviti hasil padi dan seterusnya meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Selangor.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 55 other followers